Pengikut laman ini

Friday, January 7, 2011

Sajak Tingkatan 5 - Bangkitlah – Rejab F.I

Maksud

Rangkap 1
Anak-anak muda hendaklah bangun daripada tidur kerana hari sudah lama siang.

Rangkap 2
Burung-burung sudah berterbangan di udara pada pagi yang indah ini dengan kehijauan pepohon yang menyegarkan mata memandangnya, tetapi penyajak tidak pasti sama ada anak-anak muda masih belum bangun.

Rangkap 3
Penyajak menyeru anak-anak muda agar bangun dan usahakan tanah yang subur dan galilah hasil yang ada di bumi yang kaya dengan pelbagai hasil agar tidak menyesal kemudian hari.

Rangkap 4
Penyajak bertanya kepada anak-anak muda tentang nasib mereka pada hari esok, sama ada mereka akan dapat makan untuk meneruskan hidup atau menyesali kesilapan mereka sebelum ini.

Rangkap 5
Oleh itu, penyajak menyeru anak-anak muda agar bangun daripada tidur dan berusahalah untuk mencari rezeki kerana hari masih siang dan masih belum terlambat lagi untuk berusaha.

Tema
Seruan kepada rakyat agar berusaha untuk mencari rezeki dan tidak mengabaikan peluang yang ada.

Persoalan
1. Usaha yang gigih untuk mencari rezeki.
2. Kerajinan untuk melakukan sesuatu untuk mendapat hasilnya.
3. Penyesalan pada suatu masa nanti tiada gunanya lagi.
4. Gunakan kesempatan dan peluang yang ada untuk kesenangan hidup

Gaya Bahasa
1. Metafora – madu bumi, perut belantara
2. Sinkof – kaumakan, kau mahu, kau masih
3. Pengulangan - bangkitlah
4. Kata ganda – burung-burung, anak-anak, pepohon
5. Asonansi – Lihat jernihnya pagi ini
6. Aliterasi – tanah atau batu atau debu

Nilai
1. Kerajinan
2. Kegigihan
3. Menghargai masa

Pengajaran
1. Kita hendaklah rajin berusaha untuk mencari kesenangan di negara yang kaya dengan pelbagai sumbernya ini.
2. Kita perlulah menggunakan peluang dan sumber yang ada untuk mencari rezeki.
3. Kita haruslah berusaha sebelum terlambat agar tidak menyesal pada suatu hari nanti.
4. Rebutlah peluang yang ada untuk mencari kesenangan hidup.


Saturday, January 1, 2011

Sajak Tingkatan 5 Kecek – (V) – Awang Abdullah

Maksud

Rangkap 1
Seorang pengarah syarikat mengumpulkan kekayaannya dengan melakukan penipuan atau pecah amanah dan perkara itu menyusahkan orang lain.

Rangkap 2
Seorang petani di kampung pula berusaha dengan tenaga dan kudrat yang dimilikinya untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak-anaknya yang ramai. Namun begitu, dia tidak pernah mengambil harta atau kekayaan orang lain untuk meneruskan kehidupannya yang sekian lama dalam kemiskinan.

Rangkap 3
Seorang nelayan yang hidup miskin meneruskan hidupnya dengan mencari rezeki di laut untuk membesarkan anak-anaknya. Namun begitu, nelayan itu tidak pernah mengambil kesempatan daripada kesenangan orang lain semasa mencari rezeki walaupun dia sudah lama hidup dalam keadaan susah.

Rangkap 4
Walau bagaimanapun, Tuhan tidak pernah mungkir untuk mencatatkan setiap perbuatan yang dilakukan oleh manusia untuk menegakkan keadilan pada hari pembalasan nanti.

Tema
Pertentangan sikap antara orang kaya yang tidak amanah dengan orang miskin yang jujur.

