Pengikut laman ini

Monday, March 22, 2010

Peratus SPM 2009 Kekal

Tahniah kepada semua pelajar SPM SMKBBST tahun 2009. Anda telah berjaya mengekalkan peratus kelulusan iaitu berada pada paras 98% ke atas. Peratus yang diperoleh pada tahun lepas ialah 98.3% iaitu kurang 0.3% berbanding dengan tahun 2008. Kualiti yang mendapat A juga telah meningkat iaitu 74 orang (A+), 34 orang (A) dan 45 orang (A-).

Tahniah juga saya tujukan khususnya kepada pelajar-pelajar 5KM yang saya ajar pada tahun lepas. Walaupun saya mengambil alih kelas ini mulai Jun 2009, anda telah menunjukkan kesungguhan untuk membuat latihan dan seterusnya terbukti anda telah mencapai kejayaan dengan cemerlang. Jumlah pelajar kelas 5KM yang mendapat A adalah seramai 9 orang iaitu 2 orang (A) dan 7 orang (A-). Walau bagaimanapun, terdapat 2 orang pelajar yang gagal bagi kelas 5KM. Kedua-dua orang pelajar ini memang terlalu kerap ponteng sekolah dan tidak suka dibimbing oleh guru yang bersedia untuk membimbing mereka. Selain itu, dua orang pelajar lagi yang gagal ialah dari kelas 5PD (1 orang) dan Pendidikan Khas (1 orang).
Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, March 9, 2010

Seminar Kesusasteraan Melayu di UPSI

Seminar Pengenalan Teks Terbaharu Kesusasteraan Melayu SPM di UPSI
Pada hari Rabu yang lepas iaitu pada 3 Mac 2010, saya telah diundang oleh Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu, UPSI untuk menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Teks Antologi Anak Global – Kajian Sepintas Lalu dan Teknik P&P Berkesan. Seminar ini telah dihadiri oleh guru-guru pelatih Kesusasteraan Melayu semester 2, 4 dan 6. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur seminar khususnya penasihat jawatakuasa seminar ini, iaitu Dr. Hajah Siti Khariah Mohd Zubir, pensyarah kanan di Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu UPSI yang juga merupakan rakan lama saya dalam pengajaran Kesusasteraan Melayu suatu masa dahulu di daerah Kuala Langat & Sepang.

Saya telah membincangkan karya-karya yang terdapat dalam teks Anak Global secara sepintas lalu. Karya-karya yang telah dibincangkan ialah sajak, cerpen dan drama. Antara aspek penting yang disentuh ialah tema, gaya bahasa sajak, sinopsis cerpen, serta watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen dan drama. Di samping itu, saya telah berkongsi pengalaman tentang teknik p&p Kesusasteraan Melayu yang hampir sama dengan KOMSAS untuk menarik perhatian pelajar agar berminat untuk mengikuti pelajaran di dalam kelas. Guru-guru pelatih haruslah kreatif dan sentiasa memikirkan teknik yang menarik dan berkesan agar pelajar tidak bosan semasa p&p Kesusasteraan Melayu atau KOMSAS dijalankan di dalam kelas. Sebenarnya, ada beberapa perkara lagi yang ingin dikongsi dengan guru-guru pelatih UPSI, tetapi oleh sebab kekangan masa, perkara tersebut tidak sempat untuk dibincangkan.

Selain saya, terdapat dua orang pembentang kertas kerja lagi iaitu Dr. Ghazali Lateh yang juga penulis novel Dari Lembah ke Puncak yang terpilih sebagai teks novel Kesusasteraan Melayu SPM mulai tahun ini. Tajuk kertas kerja Dr. Ghazali ialah Imbasan Struktural Novel Dari Lembah ke Puncak. Guru-guru pelatih bertuah kerana dapat menimba pengalaman daripada penulis novel itu sendiri. Dr. Ghazali banyak meluahkan pengalaman beliau dalam menghasilkan novel tersebut di samping pengalaman beliau menghasilkan pelbagai karya sastera yang seperti sajak dan cerpen. Di samping itu, banyak soalan juga telah dilontarkan oleh guru-guru pelatih yang ingin tahu dalam pelbagai perkara yang berkaitan dengan pengalaman Dr. Ghazali sebagai penulis yang sedang mengukir nama dalam bidang sastera di negara kita.

