Pengikut laman ini

Friday, April 3, 2009

Rumusan STPM

Bahagian B : Rumusan STPM

Selain soalan karangan, calon-calon STPM juga perlu bersiap sedia untuk menjawab soalan rumusan. Sebenarnya, soalan rumusan lebih mudah untuk dijawab berbanding dengan soalan karangan kerana semua isi yang dikehendaki dalam soalan ini memang ada dalam petikan. Hal ini demikian kerana, isi utama terdapat dalam perenggan pertama, isi-isi sokongan lain terdapat dalam perenggan-perenggan yang berikutnya dan kesimpulan pula sudah tentu terdapat dalam perenggan yang terakhir. Namun demikian, cikgu mendapati bahawa masih terdapat kelemahan jawapan pelajar semasa menjawab soalan ini kerana kurang mementingkan teknik menjawab soalan rumusan yang betul semasa menjawab soalan tersebut. Oleh itu, cikgu akan menyenaraikan kelemahan-kelemahan tersebut untuk dibaiki dan pelajar-pelajar perlu memahami teknik yang betul untuk menjawab soalan rumusan.

Kelemahan Umum Soalan Rumusan STPM
• Perenggan rumusan – ada calon yang menulis satu perenggan atau dua perenggan sahaja, ada juga yang melebihi 3 perenggan.
• Menulis atau menyalin ayat daripada petikan 100 peratus.
• Membina ayat sendiri sehingga maksud ayat tersebut berbeza langsung dengan maksud asalnya.
• Ayat-ayat yang dibina itu tergantung iaitu ayat tiada subjek atau predikat.
• Menulis Isi Utama (IU) dan kesimpulan (K) yang terlalu ringkas dan tidak lengkap.
• Menulis Isi Sokongan (IS) melebihi 6 isi, menyebabkan rumusan menjadi terlalu panjang dan melebihi had perkataan yang ditetapkan.
• Mencampuradukkan Isi Sokongan (IS) dalam satu ayat sehingga isi tersebut tidak teratur.
• Kesalahan mekanis yang kurang diberikan perhatian seperti tanda bacaan dalam ayat.
• Tidak menulis jumlah perkataan pada akhir rumusan.

Jadi, calon-calon STPM perlu mengelakkan kesalahan umum yang kerap dilakukan oleh mereka ketika menjawab soalan rumusan. Calon-calon STPM SMKBBST, cuba buat latihan rumusan di bawah dan e-melkan jawapan tersebut kepada saya untuk disemak.

Soalan Contoh

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 180 hingga 190 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan. [20]

Walaupun Malaysia sudah tercatat sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia, tetapi tidak semestinya gelaran itu akan kita pegang selama-lamanya. Jika dilihat dari sudut itu, memang ternyata ada halangan yang perlu dihadapi oleh negara kita untuk terus kekal sebagai peneraju dalam pengeluaran minyak sawit dunia. Berdasarkan perkara itu, jelaslah bahawa memang halangan tersebut akan mempengaruhi produktiviti minyak sawit Malaysia. Tambahan pula, promosi dan kempen penggunaan minyak sawit agak kurang diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab dalam industri tersebut pada masa ini. Hal ini pasti akan menyebabkan minyak sawit terpaksa menghadapi cabaran dan saingan yang hebat daripada minyak masak yang lain. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam industri ini perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran dan saingan tersebut di peringkat global.

Seperti yang diketahui umum, Malaysia bukanlah satu-satunya negara pengeluar minyak sawit dunia malah negara-negara di selatan Amerika dan benua Afrika turut menanam pokok kelapa sawit untuk mendapatkan minyaknya. Senario ini seterusnya akan menjadikan negara pengimport tidak tertumpu hanya kepada satu negara sahaja kerana mereka berpeluang untuk membuat pilihan dan memilih negara yang menawarkan kualiti minyak yang terbaik untuk menjadi pembekal minyak sawit ke negara mereka. Selain itu kewujudan pelbagai minyak sayuran lain seperti minyak daripada kacang soya, bijan, bunga matahari dan jagung memberi saingan hebat kepada minyak sawit terutama di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Namun begitu kuantiti eksport minyak sawit yang melebihi 13 juta tan pada 2003 ke lebih 150 negara pengguna membuktikan minyak sawit masih diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Halangan dan cabaran lain yang paling ketara dan memberi tamparan hebat kepada minyak sawit adalah apabila terdapat negara pengeluar minyak sayuran lain terutamanya minyak kacang soya telah melancarkan kempen yang bertujuan untuk memburuk-burukkan minyak sawit pada hujung abad ke-20. Namun begitu, negara kita mampu menangkis serangan berkenaan dengan bukti-bukti kukuh yang diperoleh daripada penyelidikan yang dijalankan oleh PORIM. Kesan buruk kempen yang dijalankan oleh negara-negara pengeluar minyak sayuran tersebut tidak menjejaskan pasaran dan permintaan daripada negara-negara pengeksport minyak sawit yang sudah lama berdagang dengan negara kita.

Jika dilihat dari sudut penanaman sawit pula, ada beberapa halangan yang wujud seperti serangan penyakit terhadap pokok kelapa sawit. Selain itu serangga perosak juga turut merosakkan pokok kelapa sawit. Serangan penyakit seperti ganoderma dan serangga seperti kumbang badak adalah amat biasa dihadapi oleh penanam sawit di negara ini. Serangan secara besar-besaran mampu menggugat pengeluaran minyak sawit kerana pokok kelapa sawit yang diserang musnah sama sekali. Di samping itu, cuaca panas dan kemarau serta berjerebu turut mendatangkan kesan buruk kepada pokok kelapa sawit. Satu lagi masalah yang terpaksa dihadapi dalam industri sawit adalah kurangnya pekerja yang hendak bekerja di ladang atau kebun kelapa sawit. Hal ini telah menyebabkan buruh asing terpaksa dibawa masuk untuk menampung kekurangan pekerja dalam sektor ini.

Oleh hal yang demikian, agensi kerajaan yang terlibat dalam industri sawit, iaitu PORIM perlulah memainkan peranannya dengan berkesan untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh industri ini. Agensi kerajaan tersebut haruslah berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kualiti minyak sawit akan terus ditingkatkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R & D) serta berupaya untuk mempelbagaikan kegunaannya. Para penyelidik dalam industri ini diseru agar memainkan peranan bagi memastikan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat perhatian dan menjadi pilihan negara pengimport yang sudah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan negara kita. Kajian-kajian perlu ditingkatkan untuk menghasilkan penemuan baharu dalam bidang ini untuk memastikan negara kita kekal sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Halangan Dalam
Industri Sawit, Berita Harian, 5 Februari 2005)
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, March 28, 2009

Bahas Ala Parlimen Guru-guru KPM

Maklumat Baharu tentang Pertandingan Bahas Ala Parlimen Guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia 2009

Saya difahamkan bahawa pada tahun ini, guru-guru yang akan menyertai pertandingan bahas ala parlimen di peringkat zon dan kebangsaan akan diperkenalkan dengan format yang baharu. Kebiasaannya, usul perbahasan akan diberikan kepada pembahas dua minggu sebelum pertandingan tetapi pada tahun ini para pembahas akan diberikan usul satu jam sebelum pertandingan iaitu sebelum masa kuarantin. Isu yang difokuskan untuk pembinaan usul bahas itu nanti ialah Pelan Induk Pembangunan Pedidikan (PIPP). Oleh itu, guru-guru perlu memahami PIPP dengan mendalam dan membuat rujukan yang secukupnya untuk menyiapkan diri dengan pertandingan itu nanti.

Para pembahas juga tidak dibenarkan membawa alat-alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba ke dalam bilik kuarantin. Para pembahas cuma dibenarkan untuk membawa kamus sahaja ke dalam bilik kuarantin.

Saya turut difahamkan bahawa format ini diperkenalkan untuk menguji kebolehan guru-guru untuk berbahas secara spontan dan tidak terikat sangat dengan teks perbahasan yang telah disediakan lebih awal. Sekiranya cara lama dikekalkan, penonton akan mudah berasa bosan kerana para pembahas terlalu mengikut teks atau membaca teks yang telah disediakan lebih awal. Pertandingan seperti ini akan menjadi hambar dan kurang menarik.

Bagi para pembahas yang akan mewakili negeri Selangor, saya ingin mengucapkan selamat berbahas dan pulang dengan kejayaan yang cemerlang untuk meneruskan cabaran dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat kebangsaan di Kuala Terengganu pada bulan Mei nanti iaitu bersempena dengan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan. Buktikan bahawa anda bertiga ialah pembahas yang terbaik di Malaysia.

Daripada; Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, March 27, 2009

Pertandingan Bahas Ala Parlimen Daerah Sepang

Pertandingan Bahas Ala Perlimen Bahasa Melayu Daerah Sepang 2009
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan bahas yang telah berjaya memasuki pertandingan akhir peringkat daerah Sepang pada hari Khamis (26 Mac 2009) yang lalu. Dalam pertandingan akhir itu, para pembahas SMK. Cyberjaya telah menewaskan pembahas-pembahas SMK. BBST. Tahniah sekali lagi kepada para pembahas SMK. Cyberjaya yang akan menggalas cabaran ke pertandingan peringkat negeri pada bulan April nanti.

Berdasarkan pengamatan dan penilitian saya sebagai juri dan pegawai teknikal, terdapat beberapa kelemahan yang perlu dibaiki oleh para pembahas terutamanya para pembahas SMK. Cyberjaya yang akan mewakili daerah Sepang ke pertandingan peringkat negeri. Perkara pertama yang perlu diberikan perhatian ialah hujah-hujah dan fakta atau bukti sokongan yang dikemukakan oleh para pembahas. Pembahas ketiga perlu membidas semua hujah lawan dan perlu mempertahankan hujuah-hujah pasukan mereka. Jadi, pembahas ketiga perlu peka dengan hujah-hujah lawan dan perlu membidasnya dengan alasan yang konkrit. Dalam pertandingan peringkat awal hingga pertandingan akhir peringkat daerah, hujah yang dikemukakan oleh pasukan bahas memang relevan tetapi kurang disokong oleh fakta-fakta atau bukti-bukti yang dapat memantapkan hujah pembahas. Selain itu, apabila hujah kurang disokong oleh fakta-fakta atau bukti-bukti yang mantap, markah untuk isi akan kurang.

Para pembahas juga kebanyakannya cuma dapat berbahas dalam masa lebih kurang 5, 6 atau 7 minit sahaja. Sepatutnya para pembahas perlu memainkan peranan sebagai pembahas dan berbahas dalam masa yang diperuntukkan iaitu lapan minit. Hal ini sangat penting dan perlu diberikan perhatian oleh pembahas kerana mempengaruhi hakim untuk memberikan markah strategi. Kebanyakan pembahas juga bercakap terlalu cepat seolah-olah hendak mengejar masa, tetapi mereka menamatkan ucapan pada minit yang ke-5 atau ke-6 sahaja. Para pembahas mengatakan bahawa mereka bercakap dengan cepat disebabkan untuk mengelakkan rasa gugup atau gementar. Kesannya, apabila pembahas bercakap dengan terlalu laju, maka banyaklah sebutan yang tersasul, dan tidak baku.

Para pembahas juga tidak mahu menerima Izin Laluan kerana takut akan soalan yang tidak mampu untuk dijawab. Ada juga pembahas yang tidak mengemukakan Izin Laluan kepada pihak lawan. Hal ini menunjukkan kurangnya pengetahuan para pembahas terhadap isu-isu penting dalam sesuatu usul itu. Oleh itu, para pembahas seharusnya membuat rujukan dan banyak membaca bahan-bahan yang berkaitan dengan usul yang perlu dibahaskan. Ingatlah bahawa kemenangan sesuatu pasukan bahas ditentukan oleh kemantapan ketiga-tiga orang pembahas yang dinilai daripada aspek Isi (30 markah), Strategi (30 markah), Bahasa (20 markah), dan Gaya (20 markah).

Walau bagaimanapun, para pembahas yang akan mewakili daerah masih mempunyai masa yang banyak untuk membaiki kelemahan tersebut. Bagi sekolah-sekolah yang gagal untuk melayakkan diri ke pertandingan akhir, berusahalah dengan gigih dan cuba lagi pada tahun depan. Bagi Faiqah, peserta bahas yang mewakili SMK. BBST, tahniah atas kejayaan anda sebagai pembahas terbaik dalam pertandingan akhir tersebut. Cuba lagi pada tahun depan untuk merampas kejuaraan daripada SMK. Cyberjaya. Bagi peserta bahas yang mewakili SMK. Sungai Rawang, syabas saya ucapkan kerana anda telah menunjukkan bahawa anda juga mampu berbahas, walaupun baru kali pertama mengambil bahagian.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas kepada semua peserta bahas yang mewakili setiap sekolah di Daerah Sepang yang telah berani berbahas di hadapan penonton atau khalayak. Anda telah memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang bermakna dengan menyertai pertandingan ini. Hal ini demikian kerana, aktiviti seperti ini merupakan aktiviti sokongan yang akan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran anda terutamanya untuk menjawab soalan karangan. Bagi peserta bahas yang tidak berjaya, jangan putus asa, cuba lagi pada tahun depan.

Daripada; Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, March 24, 2009

Pendahuluan Karangan STPM dan SPM

Pendahuluan Karangan SPM dan STPM
Cara Menulis Pendahuluan Karangan dengan Menggunakan Teknik ITCHF
Cikgu mendapati bahawa masih banyak anak murid cikgu yang kurang faham dan menghadapai masalah untuk menulis perenggan pendahuluan yang mantap. Jadi, kali ini cikgu akan membincangkan cara atau panduan untuk menulis pendahuluan karangan. Hal ini perlu diberi perhatian kerana terdapat juga murid yang tidak mementingkan aspek pendahuluan dalam karangan. Buktinya, ada murid yang menulis dua ayat sahaja dalam pendahuluan karangannya. Selain itu, ada juga murid yang menulis dua ayat tanya dalam perenggan pendahuluannya. Jadi, siapakah yang akan menjawab soalan tersebut? Jika perkara ini berlaku sudah pastilah markah pendahuluan akan kurang dan markah keseluruhan karangan akan terjejas terutamanya dalam peperiksaan STPM. Karangan yang baik seharusnya mempunyai pendahuluan yang diolah dengan baik dan seimbang dengan perenggan-perenggan yang lain.

Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menulis pendahuluan karangan seperti yang terdapat dalam buku-buku panduan menulis karangan di pasaran. Ada penulis yang menyarankan pelbagai cara seperti pendahuluan jenis definisi, sejarah, berdasarkan pandangan tokoh-tokoh, dan sebagainya. Jadi, dalam paparan kali ini saya mencadangkan satu cara lagi untuk memudahkan murid berfikir dan menulis pendahuluan karangan tersebut dengan menggunakan teknik ITCHF. Diharapkan teknik ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid untuk menulis pendahuluan karangan, selain teknik yang biasa digunakan oleh murid-murid sebelum ini.

Teknik ITCHF (Isu, Tanya, Contoh, Hurai, Fokus)
Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada ayat isu pernyataan (I) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu ayat tanya (T) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu ayat contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu ayat huraian (H) dan ayat kelima ialah ayat fokus soalan (F) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Dengan cara itu pelajar dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, atau jalinan idea yang mantap. Jika jalinan idea tersebut mantap, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang baik dan menepati kehendak soalan.

Soalan Contoh 1
Banyak rumah yang telah siap dibina dikatakan sukar untuk dijual pada masa ini.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara itu berlaku?

Perenggan Pendahuluan Contoh 1
I - Isu rumah yang sudah siap dibina tetapi sukar untuk dijual merupakan isu biasa pada masa ini. (I) – Ayat Isu
T - Masalah ini berlaku kerana tiada permintaan terhadap rumah tersebut hingga menyebabkannya terbiar begitu sahaja. (T) – Ayat Tanya - kenapa
C - Menurut perangkaan terkini, di Kedah terdapat 3,783 unit diikuti oleh Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 929 unit rumah yang masih tidak dapat dijual. (C) – Ayat contoh
H - Perkara ini tentunya akan memberikan kesan kepada pertumbuhan atau kemajuan sektor perumahan negara. (H) - Ayat huraian contoh
F - Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala pemanasan global berlaku. (F) – Ayat fokus soalan  (83 perkataan)

Soalan Contoh 2
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan manfaat bangunan bersejarah tersebut.

Perenggan Pendahuluan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita dan perlu dikekalkan kerana tinggi nilai warisannya. (I) Bangunan tersebut menjadi bukti daripada fakta sejarah yang dapat menarik pelancong asing ke negara kita. (T) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, bangunan bersejarah tersebut perlu dipelihara daripada kerosakan dan kemusnahan. (H) Terdapat banyak manfaat atau kelebihan mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita. (F)  (90 perkataan)

Pelajar harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan pelajar. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 80 hingga 90 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 60 hingga 70 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan sudah pasti akan menjejaskan markah aspek relevan (R) dan juga mempengaruhi markah pengolahan (P).

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, March 16, 2009

Latihan Semasa Cuti Sekolah

Latihan Semasa Cuti Pertengahan Penggal 1
Masa cuti ini perlu dimanfaatkan oleh murid-murid dengan bijaksana. Di samping bercuti atau melancong bersama-sama dengan keluarga, jangan lupa untuk mengulang kaji pelajaran atau membuat latihan seperti biasa. Gunakan masa cuti dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan dapat meningkatkan pengetahuan kita dalam sesuatu perkara.

Bagi calon-calon SPM dan STPM SMKBBST, jangan lupa untuk membuat latihan seperti yang dipesan oleh guru seperti menulis karangan. Sekurang-kurangnya tulislah dua karangan semasa cuti ini. Oleh itu, saya mencadangkan dua soalan karangan untuk ditulis oleh murid-murid sebagai latihan tambahan ke arah peperiksaan.

Soalan karangan untuk calon SPM
1. Masyarakat digalakkan untuk menggunakan sistem pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.
Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat.


2. Anda berminat untuk menulis rencana tentang masalah mahasiswa yang menganggur dan hanya berminat untuk bekerja makan gaji selepas menamatkan pengajian.
Tulis rencana tersebut selengkapnya.

Soalan karangan untuk calon STPM
1. Kad kredit digunakan dengan meluas oleh segenap lapisan masyarakat di negara kita pada masa ini. Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku dan masalah yang timbul akibat penggunaannya.

2. Kementerian Kesihatan telah berusaha untuk menangani penyakit demam denggi, namun penyakit berbahaya ini terus berlaku dan membimbangkan masyarakat, terutamanya yang tinggal di kawasan bandar. Pada pendapat anda, mengapakah penyakit ini sukar untuk ditangani?

Bagi calon-calon SPM dan STPM SMKBBST, tulislah dua karangan berdasarkan soalan-soalan yang telah disenaraikan seperti di atas sebagai latihan tambahan untuk memantapkan kemahiran mengarang masing-masing. Diharapkan murid-murid dapat mencari bahan-bahan yang berkaitan dengan karangan tersebut agar karangan menjadi lebih mantap. Anda juga boleh berbincang dengan rakan-rakan untuk mencari isi-isi karangan dan fakta sokongan di samping mengolah dan mengembangkan isi karangan tersebut. Hal ini demikian kerana, murid-murid mempunyai banyak masa untuk melakukannya semasa cuti ini. Bagi murid-murid yang memiliki kemudahan internet di rumah, layarilah laman-laman web yang berkaitan dengan isu-isu karangan tersebut, di samping membuat rujukan daripada bahan-bahan bercetak yang lain seperti akhbar dan majalah.

Selamat bercuti dan jangan lupa untuk menulis karangan.

Saturday, March 14, 2009

Keputusan SPM 2008

Kepada semua calon SPM SMKBBST 2008.

Cikgu ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua calon SPM SMKBBST tahun 2008 kerana telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM yang diumumkan pada hari Khamis lepas. Peratus lulus SPM tahun 2008 meningkat, berbanding dengan tahun 2007 iaitu peningkatan daripada 97.6% kepada 98.8%.

Bagi murid-murid SMKBBST, terutamanya Tingkatan 5S1, 5SK3, dan 5MPV, usaha gigih anda telah membuahkan hasil yang cemerlang, Cikgu ucapkan tahniah kepada murid-murid yang lulus 7D dan 8E, yang mendapat kepujian 3B, 4B, 5C, dan 6C serta murid yang cemerlang dan memperoleh 1A dan 2A. Bagi 3 orang murid (1 calon Pendidikan Khas) yang gagal, jangan putus asa, cuba lagi dengan mendaftar sebagai calon SPM pada tahun ini.

Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu juga membanggakan kerana selain peratus kelulusan meningkat, jumlah pelajar yang memperoleh gred 1A da 2A dalam Bahasa Melayu juga turut meningkat. Keputusan penuh mata pelajaran Bahasa Melayu SMKBBST adalah seperti yang berikut:

Peratus lulus – 98.8%
1A – 63 orang (25.9%)
2A – 50 orang (20.6%)
3B – 26 orang (10.7%)
4B – 25 orang (10.3%)
5C – 31 orang (12.8%)
6C – 14 orang (5.8%)
7D – 22 orang (9.0%)
8E – 9 orang (3.7%)
9G – 3 orang (1.2%) - (1 calon Pendidikan Khas)

Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Pengetua, Tuan Haji Muskamal, yang sentiasa memberikan dorongan, nasihat dan motivasi kepada guru dan murid, Guru Penolong Kanan, Puan Nik Ainul, semua guru Bahasa Melayu, terutamanya Guru Kanan Bidang Bahasa, Puan Siti Romdiah, Ketua Panitia Bahasa Melayu, Puan Hamizah, Puan Rohani, Puan Zainira, dan Puan Junaidah. Semua usaha yang telah kita ambil untuk membantu murid yang lemah akhirnya menghasilkan kejayaan yang membanggakan. Marilah kita teruskan usaha yang lebih gigih untuk melakar kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun ini.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, March 13, 2009

Tahniah Kepada Pelajar Cemerlang BM STPM 2008

Tahniah atas kejayaan cemerlang iaitu kelulusan 100 peratus kepada semua murid SMKBBST yang mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia STPM 2008. Ucapan tahniah dan syabas kepada 13 orang calon STPM2008, terutamanya kepada 8 orang murid yang mendapat Prinsipal A, seorang Prinsipal B, seorang Prinsipal B-, dan 2 orang lagi mendapat Prinsipal C. Senarai nama murid SMKBBST yang mendapat semua prinsipal bagi Bahasa Malaysia adalah seperti yang berikut:

Prinsipal A
1. CHIN YORK CHOW
2. FAHRUL RADZI B. MOHD DAUD
3. HAIRUNNISA NADIA MOHD HASSIN
4. MOHD FADIL B. YAAKOB
5. MUHAMMAD NAFIS B. KUSNO
6. NORAIN BT. MOHD YUNUS
7. NURUL FATHONAH SAIFUL BAHRI
8. NURZAFIRAH BT. RAHIM

Prinsipal B+
1. NUR FATIMAH BT. MASRIAL

Prinsipal B
1. SITI SARAH SHAKILA BT. HASSAN

Prinsipal B-
1. ANGELINE LOH SUXIN

Prinsipal C
1. FAIZHA ALIAH BT. HARON
2. NUR AIN BT. ABD. RAZAK

Teruskan usaha untuk mencapai kecemerlangan semasa berada di universiti nanti.

Bagi rakan-rakan guru yang mengajar mereka semasa di Tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas iaitu Puan Puvana dan Puan Junaidah, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan usaha gigih cikgu. Teruskan usaha cikgu pada tahun ini agar kecemerlangan akan terus dicipta oleh murid-murid sekolah kita.

Daripada Cikgu Mohd Khir Kassim