Persoalan
1. sikap orang kaya yang menyusahkan orang lain
2. kegigihan petani yang berusaha untuk mencari rezeki
3. ketabahan nelayan yang mencari rezeki untuk menanggung keluarga
4. hari pembalasan pasti akan dihadapi oleh setiap orang

Gaya Bahasa
1. Metafora
– akaun kemiskinannya
- pagar sengsara
- akaun sengsaranya
- ruang kedaifan
- rahang laut
- pusaran nasib
- rumah keadilan
2. Pengulangantetapi, ke dalam, di, ke dalam
3. Asonansiyang telah lama pecah
4. Aliterasi - dia mencantum kemiskinan

Nada
Sinis

Nilai
1. Kejujuran
2. Kegigihan
3. Ketabahan
4. Keadilan

Pengajaran
1. Kita hendaklah mencari harta kekayaan dengan cara yang halal supaya diberkai oleh Tuhan.
2. Kita haruslah gigih berusaha untuk mencari rezeki yang halal demi keperluan keluarga.
3. Kita mestilah percaya akan balasan Tuhan terhadap orang yang tidak amanah.
4. Kita tidak patut mengambil kesempatan daripada kesenangan orang lain demi memperoleh kekayaan.


Monday, December 27, 2010

Tema dan Persoalan Novel Interlok

Tema

Integrasi antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India melalui tiga keluarga yang berusaha untuk hidup bersama di Tanah Melayu yang aman, merdeka dan bersatu padu.

Sebagai buktinya, Seman, Maniam, Cing Huat dan Yew Hock hidup saling membantu dalam urusan kehidupan seharian dan seterusnya bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat Malaya yang bersatu padu, aman dan harmoni. Kepelbagaian kaum tersebut merupakan keistimewaan yang wujud secara semula jadi berdasarkan fakta sejarah apabila orang Cina yang diwakili oleh Cing Huat, dan orang India yang diwakili oleh Maniam datang ke Tanah Melayu pada masa itu untuk mencari rezeki dan seterusnya tinggal dan menetap di negara ini.

Dalam kehidupan mereka, setiap kaum itu hidup saling bergantungan antara satu sama lain. Orang Melayu meminjam wang daripada orang Cina dan orang Cina pula menggunakan orang Melayu untuk membeli tanah orang Melayu. Sebagai contohnya, Cina Panjang (Cing Huat) memberikan wang iaitu dengan meminjamkannya kepada Musa dan sebaliknya Cing Huat menggunakan Musa untuk membeli tanah orang Melayu. Musa pula telah menyelamatkan Maniam daripada dipukul dengan teruk dan Maniam membalas jasa Musa dengan memberikan bantuan kepada anaknya iaitu Seman untuk mendapatkan kerja di ladang di tempat Maniam bekerja sebagai tandil.

Kehidupan pelbagai kaum dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, dan India itu berlangsung dengan aman, saling bergantungan dan tiada persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Mereka berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni serta menjadikan negara ini negara yang merdeka dan berdaulat.

Persoalan

1. Tolong-menolong dalam kehidupan bermasyarakat.
Seman menolong Poh Eng dengan membawanya ke ladang di tempat Maniam berkerja untuk menyelamatkan diri.

2. Kerajinan dalam mencari rezeki.
Seman rajin bekerja di sawah bapa mentuanya iaitu selepas menuai padi, dia menanam sayur-sayuran dan kacang dan sebagainya di atas tanah itu.

3. Ketabahan dalam menghadapi kehidupan yang mencabar.
Seman tabah menghadapi hidupnya dan berusaha untuk mencari pekerjaan bagi memulakan hidup baru bersama-sama dengan emaknya selepas disuruh meninggalkan rumahnya oleh Cina Panjang.

4. Kegigihan untuk memajukan diri.
Seman gigih bekerja di ladang getah dan berjaya mengumpulkan wang untuk dijadikan belanja majlis perkahwinannya dengan Gayah.

5. Ketaatan kepada perintah agama.
Seman menunaikan sembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong selepas dua tahun setengah meninggalkan kampungnya itu..

6. Semangat cinta akan negara yang aman dan tenteram.
Lazim, Cing Huat dan Raman sama-sama berjuang untuk kaum masing-masing dan mereka berpendapat agar setiap kaum itu bersatu untuk mewujudkan satu masyarakat Malaya yang aman dan damai.

7. Menghormati orang yang lebih tua dalam masyarakat.
Mat Ranggi menghormati Lebai Seman yang menjadi wakil kepada Seman walaupun dia tidak bersetuju dengan hasrat Seman untuk mengambil anaknya sebagai isteri.

8. Semangat bermasyarakat dalam kehidupan seharian.
Semua penduduk kampung menziarahi mayat Musa yang meninggal dunia dan masing-masing melakukan kerja untuk mengurusakan mayatnya itu.

9. Menghargai jasa atau budi orang lain.
Poh Eng memberitahu bapanya bahawa Seman dan Mak Limah yang menyelamatkannya daripada malapetaka walaupun ayahnya mengatakan mereka yang menyebabkan Poh terpisah dengannya.

10. Keberanian dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Poh Eng berani menembak Suppiah demi menyelamatkan nyawa Maniam yang pernah membantunya.

11. Semangat perpaduan tanpa mengira kaum.
Yew Seng dan Lazim bermain bersama-sama dan mereka berkawan baik walaupun ayahnya Cing Huat melarangnya daripada berbuat begitu.

12. Kekejaman tentera Jepun dan komunis.
Tentera Jepun merampas basikal, jam tangan dan bahan makanan penduduk kampung. Anggota komunis pula membunuh sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan pihak Jepun.

13. Kesabaran dalam menghadapi cabaran.
Malini sabar menanti kepulangan Maniam yang bekerja di tempat lain hinggalah dia meninggal dunia.

14. Perjuangan yang sia-sia perlu ditinggalkan.
Yew Seng dan Poh Eng menyedari bahawa perjuangan mereka bersama-sama dengan pengganas komunis ialah perjuangan sia-sia dan perjuangan yang dilakukan oleh ayahnya dan Lazim itulah perjuangan yang sebenar.

15. Kasih sayang dalam keluarga.
Maniam sayang akan isterinya Malini, dan amat berat untuk meninggalkannya. Begitu juga dengan Seman yang sayang akan ayahnya dan dia sanggup menjaga bapanya yang sedang sakit tenat sepanjang malam. Cing Huat juga sayang akan anak dan isterinya dengan menyuruh isterinya Tua Pao dan anaknya Poh Kheng berlindung di rumah bapa mentuanya ketika kedatangan tentera Jepun.


Tuesday, December 21, 2010

Tema dan Persoalan Novel Kembara Amira

Tema novel ini ialah ketabahan dalam menjayakan sesuatu misi atau tugas tanpa mengenal erti putus asa dan takut.


Perkara ini dibuktikan melalui tindakan Amira yang begitu tabah semasa berada di Gunung Mat Raya iaitu di tempat ibunya bersama-sama dengan pembantu dan pelajar-pelajarnya menjalankan aktiviti mencari gali artifak lama tinggalan manusia zaman silam. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh bukan sahaja Amira tetapi juga dihadapi oleh ibunya sendiri, Jacinta, Itai dan juga pelajar-pelajar ibunya yang sedang bekerja di tapak kerja lapangan itu. Amira hampir mati lemas akibat tergelincir di sungai dan dia bernasib baik kerana diselamatkan oleh Itai. Jacinta juga menghadapi cabaran iaitu dia pengsan dan sesat di dalam hutan ketika hendak menjejaki Amira yang dihanyutkan oleh arus sungai yang deras. Jacinta juga bernasib baik kerana diselamatkan oleh Tau. Profesor Zaidah juga menghadapi cabaran iaitu dia mendapat kecederaan iaitu tangannya terseliuh apabila kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh Pak Lias hilang kawalan kerana breknya mengalami kerosakan.

Tugas mereka hampir-hampir tidak dapat disempurnakan kerana keselamatan mereka bagaikan terancam dan menyebabkan Dr. Zawawi mencadangkan kerja-kerja cari gali itu ditangguhkan buat sementara waktu. Walau bagaimanapun, Profesor Zaidah tidak bersetuju dengan cadangan Dr. Zawawi untuk menangguhkan kerja lapangan itu dan mengatakan kerja itu perlu diteruskan. Amira tabah semasa melakukan kerja cari gali dan akhirnya dia menjumpai artifak yang berupa bekas air dan ada yang menjumpai karpus ataupun tulang pergelangan tangan manusia. Seterusya, Amira tabah menghadapi dugaan semasa hendak menyelamatkan Malique yang dikurung oleh makhluk yang berbulu (Tau) bersama-sama dengan Itai, Pak Lias, dan Jacinta.