Seorang lagi pembentang kertas kerja dalam seminar tersebut ialah Cikgu Faridah Mohd. Shereef, guru Kesusasteraan Melayu SMK. Serendah. Cikgu Faridah telah berpengalaman lebih 20 tahun dalam pengajaran dan pemeriksaan kertas Kesusasteraan Melayu SPM. Beliau telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk Sekilas Pandang Novel Jeriji Kasih. Beliau membincangkan aspek struktural novel tersebut di samping memberikan petua atau teknik menjawab soalan dan penandaan kertas Kesusasteraan Melayu SPM.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, March 8, 2010

Karangan Format Pidato SPM - Memartabatkan Bahasa Melayu


Soalan:

Anda akan menyertai pertandingan pidato sempena Kempen Bulan Bahasa peringkat daerah. Tajuk pidato itu ialah "Memartabatkan Bahasa Melayu".

Sediakan teks pidato itu selengkapnya.


Teks Pidato Contoh

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.

Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula, bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama ialah pemupukan kesedaran kepada anak-anak sejak kecil penting untuk memartabatkan bahasa Melayu. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua ialah kerajaan harus menjalankan kempen melalui media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan, sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah pihak kerajaan hendaklah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.

Sebagai kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, March 5, 2010

Karangan Format Perbahasan Ala Parlimen


Bahas Ala Parlimen


Soalan
Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Palimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Bangunan Bersejarah Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”.
Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Teks Perbahasan Menteri Kedua

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,
Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Bangunan Bersejarah Tidak Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri sebentar tadi, iaitu “Bangunan Bersejarah Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”.

Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa bangunan bersejarah ini memerlukan kos yang tinggi untuk mengekalkannya. Beliau mengatakan bahawa kerajaan terpaksa membelajakan wang yang banyak untuk memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah yang rata-ratanya sudah lama ditinggalkan oleh penjajah.

Memang benar kata Ketua Pembangkang bahawa bangunan bersejarah yang perlu dipulihara dan dijaga daripada musnah atau rosak itu memerlukan belanja yang banyak. Namun demikian, kita perlu ingat bahawa kos tersebut tidak sama dengan nilai sejarahnya yang tidak boleh dijual beli. Jadi bangunan tersebut sememangnya perlu dijaga dan dipulihara daripada musnah ataupun rosak, walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi. Hal ini demikian kerana, kita tidak mahu bangunan yang tinggi nilai sejarahnya ini rosak kerana bangunan tersebut sebenarnya tidak dapat digantikan dengan wang ringgit. Sekiranya bangunan tersebut digantikan dengan bangunan yang baharu sekalipun, sudah tentu nilai sejarahnya tidak sama dengan bangunan yang asal. Tambahan pula, pada tahun lepas Melaka dan Pulau Pinang telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Hal ini sudah tentu membuktikan betapa pentingnya bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita itu perlu dikekalkan dan dipelihara daripada musnah. Pengumuman Tapak Warisan Dunia bagi kedua-dua buah negeri tersebut juga merupakan satu pengiktirafan yang sangat tinggi daripada UNESCO kepada negara kita.

Tuan Yang Dipertua,
Bangunan bersejarah perlu dikekalkan sebagai warisan negara, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, sebagai bahan kajian. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini menjadi tumpuan para pengkaji dalam pelbagai bidang. Seperti yang kita sedia maklum terdapat banyak bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita, seperti Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. Selain itu terdapat juga bangunan bersejarah yang lain seperti Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Menara Jam Condong di Telok Intan, dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

Terdapat banyak aspek yang boleh dikaji oleh para penyelidik bangunan lama yang memiliki unsur sejarah yang tinggi ini. Aspek tersebut ialah teknologi binaan, bahan-bahan yang digunakan untuk membina bangunan tersebut serta kaitan bangunan itu dengan fakta sejarahnya dan sosiobudaya masyarakat tempatan. Kata orang, “Tak kenal maka tak cinta”, jadi para pengkaji ini akan melaporkan hasil kajian tersebut dalam bentuk penulisan atau dokumentari agar dapat dibaca, ditonton dan seterusnya difahami oleh masyarakat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa. Berdasarkan kajian itu juga, para pengkaji akan mendapat pengetahuan yang berguna tentang ilmu senibina yang telah digunakan oleh arkitek atau jurubina pada zaman dahulu.

Tuan Yang Dipertua,
Hujah saya yang kedua berpaksikan frasa menarik pelancong. Bangunan-bangunan bersejarah itu berupaya untuk menjadi daya tarikan utama kepada pelancong dari dalam atau luar negara. Hal ini demikian kerana, para pelancong yang datang ke negara kita adalah semata-mata untuk melihat kesan-kesan sejarah tinggalan penjajah zaman dahulu. Oleh itu, bangunan-bangunan tersebut merupakan sebahagian daripada kesan sejarah dan perlulah dikekalkan dan dipulihara daripada musnah. Sebagai contohnya, bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Istana Banda, di Jugra dan Kellie’s Castle di Perak, perlu dipulihara agar keasliannya dapat dikekalkan.
Pelancong juga akan tertarik oleh keunikan dan kesenian bangunan-bangunan bersejarah itu. Hal ini membuktikan bahawa, orang zaman dahulu sudah memiliki kemahiran dan ilmu kesenian dalam senibina bangunan. Oleh hal yang demikian, bangunan-bangunan tersebut perlulah dipelihara dan dikekalkan keasliannya. Dengan cara itu, bangunan-bangunan tersebut akan kekal sampai bila-bila, seperti kata pepatah, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, dan boleh disaksikan oleh generasi yang akan datang.

Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.
Sekian, terima kasih.

Friday, February 26, 2010

Pencapaian Cemerlang STPM 2009


Dengan berdasarkan keputusan STPM 2009 yang dikeluarkan pada 25 Februari yang lalu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar STPM SMKBBST tahun 2009 kerana telah dapat mempertahankan peratus kelulusan seperti tahun 2008 iaitu kelulusan 100 peratus. Tahniah juga kepada pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia kerana dapat mempertahankan pencapaian 100 peratus lulus walaupun bilangan yang memperoleh Prinsipal A merosot sedikit berbanding dengan tahun 2008. Walau bagaimanapun pelajar yang memperoleh Prinsipal B pula meningkat kali ini. Yang berikut disenaraikan pencapaian pelajar-pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia 2009.

Prinsipal A – 4 orang
Prinsipal B – 10 orang
Prinsipal C – 2 orang
Jumlah pelajar ambil Bahasa Malaysia - 16 orang

Tahniah kepada pelajar-pelajar yang memperoleh Prinsipal A dalam Bahasa Malaysia iaitu Nadia, Khalidah, Siti Aisyah, dan Siti Umairah. Pelajar-pelajar lain juga tidak mengecewakan kerana memperoleh Prinsipal B dan cuma dua orang sahaja yang memperoleh Prinsipal C. Tahniah juga khususnya ditujukan kepada Nadia yang terpilih sebagai pelajar terbaik STPM daerah Sepang dengan pencapaian 4 Prinsipal (3A & 1B).

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua pelajar kerana usaha gigih anda selama ini telah membuahkan hasil yang membanggakan guru-guru dan pihak sekolah. Keputusan tersebut juga telah membuktikan bahawa SMKBBST masih mengungguli pencapaian STPM di daerah Sepang. Hal ini bermakna SMKBBST masih mengatasi SMK. Sungai Pelek dan SMK. Cyberjaya dari segi peratus kelulusan dan kualiti. Teruskan usaha anda untuk menempa nama di universiti nanti.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Wednesday, February 24, 2010

LADAP Guru-guru Bahasa Melayu SMK. Jenjarom



Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan Guru-guru Bahasa Melayu SMK. Jenjarom, Kuala Langat

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru Bahasa Melayu SMK. Jenjarom terutamanya kepada Puan Salmiah kerana masih sudi menjemput saya untuk berkongsi pengalaman dalam teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Walaupun pada mulanya saya menolak jemputan itu kerana hendak memberikan peluang kepada guru-guru lain yang lebih berpengalaman terutamanya Guru-guru Cemerlang Bahasa Melayu yang terdapat di Daerah Kuala Langat, tetapi atas rasa bertanggungjawab dan komitmen terhadap daerah yang pernah berjasa kepada saya, tidak sanggup rasanya untuk menghampakan harapan mereka.

Berdasarkan maklum balas semasa sesi perkongsian pengalaman dijalankan, guru-guru Bahasa Melayu SMK. Jenjarom telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan mereka mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan p&p karangan dan komsas. Guru-guru sudah mencuba teknik-teknik yang manarik tetapi berhadapan dengan pelbagai masalah untuk melicinkan proses p&p tersebut. Masalah itu sememangnya sudah menjadi lumrah yang perlu dihadapi oleh guru-guru terutama yang mengajar murid-murid sederhana dan lemah pengausaan bahasa mereka. Masalah itu ditambah lagi dengan latar belakang kaum dan bahasa ibunda murid yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun, jangan berputus asa, teruskan usaha untuk menarik perhatian murid agar seronok untuk belajar Bahasa Melayu. Jadikan masalah itu sebagai cabaran, bukannya halangan untuk menjadikan guru-guru lebih kreatif untuk mencari teknik yang lebih berkesan.

Perkongsian pengalaman yang diadakan pada 6 Februari lalu di Bilik Mesyuarat SMK. Jenjarom itu dihadiri oleh 18 orang guru Bahasa Melayu. Di samping itu, Pengetua SMK. Jenjarom, Puan Hajah Foziah juga merupakan teman lama yang mengajarkan Bahasa Melayu yang turut memberikan sokongan untuk menjayakannya. Selain saya yang membincangkan teknik pengajaran karangan dan komsas, perkongsian pengalaman ini juga turut dihadiri oleh Tuan Haji Rizuan Atan, Guru Cemerlang Bahasa Melayu Gred Khas C dan Munsyi Dewan yang diundang khas dari SBPI Sabak Bernam. Seperti biasa, Tuan Haji Rizuan Atan membincangkan pengalamannya dari sudut pengajaran Tatabahasa dalam Bahasa Melayu.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, February 15, 2010

Plot Novel Melunas Rindu

Plot

Plot bermaksud jalinan cerita atau peristiwa dalam sesebuah cereka. Jalinan tersebut berkembang berdasarkan hukum sebab dan akibat. Peristiwa atau cerita itu selalunya dijalin secara kronologi atau tidak secara kronologi. Jika peristiwa dijalin secara kronologi bermaksud peristiwanya disusun mengikut urutan masa. Sementara itu, jika peristiwa tidak dijalin secara kronologi, bermaksud peristiwanya tidak disusun mengikut urutan masa. Biasanya plot sesebuah novel terbahagi kepada dua iaitu binaan plot dan teknik plot.

Binaan PlotBinaan plot bermaksud plot cerita terbina daripada beberapa bahagian penting. Kebiasaannya, binaan plot terdiri daripada lima bahagian, iaitu permulaan (eksposisi), perkembangan, perumitan, puncak (klimaks), dan peleraian. Bahagian permulaan atau eksposisi merupakan bahagian yang memperkenalkan watak-watak. Watak-watak akan diperkenalkan dari segi fizikal, emosi serta berkaitan dengan persekitaran dan watak-watak lain. Kemudian watak-watak itu akan berkembang dan berinteraksi pada bahagian perkembangan cerita. Seterusnya, perhubungan antara watak itu akan menimbulkan konflik yang kemudiannya menjadi rumit pada bahagian perumitan. Pada peringkat tersebut selalunya konflik akan berterusan dan menjadi bertambah rumit.
Plot akan terus bergerak ke bahagian puncak atau klimaks cerita. Pada peringkat ini, keadaan menjadi semakin mendebarkan, kritikal, ngeri, dan cemas akibat konflik atau pertentangan antara watak. Selanjutnya, bahagian puncak itu akan mencapai ke satu tahap, iaitu sampai ke tahap penyelesaian. Akhirnya, plot bergerak terus ke tahap peleraian, iaitu semua konflik dan pertentangan akan diselesaikan atau terlerai.

Permulaan (Eksposisi)
Pada peringkat ini pembaca diperkenalkan dengan watak utama novel ini iaitu Fuad. Selain itu pengarang juga memperkenalkan watak-watak sampingan lain seperti Farhana, Pak Ismail, Mak Salmah, dan Cikgu Abas. Perkara ini dibuktikan dalam bahagian-bahagian awal novel ini. Sebagai contohnya, dalam bahagian awal novel ini, pengarang menceritakan Fuad yang lewat pulang pada suatu senja kerana mencari kayu api telah menyebabkan Pak Ismail dan Mak Salmah berasa bimbang. Kita juga mengetahui bahawa Fuad ialah seorang mualaf yang taat akan agama iaitu tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan dia selalu menunaikan solat berjemaah di surau. Dia juga rajin membaca al-Quran dengan bimbingan Pak Ismail. Kita juga mengetahui bahawa Fuad sebenarnya anak angkat kepada Pak Ismail dengan Mak Salmah.

Perkembangan
Dalam bahagian ini, pengarang memaparkan perkembangan cerita iaitu Fuad telah memulakan tugasnya sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia dan dia cuba menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah itu. Seterusnya pengarang mengembangkan cerita seterusnya dengan menjelaskan hasrat Fuad untuk mencari kubur ibunya. Sebagai contohnya, Fuad menyatakan hasratnya itu kepada Pak Ismail dan Mak Salmah dan mereka berdua tidak menghalangnya. Seterusnya, dia berusaha untuk mencari kubur emaknya itu melalui maklumat daripada Peter Lim dan Swee Lan, bapa dan ibu saudaranya. Akhirnya, Fuad dibantu oleh Pak Said yang menawarkan diri untuk mencari kubur ibunya itu. Hubungan Fuad dengan Farhana pula menjadi semakin rapat pada peringkat ini.

Perumitan
Dalam bahagian ini, Fuad mendapat maklumat daripada Pak Ngah Lias iaitu jiran datuknya iaitu Seman bahawa ibunya tidak meninggal dunia seperti yang disangkanya. Hal ini dibuktikan oleh Pak Ngah Lias bahawa mereka tidak mengetahui maklumat tentang kubur ibunya itu dan mereka juga tiada maklumat tentang kematian ibunya. Pak Samsudin, jiran Mariah iaitu kakak angkat emak Fuad mengatakan bahawa emak Fuad memang bersalin di Kuala Lipis tetapi tidak meninggal dunia. Perkara ini menyebabkan Fuad berasa lebih bersemangat untuk mencari ibu kandungnya. Sementara itu, hubungan Farhana dengan Cikgu Zamani pula menjadi semakin tegang. Hal ini terbukti melalui peristiwa pertengkaran antara mereka berdua akibat kesalahan Cikgu Zamani yang tidak masuk ke kelas semasa kelas lanjutan. Pada bahagian ini juga, ibu Farhana jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan di Kuantan akibat penyakit lelah. Fuad pergi ke Kuantan dan menemani Farhana yang menjaga ibunya yang sakit di hospital.

Puncak (Klimaks)
Pada bahagian ini pengarang menggambarkan kepada kita tentang peristiwa Fuad terpandang nama ibu Farhana semasa dia menemani Farhana menjaga ibunya itu di hospital. Nama ibu Farhana iaitu Mariana binti Osman itu sama dengan nama emak kandungnya. Hal ini menyebabkan dia berasa terkejut dan mengharapkan agar jika ibunya masih hidup, tetapi bukannya emak Farhana. Setelah berbincang dan mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada Farhana, Fuad akhirnya menerima hakikat bahawa emak Farhana itu juga ialah emak kandungnya. Walau bagaimanapun Farhana agak sukar untuk menerima hakikat bahawa dia dengan Fuad sebenarnya ialah adik-beradik yang berlainan bapa.

Peleraian
Fuad dan Farhana dapat menyesuaikan diri bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Robert Lim, iaitu ayah kandung Fuad juga mengesahkan bahawa Mariana iaitu emak Farhana itu juga ialah emak Fuad, iaitu isteri yang pernah dikahwininya suatu masa dahulu. Farhana juga sudah pulih daripada kejutan kerana mengetahui bahawa dia dengan Fuad ialah adik-beradik kandung. Perasaan sayang sebagai kekasih sebelum itu sudah berubah menjadi perasaan sayang kepada seorang abang kandung. Selain itu, Fuad telah diterima untuk mengikuti kursus KPLI untuk melayakkannya menjadi seorang guru yang terlatih. Seterusnya, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah menunaikan umrah dan ayahnya, Robert Lim mengatakan bahawa dia juga akan menyusul kemudian.

Teknik Plot
Teknik plot merujuk kepada cara atau kaedah pengarang mengembangkan plot cerita supaya menjadi lebih menarik dan menambat hati pembaca. Perkara ini menyebabkan pembaca ingin meneruskan pembacaannya hingga ke penamat cerita. Biasanya, teknik plot yang digunakan ialah dialog, monolog, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka, kejutan dan saspens.

Dialog
Dialog bermaksud pertuturan atau percakapan sekurang-kurangnya antara dua watak ataupun lebih. Pengarang menggunakan teknik ini untuk menggerakkan atau mengembangkan cerita selanjutnya. Melalui dialog, pengarang dapat memaparkan atau menggambarkan pendapat atau pemikiran berkenaan dengan tema atau persoalan dalam novel tersebut. Sebagai contohnya, Fuad berdialog dengan Borhan tentang rancangannya untuk membawa anak Borhan dan Masnah yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Monolog
Teknik ini merujuk kepada pengucapan atau tutur kata oleh sesuatu watak secara bersendirian. Dengan perkataan lain, teknik monolog bermaksud sesuatu watak itu akan bercakap seorang diri. Kadangkala, monolog itu juga mungkin berupa doa, rungutan, keluh-kesah ataupun ratapan. Sebagai contohnya, Fuad berdoa dengan memohon kepada Allah agar hatinya menjadi tabah untuk menghadapi dugaan.

Monolog Dalaman
Teknik ini merujuk kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran sesuatu watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain, contohnya pengarang menggunakan teknik ini semasa Fuad berkata dalam hatinya tentang nama ibu Farhana.

Pemerian
Teknik pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Hal ini bermaksud, pengarang menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan perkataan lain, pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung, contohnya pengarang menggambarkan keadaan di bandar Kuala Terengganu pada suatu pagi.

Imbas Kembali
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan oleh pengarang untuk menceritakan sesuatu peristiwa yang sudah berlaku sebelum peristiwa itu. Pengarang menggambarkannya melalui ingatan, kenangan, lintasan atau imbasan sesuatu watak terhadap sesatu peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Sebagai contohnya, Swee Lan teringat akan kepulangan Fuad pada suatu senja lebih setahun yang lalu.

Imbas Muka
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan untuk memberikan bayangan awal tentang sesuatu peristiwa atau perkara yang akan berlaku dan masih belum berlaku lagi. Bayangan tersebut mungkin berpunca daripada sesuatu aksi watak atau aksi watak-watak lain atau perkara-perkara lain. Sebagai contohnya, pengarang menggambarkan kemungkinan Cikgu Abas akan meluahkan perasaan marahnya kepada guru yang enggan melaksanakan tugas dalam mesyuarat guru esok harinya.

Saspens
Teknik ini merujuk kepada peristiwa yang menggambarkan perasaan tertanya-tanya dan ingin tahu para pembaca untuk mengikuti cerita. Pembaca ingin tahu perkara yang akan berlaku seterusnya. Sebagai contohnya, peristiwa Fuad mendapati akaun banknya mengandungi wang lebih daripada dua ratus ribu ringgit telah menimbulkan perasaan ingin tahu para pembaca tentang wang yang begitu banyak yang terdapat di dalam akaun bank Fuad. Pembaca ingin tahu dari mana sumber wang tersebut diperolehnya.

Kejutan
Teknik ini merujuk kepada keadaan atau peristiwa yang berlaku tanpa disangka-sangka oleh pembaca. Dengan kata lain, pembaca tidak dapat menjangkakan peristiwa itu akan berlaku dan peristiwa tersebut berlaku secara mengejut. Pengarang menggambarkan teknik ini melalui peristiwa Fuad yang terkejut apabila mendapati bahawa emak Farhana bernama Mariana binti Osman. Peristiwa tersebut mengejutkan para pembaca kerana pembaca tidak menyangka bahawa nama Mariana sama dengan nama ibu Fuad. Perkara ini juga membawa maksud bahawa mereka berdua ialah adik-beradik kandung.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim