Pengikut laman ini

Tuesday, January 7, 2020

Morfologi - Bidang Morfologi

Bidang Morfologi STPM

Menganalisis Kehendak Soalan bidang morfologi (Soalan Semester 2 tahun 2019)

1      Yang manakah yang benar tentang kajian morfologi?
I    Pengklasifikasian kata mengikut golongan
II   Susunan bunyi dalam sesuatu kata
III  Peraturan membentuk kata
IV  Asal usul sesuatu kata

A  I dan III      B  I dan IV     C  II dan III     D  II dan IV

Soalan meminta pelajar untuk membuat pilihan terhadap pernyataan yang benar tentang kajian morfologi. Calon perlu menguasai konsep bidang morfologi dan jangan keliru dengan bidang fonologi dan sintaksis. Jawapan yang betul bagi kajian morfologi merujuk pengklasifikasian kata mengikut golongan kata dan peraturan membentuk kata iaitu pernyataan I dan III. Pernyataan II iaitu susunan bunyi dalam sesuatu kata ialah kajian fonologi. Pernyataan IV iaitu asal usul sesuatu kata pula merujuk sejarah perkembangan bahasa.

Morfem

Menganalisis kehendak soalan morfem (Soalan Ulangan Semester 2 tahun 2019)

1      Yang manakah yang menepati konsep morfem bebas?

I     Unit terkecil dalam bahasa
II    Terdiri daripada imbuhan
III   Boleh berdiri sendiri
IV   Mempunyai makna

A  I dan II      B  I dan IV     C  II dan III     D  III dan IV

Soalan meminta pelajar untuk membuat pilihan terhadap pernyataan yang menepati konsep morfem bebas. Calon perlu menguasai konsep morfem untuk menjawab soalan ini. Jawapan yang betul bagi konsep morfem bebas ialah morfem tersebut boleh berdiri sendiri dan mempunyai makna iaitu pernyataan III dan IV. Pernyataan I iaitu unit terkecil dalam bahasa ialah fonem. Pernyataan II iaitu terdiri daripada imbuhan pula merujuk morfem terikat.