Persoalan

1. Persoalan kegigihan dalam melakukan sesuatu perkara.
Contohnya, Profesor Zaidah, Dr. Zawawi dan pelajar-pelajarnya gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan.

2. Persoalan persahabatan yang erat dalam kehidupan
Contohnya, Amira dan Jacinta bersahabat baik dan menjaga nilai-nilai persahabatan serta saling menghormati antara satu sama lain.

3. Persoalan tolong-menolong dalam kehidupan
Contohnya, Itai menyelamatkan Amira daripada mati lemas di sungai dan Tau pula menyelamatkan Jacinta yang tersesat jalan lalu pengsan ketika hendak menjejaki Amira. Ludin pula merawat Profesor Zaidah yang terseliuh tangannya dengan kaedah perubatan tradisional.

4. Persoalan keberanian dalam menempuh cabaran
Contohnya, Amira, Itai dan Jacinta berani untuk pergi ke Gunung Gua Gajah demi menyelamatkan Malique. Mereka juga berani berhadapan dengan makhluk berbulu yang mengurung Malique.

5. Persoalan kebijaksanaan dalam tindakan
Contohnya, Amira menunjukkan kebijaksanaannya dengan bertindak pantas dan tepat pada masanya untuk menggerakkan usaha demi menyelamatkan Malique.

6. Persoalan kesabaran dan ketekunan dalam melaksanakan tugasan
Contohnya, pelajar-pelajar Profesor Zaidah bersabar dan tekun menjalankan kerja lapangan di tapak ekskavasi atau kerja lapangan itu.

7. Persoalan keikhlasan dalam setiap tindakan
Contohnya, Pak Lias ikhlas menegur Profesor Zaidah tentang Amira yang seolah-olah diabaikannya dan Ludin merawat Profesor Zaidah yang mengalami kecederaan di tangannya dengan ikhlas.

8. Persoalan kepatuhan terhadap arahan ketua
Contohnya, Pak Lias dan Dr. Zawawi taat akan arahan Profesor Zaidah serta menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh ketuanya itu.

9. Persoalan hormat-menghormati dalam mengeratkan perhubungan
Contohnya, Amira menghormati emaknya dan juga orang lain seperti Dr. Zawawi, Itai dan Ludin. Itai juga menghormati Ludin, Tau dan Profesor Zaidah.

10. Persoalan kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga
Contohnya, Profesor Zaidah sayang kepada Amira, iaitu dia masih mengambil berat tentang keselamatan Amira. Tau amat menyayangi anaknya iaitu Malique atau Sabi dan tidak mahu anaknya itu berjauhan daripadanya.

11. Persoalan sayang akan alam sekitar daripada kemusnahan
Contohnya, Tau benci akan orang yang merosakkan dan memusnahkan hutan dan haiwan yang terdapat di dalam hutan.

12. Persoalan ketaatan kepada perintah Tuhan
Contohnya, pelajar-pelajar Profesor Zaidah menunaikan kewajipan mereka kepada Allah iaitu dengan menunaikan solat seperti solat subuh.

13. Persoalan permuafakatan dalam membuat keputusan
Contohnya, masyarakat kampung orang Asli berbincang untuk mencapai kata sepakat dalam menghadapi sebarang permasalahan seperti hendak membuat keputusan berkaitan dengan peristiwa Itai yang membawa Amira ke sungai yang terdapat ketulan emas.

14. Persoalan kebijaksanaan dalam membuat keputusan
Contohnya, Amira berfikir dengan rasional dan bijaksana dalam membuat keputusan dengan menceritakan perkara yang sebenar kepada Ludin tentang peristiwa dia dan Itai mengambil ketulan emas di sungai, untuk dihadiahkan kepada Jacinta.



Sunday, December 19, 2010

Nilai Murni Dalam Novel Interlok

Banyak nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok yang dapat dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar dalam kehidupan seharian, antaranya seperti yang disenaraikan di bawah ini.


1. Tolong-menolong
Musa menolong Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali ketika dia hendak meninggalkan ladang tempatnya bekerja pada suatu pagi dan Maniam pula menolong Seman mendapatkan kerja di ladang tempatnya bekerja.

2. Menghargai jasa
Maniam menghargai jasa Musa yang menolongnya ketika dia dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Poh Eng menghargai jasa Seman dan Mak Limah yang memberikan perlindungan kepadanya.

3. Hormat-menghormati
Seman menghormati ayah dan ibunya dan dia tidak pernah meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka dan dia juga mematuhi arahan dan melakukan setiap perkara yang disuruh oleh ibunya.

4. Kerajinan
Seman rajin bekerja sejak ayahnya sakit dan dialah yang membelah kayu api. Seman juga rajin mengusahakan tanah sawah bapa mentuanya dengan menanam sayur-sayuran, kacang dan pelbagai tanaman lain.

5. Ketabahan
Maniam tabah menghadapi dugaan hidupnya susah dengan berhijrah ke Malaya untuk mencari pekerjaan dan seterusnya dia bekerja di beberapa tempat seperti kuli di pelabuhan di Pulau Pinang hinggalah dia bekerja tetap dan dilantik sebagai tandil di kebun getah.

6. Kegigihan
Cing Huat gigih bekerja untuk membesarkan kedai dan perniagaanya dan dia menjual pelbagai barangan dan akhirnya dia berjaya menjadi tauke atau peniaga yang berjaya.

7. Semangat cinta akan negara
Lazim, Mail Jambul, dan Berahim menyeru orang-orang Melayu bersatu padu dan berjuang untuk mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan raja-raja.

8. Semangat perpaduan
Masyarakat Melayu, Cina dan India hidup dengan aman dan harmoni di Simpang Empat, Cangkat Lima, Cangkat Janggus, dan kawasan kampung yang lain tanpa persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

9. Keberanian
Musa berani untuk menyelamatkan Maniam yang dipukul oleh orang yang tidak dikenali dan Seman berani menjemput dukun untuk mengubati ayahnya yang sakit pada suatu malam, seorang diri.

10. Mengenang Budi
Poh Eng mengenang budi Seman dan Mak Limah yang pernah memberikan perlindungan kepadanya dan Maniam juga mengenang budi Musa yang membantunya ketika dia dipukul. Maniam membalas budi Musa dengan menolong Seman untuk mendapatkannya kerja di kebun tempatnya bekerja itu.

11. Taat akan perintah agama
Apabila Seman sampai di surau, dia terus mengambil wuduk dan berdiri di saf kedua untuk menunaikan sembahyang Isyak di surau Kampung Nyiur Condong pada suatu malam.

12. Kasih sayang
Isteri Cing Huat amat sayang kepada anaknya terutamanya Poh Kheng dan Poh Eng. Dia menjerit dan meratap apabila menyedari Poh Eng hilang ketika peristiwa rompakan berlaku di kedainya pada suatu malam.

13. Menepati janji
Seman menepati janjinya dengan Mamat Labu iaitu dia sampai di surau selepas sembahyang Isyak seperti yang dijanjikan tetapi Mamat Labu yang tidak muncul. Maniam juga menepati janjinya dengan mendapatkan kerja untuk Seman di kebun getah itu.

14. Kesabaran
Malini bersabar dengan menunggu kepulangan suaminya Maniam selepas suaminya itu disuruh pergi ke tempat lain oleh ayahnya. Seman juga bersabar dengan dugaan yang menimpa dirinya iaitu semasa bapanya meninggal dunia.

15. Mengakui kesilapan
Mat Ranggi mengakui kesilapannya yang menolak semua pinangan kerana orang yang hendak meminang anaknya itu tidak setaraf dengannya, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya itu dengan menerima Seman yang miskin dan tidak berharta sebagai menantunya.

16. Ketekunan
Selepas menolong ibunya di dapur, Poh Eng mengambil sulamannya dan mula menyulam kain dengan tekun di meja makan.

17. Semangat setiakawan 
Persahabatan Yew Seng dengan Lazim begitu erat dan dia lebih dekat dengan orang-orang Melayu, hinggakan kalau Lazim dipukul orang, dia akan berasa dirinya sendiri yang kena pukul dan dia mahu berkorban untuk membela Lazim kalau perlu.

18. Ketaatan
Malini taat kepada suaminya Maniam iaitu dia melayannya dengan baik, mendengar katanya dan tidak membenarkan suaminya itu memasak nasi kerana kerja itu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.



Saturday, December 18, 2010

Prosa Tradisional Tingkatan 5 2011

Hikayat Langlang Buana

Sinopsis Cerita

Inang kepada Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi mengatakan bahawa dia bermimpi pada malam sebelumnya dan tuan puteri juga bermimpi perkara yang sama. Inang mengatakan bahawa itulah tandanya tuan puteri akan mendapat jodohnya. Seperti biasa, tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik yang dijaga oleh peri. Peri itu pula memberitahu perkara itu kepada Raja Indera Bumaya dan menyuruhnya supaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri itu dan apabila baginda terpandang akan tuan puteri itu, baginda terus tertarik kepadanya.

Raja Indera Bumaya pun menjadikan dirinya seekor burung bayan yang cantik iaitu matanya dibuat daripada intan dan bulunya daripada pusparagam dan kakinya daripada emas. Tuan puteri tertarik oleh burung bayan itu dan meminta inangda supaya menangkap burung itu. Namun begitu semua dayangnya gagal untuk menangkap burung bayan itu hinggalah dayang-dayang menyarankan supaya tuan puteri sendiri yang menangkapnya. Tuan puteri berasa sangat gembira kerana burung bayan itu terus hinggap pada tangan tuan puteri. Burung bayan itu bukan sahaja cantik, malahan pandai berpantun dan berkata-kata serta boleh menukar dirinya menjadi burung nuri dan bunga yang sudah dikarang. Burung bayan itu sebenarnya datang dari negeri Lela Gambar iaitu dari kawasan matahari naik atau dari Timur lalu dibawa ke mahligai tuan puteri.

Burung bayan yang sebenarnya Raja Indera Bumaya itu telah bertukar menjadi burung nuri dan seterusnya menjadi bunga yang sudah digubah lalu dicium oleh tuan puteri dan Raja Indera Bumayapun mengembalikan dirinya yang asal dan tuan puteri jatuh cinta kepadanya. Tuan puteri menjamu Raja Indera Bumaya dan seterusnya mereka bergembira dan bergurau senda dengan semua dayang. Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal tuan puteri dari bawah mahligai, menyampaikan berita tentang tuan puteri membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa iaitu ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Perkara itu menyebabkan Raja Bahrum Dewa sangat murka dan menitahkan hulubalang serta rakyat mengepung lelaki itu pada malam itu juga.

Setelah tuan puteri mengetahui berita tentang hulubalang dan rakyat datang ke mahligainya untuk mengepung dan menangkap Raja Indera Bumaya, dia berasa takut dan sedih kerana tidak sanggup berpisah dengannya. Raja Indera Bumaya pun menyeru geliga daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat jin yang menyerupai manusia yang lengkap bersenjata untuk menangkis serangan hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa itu gagal untuk menangkap Raja Indera Bumaya. Perkara ini menyebabkan Raja Bahrum Dewa menjadi semakin murka dan menitahkan semua rakyatnya mengepung Raja Indera Bumaya. Perkara itu menyebabkan tuan puteri berasa semakin takut tetapi perkara itu membuktikan cinta dan sayangnya kepada Raja Indera Bumaya. Raja Indera Bumaya kemudiannya menyeru gemala hikmat daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat ribu jin yang akan berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa. Dalam peperangan itu banyaklah darah yang tumpah ke bumi.

Tema
Kasih sayang yang mendalam terhadap orang yang tercinta.

Persoalan
1. Kebijaksanaan dalam memikat orang yang disayangi.
2. Keberanian dalam menempuh rintangan
3. Menghormati tetamu yang datang
4. Ketaatan kepada raja atau ketua
5. Tolong-menolong dalam kehidupan

Watak dan Perwatakan
1. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
i. Puteri Raja Bahrum Dewa
ii. Penyayang – sayang kepada Raja Indera Bumaya
iii. Penyedih – menangis kerana takut kepada ayahandanya yang hendak menangkap Raja Indera Bumaya.
iv. Menghormati tetamu – menghormati Raja Indera Bumaya dan melayan baginda dengan baik dan menjamu baginda.

2. Raja Indera Bumaya
i. Putera raja dari negeri Lela Gambar
ii. Boleh bertukar rupa menjadi burung bayan, burung nuri dan bunga.
iii. Bijaksana - bijaksana untuk memikat tuan puteri
iv. Penyayang - sayang akan tuan puteri
v. Memiliki geliga sakti

3. Peri
i. Penjaga tasik tempat tuan puteri mandi.
ii. Suka menolong orang - menyuruh Raja Indera Bumaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri.

4. Raja Bahrum Dewa
i. Ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
ii. Garang dan tegas - menitahkan menteri dan rakyatnya menangkap Raja Indera Bumaya yang berada di dalam mahligai tuan puterinya.

5. Inangda
i. Sentiasa menemani tuan puteri
ii. Patuh akan arahan tuan puteri - menurut perintah tuan puteri agar menangkap burung bayan.

Gaya Bahasa

1. Pantun
Gambar di dalam puan,
      Dang Jirat duduk menyuji;
Jika beta khabarkan tuan,
     Tuan nescaya ghairat dalam di hati.

2. Simile – seperti bunga raya yang baharu kembang

3. Bahasa klasik – syahadan, alkisah, perwara, bercetera, berlangir

4. Bahasa istana – baginda, tuan puteri, tuanku, santap

Teknik Plot
1. Pemerian – pemerian tentang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dengan dayang-dayang pergi ke kolam untuk mandi.

2. Dialog – dialog antara tuan puteri dengan Raja Indera Bumaya semasa di dalam mahligai tuan puteri

3. Saspens - Raja Indera Bumaya hendak ditangkap oleh menteri dan rakyat Raja Bahrum Dewa.

Latar
Masa
1. Waktu pagi
2. Waktu siang
3. Waktu malam

Tempat
1. Di tasik - Tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik.
2. Di mahligai tuan puteri - Tuan puteri menjamu Raja Indera Bumaya dan seterusnya mereka bergembira dan bergurau senda dengan semua dayang.
3. Di istana Raja Bahrum - Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal mahligai tuan puteri itu menyampaikan berita tentang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa.
4. Negeri Lela Gambar - Burung bayan datang dari negeri Lela Gambar iaitu dari kawasan matahari naik atau dari Timur.

Masyarakat
1. Masyarakat feudal - susun lapis masyarakat yang terdiri daripada raja, pembesar dan rakyat.
2. Masyarakat peri - masyarakat jin yang menyerupai manusia dan bertugas menjaga tempat mandi tuan puteri
3. Masyarakat manusia yang berani - Raja Indera Bumaya berani menentang semua cabaran dan bahaya untuk mendapatkan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
4. Masyarakat yang penyayang - Inderaputera sayang akan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dan begitu juga sebaliknya.

Nilai
1. Kebijaksanaan - Raja Indera Bumaya menggunakan kebijaksanaannya untuk memikat tuan puteri.
2. Kasih sayang - Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi sayang akan Raja Indera Bumaya dan berasa takut sekiranya Raja Indera Bumaya ditangkap.
3. Tolong-menolong - Peri menolong Raja Indera Bumaya dengan memberikan cadangan tentang cara Raja Indera Bumaya hendak melihat Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
4. Tegas - Raja Bahrum Dewa menitahkan menteri dan rakyatnya menangkap Raja Indera Bumaya yang berada di dalam mahligai tuan puterinya itu.

Pengajaran
1. Kita haruslah bertindak dengan bijaksana dalam melakukan sebarang tindakan.
2. Kita hendaklah menyayangi orang yang dicintai sampai bila-bila.
3. Kita mestilah menolong orang yang sedang memerlukan pertolongan.
4. Sebagai ketua kita perlulah tegas dengan pendirian atau tindakan.




Sunday, December 12, 2010

Ulang kaji BM STPM Kertas 1 2010

Bagi calon-calon STPM, anda ada beberapa hari lagi untuk mengulang kaji sebelum menjawab soalan sebenar pada 15 Disember ini. Bagi calon-calon STPM SMKBBST, sila aplikasikan teknik yang sudah dipelajari dan gunakan soalan-soalan yang sudah diberikan sebagai latihan.

Teknik Mengulang kaji
• Nota poket, peta minda, jadual
• Latih tubi soalan
• Soalan kuiz dengan rakan

Teknik Menjawab Soalan
• Pastikan satu betul dan cari satu lagi yang betul (Aneka Pilihan)
• Pastikan satu salah dan cari satu lagi yang salah (Aneka Pilihan)
• Teknik potong (potong mana-mana jawapan yang anda sudah pasti salah)

Dengan berdasarkan analisis soalan STPM tahun-tahun yang lepas, soalannya banyak diambil daripada bab yang berikut:

i. Morfologi
ii. Sintaksis
iii. Fonologi

Oleh itu, tumpukan perhatian yang lebih terhadap bab-bab tersebut dan gunakan teknik yang dicadangkan di atas, di samping teknik lain yang telah dipelajari daripada guru masing-masing.

Soalan Contoh - Morfologi

Soalan 31 (2009)
Yang manakah penggunaan tanda sempang (-) yang betul?
I   ke-44
II  1960-an
III pra-sejarah
IV ko-kurikulum
A I dan II
B I dan III
C II dan IV
D III dan IV

Soalan 43 (2009)
Yang berikut ialah kata majmuk kecuali
A hijau daun
B tengah hari
C meja makan
D cantik molek

Soalan 38 (2009)
Ayat yang manakah yang mempunyai kata penguat bebas?
I   Biliknya kemas sekali.
II  Perhubungan mereka mesra sangat.
III Hiasan dalaman rumah itu agak menarik.
IV prasarana yang disediakan di kawasan itu sungguh canggih.
A I dan II
B I dan III
C II dan IV
D III dan IV

Soalan 41 (2009)
Yang manakah ayat yang menggunakan kata sendi dengan betul?
A Semua beg tangannya dari kulit.
B. Potret itu tergantung di dinding ruang tamu.
C Bola itu dibaling daripada penjuru kiri tiang gol.
D Borang permohonan pinjaman itu hendaklah diserahkan pada universiti.

Soalan Contoh - Sintaksis

Soalan 47 (2008)
Yang manakah ayat tunggal?
I   Pemain itu terjatuh lalu tidak sedarkan diri.
II  Kebun durian bapa sudah mengeluarkan hasil.
III Kehidupan rakyat negara itu sungguh menyedihkan.
IV Kami percaya bahawa saudara akan berjaya dalam temu duga itu.
A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV

Soalan 55 (2009)
Kata bantu + kata penguat + kata adjektif
Frasa yang manakah yang menepati pola di atas?
A masih belum layu
B masih terlalu awal
C sudah tentu untung
D sudah matang benar

Soalan 48 (2009)
Yang manakah ayat yang mempunyai kata kerja dengan dua objek?
A Model wanita itu berbajukan kertas yang kalis air.
B Ibu memasakkan kami nasi goreng berempah semalam.
C Puan Asmah membeli set pinggan mangkuk baharu untuk majlis jamuan itu.
D Pada masa ini, orang kampung jarang-jarang menanam sayur di belakang rumah.

Soalan 57 (2009)
Yang manakah ayat yang boleh dipasifkan?
I   Para pelatih sudah pun menjalani latihan mendaki bukit.
II  Mereka berlima sedang menari di atas pentas ketika itu.
III Keluarga mereka sedang memperindah halaman rumah.
IV Pelancong boleh menyeberang ke tempat peranginan itu dengan motobot.
A I dan II
B I dan III
C II dan IV
D III dan IV

Soalan 47 (2008)
Yang manakah ayat tunggal?
I   Pemain itu terjatuh lalu tidak sedarkan diri.
II  Kebun durian bapa sudah mengeluarkan hasil.
III Kehidupan rakyat negara itu sungguh menyedihkan.
IV Kami percaya bahawa saudara akan berjaya dalam temu duga itu.
A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV

Soalan Contoh - Fonologi

Soalan 27 (2009)
Yang manakah penyataan yang benar tentang bunyi vokal bahasa Melayu?
I   Semua bunyi vokal ialah bunyi bersuara.
II  Penghasilan bunyi vokal melibatkan geseran.
III Bibir dihamparkan semasa pengeluaran bunyi vokal depan.
IV Udara keluar melalui rongga hidung semasa penghasilan bunyi vokal.
A I dan II
B I dan III
C II dan IV
D III dan IV

Soalan 29 (2009)
Yang manakah kata yang mengandungi bunyi diftong?
I   Berbait
II  Memaut
III Mengintai
IV Berkilauan
A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV