Bil.
|
Negeri
|
Isu
|
Fokus soalan
|
Format
|
1.
|
Kedah
|
i. Masalah
pembuangan bayi yang berpunca
daripada
kepincangan
keluarga
|
Sejauh manakah benarnya penyataan itu.
|
Umum
|
ii. Komunikasi
cara elektronik
|
Bincangkan kesannya
|
Umum
| ||
iii. Pendatang asing
tanpa izin
|
Bincangkan sebab kemasukan pendatang asing tanpa izin perlu dihadkan
|
Umum
| ||
iv.Kemalangan maut
semakin meningkat
menjelang musim
perayaan
|
Punca-punca dan cadangan untuk mengatasinya.
|
Laporan
| ||
2.
|
Selangor
|
i. Keganasan rumah tangga berpunca daripada tekanan hidup
|
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan itu?
|
Umum
|
ii. Penguasaan
penjawat awam wanita dalam perkhidmatan
|
Faktor dan kesan
|
Laporan
| ||
iii. Kebimbangan para peniaga barangan asli terhadap barangan tiruan
|
Kesulitan yang dihadapi oleh pengguna dan langkah untuk menanganinya
|
Memorandum
| ||
iv.Penuntut asing di
institusi pengajian
tinggi di negara kita
|
Faktor pertambahan dan kesannya
|
Umum
| ||
3.
|
Pahang
|
i. Bencana alam
|
Punca-punca dan cadangan
|
Laporan
|
ii. Kanak-kanak yang hilang
|
Punca-punca dan langkah-langkah untuk menanganinya
|
Umum
| ||
iii. Negara
Perindustrian Baru
|
Mampukah Malaysia mencapainya pada tahun 2020
|
Umum
| ||
iv. Filem sebagai satu elemen seni budaya
|
Huraikan peranan filem dalam masyarakat
|
Umum
| ||
4.
|
Terengganu
|
i. Kegiatan lumba
motosikal secara
haram
|
Kesulitan yang dihadapi oleh para peniaga dan cadangan untuk menanganinya.
|
Memorandum
|
ii. Gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja berpunca daripada
perkembangan
media elektronik
|
Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut?
|
Umum
| ||
iii. Masalah
kekurangan
air bersih
|
Kesan kekurangan air bersih kepada hidupan di muka bumi dan cadangan untuk menangani masalah itu.
|
Umum
| ||
iv. Rukun Negara
|
Kepentingan dan langkah-langkah untuk meningkatkan penghayatan remaja terhadap Rukun Negara
|
Ceramah
| ||
5.
|
Kelantan
|
i. Pertumbuhan
ekonomi negara
|
Langkah-langkah untuk memantapkan ekonomi negara
|
Umum
|
ii. Artis yang
mempunyai
kelompok peminat
dan artis yang
tidak boleh dijadikan ikutan |
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan itu?
|
Umum
| ||
iii. Remaja perlu
mempunyai hala
tuju dalam
kehidupan
mereka
|
Usaha-usaha untuk membentuk remaja menjadi warganegara yang berguna kepada masyarakat dan negara.
|
Umum
| ||
iv. Kedudukan
bahasa Melayu
sebagai bahasa
rasmi semakin
terancam
|
Punca-punca masalah itu dan langkah-langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu
|
Laporan
|
Pengikut laman ini
Sunday, October 31, 2010
ANALISIS SOALAN ESEI PEPERIKSAAN PERCUBAAN STPM NEGERI-NEGERI 2010
Saturday, October 30, 2010
Fokus Esei STPM 2010 – Pelaburan Asing
Satu daripada isu yang perlu difokuskan dalam esei STPM 2010 nanti ialah isu yang berkaitan dengan pelaburan asing.
Di bawah ini, dipaparkan esei yang ditulis oleh Norfazlina binti Idris (6A1), iaitu pelajar SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
Soalan Contoh
Pelaburan asing merupakan perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh sesebuah negara. Perkara ini penting untuk membangunkan ekonomi sesebuah negara terutamanya negara-negara yang sedang membangun dengan pesat seperti negara kita.
Huraikan faktor-faktor yang menggalakkan pelaburan asing ke negara kita.
