Pengikut laman ini

Wednesday, May 12, 2010

Karangan Pelajar Tingkatan 6 - Penyakit Berjangkit


Karangan ini ditulis oleh Mohd Shafwan bin Mohd Jaini (6A1)


Soalan karangan:

Wabak penyakit berjangkit yang merebak di seluruh dunia pada masa ini perlu dikawal agar tidak merebak. Jelaskan punca masalah tersebut berlaku.

Fenomena penyakit berjangkit sudah biasa dalam kalangan masyarakat pada masa ini. Di Malaysia khususnya, fenomena penyakit berjangkit seperti ini sering dipaparkan di media cetak, media elektronik, dan sebagainya. Perkara itu disebabkan oleh masyarakat kini kurang mengambil berat terhadap amalan gaya hidup yang sihat. Jadi, masyarakat akan mudah untuk dijangkiti penyakit terutamanya penyakit berjangkit yang semakin menular kebelakangan ini seperti penyakit selesema H1N1. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil oleh masyarakat untuk mengelakkan masyarakat daripada dijangkiti penyakit berjangkit. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan penyakit berjangkit berlaku.

Kurang kesedaran daripada anggota masyarakat telah menyebabkan berlakunya penularan fenomena ini. Anggota masyarakat pada masa ini terlalu mengejar kemewahan dengan mengumpul harta dunia sehingga kurang mengambil tahu terhadap isu semasa pada masa ini. Masyarakat jenis ini terlalu mementingkan diri mereka sendiri serta hidup di dalam dunianya sendiri. Kebanyakan daripada mereka ini tidak mengetahui isu semasa yang berkaitan dengan virus H1N1 yang mementingkan penjagaan kebersihan diri dan mengelakkan mereka daripada pergi ke luar negara untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti oleh virus tersebut. Namun begitu, segelintir daripada mereka terlalu mementingkan diri sendiri sehingga melanggar larangan tersebut. Apabila sudah dijangkiti oleh penyakit tersebut barulah mereka hendak menyesal tetapi perkara itu sudah terlambat, bak kata pepatah, ”Nasi sudah menjadi bubur".

Anggota masyarakat juga tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang dan akan menyebabkan mereka mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini dikatakan demikian kerana pemakanan yang seimbang akan mendatangkan pelbagai jenis sumber tenaga di dalam tubuh badan kita. Sekiranya kita tidak mengamalkannya, antibodi yang terdapat di dalam badan akan menjadi lemah, kurangnya zat di dalam tubuh badan dan sebagainya. Perkara itu akan menyebabkan kita mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit disebabkan antibodi atau ketahanan diri yang lemah untuk melawan penyakit tersebut. Perkara itu membuktikan bahawa amalan pemakanan yang seimbang sangat penting diamalkan jika tidak mahu penyakit berjangkit ini menjangkiti kita.

Anggota masyarakat juga kurang menjaga kebersihan diri dan juga persekitaran. Hal itu akan menyebabkan seseorang itu mudah untuk dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Dengan persekitaran yang kotor, seseorang akan mudah dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Sebagai contohnya, apabila seseorang itu memegang tombol pintu dan terus memegang makanan tanpa membasuh tangan, sudah tentu orang itu akan mendapat penyakit kerana tombol pintu tersebut mengandungi kuman yang dibawa oleh orang lain. Oleh hal yang demikian, amalan membasuh tangan perlu dipraktikkan oleh semua anggota masyarakat jika tidak mahu djangkiti oleh penyakit.

Hubungan sosial tanpa batasan turut menyumbang kepada penularan fenomena penyakit berjangkit yang berteraskan kurangnya amalan gaya hidup sihat. Hubungan seks yang dilakukan oleh segelintir masyarakat akan menyebabkan virus HIV tersebar. Hal ini berlaku kerana tanpa pemakaian alat pencegahan seperti kondom, virus tersebut akan tersebar melalui alat sulit mereka. Hal yang sama juga berlaku seperti penggunaan atau perkongsian jarum suntikan untuk dadah. Amalan tersebut akan menyebabkan seseorang itu akan dijangkiti virus HIV dan seterusnya menghidap AIDS. Perkara itu tentunya akan memberikan kesan kepada penghidap penyakit tersebut serta keluarganya.

Anggota masyarakat tidak tidak mempunyai pengetahuan tentang penyakit yang berjangkit. Penerangan dan kempen yang dijalankan oleh kerajaan kurang berkesan. Contohnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyarankan sesiapa yang disyaki dijangkiti penyakit H1N1 supaya dikuarantin bagi mengelakkan virus tersebut daripada merebak. Namun begitu, masyarakat kini keras kepala sehingga mengancam nyawa orang lain. Perbuatan yang sedemikian telah membantu penyebaran virus tersebut sehingga sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa kesihatan. Tegasnya, pengetahuan yang cetek menyebabkan penyakit tersebut mudah berjangkit dan virus disebarkan kepada orang lain pula.

Sebagai kesimpulannya, banyak punca yang menyebakan masalah tersebut berlaku dan penularan wabak penyakit berjangkit disebabkan oleh kurangnya amalan gaya hidup yang sihat oleh anggota masyarakat. Jadi, langkah yang proaktif perlulah diambil oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan dengan cara yang lebih efektif. Sekiranya langkah yang berkesan tidak diambil, nescaya masyarakat akan menjadi mangsa kepada ancaman penyakit berjangkit ini. Tentulah kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana banyak kesan buruknya. Oleh itu, kita perlulah bersiap sedia untuk mencegah penyakit tersebut demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Tuesday, May 4, 2010

Pengajaran Tatabahasa

Baru-baru ini, beberapa orang guru termasuklah guru pelatih yang sedang menjalani latihan praktikum telah menanyakan soalan tentang teknik atau cara yang menarik untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Mereka mengatakan bahawa kebiasaannya murid-murid kurang berminat untuk belajar tatabahasa.

Pengenalan
Pengajaran tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan membosankan murid-murid, malahan ada juga guru yang kurang berminat untuk mengajar murid dalam bahagian ini. Fenomena yang biasanya berlaku di sekolah ialah pengajaran tatabahasa diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara langsung dengan menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus terlebih dahulu, kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu, guru-guru perlu kreatif untuk memilih teknik pengajaran yang menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka kebiasaannya kurang berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan tambahan pula teknik yang digunakan tidak menarik perhatian murid.

Teknik yang Sesuai
Sebenarnya banyak teknik yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Seelok-eloknya guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik yang disukai oleh mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya sendiri, murid-murid lebih berminat dengan teknik yang menarik seperti nyayian, nasyid, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Jika ditinjau daripada respons pelajar, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Dengan perkataan lain, perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka. Selain itu, teknik pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan guru cuma menjadi fasilitator atau pembimbing mereka. Di samping itu, pendekatan yang selalu dicadangkan oleh pakar-pakar pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan pendekatan deduktif iaitu bermula dengan generalisasi atau contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan rumus atau peraturan yang khusus.

Teknik Nyanyian
Seperti yang telah dinyatakan tadi, antara teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan pelajar ialah teknik nyanyian atau dengan menggunakan lagu. Hal ini demikian kerana, banyak lagu yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Di samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu tersebut. Oleh itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh mereka selepas menyanyikan lagu tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis kata yang terdapat dalam lirik lagu itu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi. Selain itu, gunakan lirik lagu untuk mengesan kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan rasa bosan para pelajar untuk mempelajari tatabahasa.

Bahan Lain yang Sesuai
Selain lirik lagu, guru-guru juga boleh menggunakan sajak untuk membincangkan aspek tatabahasa yang terdapat dalam sajak tersebut. Sebagai contohnya, pelajar-pelajar tingkatan 4 boleh menggunakan sajak Harga Remaja (Antologi Harga Remaja) untuk membincangkan aspek penggolongan kata, seperti kata nama dan kata kerja. Oleh itu, selain mengkaji aspek sastera dan maksud sajak, murid-murid juga boleh menggunakan sajak itu untuk belajar tatabahasa secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, guru-guru perlu merancang dan mengkaji aspek tatabahasa yang hendak dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran itu terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya dilakukan di dalam kelas.

Bahan Komsas
Karya-karya komsas selain sajak, iaitu cerpen, prosa tradisional, novel, pantun, syair dan gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran tatabahasa. Hal ini bermakna, semasa pengajaran komponen sastera, guru-guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa dalam perbincangan dengan pelajar. Dengan kata lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara langsung tetapi secara tidak langsung. Hal ini dapat mengatasi masalah kebosanan dan kurangnya minat murid untuk mempelajari tatabahasa.

Bahan Cetakan
Bagi pelajar-pelajar tingkatan 6, guru-guru perlu menggunakan bahan cetakan seperti keratan akhbar, majalah atau risalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Jadi, secara tidak langsung pelajar-pelajar mendapat manfaat yang berganda iaitu selain memahami atau mencari isi penting daripada petikan itu, mereka juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini tidak membosankan pelajar kerana guru telah menetapkan fokus tentang perkara yang hendak dibincangkan daripada sesuatu bahan atau petikan tersebut. Di samping itu, guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa ini setiap kali semasa membincangkan karangan, rumusan karangan, dan juga semasa mengalih bentuk teks. Perkara ini perlu dilakukan kerana setiap latihan yang dinyatakan itu tadi melibatkan aspek tatabahasa. Sebagai contohnya, semasa menulis karangan, rumusan karangan dan mengalih bentuk teks, pelajar-pelajar terpaksa membina ayat-ayat yang melibatkan pelbagai aspek tatabahasa. Selain itu, perkara ini juga membuktikan bahawa pengetahuan tatabahasa pelajar dalam Kertas 1 perlu diaplikasikan dalam Kertas 2 STPM.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, April 17, 2010

Buku Ulasan Komsas Terbaharu 2010



Buku-buku ulasan Komsas saya yang terbaharu telah diterbitkan oleh Cerdik Publication Sdn. Bhd. Buku-buku tersebut sudah berada di pasaran sejak 10 April yang lalu. Buku-buku tersebut terlewat diterbitkan oleh sebab masalah teknikal.

Buku Komsas tersebut adalah untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Buku ulasan Komsas Tingkatan 4 (Antologi Harga Remaja dan Novel Melunas Rindu) untuk zon Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan itu saya hasilkan bersama-sama dengan Dr. Lim Swee Tin dan Mumtaz Abd. Aziz.

Bagi ulasan Komsas Tingkatan 1 (Antologi Kasut Kelopak Jantung dan Novel Sukar Membawa Tuah) untuk zon Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, dan Negeri Sembilan, saya hasilkan bersama-sama dengan Cikgu Alias Muda dan Tn. Hj. Zakaria Perngis. Saya juga telah menghasilkan buku ulasan Antologi Kasut Kelopak Jantung untuk zon-zon yang lain bersama-sama dengan Cikgu Alias Muda dan Cikgu Alias Ismail.

Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim 

Wednesday, April 14, 2010

Nilai dalam Novel Melunas Rindu

Nilai yang dimaksudkan ialah nilai murni atau nilai kemanusiaan. Setiap pengarang akan menerapkan nilai-nilai murni atau nilai-nilai kemanusiaan dalam ceritanya. Nilai murni ini biasanya merujuk kepada tingkah laku atau perbuatan yang baik dan murni serta boleh dijadikan ikutan atau teladan oleh pembaca. Secara umumnya, nilai-nilai murni tersebut bersifat universal dan dapat diterima oleh semua orang di dunia ini tanpa mengira batasan geografi, kaum, bangsa dan agama.

Kasih sayang
Nilai ini digambarkan melalui kasih sayang antara Fuad dengan Farhana. (Rujuk halaman 201)

Ketabahan
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang tabah menghadapi liku-liku dalam hidupnya. (Rujuk halaman 192)

Tolong-menolong
Nilai ini digambarkan melalui watak Robert Lim yang membantu keluarga abang dan kakak iparnya iaitu Peter Lim dengan Swee Lan. (Rujuk halaman 89)

Kerajinan
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad, Pak Ismail dan Mak Salmah yang rajin mengusahakan tanah yang baru dibeli oleh Fuad. (Rujuk halaman 23)

Hormat-menghormati
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang sentiasa menghormati orang yang lebih tua daripadanya seperti dia menghormati emak Farhana. (Rujuk halaman 84)

Taat akan agama
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang tidak pernah meninggalkan sembahyang termasuklah semasa dalam keadaan musafir, dia menunaikan solat qasar. (Rujuk halaman 81)

Murah hati
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang memberikan jagung yang ditanamnya sendiri kepada Farhana dan guru-guru lain di sekolahnya. (Rujuk halaman 55)

Meminta maaf
Nilai ini digambarkan melalui watak Robert Lim yang ingin memohon maaf kepada Mariana iaitu emak kandung Fuad. (Rujuk halaman 169)

Menepati janji
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang menepati janjinya iaitu dia pergi ke rumah emak Farhana selepas sembahyang Maghrib di surau hospital untuk memastikan adik-adik Farhana dalam keadaan baik dan terurus. (Rujuk halaman 188)

Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, April 6, 2010

Hari Keusahawanan SMKBBST 2010


Pihak sekolah SMK. Bandar Baru Salak Tinggi akan mengadakan Hari Keusahawanan pada hari Sabtu ini iaitu pada 10 April 2010. Pelbagai gerai akan dibuka pada hari tersebut. Gerai-gerai tersebut adalah seperti gerai makanan, minuman, cenderamata, pakaian, permintaan lagu dan ucapan di samping pameran pengajian tinggi di dewan terbuka. Selain itu, terdapat juga rumah misteri, permainan paint ball, flying fox, memanah, dan beberapa permainan lagi. Sebuah kumpulan nasyid terkenal juga telah menyatakan persetujuan untuk membuat persembahan di samping sesi fotografi bersama-sama dengan kumpulan tersebut.

Pelajar-pelajar yang pernah belajar di SMKBBST dan pengunjung lain dijemput hadir untuk membeli barang dan juga permainan dengan menggunakan kupon yang disediakan. Kupon-kupon boleh dibeli di gerai yang disediakan pada hari Sabtu nanti. Kelas prauniversiti juga turut melibatkan diri dan akan membuka gerai makanan, cenderamata dan permainan.

Tujuan utama hari keusahawanan ini diadakan adalah untuk mendapatkan dana bagi menaik taraf kantin sekolah. Jadi sambil membeli barangan, anda juga menyumbangkan derma kepada pihak sekolah. Oleh itu, saya menyeru pelajar-pelajar yang pernah bersekolah di SMKBBST agar datang pada hari Sabtu nanti untuk membeli kupon-kupon yang telah disediakan. Ibu bapa pelajar dan masyarakat yang tinggal berdekatan dengan SMKBBST juga dijemput hadir untuk memeriahkan Hari Keusahawanan ini. Marilah kita bersama-sama berbelanja sambil menghulurkan derma.

Friday, April 2, 2010

Kelemahan Karangan Pelajar Prauniversiti SMKBBST dalam PKS 1 2010


Dengan berdasarkan jawapan pelajar saya dalam PKS 1 pada bulan Mac yang lalu, terdapat beberapa kelemahan yang ketara. Kelemahan-kelemahan tersebut adalah dari segi isi dan olahan, format, serta bahasa. Kelemahan dari segi isi adalah dari segi bilangannya, iaitu ada pelajar yang tidak dapat mengemukakan 5 isi seperti yang dikehendaki dalam skema jawapan. Mereka cuma dapat mengemukakan 3 atau 4 isi sahaja. Selain bilangannya tidak cukup, ada pelajar juga yang tidak dapat mengolah isi tersebut dengan baik terutamanya perenggan pendahuluan dan penutup yang terlalu pendek. Hal ini bermakna, pelajar masih belum mahir dengan teknik mengolah karangan dalam perenggan agar menjadi satu kesatuan idea yang mantap. Oleh itu, sudah tentu perkara tersebut akan mempengaruhi aspek Relevan yang akan mengurangkan markah pelajar. Selain itu, terdapat juga pelajar yang tidak mematuhi format laporan seperti yang dinyatakan dalam soalan. Sebagai contohnya, pelajar terlupa untuk menulis tajuk laporan.

Kesalahan lain yang agak banyak dilakukan oleh pelajar ialah kesalahan bahasa, antaranya kesalahan morfologi eperti ejaan, pemilihan kata yang sesuai, kata kerja transitif dan tak transitif, kata sendi serta imbuhan. Kesalahan lain yang dapat dikesan seperti kesalahan frasa, iaitu kesalahan frasa kerja pasif. Kesalahan sintaksis yang dilakukan oleh pelajar ialah kesalahan ayat yang tergantung atau ayat yang tiada subjek. Selain itu, terdapat juga masalah ayat yang kurang sesuai dan kurang menarik disebabkan pelajar kurang berlatih untuk menulis karangan. Pelajar-pelajar didapati agak sukar untuk membina ayat dan ayat yang dibina itu kadang-kadang tidak menunjukkan kematangan pelajar prauniversiti. Oleh itu, pelajar-pelajar prauniversiti perlulah membaiki kesalahan tersebut dan banyak membuat latihan menulis karangan. Selain itu, pelajar-pelajar juga perlu lebih kerap bertanya kepada guru tentang kelemahan mereka dalam penulisan karangan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana soalan karangan menyumbangkan markah yang paling banyak iaitu 50 markah. Pelajar-pelajar juga boleh berlatih untuk menganalisis kesalahan bahasa melalui karangan yang ditulis oleh pelajar itu sendiri.

Kali ini, saya ingin memaparkan karangan contoh yang ditulis oleh pelajar saya sendiri iaitu saudari Norfazlina untuk diteliti dan dikaji kelemahan dan kekuatannya.

Soalan karangan:Peningkatan harga barangan keperluan utama menyebabkan masyarakat Malaysia semakin terbeban oleh pelbagai masalah dalam kehidupan.
Huraikan penyataan ini.

Isu kenaikan harga barang sudah tidak asing lagi didengar pada hari ini. Kebanyakan barangan terutamanya barangan keperluan harian telah mengalami kenaikan harga. Sudah tentu disebabkan masalah ini, banyak keburukan akan timbul terutamanya kepada anggota masyarakat yang sentiasa memerlukan barangan tersebut. Mereka terpaksa mengamalkan langkah berjimat cermat untuk memastikan keperluan harian mereka dapat dipenuhi. Hal ini lebih merunsingkan kita apabila masalah ini terpaksa ditempuhi oleh golongan yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan yang banyak. Perkara ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah akan berlaku dalam keluarga apabila segala perbelanjaan harian terpaksa dijimatkan. Disebabkan mempunyai tanggungan yang banyak, segala kehendak terpaksa dilupakan dan perlu memberikan penekanan kepada barang-barang yang lebih penting.

Akibat daripada kenaikan harga barang, pendapatan sebenar kakitangan kerajaan mahupun swasta turut merosot. Perkara itu tidak mendatangkan kebaikan kepada masyarakat kerana harga barangan lain juga semakin meningkat tidak setara dengan kenaikan gaji pekerja. Hal ini telah menyebabkan kos sara hidup juga meningkat terutamanya bagi golongan yang tinggal di bandar lebih merasai perubahan perkara ini. Apabila harga barang meningkat, dalam masa yang sama sumber makanan seharian seperti kuih-muih, lauk-pauk, dan makanan lain juga terpaksa dinaikkan harganya oleh seseorang peniaga itu untuk mereka mendapat keuntungan tetapi malangnya ada sesetengah pihak yang mencekik darah dengan menaikkan harga dua kali ganda banyaknya. Sudah tentu perkara ini membuatkan masyarakat merungut terutamanya kepada mereka yang gemar membeli makanan di luar apabila tiba waktu makan. Jadi, peranan anggota masyarakat penting untuk melaksanakan langkah yang sewajarnya dan para pengguna pula perlu mengukur baju di badan sendiri dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka.

Isu kenaikan harga barang ini juga boleh menyebabkan berlakunya konflik dalam hubungan kekeluargaan. Apabila isu ini timbul, mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan terpaksa merancang perbelanjaan. Masalah ini timbul kerana pasangan suami isteri terpaksa membahagikan tugas untuk membeli sesuatu barangan tetapi ada sesetengah pasangan tidak mahu bertolak ansur dan juga tidak mahu berkongsi perbelanjaan. Perkara ini boleh mengakibatkan tekanan dalam hubungan kekeluargaan sehingga berlakunya pergaduhan, perceraian, perselisihan faham, dan sebagainya. Tambahan pula, mereka terpaksa menanggung perbelanjaan anak sedangkan barangan keperluan anak-anak juga semakin meningkat harganya. Oleh itu, persefahaman amatlah penting dalam sesebuah keluarga itu untuk menjadikan rumah tangga aman damai tanpa sering berlakunya persengketaan terutamanya yang berkaitan dengan hal-hal yang remeh yang boleh diselesaikan jika adanya persefahaman dan tolak ansur antara mereka.

Isu tersebut juga boleh memberikan kesan terhadap pekerja iaitu melalui perubahan sikap atau perlakuannya di tempat kerja. Perkara ini merupakan kesan yang amat negatif dalam masyarakat dan patut dielakkan dengan segera. Perkara ini berlaku apabila ada sesetengah pekerja yang kekurangan pendapatan, mengambil keputusan untuk membodek majikannya untuk mendapatkan kenaikan pangkat dengan cepat. Isu kenaikan harga barangan ini juga boleh menyebabkan berlakunya amalan rasuah dalam kalangan pekerja untuk mendapatkan sumber pendapatan yang lebih dengan cara yang mudah. Amalan ini merupakan satu perlakuan yang salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman yang berat terhadap sesiapa yang mengamalkan aktiviti rasuah. Dalam masa yang sama, usaha untuk mencari pendapatan yang lebih terbantut apabila mereka ditangkap atas kesalahan itu dan terus dibuang kerja menyebabkan tiada lagi sumber kewangan yang boleh diperoleh terutamanya bagi mereka yang mempunyai keluarga sendiri dan tanggungannya.

Masyarakat juga akan dibebani oleh hutang akibat kenaikan harga barangan. Sudah tentu perkara ini akan menjadi bebanan kepada keluaarga terutamanya apabila sampai hujung bulan. Mereka terpaksa membayar hutang bulanan seperti bayaran ansuran kereta, rumah dan juga keperluan untuk bulan tersebut. Hal ini ditambah pula dengan hutang yang tertunggak dan perlu dibayar seperti hutang kad kredit. Perkara yang lebih menyakitkan apabila ada sesetengah pihak yang perlu membayar hutang kepada Along. Hal sebegini boleh mengakibatkan ketakutan dalam kalangan masyarakat kerana sering dikejar oleh Along. Lebih kejam lagi apabila Along tersebut mencari ahli keluarga penghutang pula untuk dijadikan tebusan. Oleh itu, mereka haruslah mengelakkan diri daripada masalah tersebut kerana terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak perbuatan buruk padahnya.

Masalah jenayah juga akan mudah berlaku dengan adanya isu kenaikan harga barang ini. Masalah jenayah akan berlaku apabila mereka dibebani dengan masalah hutang, pembayaran kos sara hidup dan sebagainya. Mereka akan mengambil jalan mudah dengan melakukan ragut atau rompakan untuk menyara hidup keluarga. Sudah pastinya perkara ini akan memberikan impak yang negatif terhadap mangsa rompakan kerana mereka juga menerima masalah kenaikan harga barang. Ada sesetengah masyarakat yang mengalami tekanan kerana kos sara hidup yang semakin meningkat dan mereka sukar untuk menempuhinya, seterusnya berlakulah kes jenayah lain iaitu kes penderaan. Akibat mengalami tekanan perasaan, mereka melepaskan tekanan tersebut kepada isteri dan juga anak-anak mereka hingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan seterusnya maut di tangan bapa sendiri.

Oleh hal yang demikian, isu kenaikan harga barang ini merupakan masalah yang sangat serius kepada anggota masyarakat kerana banyak impak negatif yang diterima apabila isu ini timbul. Walau bagaimanapun perkara itu terpaksa ditempuh dengan hati yang terbuka walaupun sukar untuk diterima. Sememangnya agak sukar untuk untuk menurunkan harga barangan kerana sumber untuk mendapatkan segala barangan tersebut semakin hari semakin sukar akibat arus pembangunan yang semakin maju. Oleh itu, para penggunalah yang harus memikirkan cara untuk berjimat cermat untuk mengatasi masalah kos sara hidup mereka di samping untuk menstabilkan keadaan ekonomi. Para pengguna haruslah mengikut pepatah, sediakan payung sebelum hujan iaitu sebelum perkara yang buruk menimpa mereka itu berlaku mereka perlulah bersedia terlebih dahulu agar kehidupan mereka tidak akan terjejas dengan teruk.

Karangan ini dihasilkan oleh Norfazlina binti Idris 6A1.

Sebagai kesimpulannya, pelajar-pelajar prauniveriti harus ingat bahawa karangan yang mantap tidak dapat dihasilkan tanpa latihan yang konsisten kerana kemahiran menulis karangan perlu digilap dan dilatih selalu. Selain membaca bahan-bahan yang sesuai dengan topik atau isu karangan daripada surat khabar, majalah atau Internet, pelajar-pelajar perlu memindahkan pengetahuan tersebut dalam bentuk ayat anda sendiri. Di samping itu, kemahiran mengarang turut melibatkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Oleh itu, kebiasaannya kalau pelajar kurang berlatih untuk menulis karangan, sudah tentu pelajar akan menghadapi masalah untuk membina ayat semasa menulis karangan dalam peperiksaan.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Wednesday, March 24, 2010

Latar Novel Melunas Rindu

Latar bermaksud semua keterangan atau gambaran yang berkaitan dengan tempat, masa atau masyarakat. Latar memainkan peranan penting dalam sesebuah cereka kerana dapat menjelaskan cerita itu lagi. Latar dapat menjelaskan sesuatu cerita berdasarkan pelaku, tempat, dan masa peristiwa itu berlaku. Latar dapat menjelaskan sama ada masanya singkat atau lama. Selain itu, latar turut menjelaskan latar belakang masyarakat dari segi kaum, agama, kepercayaan, amalan, atau budayanya. Latar juga kadang-kadang dipanggil citra, dibahagikan kepada tiga jenis iaitu latar masa, tempat dan masyarakat.

Latar Masa
Latar masa menggambarkan masa atau waktu, zaman, dan tempoh berlakunya peristiwa-peristiwa dalam cereka. Dari segi masa, mungkin peristiwa tersebut berlaku pada waktu subuh, pagi, petang, dan malam. Tempoh masanya pula mungkin berlaku selama beberapa minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, atau abad. Zaman berlakunya peristiwa terssebut mungkin berlaku semasa zaman sebelum kemerdekaan, darurat, zaman Jepun, zaman selepas merdeka atau pada masa ini, iaitu era globalisasi.

Latar Masa Dalam Novel Melunas Rindu
Semua peristiwa yang digambarkan dalam novel ini berlaku pada zaman sekarang iaitu dalam era globalisasi. Hal ini terbukti dengan adanya penggunaan telefon bimbit, kereta Proton Iswara dan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tempoh masa keseluruhan cerita dalam novel ini adalah lebih kurang beberapa bulan sahaja tetapi diolah oleh pengarang dengan menyelitkan teknik imbas kembali pada zaman darurat. Peristiwa-peristiwa dalam novel ini berlaku pada waktu-waktu tertentu seperti kehidupan manusia iaitu waktu pagi, petang, dan malam. Yang berikut disenaraikan contoh latar masa tersebut:

Waktu pagi
Fuad sampai di Sekolah Menengah Seri Setia untuk memulakan tugasnya sebagai guru pada pukul tujuh lima belas pagi. Rujuk halaman 35.

Waktu petang
Fuad mengajak Farhana keluar dan makan pada hari ulang tahun Farhana pada waktu petang. Rujuk halaman 137.

Waktu malam
Fuad pergi ke rumah Cikgu Zamani yang menjemputnya untuk makan malam. Rujuk halaman 7.

Latar Tempat
Latar tempat merujuk kepada tempat berlakunya perisstiwa dalam sesebuah cereka itu. Biasanya, pengarangan menggambarkan latar tempat ini secara umum sahaja, contohnya pengarang menggambarkan tempat-tempat seperti di kampung, di rumah, di bandar, di warung, di kaki lima, di klinik, di sekolah, di dalam kereta, di surau dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam novel ini pengarang menyatakan nama-nama tempat yang khusus seperti di Kuala Terengganu, Pantai Batu Buruk, Dungun, KLIA, di Dungun, di Hospital Tuanku Ampuan Afzan, di Sekolah Menengah Seri Setia, Losong, Kuala Lipis, Lembah Klau, dan Sungai Ruan. Rujuk halaman 217 dan 80.

Di restoran
Fuad dan Farhana mengelilingi pusat bandar dahulu sebelum singgah di Restoran Terapung di Taman Syahbandar. Rujuk halaman 137.

Di rumah Pak Mail
Pak Ismail sudah bersiap-siap untuk ke surau pada pukul tujuh dua puluh ketika Fuad tiba di rumah Pak Ismail. Rujuk halaman 16.

Di sekolah
Suasana di sekolah iaitu di bangunan Blok C, Sekolah Menengah Seri Setia masih bising dan hingar-bingar walaupun kelas lanjutan sudah dijalankan. Rujuk halaman 122.

Di rumah Farhana di Kuantan
Fuad bersolat di rumah Farhana pada suatu petang dan selepas menunaikan solat dia pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah bapa saudaranya. Rujuk halaman 85.

Di hospital
Fuad terus bertanya kepada pengawal keselamatan apabila dia sampai di ruang legar hospital di tingkat bawah. Rujuk halaman 183.


Latar Masyarakat
Latar masyarakat bermaksud gambaran yang berkaitan dengan masyarakat dalam sessebuah cereka. Gambaran masyarakat biasanya merangkumi aspek latar belakang masyarakat seperti kaum, bangsa, keturunan, adat resam, kepercayaan, aktiviti seharian, dan pekerjaan anggota masyarakatnya.

Latar Masyarakat Dalam Novel Melunas Rindu
Masyarakat yang digambarkan oleh pengarang dalam novel ini merujuk kepada masyarakat Melayu, masyarakat Cina, dan masyarakat yang memeluk agama Islam iaitu mualaf. Selain itu, pengarang juga menggambarkan masyarakat yang tinggal di kampung, masyarakat yang bekerja sebagai guru, dan masyarakat yang menjadi ahli perniagaan. Pengarang juga menggambarkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai dan budaya murni dalam kehidupan. Pengarang menggambarkan latar ini seperti dalam petikan yang berikut:

Masyarakat yang suka menolong orang yang memerlukan pertolongan
Contohnya, Fuad menolong kawannya Borhan dengan membawa anak Borhan yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Masyarakat yang taat dan patuh akan agama
Contohnya, Fuad dan Pak Ismail tidak pernah mengabaikan solat lima waktu dan mereka kerap pergi ke surau untuk menunaukan solat secara berjemaah. Rujuk halaman 5.

Masyarakat guru yang dedikasi terhadap tugas
Contohnya, Farhana dan Fuad begitu komited dan dedikasi terhadap tugas mereka ssebagai guru dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi anak-anak murid mereka. Rujuk halaman 50.

Masyarakat majmuk yang saling memahami
Contohnya, Robert Lim memahami bahawa orang Islam perlu menunaikan solat lima waktu. Rujuk halaman 170.

Masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur
Contohnya, Robert Lim yang berbangsa Cina berkahwin dengan Mariana yang berbangsa Melayu. Rujuk halaman 99.

Masyarakat yang menghormati tetamu
Contohnya, Pak Ismail dan Mak Salmah sangat menghormati tetamu yang datang ke rumah mereka. Rujuk halaman 168.

Masyarakat yang rajin bekerja
Contohnya, Peter Lim rajin bekerja untuk menyara keluarganya. Rujuk halaman 87 hingga 88.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim