Pengikut laman ini

Wednesday, November 24, 2010

Soalan Bahasa Malaysia Kertas 2 STPM 2010

Alhamdulillah, soalan Kertas 2 yang baru berlangsung pada petang tadi nampaknya agak mudah dan tidaklah terlalu sukar. Saya rasa calon-calon STPM pastinya tersenyum lebar apabila membaca soalan kertas 2 terutamanya soalan karangan yang mudah dijawab. Isu karangan yang dikemukakan juga isu yang biasa dan tidaklah terlalu sukar antaranya soalan 1 iaitu isu pembakaran terbuka dan merupakan soalan yang popular dijawab oleh calon-calon STPM terutamanya pelajar SMKBBST. Soalan rumusannya juga seperti biasa, agak mudah. Seperti yang dijangkakan soalan Alih Bentuk Teks juga mudah iaitu teks puisi klasik (syair) dan teks perbualan. Saya rasa teks perbualan memang disukai oleh calon-calon STPM. Soalan Analisis Kesalahan Bahasa juga agak mudah. Semoga calon-calon telah menjawab soalan dengan cemerlang dan mudah-mudahan mendapat Prinsipal A. Teruskan usaha anda untuk mencapai kecemerlangan dalam Bahasa Melayu Kertas 1 STPM pada 15 Disember depan.

Analisis Soalan Kertas 2 STPM 2010

Bahagian A

1. Isu - pembakaran secara terbuka mendatangkan pelbagai kesan negatif
Fokus soalan - jelaskan kesan tersebut.
Format - umum

2. Isu - ilmu seni pertahanan diri
Fokus soalan - huraikan kebaikan mempelajari dan mengamalkan ilmu tersebut.
Format - umum

3. Isu - penglibatan remaja dalam kumpulan samseng dikatakan berpunca daripada kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka.
Fokus soalan - sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut.
Format - umum

4. Isu - Industri pelancongan
Fokus soalan - Faktor yang menarik pelancong asing melawat Malaysia dan kepentingannya kepada masyarakat dan negara.
Format - ceramah

Bahagian B

5. Rumusan karangan - petikan tetang sektor pertanian berdasarkan petikan yang diubahsuaikan daripada Sektor Pertanian dalam RMK9, dalam Dewan Masyarakat, Jun 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 48 - 49.

Bahagian C

6. Alih bentuk teks - teks yang disesuaikan daripada Syair Agung oleh Zahir Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991, halaman 4.

7. Alih bentuk teks - teks perbualan.

Bahagian D

8. Menganalisis Kesalahan Bahasa - kesalahan kata ganda, kata sendi, kata hubung pancangan relatif, pemilihan kata, kata kerja transitif berimbuhan me...kan.

 

Monday, November 22, 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan SPM dan STPM


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan SPM dan STPM mulai minggu ini terutamanya kepada pelajar-pelajar SMKBBST, pelajar-pelajar yang mengenali saya dan juga kepada pengunjung-pengunjung blog ini. Saya berharap agar pelajar-pelajar membaca soalan dengan teliti dan menulis jawapan dengan tenang dan tidak melakukan sebarang kesilapan. Saya sentiasa mendoakan pelajar-pelajar agar memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut. Saya berharap agar pelajar-pelajar mendapat A+ bagi Bahasa Melayu SPM dan Prinsipal A bagi  Bahasa Malaysia STPM. 


Saturday, November 20, 2010

ANALISIS TAMBAHAN SOALAN ESEI PEPERIKSAAN PERCUBAAN STPM 2010


Bil.
Sekolah
Isu
Fokus soalan
Format
1.
SMK. Sacret Heart, Sibu,
Sarawak.
i. Kemunculan laman-laman web sosial
menimbulkan pelbagai kesan
negatif terutamanya kepada remaja.
Nyatakan kekesalan anda tentang kesan
negatif tersebut
dan kemukakan
usul untuk
menangani kesan negatif itu.
Memorandum
ii. Pelaksanaan Program NILAM.
Berikan pendapat anda
tentang
kelemahan-kelemahan pelaksanaan Program NILAM
dan langkah-
langkah untuk
menjayakan program itu.
Umum
iii. Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN)
Kepentingan dan
usaha-usaha
untuk
mempertingkat
kualiti program
tersebut.
Ceramah
iv. Gejala
bahasa rojak
yang berpunca
daripada sikap
kita yang
memandang remeh cara-
cara berbahasa
yang betul.
Sejauh manakah
anda bersetuju
dengan
penyataan itu.
Umum
2.
SMK. Putrajaya Presint 8
(1),
Putrajaya.
i. Penebangan
hutan secara
berleluasa dan
sewenang-wenangnya boleh membawa
kesan buruk
kepada alam
sekitar dan
manusia.

Huraikan kesan
buruk yang
dimaksudkan,
dan jelaskan
khazanah yang
perlu dikekalkan
di dalam hutan
kita.

Umum
ii. Slogan atau konsep 1 Malaysia
Kemukakan pendapat anda
tentang faedah
pengamalan
slogan tersebut
dan bagaimana
slogan atau
konsep tersebut
dapat direalisasikan.
Umum
iii. Kajian
tentang masalah yang
dihadapi oleh
golongan
pesara di
negara ini
dalam menghadapi kehidupan selepas persaraan mereka.
Sediakan laporan hasil kajian
tersebut.

Laporan
iv. Kes samun
dan ragut kerap
berlaku dan
keadaannya amat membimbangkan.

Kemukakan pendapat anda
tentang kesan
gejala itu dan
berikan
cadangan untuk
mengatasinya
Umum

Thursday, November 18, 2010

Fokus Latihan Pemahaman Cerpen dan Prosa Tradisional SPM 2010

Soalan 2 (b): Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Selamat datang cikgu!” ucap Daneng. Kalimatnya diselimuti perasaan ketidaksenangan yang timbul tenggelam. Senyumannya memaparkan barisan giginya yang kukuh dan kekuningan.
Jo tersentak, “Apa khabar?” tercetus suaranya.
“Baik. Cikgu baik?”
“Tentu, kalau tidak takkan sampai ke mari. Engkau terima pesanan daripada Isyak?”
“Ya, tetapi tidak sangka cikgu lebih awal…,” ucapnya.
Jo tersenyum. Dia mengamati tubuh Daneng yang kelihatan segar dan cergas. Dalam masa enam bulan sahaja begitu banyak perubahan pada diri Daneng.
“Zamri, Siti dan Inok, kirim salam.”
Air mukanya ugah. Dia melarikan pandangannya daripada Jo. Jemputlah ke rumah. Mak tentu seronok berjumpa dengan cikgu,” pelawa Daneng. Dia tidak ingin berbicara lebih lanjut tentang kawan-kawannya itu.

Jo mengikut Daneng dari belakang. Fikirannya ligat memikirkan Daneng. Tentu Daneng tidak tahu misi kedatangannya pada kali ini. Tentu Daneng ingat yang dia datang kerana hendak berurusan dengan Tuk Ketua, membawa berita dari Jabatan Orang Asli.

Bagaimana mungkin dia merampas kegembiraan seorang manusia yang ingin hidup dengan caranya yang tersendiri? Cara yang tidak salah di sisi undang-undang. Tetapi, patutkah dia membiarkan Daneng begitu sahaja? Bukankah kehidupan Daneng yang begitu satu pembaziran pada negara? Pelbagai soalan terus muncul dalam lautan fikirannya.
(Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau dalam antologi Anak Laut, DBP, 2000)

(i) Apakah perkara yang sedang difikirkan oleh Jo pada masa itu? [2 markah]

(ii) “Kalimatnya diselimuti perasaan ketidaksenangan yang timbul tenggelam.” Pada pendapat anda, mengapakah Daneng tidak begitu senang dengan kehadiran Cikgu Jo? [3 markah]

(iii) Huraikan satu gambaran masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu gambaran masyarakat lain yang terdapat dalam cerpen ini. [4 markah]


Soalan 2 (c): Petikan Prosa Klasik

Baca petikan klasik di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

     Maka segala makmum pun takbirlah. Baharulah imam membaca fatihah, maka sipahi yang keempat itu pun datanglah lalu diparangnya leher jauhari itu putus terpelanting pada kaki Jibor itu. Maka Jibor pun terkejut lalu ia melompat. Maka segala orang yang sembahyang itu pun habis pecahlah lari. Maka sembahyang itu pun menjadi batallah, sekalian makmum itu pun pecah belah, tiada berketahuan, hanya yang tiada batal itu imam dengan Sabor juga. Setelah tamatlah sembahyang kedua mereka itu, maka Sabor pun baharulah tahu akan fitnah itu daripada Saidah juga.

