Pengikut laman ini

Friday, November 12, 2010

Fokus Karangan STPM - Peranan Filem

Nama Pelajar : Norfazlina binti Idris

Tingkatan : 6 Atas 1 (SMKBBST)
Tajuk : Bahasa Malaysia Kertas 2 – Soalan Percubaan Negeri Pahang 2010

Soalan 4

Filem merupakan salah satu elemen seni budaya yang diminati ramai.
     Huraikan peranan filem dalam masyarakat.

     Filem merupakan salah satu elemen seni budaya yang diminati ramai iaitu sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak. Kewujudan filem pada hari ini memberikan impak yang sangat besar dalam dunia perfileman. Hal ini boleh dilihat apabila banyak karyawan filem berusaha untuk menghasilkan filem yang berkualiti bagi menarik minat banyak golongan penggemar filem. Hal ini terbukti dengan karya yang telah dihasilkan dalam pelbagai bentuk filem seperti filem seram, komedi, cinta, fantasi, kehidupan dan sebagainya. Perkara ini boleh diibaratkan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ kerana apabila ada peluang, mereka tidak akan mempersia-siakannya begitu sahaja. Filem juga memainkan peranan yang penting terhadap masyarakat dan sepatutnya mereka memanfaatkan peluang keemasan itu dengan sebaik-baiknya.

     Elemen yang sangat mempengaruhi para karyawan menghasilkan sesuatu filem adalah sebagai alat hiburan terhadap golongan masyarakat. Pelbagai masalah yang menerjah fikiran banyak golongan boleh ditenangkan melalui filem yang sarat dengan pelbagai unsur terutamanya unsur komedi yang boleh mengurangkan tekanan pada akal fikiran mereka. Masyarakat masih boleh berhibur walaupun ada pandangan yang mengatakan perbuatan tersebut membuang masa sahaja. Kita memerlukan elemen filem yang sedemikian bagi mengelakkan diri kita daripada terbeban oleh tugas seharian. Kita akan akan dikatakan seperti ‘katak di bawah tempurung’ sekiranya tidak keluar dari dunia yang membosankan itu. Oleh itu, seseorang itu perlu memerlukan hiburan seperti filem agar mereka tidak terkongkong dalam satu cabang kehidupan sahaja.

     Filem juga penting sebagai medium bagi memberi nasihat dan pengajaran terhadap golongan masyarakat. Sekiranya tiada unsur perfileman, sudah tentu sukar untuk kita memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian kita. Tidak semua filem yang diketengahkan kepada masyarakat hanya hiburan semata-mata. Hal ini boleh dilihat apabila ada filem yang mengetengahkan nilai-nilai murni yang menasihatkan masyarakat mengikuti amalan sedemikian. Ada filem yang memaparkan kejahilan seseorang itu tentang sesuatu perkara yang menyarankan masyarakat untuk mengelakkan diri daripada menjadi sedemikian. Oleh itu, filem sebegini sentiasa menasihatkan masyarakat tentang pentingnya pengajaran yang dipaparkan supaya yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

     Kehidupan masyarakat pada hari ini ada pelbagai jenis dan kadangkala sukar untuk dicapai oleh akal. Melalui filem, mudah untuk masyarakat mengetahui situasi sebenar yang berlaku di dalam dunia hari ini. Kebanyakan filem yang dipaparkan berkisar tentang kehidupan dunia hari ini dan kita boleh mengetahui hakikat kehidupan sebenar seperti yang diimpikan oleh semua orang. Hal ini boleh dilihat apabila terdapat golongan yang hidup dalam kemewahan dan kesenangan tetapi hakikatnya jiwa mereka mengalami kekusutan yang berpanjangan. Sebagai contohnya, golongan selebriti yang indah khabar daripada rupa yang berlagak profesional di hadapan kamera tetapi kehidupan sebenar mereka tidak seindah seperti dalam filem. Oleh itu, melalui filem, kita akan berfikir dua kali untuk mengagumi mereka kerana kehidupan mereka penuh dengan ranjau yang perlu ditempuh.

     Hubungan kekeluargaan juga boleh dipererat dengan adanya karya dalam bidang perfileman ini. Perkara ini boleh didapati apabila banyak golongan masyarakat pada zaman sekarang yang sentiasa sibuk dengan kerjaya seharian mereka. Dengan adanya karya perfileman ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka terutamanya pada hujung minggu untuk ke pawagam bagi menonton filem. Sudah tentu anak-anak pula akan berasa seronok serta berasa tidak terabai kerana ibu bapa mereka prihatin terhadap diri mereka dan meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga. Hal ini boleh diibaratkan seperti peribahasa ‘sambil menyelam minum air’ kerana melalui filem, banyak faedah lain yang diperoleh bersama-sama dengan keluarga.

     Arena perfileman ini bukan sahaja berperanan terhadap golongan masyarakat yang menggemari filem itu sahaja malah filem juga memberikan kepentingan terhadap masyarakat. Perkara ini boleh dilihat apabila sektor pekerjaan juga boleh terisi  melalui dunia perfileman ini. Banyak golongan yang diperlukan bagi menghasilkan sesuatu filem dengan jayanya, bukan sahaja daripada golongan yang ada di hadapan kamera tetapi juga daripada golongan di belakang tabir yang bertanggugjawab untuk menggerakkan pembikinan sesuatu filem itu. Apabila industri perfileman memerlukan tenaga kerja, masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat akan dapat dikurangkan. Seterusnya industri perfileman dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat apabila adanya kerjaya dalam bidang perfileman.

     Oleh hal yang demikian, filem merupakan aspek yang diperlukan dalam masyarakat pada hari ini. Walaupun masyarakat beranggapan buruk terhadap sesetengah filem, tetapi karya itu sebenarnya memberikan pengajaran terhadap masyarakat. Jika masyarakat hanya tahu mengkritik karya yang dihasilkan itu tanpa mengetahui motif sebenar sesuatu filem itu, dunia perfileman sukar untuk berkembang. Seharusnya masyarakat berifkiran positif agar pengeluar filem menghasilkan karya yang lebih banyak dan barangkali lebih berkualiti untuk memajukan industri ini. Oleh itu, filem yang dihasilkan tidak harus dibiarkan begitu sahaja seperti ‘rumput di tepi jalan’ dan pengeluar filem haruslah menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti kerana ‘alang-alang mandi biarlah basah’.

6 comments:

Anonymous said...

pening wo bce karangan nie . btw , dapat jugak aku nk buat isi .. huhu

Anonymous said...

saya tiru!

EiracayoO said...

terbaik ! teruskan usaha ! ^_^

Anonymous said...

mohon copy ye..terime kasih

ikka kakak said...

terima kasih..sangat membantu

RAHMAN ZURIN said...

best... ... senang jugak aku nak buat assignment bm STPM...😂