Pengikut laman ini

Monday, November 8, 2010

Fokus Karangan STPM 2010 – Kes Anak-anak Hilang

Nama Pelajar : Nurul Naziera binti Md. Nizam
Tingkatan : 6 Atas 1 (SMKBBST)
Tajuk : Bahasa Malaysia Kertas 2 – Soalan Percubaan Negeri Pahang 2010

Soalan 2

Ramai kanak-kanak yang hilang dianggap angkara orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan semakin terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan.

     Bincangkan punca-punca berlakunya kejadian tersebut dan cadangkan langkah-langkah untuk menanganinya.

     Anak merupakan cahaya mata yang tidak ternilai harganya, namun pada masa ini, masyarakat semakin hilang rasa kasih sayang dan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak. Hal in terbukti dengan berlakunya kes-kes kehilangan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi pada masa ini. Perkara yang amat menyedihkan dan membimbangkan kita adalah terdapat kes kehilangan kanak-kanak, dan akhirnya mayat kanak-kanak itu sahaja yang ditemui. Masalah seperti ini berpunca daripada perbuatan orang yang tidak berhati perut. Oleh itu, pelbagai langkah yang efektif perlu diambil oleh setiap pihak untuk menangani masalah kehilangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan kita ini.

     Antara punca masalah kehilangan kanak-kanak ialah wujudnya sikap tamak dalam diri individu yang ingin mengejar kemewahan hidup. Oleh itu, individu tersebut tidak berfikir panjang dan hanya mengambil jalan mudah dengan menculik kanak-kanak untuk dijual kepada individu lain. Terdapat juga kanak-kanak yang diculik dan dijual ke luar negara dan dijadikan sebagai pengemis jalanan. Sikap pihak yang tidak berperikemanusiaan ini amat membimbangkan negara, lebih-lebih lagi ibu bapa. Hal ini demikian kerana, bukan sahaja ibu bapa berasa kehilangan terhadap anak tercinta, malah negara juga akan kehilangan aset yang amat berharga.

     Di samping itu, masalah psikologi atau mental turut menjadi salah satu punca kejadian kehilangan kanak-kanak yang berlaku. Perkara ini demikian kerana mengikut statistik, kebanyakan kes kehilangan kanak-kanak berkaitan dengan kes rogol dan bunuh. Keadaan ini boleh berlaku kerana terdapat segelintir individu yang memandang kanak-kanak seperti seseorang wanita yang pernah menolak cintanya. Hal ini terjadi berikutan dengan individu tersebut yang menyimpan perasaan dendam, sedih dan takut yang tidak terkawal ataupun mengalami penyakit jiwa. Oleh itu, pesakit ini berpotensi untuk membayangkan seseorang yang dilihatnya seperti seorang yang sentiasa berada dalam fikirannya. Kes seperti inilah yang akan menyebabkan kanak-kanak akan diculik, dirogol dan terus dibunuh sebagai mangsa keadaan.

     Punca lain yang menyebabkan kehilangan kanak-kanak berlaku ialah masalah institusi kekeluargaan. Pada masa ini, banyak kes perceraian berlaku sehingga menyebabkan anak-anak terabai. Ibu bapa yang hanya mementingkan diri sendiri mula mengabaikan tanggungjawab dan hanya melepaskan batuk di tangga. Anak-anak yang kurang kasih sayang ini hanya diberikan wang dan diberikan kebebasan. Oleh itu, anak-anak khususnya yang berumur 15 tahun ke bawah yang masih belum matang berpotensi untuk ditipu dan diculik. Sekiranya masalah ini berlaku, ibu bapa yang patut dipersalahkan kerana mereka yang menjadi punca anak-anak menjadi mangsa penculikan, rogol dan pembunuhan.

     Untuk mengatasi masalah ini, pelbagai langkah yang efektif perlu diambil, antaranya dengan meningkatkan kawalan keselamatan. Pihak penguat kuasa seperti pihak polis perlu membuat rondaan di kawasan-kawasan hitam atau lebih dikenali sebagai kawasan yang sering berlakunya jenayah seperti di lorong-lorong kedai atau di jalan-jalan yang sunyi. Dengan cara yang lebih moden, pihak kerajaan seharusnya memasang kamera litar tertutup (cctv) di kawasan-kawasan tersebut agar dapat merakamkan sebarang jenayah yang berlaku, seperti penculikan kanak-kanak. Hal ini dapat memastikan kes kehilangan kanak-kanak dapat diatasi dan dikurangkan.

     Langkah seterusnya untuk mengurangkan kejadian kehilangan kanak-kanak adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Antara kempen yang boleh dianjurkan oleh pihak kerajaan atau mana-mana badan NGO ialah kempen ”Sayangilah Anak Anda”. Melalui kempen ini, banyak nilai murni yang boleh diterapkan, bukan sahaja kepada ibu bapa, malahan kepada setiap mesyarakat sekeliling. Antara budaya yang boleh diterapkan dalam setiap diri masyarakat ialah budaya “anak orang, anak kita”. Slogan ini bermaksud, walaupun kanak-kanak yang dilihat berseorangan tanpa arah tujuan, bukanlah anak kita, seharusnya sebagai anggota masyarakat, kita sepatutnya melindungi kanak-kanak tersebut daripada sebarang bahaya.

     Di samping itu, kursus ilmu keibubapaan juga harus diwujudkan oleh pihak yang sepatutnya. Hal ini demikian kerana pada masa ini kebanyakan ibu bapa kurang pendedahan tentang didikan yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak. Oleh itu, kehidupan anak-anak yang tidak terkawal akan menyebabkan anak-anak gemar bersiar-siar di luar tanpa pengetahuan ibu bapa. Keadaan ini amat membimbangkan kita kerana inilah masanya penjenayah atau penculik akan menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah. Perkara ini akan menyebabkan peningkatan terhadap kes kehilangan kanak-kanak akan terus meningkat. Oleh hal yang demikian, kursus ilmu keibubapaan amat penting dijalankan kepada setiap ibu bapa demi kebaikan dan keselamatan anak-anak.

     Sebagai kesimpulannya, masalah kehilangan kanak-kanak di negara ini perlulah dikurangkan dengan adanya kerjasama antara semua pihak. Hal ini demikian kerana anak-anak ialah harapan nengara yang paling berharga pada masa depan. Tanpa aset yang berharga ini, negara akan menanggung kerugian yang besar. Di samping itu, pihak berkuasa perlulah memainkan peranan yang penting untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat terjamin seperti menyediakan payung sebelum hujan. Untuk memastikan kanak-kanak dapat menjalani saat-saat kehidupan yang bermakna dan bahagia, ibu bapalah tempat mereka berlindung. Oleh itu, ibu bapa khususnya berperanan penting untuk memastikan anak-anak hidup bahagia, selamat dan terjamin keselamatannya.


10 comments:

Anonymous said...

sowi..nk komen cket
ayat 1 dh ada kesalahan tatabahasa dah...kesalahan 'pada masa kini' salah..sepatutnya 'pada masa ini'

diaries aryfaa said...

salam , cikgu saya nak esei lengkap tentang tajuk ini . ' HUKUMAN BAGI PEROGOL IALAH PENJARA DARI 5 HINGGA 20 TAHUN DAN SEBATAN,MANAKALA BAGI MEREKA YANG DIDAPATI MEROGOL DAN MEMBUNUH PULA IALAH HUKUMAN MANDATORI.ADAKAH HUKUMAN TEGAS INI DAPAT MENYEDARKAN MASYARAKAT MENJAUHI ROGOL ATAU PERKOSAAN.BERIKAN PANDANGAN ANDA TENTANG PERNYATAAN INI .' harap saye akan dapat esei yang lengkap tentang soalan ini . terima kasih ya .

syafa said...

ckgu terima kasih... karangan ckgu byk memberi inspirasi kpda saya

syafa said...

ckgu terima kasih... karangan ckgu byk memberi inspirasi kpda saya..

Angin Selat Melaka said...

Kehilangan fokus dlm pelajaran salah satu sb nya adalah kerana memikirkan masalah lain termasuk kesihatan. Untuk lebih bertenaga dan fokus, selesaikan masalah kesihatan di:

Pembasmian gejala migrain, pening, bersin, gatal hidung kronik, sakit mata, bisul dan nanah

Semoga tahap kesihatan jadi baik dan fokus trhadap pelajaran naik mendadak. TQ.

Anonymous said...

cikgu jangan buat muka ketat kt gambar tuh... x bleh blah..

Anonymous said...

Thankyouuuu you saved my life!!!!!

Anonymous said...

Hai cikgu...... Sara rasa perenggan ketiga Ada masalah skit

Tidak boleh mula perenggan dengan penanda wacana

Anonymous said...

terima kasih cikgu atas bantuan cikgu. cikgu telah beri inspirasi kepada saya, semoga panjang umur murah rezeki. semoga cikgu dirahmati Allah SWT

Anonymous said...

^ :D