Karangan Contoh
Pelabur asing merupakan golongan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara terutamanya bagi negara yang sedang membangun seperti negara kita. Hal ini amat penting untuk dititikberatkan kerana pelabur asing merupakan pihak yang boleh menjadi batu loncatan untuk negara kita mencapai kemajuan seiring dengan negara maju yang lain. Pihak yang bertanggungjawab di negara ini haruslah aktif memainkan peranan, contohnya mereka perlu bertemu dengan pelabur asing bagi memberikan penerangan yang berkaitan dengan hal ini. Dengan cara itu, sudah tentu pelabur-pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara ini iaitu apabila mereka yakin akan mendapat pulangan yang sewajarnya hasil daripada penerangan tersebut. Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai faktor yang dapat menarik pelabur asing untuk melabur di negara kita.
Faktor yang boleh mendorong pelabur asing untuk melabur di negara kita ialah kestabilan politik. Sudah tentu pelabur tidak akan teragak-agak, malah mereka lebih berminat untuk melibatkan diri dalam hal ini sekiranya keadaan politik negara kita stabil. Jadi, kita perlulah mempertahankan dan mengekalkan kestabilan politik yang sudah lama wujud di negara kita. Tambahan pula, pada zaman sekarang, tidak banyak negara yang stabil dari segi politik yang menyebabkan pelabur akan berfikir dua kali untuk membuat pelaburan di sesebuah negara. Dengan kelebihan yang kita miliki itu, kita harus menggunakannya dengan sebaik-baik yang mungkin kerana peluang baik seperti itu mungkin tidak akan datang bergolek pada masa akan datang.
Dengan adanya tenaga kerja yang banyak, perkara ini boleh membantu negara untuk meningkatkan kemasukan pelaburan asing. Perkara ini dapat dilihat apabila sesebuah negara itu mempunyai banyak pekerja untuk melakukan sebarang pekerjaan di samping upah kerjanya yang murah. Oleh itu, pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara kita dan seterusnya mereka akan mewujudkan peluang pekerjaan di kilang-kilang dengan lebih banyak di negara ini. Secara tidak langsung, negara kita akan dapat banyak manfaat dalam satu masa seperti kata pepatah, “sambil menyelam minum air”. Oleh itu, masalah pengangguran akan dapat dikurangkan dan secara tidak langsung pelaburan itu akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia.
Pelabur asing yang datang ke negara kita ingin akan layanan dan kemudahan yang baik dari negara kita, termasuklah kemudahan infrastruktur. Kemudahan-kemudahan seperti sistem jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan komunikasi merupakan prasyarat dan perkara yang sangat penting untuk membawa produk mereka ke luar negara untuk dipasarkan di pasaran antarabangsa. Oleh sebab itu, pihak kerajaan haruslah menyediakan kemudahan yang lengkap dari segi prasarana untuk menarik pelabur asing yang lebih banyak supaya melabur ke negara ini. Layanan yang baik ini akan memberikan keselesaan kepada mereka semasa berada di negara ini dan membawa rakan-rakan pelabur asing yang lain untuk melabur di negara ini.
Faktor birokrasi juga turut memainkan peranan penting bagi menentukan kemasukan pelaburan asing. Hal ini dikatakan demikian kerana jika faktor birokrasi sesebuah negara itu tidak terlalu ketat, sudah pasti pelabur asing akan tertarik untuk melabur di sesebuah negara itu. Birokrasi seperti urusan pentadbiran yang merumitkan pelabur, contohnya sesuatu permohonan yang memerlukan masa yang lama untuk diluluskan akan menyusahkan para pelabur asing dan akan menyebabkan mereka kurang berminat atau membatalkan pelaburan mereka dan berpindah ke negara lain. Secara tiidak langsung, perkara ini akan memberikan impak negatif terhadap negara ini. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa, “kerana nila setitk, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, pihak berkuasa perlu memastikan urusan birokrasi atau pentadbiran di negara ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan yang akan memudaratkan negara.
Kemasukan pelaburan asing juga sering dikaitkan dengan aspek kestabilan ekonomi negara kita. Oleh sebab itu, faktor ekonomi negara kita turut tidak terkecuali daripada pertimbangan para pelabur sebelum melabur di sini. Sudah tentu para pelabur akan mencari negara yang mempunyai ekonomi yang stabil seperti negara kita bagi meluaskan perniagaan mereka untuk mendapat pulangan yang menguntungkan mereka. Jika negara kita mundur dan menghadapi pelbagai masalah, tidak mungkin para pelabur akan berminat untuk melabur di negara kita kerana perkara itu akan memberikan masalah kepada mereka. Seterusnya, negara kita akan menghadapi kesukaran untuk membangun dan tidak akan dapat pelaburan dari luar negara. Dengan kata lain, faktor ekonomi merupakan faktor yang sangat penting untuk memajukan sesebuah negara dan usaha untuk menarik pelabur asing perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Sebagai kesimpulannya, pelaburan asing memang penting untuk mempercepat kemajuan dan pembangunan negara kita. Jadi, usaha-usaha yang berkesan daripada semua pihak yang terlibat haruslah ditingkatkan untuk menarik pelabur asing ke negara kita. Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di negara kita, sudah pasti ekonomi negara kita sukar untuk berkembang dan mengalami pertumbuhan dengan pesat. Perkara itu disebabkan oleh negara kita tersebut kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini perlu mencari jalan untuk menarik pelaburan asing dengan banyak demi kemakmuran negara kerana "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".
Hasil nukilan Norfazlina binti Idris (6A1)
Friday, October 29, 2010
Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010 – Kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara.
Dengan berdasarkan soalan percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) negeri Perak, isu yang diketengahkan ialah kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara.
Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu negeri Perak 2010 daripada blog Cikgu Zaki).
Gambarajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada sambutan kemerdekaan negara. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara pada setiap tahun. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Rangka Karangan
Pendahuluan
• Hari ulang tahun kemerdekaan yang kita sambut setiap tahun mempunyai banyak kepentingannya
Isi-isi (Sudah disediakan dalam bahan rangsangan)
• Memupuk semangat patriotik
• Memupuk perpaduan kaum
• Menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan
Penutup
• Hari ulang tahun kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat
Karangan Contoh
Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya.
Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk semangat patriotik atau semangat cinta akan negara. Semasa sambutan hari ulang tahun kemerdekaan diadakan, kita akan dapat menghayati pengalaman pejuang negara dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negara kita sendiri. Perkara ini dikatakan demikian kerana pepatah ada mengatakan bahawa "Tak kenal maka tak cinta" iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya sendiri dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung.
Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.
Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Oleh sebab itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila.
Kesimpulannya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Jadi, kita berharap agar kemerdekaan negara terus dikekalkan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.
Saturday, October 23, 2010
ANALISIS SOALAN KARANGAN BAHAN RANGSANGAN SPM 2010 (Soalan Percubaan Negeri-negeri)
Analisis Soalan Karangan Bahagian (A) Peperiksaan Percubaan BM SPM Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2010
Bil. | Negeri/Institusi | Isu | Fokus soalan | Isi Dalam Bahan Rangsangan |
1. | Perlis | Kemalangan jalan raya | Punca-punca | Tiada isi diberikan, cuma dipaparkan ilustrasi tentang kemalangan jalan raya |
2. | Kedah | Aktiviti khidmat masyarakat | Faedah-faedah | - membina sikap sukarela – Modul Khidmat Komuniti Program Khidmat Negara - mengukuhkan semangat kerjasama – aktiviti gotong-royong - memupuk perasaan cinta akan alam sekitar – aktiviti kokurikulum |
3. | Pulau Pinang | Remaja cemerlang | Ciri-ciri | - mementingkan ilmu - menghormati ibu bapa - yakin diri |
4. | Perak | Sambutan kemerdekaan negara | Kebaikan-kebaikan | - memupuk semangat patriotik - menghargai jasa pemimpin - memupuk perpaduan |
5. | Selangor | Semangat kejiranan | Usaha-usaha untuk memupuk | - bergotong-royong - amalan ziarah-menziarahi - rumah terbuka |
6. | Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur | Perpaduan kaum di Malaysia | Cara-cara memupuk | - amalan rumah terbuka - sikap hormat-menghormati - sistem pendidikan yang menggalakkan integrasi kaum - terlibat dalam aktiviti sosial yang disertai oleh pelbagai kaum |
7. | Negeri Sembilan | Amalan gaya hidup sihat | Cara mempraktikkan | - pengambilan makanan seimbang - bersukan - pemeriksaan kesihatan |
8. | Melaka | Warisan Negara | Kepentingan memelihara | - daya tarikan pelancong - memupuk semangat patriotik - mengekalkan nilai seni dan estetika - mengenang sejarah negara |
9. | Johor | Perpaduan kaum di Malaysia | Kepentingan mengamalkan | - mewujudkan masyarakat harmoni - menarik kedatangan pelancong - memajukan ekonomi negara - meningkatkan keamanan negara |
10. | Kelantan | Amalan membaca | Langkah-langkah untuk membudayakan | - ibu bapa menjadi suri teladan - kempen membaca - mengadakan pesta buku |
11. | Terengganu | Amalan gaya hidup sihat | Cara yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu | - amalan pemakanan seimbang - kebersihan diri dan persekitaran - bersukan dan beriadah - pemeriksaan kesihatan |
12. | Sarawak | Hubungan kekeluargaan | Cara-cara mengeratkan | - makan bersama-sama - meluangkan masauntuk bercuti - mendengar masalah - membantu dalam pelajaran |
13. | Sabah | Pelancongan di Malaysia | Kelebihan-kelebihan sebagai sebuah negara pelancongan | - pulau - gunung - wau - silat |
14. | Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster KPM | Aktiviti masa lapang | Cara-cara remaja boleh memanfaatkan | Tiada isi diberikan, cuma dipaparkan gambar tentang lawatan ke tempat bersejarah, membaca buku, bergotong-royong, dan hari keluarga. |
15. | Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) | Rumah Idaman | Kriteria-kriteria yang menjadi pilihan pembeli | Tiada isi diberikan, cuma dipaparkan gambar tentang iklan rumah dengan butir-butir yang berkaitan dengan rumah tersebut. |
16. | Yayasan Islam Kelantan (YIK) | Amalan gaya gidup sihat | Faedah-faedah | - Pemeriksaan kesihatan - jauhi daripada merokok - amalan bersenam - menjaga pemakanan |
Thursday, October 7, 2010
Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010 – Amalan Gaya Hidup Sihat
Berdasarkan Soalan Percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) beberapa buah negeri, antara isu yang perlu difokuskan ialah amalan gaya hidup sihat.
Antara negeri yang memfokuskan isu tersebut ialah Terengganu dan Negeri Sembilan. Di samping itu, soalan negeri Pahang turut memfokuskan isu yang sama tetapi dalam bahagian B iaitu soalan 2 yang berkaitan dengan peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga yang sihat (berformat ceramah).
Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Kertas 1 Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu negeri Terengganu 2010).
Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Rangka Karangan
Pendahuluan
- kepentingan amalan gaya hidup sihat
Isi-isi
- amalan pemakanan seimbang
- bersukan dan beriadah
- Pemeriksaan kesihatan
Penutup
- amalan tersebut perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat
Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.
Amalan yang perlu dilakukan oleh anggota masyarakat ialah pengambilan makanan yang seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi, dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.
Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.
Setiap anggota masyarakat perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini dikatakan demikian kerana alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah.
Sebagai kesimpulannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.
Monday, October 4, 2010
Fokus Esei STPM 2010 – Keganasan Rumah Tangga
Satu daripada isu yang perlu difokuskan dalam esei STPM 2010 nanti ialah keganasan rumah tangga.
Soalan ini terdapat dalam Bahagian A iaitu Esei, Peperiksaan Percubaan STPM 2010 Negeri Selangor iaitu Soalan 1.
Kes keganasan rumah tangga sering berlaku dalam kalangan masyarakat di negara kita. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kes seperti ini berlaku disebabkan oleh tekanan hidup yang dihadapi oleh individu terbabit.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?
Di bawah ini, dipaparkan esei yang ditulis oleh Mohd Syamil Akhtar bin Rizani (6A1), iaitu pelajar SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
Kes keganasan rumah tangga semakin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat di negara kita. Peningkatan kes berkenaan boleh mengancam keharmonian institusi kekeluargaan di negara ini. Sikap majoriti suami dan bapa yang merupakan ketua dalam sesebuah keluarga yang memukul isteri dan anak-anak serta mendera mereka untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang bukan kemampuan mereka merupakan fenomena yang amat menyedihkan. Jika perkara ini tidak dilakukan pastinya semakin banyak isteri dan anak yang akan menjadi mangsa keganasan lelaki yang dayus itu. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah itu berlaku.
Tekanan hidup yang dihadapi oleh segelintir individu dikatakan menjadi punca kes berkenaan berlaku. Tekanan untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar individu seperti menghadapi masalah kewangan menjadi sebab individu terbabit tidak mampu lagi mengawal diri mereka daripada bertindak ganas. Di samping itu, seseorang bapa dan suami yang sering diharapkan untuk memenuhi kehendak isteri dan anak-anak mereka, dianggap sebagai bebanan oleh suami yang mempunyai masalah kewangan yang serius. Suami atau bapa yang menghadapi tekanan tersebut akhirnya hilang kawalan lalu menyeksa isteri atau anak-anak dari segi mental dan fizikal. Fenomena sedemikian akan merumitkan keadaan kerana tidak ada pihak yang mendapat manfaat daripada tindakan sedemikian.
Selain masalah kewangan, bebanan hutang yang banyak turut mengakibatkan tekanan mental yang serius terhadap seseorang itu. Seperti harapkan pagar, pagar makan padi, individu berkenan sanggup pula menjual isteri atau anak-anak kepada pihak tertentu semata-mata kerana mereka dianggap merupakan senjata terakhir yang dimiliki oleh mereka untuk melunaskan hutang. Setelah didera secara kejam oleh individu yang diharapkan bagi melindungi dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka, kemudiannya mereka akan dipaksa untuk melakukan kerja yang mudah untuk mendapatkan wang seperti menjadi pelacur. Jadi, perkara ini amat menyedihkan kita kerana orang yang bergelar bapa dan suami tidak boleh dipercayai lagi bagi melindungi seseorang yang bergelar isteri atau anak.
Bebanan tugas yang banyak di tempat kerja turut menyebabkan seseorang itu berasa bahawa isteri dan anak-anak boleh dijadikan objek untuk melepaskan geram. Objek yang dimaksudkan bukan sahaja sebagai tempat mereka melepaskan geram tetapi juga melepaskan kemarahan mereka dengan cara melakukan kekerasan terhadap keluarga mereka. Semasa di tempat kerja, mereka dileteri dan dimarahi oleh majikan mereka, selain dibebani dengan kerja yang banyak. Jadi, dendam yang terbuku dalam hati terhadap majikan mereka dilepaskan pula kepada isteri dan anak-anak mereka yang sepatutnya dilimpahi dengan kasih sayang yang secukupnya daripada seorang bapa dan suami. Jadi perkara ini pasti akan menyebabkan kebahagiaan yang diimpikan dalam perkahwinan hanyalah impian yang sia-sia.
Masalah pergaduhan dan perselisihan pandangan dengan individu-individu tertentu terutamanya yang amat dihormati dan dikasihi seperti ibu bapa, adik-beradik mahupun isteri sendiri juga boleh menjadi punca tekanan perasaan. Hal ini akan mendorong mereka bertindak dengan kekerasan terhadap anak-anak dan isteri kerana mereka gagal mengawal emosi dan perasaan, iaitu seperti mencurah minyak ke dalam api yang marak. Seseorang isteri wajar memahami bebanan atau masalah yang sedang ditanggung oleh suami tanpa menambahkan tekanan kemarahan terhadap suami. Jadi, perkara sedemikian boleh mencetuskan pertengkaran yang lebih serius dan menyebabkan suami memukul isterinya.
Punca lain yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kegagalan mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan. Kecenderungan untuk seseorang individu bagi merasai kekecewaan yang berpanjangan tanpa sokongan individu yang dikasihi mendorong perasaan kecewa tersebut menjadi perasaan marah yang seterusnya bertukar menjadi ganas. Harapan menggunung yang diimpikan daripada keluarga seperti sokongan moral dan semangat tidak menjadi kenyataan kerana kesibukan masing-masing mendorong seseorang suami dan bapa bertindak kasar seperti memukul isteri dan anak-anak mereka. Perkara itu membuktikan bahawa masing-masing tidak memahami kehendak hati orang yang tersayang.
Sebagai kesimpulannya, tekanan individu terbabit yang berpunca daripada banyak sebab merupakan faktor utama berlakunya kes keganasan rumah tangga. Jika perkara ini dapat dibendung, tidak mustahil kes ini akan berkurangan dan akhirnya tidak kedengaran lagi. Untuk mencapai matlamat berkenaan, semua pihak dalam masyarakat perlu berganding bahu dan bersatu padu agar pisang tidak berbuah dua kali. Oleh itu, sebelum kes ini mengorbankan nyawa manusia yang lebih banyak, semua pihak perlulah sedar akan kesannya dan bersama-samalah kita membanterasnya agar tiada sapa lagi yang akan menjadi mangsa.
Subscribe to:
Posts (Atom)







