Pengikut laman ini

Sunday, April 16, 2017

Teknik untuk Mengesan Ragam Ayat

Jika pelajar hendak mengesan ragam ayat, pelajar perlu mengenal pasti kata kerja  yang digunakan dalam ayat tersebut. Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah.

Soalan STPM Penggal 2 2016
Analisis soalan dan jawapan:
25  Yang manakah ayat pasif?
I    Saya terpanggil untuk menulis dalam ruangan ini.
II   Kami terpandang wajah tuan puteri yang cantik itu.
III  Pelbagai jenis kuih sudah terhidang di atas meja itu.
IV  Beberapa ekor haiwan liar terjatuh ke dalam gaung itu.
A   I dan II
B   I dan III
C   II dan IV
D   III dan IV

Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat pasif.  Oleh itu, pelajar perlu menentukan ragam ayat yang terdiri daripada ayat pasif dengan mengenal pasti kata kerjanya. Jawapannya B kerana  ayat I dan ayat III merupakan ayat pasif yang berimbuhan –ter (yang boleh digantikan dengan imbuhan –di) manakala ayat II dan ayat IV merupakan ayat aktif kerana imbuhan –ter membawa maksud melakukannya dengan tidak sengaja.

Thursday, April 13, 2017

Teknik untuk Mengesan Ayat Majmuk

Soalan STPM Penggal 2 – Soalan Objektif
Jika pelajar hendak mengesan ayat majmuk, pelajar perlu mengenal pasti kata hubung yang terdapat dalam ayat tersebut. Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah ini.

Soalan STPM Penggal 2 2015

Analisis soalan dan jawapan:

23 Yang manakah bukan ayat majmuk?
A   Perabot yang rosak itu dibaikinya kemudian dijualnya.
B   Ali membaca manakala rakannya yang kepenatan berehat.
C   Setiausaha mencatat nama ahli yang hadir yang memerlukan kenderaan.
D   Motosikal anak penghulu itu telah terbakar di tepi jalan pada minggu lalu.

Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat yang bukan ayat majmuk. Oleh itu, pelajar perlu mengenal pasti ayat majmuk dan yang bukan ayat majmuk. Jawapannya D kerana ayat dalam jawapan tersebut merupakan ayat tunggal dan bukannya ayat majmuk kerana tiada kata hubung dalam ayat itu. Ayat dalam jawapan A, B, dan C pula ialah ayat majmuk iaitu ayat majmuk campuran yang menggunakan sekurang-kurangnya dua kata hubung dalam satu ayat. Kata hubung yang digunakan dalam ayat tersebut ialah “yang”, “kemudian”, dan “manakala”.


Saturday, April 8, 2017

Teknik untuk Mengesan Penggolongan Ayat (STPM P2)

Soalan STPM Penggal 2 – Soalan Objektif

Kenal pasti perkara-perkara yang berikut sebagai cara untuk membantu pelajar mengesan penggolongan ayat dalam soalan objektif Penggal 2. Sebagai contohnya;

Ayat dasar dan ayat tunggal
         Kenal pasti subjek dan predikat ayat tersebut

Ayat majmuk
         Kenal pasti kata hubung dalam ayat tersebut.

Ragam ayat – ayat aktif dan ayat pasif
         Kenal pasti kata kerja yang digunakan dalam ayat tersebut.

Jenis ayat
         Kenal pasti kata kunci yang digunakan dalam ayat tersebut.

Susunan Konstituen Ayat
    Kenal pasti subjek, predikat, dan frasa keterangan serta analisis kedudukannya dalam ayat tersebut.

Ayat dasar dan ayat tunggal
Jika pelajar hendak mengesan ayat dasar atau ayat tunggal, pelajar perlu mengenal pasti subjek dan predikat ayat tersebut. Ayat tunggal pula mempunyai dua frasa juga tetapi sudah dipasifkan, disongsangkan susunannya, atau jenis ayatnya sudah berubah iaitu menjadi jenis ayat yang lain dan bukannya ayat penyata.
 

Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah.

Soalan STPM Ulangan Penggal 2 2016
Analisis soalan dan jawapan:
23   Yang manakah ayat dasar?
        I   Di sungai inilah pelancong itu mati lemas.
       II   Seekor anak burung murai telah terperangkap.
       III  Pemain simpanan juga perlu menjalani latihan.
       IV  Masalah penyalahgunaan dadah sukar ditangani.
       A   I dan II
       B   I dan IV
       C   II dan III
       D   III dan IV
Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat dasar.  Oleh itu, pelajar perlu menentukan pola ayat yang menepati pola ayat dasar seperti yang dikehendaki oleh soalan. Jawapannya C kerana pola ayat II (FN + FK) dan pola ayat III (FN + FK) menepati pola ayat dasar. Ayat I ialah ayat songsang yang bukan ayat dasar dan ayat IV ialah ayat pasif yang juga bukan ayat dasar tetapi kedua-duanya ialah ayat tunggal.