     Maka Jibor pun terlalu hairan melihat Sabor tiada mati itu, sekonyong-konyong akan jauhari juga mati, maka adalah ia berdosa dari dahulu dengan Saidah itu; sebab itulah mati. Maka lalu Jibor pun berfikir di dalam hatinya, “takut benar juga saudaraku Sabor itu; maka ia dilepaskan Allah subhanahu wataala daripada bala ini.” Maka segala keluarga jauhari pun datanglah dengan keris lembingnya mari bertanya kepada Jibor. Maka kata Jibor, “Tiada hamba ketahui.” Maka mayat jauhari itu pun diambil oranglah dibawanya ke rumah itu, seraya menyiasat orang membunuh jauhari itu. Maka tiadalah dapat orang membunuh itu. Maka mayat jauhari pun ditanamkan oranglah, seperti cara agama Islam.
(Dipetik daripada Sabor dalam antologi Kerusi, DBP, 2000)

(i) Apakah maksud rangkaian kata sekalian makmum itu pun pecah belah. [2 markah]

(ii) Berdasarkan petikan, apakah reaksi Jibor selepas peristiwa jauhari mati dipancung oleh sipahi? Mengapakah Jibor berkeadaan demikian? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah Sabor diselamatkan oleh Allah daripada dibunuh? [3 markah]


Jawaban Cadangan

Jawaban Soalan 2 (b)

(i) Perkara yang sedang difikirkan oleh Jo pada masa itu ialah Daneng tidak tahu tujuan kedatangannya ke situ dan mungkin Daneng menyangka bahawa dia hendak berjumpa dengan Tok Batin bagi membawa berita daripada Jabatan Orang Asli.

(ii) Pada pendapat saya, Daneng tidak begitu senang dengan kehadiran Cikgu Jo kerana dia masih belum bersedia untuk menyambung persekolahannya. Selain itu, dia tidak sanggup untuk meninggalkan keluarganya dan juga alam sekitar yang bersih dan segar di kawasan tempat tinggalnya itu.

(iii) Satu gambaran masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas ialah masyarakat yang hormat-menghormati, contohnya Daneng menghormati Jo apabila Jo datang berjumpa dengannya. Satu gambaran masyarakat lain yang terdapat dalam cerpen ini ialah masyarakat yang cinta akan alam sekitar, contohnya Daneng memperoleh Hadiah Nobel kerana sumbangannya terhadap perjuangan mempertahankan alam semula jadi.

Jawaban Soalan 2 (c)

(i) Maksud rangkaian kata sekalian makmum itu pun pecah belah ialah semua orang yang sedang bersembahyang itu lari bertempiaran.

(ii) Selepas peristiwa jauhari mati dipancung oleh sipahi, Jibor berasa sangat hairan. Jibor berkeadaan demikian kerana dia tidak menyangka bahawa jauhari pula yang mati dan bukannya Sabor yang sepatutnya dibunuh.

(iii) Pada pendapat saya, Sabor diselamatkan oleh Allah daripada dibunuh kerana dia tidak melakukan dosa, imannya kepada Allah amat kukuh dan dia juga sebagai orang yang teraniaya kerana menjadi mangsa fitnah Siti Saidah.

Sunday, November 14, 2010

ANALISIS TAMBAHAN SOALAN KARANGAN BAHAN RANGSANGAN SPM 2010 (Soalan Percubaan Negeri Pahang)



ANALISIS TAMBAHAN SOALAN KARANGAN BAHAN RANGSANGAN

Bil.
Negeri/
Organisasi
Isu
Fokus soalan
Isi Dalam Bahan Rangsangan



17.
Pahang
Kes penderaan
kanak-kanak
Sebab-sebab berlaku
Isi terdapat dalam dialog iaitu :
- hilang sifat
  perikemanusiaan dan
  nilai moral
- kurang pengetahuan
  agama
- tidak takut pada undang-undang.

Friday, November 12, 2010

Fokus Esei STPM - Peranan Filem

Nama Pelajar : Norfazlina binti Idris

Tingkatan : 6 Atas 1 (SMKBBST)
Tajuk : Bahasa Malaysia Kertas 2 – Soalan Percubaan Negeri Pahang 2010

Soalan 4

Filem merupakan salah satu elemen seni budaya yang diminati ramai.
     Huraikan peranan filem dalam masyarakat.

     Filem merupakan salah satu elemen seni budaya yang diminati ramai iaitu sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak. Kewujudan filem pada hari ini memberikan impak yang sangat besar dalam dunia perfileman. Hal ini boleh dilihat apabila banyak karyawan filem berusaha untuk menghasilkan filem yang berkualiti bagi menarik minat banyak golongan penggemar filem. Hal ini terbukti dengan karya yang telah dihasilkan dalam pelbagai bentuk filem seperti filem seram, komedi, cinta, fantasi, kehidupan dan sebagainya. Perkara ini boleh diibaratkan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ kerana apabila ada peluang, mereka tidak akan mempersia-siakannya begitu sahaja. Jadi filem terbukti telah memainkan peranan yang penting kepada masyarakat di negara kita.

     Elemen yang sangat mempengaruhi para karyawan menghasilkan sesuatu filem adalah sebagai alat hiburan terhadap golongan masyarakat. Pelbagai masalah yang menerjah fikiran banyak golongan boleh ditenangkan melalui filem yang sarat dengan pelbagai unsur terutamanya unsur komedi yang boleh mengurangkan tekanan pada akal fikiran mereka. Masyarakat masih boleh berhibur walaupun ada pandangan yang mengatakan perbuatan tersebut membuang masa sahaja. Kita memerlukan elemen filem yang sedemikian bagi mengelakkan diri kita daripada terbeban oleh tugas seharian. Kita akan akan dikatakan seperti ‘katak di bawah tempurung’ sekiranya tidak keluar dari dunia yang membosankan itu. Oleh itu, seseorang yang memerlukan hiburan boleh menonton filem agar mereka tidak terkongkong dalam satu cabang hiburan sahaja.

     Filem juga penting sebagai medium bagi memberikan nasihat dan pengajaran terhadap golongan masyarakat. Sekiranya tiada unsur perfileman, sudah tentu sukar untuk kita memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian kita. Tidak semua filem yang diketengahkan kepada masyarakat hanya hiburan semata-mata. Hal ini boleh dilihat apabila ada filem yang mengetengahkan nilai-nilai murni yang menasihatkan masyarakat mengikuti amalan sedemikian. Ada filem yang memaparkan kejahilan seseorang itu tentang sesuatu perkara yang menyarankan masyarakat untuk mengelakkan diri daripada menjadi sedemikian. Oleh itu, filem sebegini sentiasa menasihatkan masyarakat tentang pentingnya pengajaran yang dipaparkan supaya yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

     Kehidupan masyarakat pada hari ini ada pelbagai jenis dan kadangkala sukar untuk dicapai oleh akal. Melalui filem, mudah untuk masyarakat mengetahui situasi sebenar yang berlaku di dalam dunia hari ini. Kebanyakan filem yang dipaparkan berkisar tentang kehidupan dunia hari ini dan kita boleh mengetahui hakikat kehidupan sebenar seperti yang diimpikan oleh semua orang. Hal ini boleh dilihat apabila terdapat golongan yang hidup dalam kemewahan dan kesenangan tetapi hakikatnya jiwa mereka mengalami kekusutan yang berpanjangan. Sebagai contohnya, golongan selebriti yang indah khabar daripada rupa yang berlagak profesional di hadapan kamera tetapi kehidupan sebenar mereka tidak seindah seperti dalam filem. Oleh itu, melalui filem, kita akan berfikir dua kali untuk mengagumi mereka kerana kehidupan mereka penuh dengan ranjau yang perlu ditempuh.

     Hubungan kekeluargaan juga boleh dipererat dengan adanya karya dalam bidang perfileman ini. Perkara ini boleh didapati apabila banyak golongan masyarakat pada zaman sekarang yang sentiasa sibuk dengan kerjaya seharian mereka. Dengan adanya karya perfileman ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka terutamanya pada hujung minggu untuk ke pawagam bagi menonton filem. Sudah tentu anak-anak pula akan berasa seronok serta berasa tidak terabai kerana ibu bapa mereka prihatin terhadap diri mereka dan meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga. Hal ini boleh diibaratkan seperti peribahasa ‘sambil menyelam minum air’ kerana melalui filem, banyak faedah lain yang diperoleh bersama-sama dengan keluarga.

     Arena perfileman ini bukan sahaja berperanan terhadap golongan masyarakat yang menggemari filem itu sahaja malah filem juga memberikan kepentingan terhadap masyarakat. Perkara ini boleh dilihat apabila sektor pekerjaan juga boleh terisi  melalui dunia perfileman ini. Banyak golongan yang diperlukan bagi menghasilkan sesuatu filem dengan jayanya, bukan sahaja daripada golongan yang ada di hadapan kamera tetapi juga daripada golongan di belakang tabir yang bertanggugjawab untuk menggerakkan pembikinan sesuatu filem itu. Apabila industri perfileman memerlukan tenaga kerja, masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat akan dapat dikurangkan. Seterusnya industri perfileman dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat apabila adanya kerjaya dalam bidang perfileman.

     Sebagai kesimpulannya, filem merupakan aspek yang diperlukan dalam masyarakat pada hari ini. Walaupun masyarakat beranggapan buruk terhadap sesetengah filem, tetapi karya itu sebenarnya memberikan pengajaran terhadap masyarakat. Jika masyarakat hanya tahu mengkritik karya yang dihasilkan itu tanpa mengetahui motif sebenar sesuatu filem itu, dunia perfileman sukar untuk berkembang. Seharusnya masyarakat berifkiran positif agar pengeluar filem menghasilkan karya yang lebih banyak dan barangkali lebih berkualiti untuk memajukan industri ini. Oleh itu, filem yang dihasilkan tidak harus dibiarkan begitu sahaja seperti ‘rumput di tepi jalan’ dan pengeluar filem haruslah menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti kerana ‘alang-alang mandi biarlah basah’.

Monday, November 8, 2010

Fokus Esei STPM 2010 – Kes Anak-anak Hilang

Nama Pelajar : Nurul Naziera binti Md. Nizam
Tingkatan : 6 Atas 1 (SMKBBST)
Tajuk : Bahasa Malaysia Kertas 2 – Soalan Percubaan Negeri Pahang 2010

Soalan 2

Ramai kanak-kanak yang hilang dianggap angkara orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan semakin terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan.

     Bincangkan punca-punca berlakunya kejadian tersebut dan cadangkan langkah-langkah untuk menanganinya.

     Anak merupakan cahaya mata yang tidak ternilai harganya, namun pada masa ini, masyarakat semakin hilang rasa kasih sayang dan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak. Hal in terbukti dengan berlakunya kes-kes kehilangan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi pada masa ini. Perkara yang amat menyedihkan dan membimbangkan kita adalah terdapat kes kehilangan kanak-kanak, dan akhirnya mayat kanak-kanak itu sahaja yang ditemui. Masalah seperti ini berpunca daripada perbuatan orang yang tidak berhati perut. Oleh itu, pelbagai langkah yang efektif perlu diambil oleh setiap pihak untuk menangani masalah kehilangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan kita ini.

     Masalah kehilangan kanak-kanak timbul akibat wujudnya sikap tamak dalam diri individu yang ingin mengejar kemewahan hidup. Oleh itu, individu tersebut tidak berfikir panjang dan hanya mengambil jalan mudah dengan menculik kanak-kanak untuk dijual kepada pihak lain. Sebagai contohnya, terdapat kanak-kanak yang diculik dan dijual ke luar negara untuk dijadikan sebagai pengemis jalanan. Sikap pihak yang tidak berperikemanusiaan ini amat membimbangkan masyarakat negara kita, lebih-lebih lagi ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana bukan sahaja ibu bapa yang berasa kehilangan anak tercinta, malah membebankan pihak berkuasa untuk menjejaki anak yang hilang tersebut dan menangkap penjenayahnya.

     Masalah psikologi atau mental turut menjadi salah satu punca kejadian kehilangan kanak-kanak yang berlaku. Perkara ini dikatakan demikian kerana mengikut statistik, kebanyakan kes kehilangan kanak-kanak berkaitan dengan kes rogol dan bunuh. Keadaan ini boleh berlaku kerana terdapat segelintir individu yang memandang kanak-kanak seperti seorang wanita yang pernah menolak cintanya. Hal ini terjadi disebabkan oleh individu tersebut yang menyimpan perasaan dendam, sedih dan takut yang tidak terkawal ataupun mengalami penyakit jiwa. Oleh itu, pesakit jiwa ini berpotensi untuk membayangkan seorang kanak-kanak yang dilihatnya adalah seperti orang yang sentiasa berada dalam fikirannya. Kes seperti inilah yang akan menyebabkan kanak-kanak akan diculik, dirogol dan terus dibunuh sebagai mangsa keadaan.

     Punca lain yang menyebabkan kehilangan kanak-kanak berlaku ialah masalah institusi kekeluargaan yang dikatakan semakin rapuh. Pada masa ini, banyak kes perceraian berlaku sehingga menyebabkan anak-anak terabai. Ibu bapa yang hanya mementingkan diri sendiri mula mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Anak-anak yang kurang kasih sayang ini hanya diberikan wang dan diberikan kebebasan sepenuhnya. Oleh itu, anak-anak khususnya yang berumur 15 tahun ke bawah yang masih belum matang berpotensi untuk ditipu dan diculik. Sekiranya masalah ini berlaku, ibu bapa yang patut dipersalahkan kerana mereka yang menjadi punca anak-anak menjadi mangsa penculikan, rogol, dan pembunuhan.

     Untuk mengatasi masalah ini, pelbagai langkah yang efektif perlu diambil, antaranya dengan meningkatkan kawalan keselamatan. Pihak penguat kuasa seperti pihak polis perlu membuat rondaan di kawasan-kawasan hitam atau lebih dikenali sebagai kawasan yang sering berlakunya jenayah seperti di lorong-lorong belakang kedai atau di jalan-jalan yang sunyi. Berikutan dengan kemajuan dalam bidang teknologi, pihak kerajaan seharusnya memasang kamera litar tertutup (cctv) di kawasan-kawasan tersebut agar dapat merakamkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku, seperti penculikan kanak-kanak. Tindakan ini dapat memastikan kes kehilangan kanak-kanak dapat diatasi dan dikurangkan.

     Langkah lain yang perlu diambil untuk mengurangkan kejadian kehilangan kanak-kanak adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Antara kempen yang boleh dianjurkan oleh pihak kerajaan atau mana-mana badan NGO ialah kempen ”Sayangilah Anak Anda”. Melalui kempen ini, banyak nilai murni yang boleh diterapkan bukan sahaja kepada ibu bapa malahan kepada setiap anggota masyarakat sekeliling. Antara budaya yang boleh diterapkan dalam setiap diri anggota masyarakat ialah budaya “anak orang, anak kita”. Slogan ini bermaksud walaupun kanak-kanak yang dilihat berseorangan tanpa arah tujuan bukanlah anak kita, tetapi seharusnya sebagai anggota masyarakat, kita perlu melindungi kanak-kanak tersebut daripada sebarang bahaya kerana golongan yang lemah.

     Kursus tentang ilmu atau kemahiran keibubapaan juga harus diwujudkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana pada masa ini kebanyakan ibu bapa kurang pendedahan tentang tanggungjawab dan didikan yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak. Oleh itu, kehidupan anak-anak yang tidak terkawal akan menyebabkan anak-anak gemar bersiar-siar di luar tanpa pengetahuan ibu bapa. Keadaan ini amat membimbangkan kita kerana inilah masanya penjenayah atau penculik akan menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah. Perkara ini akan menyebabkan peningkatan kes kehilangan kanak-kanak akan terus berlaku. Oleh hal yang demikian, kursus ilmu keibubapaan amat penting dijalankan kepada setiap ibu bapa demi kebaikan dan keselamatan anak-anak.

     Sebagai kesimpulannya, masalah kehilangan kanak-kanak di negara ini berlaku disebabkan oleh pelbagai punca dan langkah untuk menanganinya perlu dilakukan. Masalah itu akan dapat dikurangkan jika adanya kerjasama antara semua pihak. Hal ini penting kerana anak-anak ialah modal insan dan menjadi harapan negara yang paling berharga pada masa depan. Tanpa aset yang berharga ini, negara akan menanggung kerugian yang besar. Jadi, pihak berkuasa perlulah memainkan peranan yang berkesan untuk memastikan keamanan dan keselamatan kanak-kanak terjamin. Untuk memastikan kanak-kanak dapat menjalani saat-saat kehidupan yang bermakna dan bahagia, ibu bapa, masyarakat, dan pihak berkuasalah yang menjadi sandaran mereka. Oleh itu, kita berharap agar anak-anak dapat hidup dengan bahagia dan terjamin keselamatan mereka.