Pengikut laman ini

Thursday, December 31, 2009

Penyelidikan dan Kolokium Prauniversiti

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil beberapa langkah untuk memartabatkan Tingkatan 6 mulai tahun lepas (2009). Antara langkah tersebut adalah dengan melantik guru-guru khusus yang mengajar pelajar tingkatan 6. Beberapa perjawatan telah diwujudkan seperti, Penolong Kanan Tingkatan 6, Guru Akademik Tingkatan 6 daripada Gred DG44 hingga DG52, Guru Kokurikulum, dan Guru Amali. Selain itu, budaya belajar pelajar Tingkatan 6 juga sudah diubah dengan memperkenalkan konsep kuliah dan tutorial. Pelajar-pelajar juga mesti menjalankan penyelidikan dan menyampaikan hasil penyelidikan itu dalam kolokium. Selain itu, nama Tingkatan 6 itu juga diubah dengan panggilan Prauniversiti. Guru-guru Prauniversiti juga digalakkan untuk dipanggil sebagai pensyarah iaitu sama taraf dengan pensyarah Kolej Matrikulasi dan juga Institut Pendidikan Guru.

Bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan martabat prauniversiti ini, pelajar-pelajar prauniversiti sepatutnya menjalankan penyelidikan dan kolokium. Hal ini bertepatan dengan usaha untuk mendedahkan mereka kepada budaya dan sistem belajar di universiti nanti. Penyelidikan dan kolokium yang perlu dijalankan oleh pelajar tingkatan 6 ini merupakan sesuatu yang baharu tetapi memberikan manfaat yang banyak kepada pelajar. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar sudah didedahkan dengan kaedah penyelidikan dan kolokium sebelum memasuki universiti lagi. Jadi, pelajar-pelajar lebih terdedah dengan imput-imput penting yang berkaitan dengan penyelidikan, membuat rujukan, dan menjalankan penyelidikan yang berkaitan rapat dengan budaya di universiti. Pelajar-pelajar ini pastinya tidak akan menghadapi masalah apabila melanjutkan pengajian ke menara gading nanti.

Bagi guru-guru Prauniversiti pula, selain diminta untuk menyelia atau membimbing pelajar-pelajar untuk menjalankan penyelidikan, mereka juga perlu menjalankan kajian tindakan iaitu satu kajian setahun. Oleh itu, guru-guru juga perlu menyiapkan diri dengan ilmu penyelidikan yang mungkin pernah dipelajari semasa di universiti dahulu. Guru-guru bolehlah mencari bahan-bahan ataupun rujukan yang pernah digunakan semasa menjalankan penyelidikan di universiti dahulu iaitu untuk memenuhi keperluan pengijazahan sama ada pada peringkat sarjana muda, sarjana, atau doktor falsafah.

Oleh hal yang demikian, pada peringkat permulaan untuk melaksanakan penyelidikan dan kolokium ini, sudah tentu terdapat masalah untuk menyesuaikan diri. Selain itu, masih terdapat juga guru dan pelajar yang masih belum jelas tentang konsep penyelidikan dan kolokium yang dimaksudkan itu. Dengan berdasarkan permasalahan tersebut, saya ingin berkongsi maklumat tentang penyelidikan dan penulisan ilmiah yang akan dijalankan oleh pelajar dan juga guru. Sebenarnya beberapa buah negeri sudahpun memperkenalkan satu bentuk atau format penulisan ilmiah yang perlu dihasilkan selepas menjalankan penyelidikan. Walaupun terdapat sedikit perbezaan, tetapi format tersebut bolehlah diguna pakai kerana menepati ciri-ciri penyelidikan ilmiah yang sebenar. Format yang telah digunakan di beberapa buah negeri itu adalah seperti yang berikut:

Format Penyelidikan dan Penulisan Ilmiah Prauniversiti

Jumlah Halaman (15 - 25)

Halaman Judul
Isi kandungan
Abstrak (Ada kalanya versi Bahasa Inggeris turut disertakan pada muka surat berikutnya)
Teks (body)
1.0 Pengenalan/ Latar belakang Kajian
2.0 Definisi Konsep/ Operasional
3.0 Kajian / Tinjauan Literature
4.0 Matlamat Kajian
5.0 Objektif Kajian
6.0 Persoalan Kajian (jika ada)
7.0 Hipotesis Kajian (jika ada/ jika statistik inferensi digunakan)
8.0 Kepentingan Kajian
9.0 Skop dan Batasan Kajian (jika ada)
10.0 Kaedah/ Metodologi Kajian
11.0 Analisis Data Kajian
12.0 Dapatan Kajian dan Rumusan
13.0 Cadangan
14.0 Penutup
Rujukan/Bibiliografi
Lampiran

Sekurang-kurangnya dengan adanya format contoh ini, para guru dapat memberikan bimbingan dan menyelaraskan penyelidikan yang dijalankan oleh pelajar-pelajar yang dibimbingnya itu. Hal ini seterusnya akan membantu pelajar untuk menjalankan penyelidikan dengan baik dan menghasilkan satu penulisan ilmiah yang berkualiti. Selamat menjalankan penyelidikan.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, December 29, 2009

Buku Terbaharu - BM Tingkatan 5


Buku terbaharu yang saya tulis, Buku Praktis@Cerdik, Bahasa Malaysia Tingatan 5 sudah berada di pasaran untuk digunakan pada tahun depan. Buku tersebut ialah buku kerja topikal yang mengandungi praktis berformat SPM untuk kertas 1 dan 2. Latihan lengkap tersebut terdiri daripada 13 Praktis Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan dan 48 Praktis Karangan Respons Terbuka. Kedua-dua jenis praktis karangan Bahagian A dan Bahagian B tersebut turut disediakan rangka karangannya sekali.

Selain itu, disediakan juga 9 Praktis soalan Rumusan, 9 Praktis Pemahaman Petikan Umum, dan 106 Praktis Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa. Satu booklet yang menyediakan Praktis Pemahaman Komsas untuk setiap genre iaitu Praktis Antologi Kerusi dan juga Praktis Novel turut disediakan. Satu set Kertas Ramalan SPM 2010 juga disediakan untuk dijadikan sebagai latihan tambahan oleh calon-calon SPM tahun 2010.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, December 15, 2009

Sinopsis Novel Melunas Rindu - Hartini Hamzah

Novel KOMSAS Tingkatan 4 2010 (Negeri Johor, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan)


Fuad ialah seorang pemuda yang berketurunan Cina dan beragama Islam. Selain nama Fuad, dia juga memiliki dua nama lain iaitu Joshua dan Abdul Halim. Ayahnya ialah Robert Lim yang berketurunan Cina dan berkahwin dengan Mariana yang berketurunan Melayu. Walau bagaimanapun, hidupnya penuh dengan liku kerana sejak kecil lagi dia tidak mengenali dan tidak mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya. Dia dibesarkan oleh Peter Lim iaitu bapa saudaranya yang juga adik kepada Robert Lim iaitu ayah kandungnya yang sebenar. Selepas itu dia menjadi anak angkat kepada Pak Ismail dan Mak Salmah. Fuad berusaha untuk mencari kubur ibunya yang disangkanya sudah meninggal dunia. Fuad mendapat sokongan

Fuad yang telah diminta moral daripada Pak Ismail, Mak Salmah, Peter Lim, Swee Lan, dan Robert Lim sendiri memberikan bantuan untuk mengesan ibunya melalui cincin yang diberikan Robert Lim kepada Mariana. Selain itu, Fuad juga dibantu oleh Pak Said dan Pak Ngah Lias untuk mengesan kubur ibunya itu. Akhirnya Fuad mendapat maklumat bahawa ibunya tidak meninggal dunia dan masih hidup. Fuad telah ditawarkan sebagai guru sandaran tidak terlatih di Sekolah Menengah Seri Setia oleh Cikgu Abas. Setelah mempertimbangkan Fuad telah menerima tawaran tersebut. Di sekolah itu Fuad telah berkenalan dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah yang sama. Fuad sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugasnya dan hubungannya menjadi semakin rapat dengan Farhana. Hubungan yang rapat itu akhirnya melahirkan perasaan cinta yang suci antara mereka berdua. Walau bagaimanapun, perasaan itu terpaksa diubah kerana hubungan mereka sebenarnya adalah sebagai adik-beradik daripada ibu yang sama tetapi berlainan bapa.

Sementara itu Farhana menghadapi konflik dengan Cikgu Zamani di sekolah. Hal ini demikian kerana, Cikgu Zamani selalu mengkritik dan mengutuknya dengan pelbagai kritikan dan kutukan. Farhana pula mengatakan bahawa Cikgu Zamani tidak sepatutnya ponteng kelas dan tidak menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Sepatutnya cikgu Zamani melakukan tindakan yang selaras dengan perkara yang dikatakannya. Dia selalu mengatakan orang lain sahaja yang melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi tidak menyedari bahawa dia sendiri melakukan kesalahan.

Fuad pula menunjukkan keprihatinannya dengan mengambil berat terhadap Farhana. Sebagai contohnya, Fuad mengajak Farhana menaiki keretanya dan dia menghantar Farhana ke rumah ibu Farhana di Kuantan. Selain itu, Fuad juga menemani Farhana di hospital ketika ibu Farhana, iaitu Mariana yang diserang sakit lelah dimasukkan ke hospital. Ketika berada di hospital itulah Fuad mengetahui bahawa nama emak Farhana itu sama dengan nama ibu kandungnya selepas terpandang nama emak Farhana pada rekod catatan perubatan ibu Farhana.

Fuad terpaksa menenangkan perasaan Farhana yang agak sukar menerima hakikat bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Fuad cukup bersedia untuk menerima hakikat itu kerana dia sudah biasa hidup dalam keadaan yang penuh dengan cabaran dan masalah. Ayah kandung Fuad juga mengesali perbuatan silamnya yang meninggalkan Mariana selepas tiga bulan berkahwin tanpa sebarang berita. Robert Lim memohon maaf daripada Pak Ismail, Mak Salmah dan juga Mariana atas kesalahan-kesalahannya itu. Fuad juga akhirnya menerima hakikat bahawa Robert Lim ialah ayah kandungnya, Mariana sebagai ibu kandungnya dan juga Farhana sebagai adik kandungnya.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, December 11, 2009

Buku Terbaharu - Bravo Bahasa Malaysia PMR 2010


Buku terbaharu saya, Buku Kerja Bravo PMR, Bahasa Malaysia Tingkatan 3 sudah berada di pasaran untuk digunakan pada tahun 2010. Buku ini dihasilkan bersama-sama dengan seorang penulis lagi, iaitu Cikgu Amir Hazlin Lin. Buku tersebut ialah buku kerja yang mengandungi praktis berformat PMR untuk kertas 1 dan 2. Latihan lengkap tersebut terdiri daripada Latihan Sistem Bahasa, Pemahaman Komsas (Praktis PMR), Ringkasan dan Pemahaman, Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan, Karangan Respons Terbuka dan Novel. Selain itu, terdapat juga set soalan simulasi piawai PMR berdasarkan Penilaian Kendalian Sekolah Menengah dan Kertas Percubaan PMR untuk 2010. Ruangan Bonanza untuk pelaksanaan Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) juga disediakan dengan instrumen contoh yang lengkap.

Buku ini turut memuatkan petua menjawab Soalan PMR, Ulasan Komsas, Sisipan Nota Tatabahasa, Input Komsas dan Mahir Kosa Kata, himpunan Mutiara Kata, Koleksi Istimewa Peribahasa dan Skema Jawapan.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, December 5, 2009

Analisis Kertas 2 Bahasa Malaysia STPM 2009

Peperiksaan Kertas 2 Bahasa Malaysia STPM 2009 telah berlalu dan calon-calon STPM tahun 2010 bolehlah meneliti analisis soalan tahun 2009 seperti yang dipaparkan di bawah ini. Kaji trend soalan tahun 2009 ini dengan teliti untuk membuat perancangan dan jangkaan bagi menentukan fokus soalan pada tahun 2010.
Bagi pelajar-pelajar STPM tahun 2009 (terutamanya kepada pelajar-pelajar SMKBBST), cikgu ingin mengucapkan tahniah dan syabas kerana telah berusaha dengan gigih dan cuba untuk menjawab soalan dengan teliti. Alhamdulillah soalan tahun ini tidaklah terlalu sukar untuk dijawab. Cikgu berharap agar semuanya akan mendapat kejayaan yang cemerlang nanti. Cikgu juga sentiasa mendoakan kejayaan anda semua, seperti kejayaan yang dicapai oleh pelajar-pelajar STPM tahun 2008.

Bahagian A : Karangan

1. Pihak kerajaan kerap memberikan saranan agar industri desa dimajukan. Berikan penjelasan anda tentang manfaat memajukan industri desa. (Tiada format khusus)
2. Muzik merupakan salah satu elemen seni budaya yang diminati ramai. Huraikan peranan muzik dalam masyarakat. (Tiada format khusus)
3. Pihak kerajaan memberikan saranan kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda agar menguasai lebih daripada satu bahasa. Pada pandangan anda, apakah kelebihan menguasai lebih daripada satu bahasa? Kemukakan cadangan anda untuk menggalakkan generasi muda menguasai lebih daripada satu bahasa. (Tiada format khusus)
4. Malaysia ialah salah sebuah negara yang berjaya menyatupadukan rakyatnya yang berbilang kaum. Usaha tersebut ternyata mendatangkan faedah kepada semua pihak dan perlu diteruskan. Pada pendapat anda, mengapakah perpaduan kaum penting kepada rakyat dan negara? Jelaskan langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan perpaduan kaum di negara ini. (Tiada format khusus)

Bahagian B : Rumusan

Soalan 5
Petikan tentang baik buruk makanan yang diubahsuaikan genetiknya. (Diubahsuaikan daripada Estidotmy, Utusan Malaysia, Rabu, 28 Mac 2007, halaman 12-13)

Bahagian C : Alih Bentuk Bahasa

Soalan 6
Sajak bertajuk Kedidi (Diubahsuaikan daripada Marzuki Ali dalam Jeritan Satwa Luka, 2000, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 125 – 126)

Soalan 7
Iklan tentang Larian Jambatan Pulau Pinang, 8 Jun 2009

Bahagian D : Kesalahan Bahasa

Soalan 8
Kata hubung berpasangan, kata nafi, penanda wacana, hukum DM, kata ganda,

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, November 7, 2009

Teknik untuk Memahami Maksud Peribahasa

Gunakan teknik makna tersurat dan tersirat
Saya mendapati bahawa masih terdapat pelajar yang menghadapi masalah untuk memahami maksud sesuatu peribahasa. Hal ini menyukarkan mereka untuk menjawab soalan peribahasa terutamanya dalam Soalan Tatabahasa SPM dan juga STPM. Sebenarnya soalan peribahasa ini sudah dipelajari oleh pelajar sejak sekolah rendah lagi dan diuji dalam soalan PMR hinggalah soalan STPM. Selain itu, peribahasa juga perlu digunakan oleh murid-murid dalam penulisan karangan mereka untuk memantapkan karangan.

Saya mencadangkan agar murid-murid memahami maksud peribahasa tersebut dari segi maksud yang tersurat dan kemudian kaitkan dengan maksud yang tersiratnya. Kebiasaannya maksud tersurat itu berkaitan rapat dengan imej alam dan kehidupan masyarakat Melayu lama/tradisional. Kemudian maksud tersiratnya pula berkaitan rapat dengan budaya hidup masyarakat Melayu zaman dahulu. Kalau dilihat pada peribahasa-peribahasa yang selalu disebut dan digunakan, sudah tentu peribahasa tersebut menggunakan perkataan-perkataan yang merujuk kepada imej alam dan berada di sekeliling masyarakat Melayu lama. Sebagai contohnya, perkataan-perkataan seperti rebung, buluh, aur, tebing, pembetung, parang, pekasam, daun keladi, dan sebagainya, memang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu tradisional.

Saya akan memberikan contoh tentang cara bagaimana hendak menggunakan teknik ini berdasarkan peribahasa yang biasa kita gunakan. Oleh itu, murid-murid hendaklah mencuba cara ini untuk mendapatkan maksud peribahasa yang lain. Kalau perlu, murid-murid haruslah berbincang dengan guru-guru Bahasa Melayu untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas.

Peribahasa “Melentur buluh biarlah dari rebung”Maksud tersuratnya ialah buluh mudah dilentur atau dibentuk kalau masih muda atau peringkat rebung, tetapi kalau buluh sudah tua atau matang, sudah tentulah sukar untuk dilentur lagi.
Maksud tersiratnya pula ialah sekiranya kita hendak mendidik anak-anak, eloklah pada masa mudanya kerana pada peringkat ini mereka masih mendengar kata tetapi kalau sudah dewasa baru hendak dididik sudah tentu perkara itu menjadi sukar mereka sudah tidak mahu mendengar kata lagi.

Peribahasa “Bagai aur dengan tebing”Maksud tersuratnya ialah pokok aur atau pokok buluh kecil yang ditanam atau tumbuh di tepi tebing parit atau sungai memberikan kebaikan kepada tebing itu, iaitu tidak mudah runtuh kerana akar aur itu mencengkam tanah di tepi tebing.
Maksud tersiratnya pula ialah seseorang itu memerlukan pertolongan orang lain untuk hidup. Sekiranya seseorang itu hidup bersendirian tanpa orang lain, sudah pastinya hidupnya akan menghadapi masalah.

Peribahasa “Seperti mencurah air ke daun keladi”Maksud tersuratnya ialah jika kita mencurah air ke atas daun keladi sudah tentulah daun keladi itu tidak basah dan tidak meninggalkan kesan.
Maksud tersiratnya ialah seseorang yang diberi nasihat itu tetapi tidak memanfaatkan nasihat itu untuk mengubah atau membaiki sikapnya.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, October 23, 2009

Karangan Pelajar STPM

Kali ini saya akan memaparkan karangan yang ditulis oleh pelajar Tingkatan 6 Atas SMKBBST. Pelajar ini memang rajin dan sentiasa berazam untuk mendapat Prinsipal A dalam Bahasa Malaysia STPM tahun ini. Pelajar ini rajin menghantar karangan dan meminta karangannya itu disemak dan diberikan komen. Usaha seperti ini memang patut diberikan pujian dan digalakkan. Semoga Nadia Jalal akan memperoleh Prinsipal A dalam Bahasa Malaysia STPM tahun ini. Insya-Allah.

Soalan Karangan:

Pada masa ini, timbul masalah rumah yang telah siap dibina tetapi belum dijual oleh syarikat pemaju perumahan. Huraikan pendapat anda tentang punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku dan kesan-kesannya.
Di Malaysia, fenomena rumah yang tiada pembeli semakin kerap dilaporkan di media massa, tidak kira di bandar seperti Kuala Lumpur bahkan di pinggir kota juga turut mengalami masalah yang sama. Perkara ini seolah-olah tiada penyelesaian kerana semakin banyak perumahan baru muncul, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Tindakan yang diambil oleh pihak berwajib pula bagaikan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Akibatnya, banyak perumahan yang terbiar dan kosong tanpa penghuni yang boleh disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jadi, masalah ini seharusnya mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab agar dapat diselesaikan dengan segera. Sebenarnya, masalah ini bukannya berlaku dengan tiba-tiba tetapi banyak faktor penyebabnya yang akhirnya memberikan kesan kepada kita.

Rumah yang tidak dapat dijual oleh pemaju kebanyakannya disebabkan oleh ketiadaan Sijil Kelayakan Menduduki Rumah (CF). Sijil ini dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai tanda kelulusan atau pemberitahuan bahawa sesebuah rumah selamat daripada bahaya dan boleh diduduki oleh penghuninya. Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam pemberian CF ini ialah kualiti bahan binaan yang digunakan dan ketahanan bangunan tersebut untuk menampung penghuni. Kadang-kadang, CF lambat atau gagal diberi, kerana ketidaksempurnaan kerja atau berlaku penipuan dalam meluluskan projek perumahan ini. Hal ini akan menyebabkan pengguna tidak mahu membeli rumah kerana mereka khuatir keselamatan dan nyawa mereka akan terancam.

Kos pembinaan rumah yang tinggi menyebabkan harga yang diletakkan oleh pemaju terhadap rumah-rumah yang telah dibina itu tinggi dan mungkin terlalu mahal untuk individu yang berpendapatan sederhana dan rendah. Hal ini dikatakan demikian kerana bahan-bahan mentah yang digunakan seperti simen, rangka besi, dan pasir dibeli dengan harga yang mahal berikutan pemborong meletakkan harga mengikut pasaran semasa. Oleh itu, untuk mendapatkan pulangan modal, pemaju terpaksa meletakkan harga yang bersesuaian dengan kos pembinaan tersebut. Harga yang tinggi ini menyukarkan penduduk yang berpendapatan sederhana atau rendah untuk memiliki sebuah kediaman untuk mereka kerana khuatir bahawa perbelanjaan mereka melebihi anggaran yang sepatutnya. Oleh hal yang demikian, pemaju perlulah meletakkan harga yang berpatutan agar masyarakat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Kawasan perumahan yang tidak strategik turut mempengaruhi penjualan sesebuah rumah tersebut. Kebiasaannya, para pemaju perumahan akan menjadikan tanah atau kawasan baharu yang terletak di pinggir kota atau jauh dari bandar sebagai kawasan perumahan yang baharu. Hal ini berlaku demikian kerana, di kawasan tersebut terdapat tanah yang lapang, luas dan tiada lagi penduduk yang menghuninya. Walau bagaimanapun, kawasan perumahan yang baru itu selalunya tidak mempunyai prasarana atau kemudahan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, pengangkutan awam, sekolah, kedai dan klinik. Selain itu, jarak yang jauh dari kota atau tempat kerja meningkatkan ketidakinginan masyarakat untuk membeli rumah itu. Akhirnya, kawasan perumahan baharu itu terus menjadi projek gajah putih iaitu terbiar tanpa pembeli, sekali gus akan merugikan pihak pemaju perumahan.

Masalah ini akan menimbulkan kesan terhadap masyarakat dan juga negara amnya. Masalah tersebut ialah masalah sosial dalam kalangan warga tempatan atau pun yang dilakukan oleh warga asing. Perkara ini disebabkan kawasan perumahan yang banya rumah kosong dan terbiar lebih mudah disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti penagih dadah untuk melakukan aktiviti mereka kerana tiada orang untuk mengawasi dan memantau kawasan tersebut. Rumah-rumah kosong ini juga dijadikan tumpuan oleh pelajar-pelajar yang ponteng sekolah. Di samping itu, kawasan perumahan tersebut seolah-olah menggalakkan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat dijalankan tanpa rasa segan silu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh itu, jawatankuasa penduduk di kawasan perumahan berhampiran dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan terpaksa melakukan rondaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak elok daripada berlaku.

Hasil kutipan cukai oleh kerajaan turut terjejas apabila rumah-rumah tersebut tidak laku di pasaran kerana pihak pemaju tidak mendapat pulangan yang disasarkan akibat rumah yang dibina itu tidak dapat dijual sepenuhnya. Jadi, pihak pemaju tidak dapat membayar cukai keuntungan syarikat yang akan digunakan untuk membangunkan negara dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat. Di samping pendapatan kerajaan akan menguncup, terdapat juga pekerja sesetengah syarikat perumahan yang terpaksa memberhentikan pekerjanya dan hal ini sudah tentu menimbulkan masalah kepada pekerja yang diberhentikan itu. Oleh itu, taraf hidup yang sepatutnya meningkat sejajar dengan peredaran zaman berlaku penurunan dan impaknya akan dirasai oleh rakyat Malaysia.

Kesimpulannya, pembangunan sesuatu kawasan yang disokong oleh pertumbuhan rumah-rumah baharu sepatutnya mampu dimiliki oleh penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak berlaku malahan jualan yang disasarkan tidak dapat dicapai akibat kesilapan pihak pemaju itu sendiri yang mengharapkan untung yang berlipat kali ganda. Harapan pemaju peruamahan tidak menjadi kenyataan, malahan masalah-masalah lain pula yang berlaku. Oleh hal yang demikian, pemaju perumahan hendaklah sentiasa memikirkan cara-cara untuk menjalankan promosi yang bersesuaian agar dapat menarik minat pembeli rumah untuk membeli produk mereka itu dengan kerjasama pihak kerajaan. Diharapkan juga, pada masa akan datang tiada lagi rumah yang terbiar kerana ketiadaan pembeli, dan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah mereka sendiri.

Karangan ditulis oleh : Nadia A. Jalal (Pra-U Atas Sastera)

Wednesday, October 14, 2009

Buku Karangan SPM Terbaharu


Buku terbaharu yang saya tulis, Karangan Gred A SPM sudah berada di pasaran mulai 13 Oktober 2009. Buku tersebut ialah buku karangan SPM edisi kemas kini yang saya tulis bersama-sama dengan penulis asalnya iaitu Cikgu Marzukhi Nyak Abdullah. Buku ini memuatkan 132 model karangan terpilih di samping soalan-soalan latihan karangan berdasarkan trend soalan terkini.

Buku ini turut memuatkan 23 karangan contoh berdasarkan tema karangan daripada Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Selain itu, buku ini juga memuatkan karangan contoh tentang karangan dimensi/Isu Antarabangsa dan juga karangan berformat perbahasan ala parlimen. Di samping itu, buku ini juga membincangkan teknik penulisan karangan iaitu Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan dan juga Karangan Respons Terbuka untuk dijadikan panduan oleh calon-calon SPM. Rangka karangan dan karangan contoh yang lengkap berdasarkan soalan contoh yang dipaparkan dalam blog ini sebelum ini juga boleh didapati daripada buku ini.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Pada hari yang baik dan bulan yang baik ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua guru dan pelajar yang melayari blog ini. Ucapan yang sama juga ditujukan kepada semua rakan guru terutamanya guru-guru di SMKBBST, Guru-guru Cemerlang Daerah Sepang, negeri Selangor, dan di seluruh negara serta guru-guru tingkatan 6 serta pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan PMR, SPM dan STPM tidak lama lagi.
Di samping bergembira semasa menyambut Hari Raya ini jangan lupa dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing selepas ini. Bagi guru-guru, teruskan usaha untuk membimbing pelajar dan bagi pelajar-pelajar pula teruskan usaha untuk meningkatkan pencapaian masing-masing.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, September 4, 2009

Fokus Karangan SPM 2009 – Soalan Nombor 4 (Dimensi Isu Antarabangsa)

Kali ini saya akan mencadangkan soalan-soalan yang berfokus pada dimensi isu antarabangsa. Soalan ini memang agak mencabar minda calon-calon SPM untuk mencubanya. Hal ini dikatakan demikian kerana calon-calon SPM perlu bersiap sedia dengan maklumat atau fakta yang berkaitan dengan sesuatu isu antarabangsa itu. Calon-calon SPM perlulah membuat rujukan terlebih dahulu dan membaca bahan-bahan tersebut daripada majalah, akhbar, internet, jurnal, dan sebagainya. Saya percaya bahawa memang ada calon SPM yang suka akan soalan dimensi ini. Soalan-soalan latihan tersebut adalah seperti yang berikut.

Latihan 1


Industri pelancongan negara turut menerima tempias akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia beberapa tahun lalu.

Sarankan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara kita dan negara-negara yang terlibat.


Latihan 2


Kegiatan pengganas dan pihak yang tidak bertanggungjawab yang meletupkan bangunan-bangunan tertentu di beberapa buah negara telah menyebabkan kesengsaraan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dunia.

Berikan komen anda tentang penyataan tersebut.


Latihan 3
Kemasukan pendatang asing tanpa izin dari negara asing ke Malaysia telah menimbulkan masalah dari segi ekonomi, sosial, dan menyebabkan ketegangan hubungan diplomatik antara negara yang terlibat.

Bincangkan penyataan di atas.

Latihan 4

Pelaksanaan Zon Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) telah menyebabkan pengeluar dan produk sesebuah negara itu tidak lagi mendapat perlindungan untuk bersaing kerana pengguna boleh memilih produk yang lebih berkualiti dan lebih murah harganya daripada negara lain.

Huraikan pendapat anda tentang penyataan tersebut.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, August 29, 2009

Selamat Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara dan Karangan STPM

Cikgu ingin mengucapkan selamat hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52 pada 31 Ogos ini kepada semua. Diharapkan semuanya dapat menghayati erti kemerdekaan negara yang sebenar.

Cikgu juga akan memaparkan soalan contoh dan karangan contoh tentang semangat patriotik untuk tatapan bersama.


Soalan Contoh
Semangat patriotik dikatakan semakin luntur dalam kalangan rakyat negara ini.
Huraikan usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita.


Karangan Contoh
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini dikatakan demikian kerana semuanya sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, usaha-usaha perlu dilakukan supaya semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu, media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Dengan cara itu, kesedaran tentang semangat cinta akan negara dapat ditingkatkan.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga, dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberikan makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Sebagai kesimpulannya, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama, dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Sekiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, August 16, 2009

Ulang kaji Komponen Sastera (Sajak) SPM 2009

Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 5 sajak lagi yang belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan sajak-sajak tersebut semasa mengulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan maksud kelima-lima sajak tersebut kali ini untuk membantu pelajar supaya ingat akan maksudnya semula.

1. Sajak Derita Pertama
Maksud sajak
Rangkap 1:
Adam terdampar ke dunia akibat melanggar perintah Allah yang melarangnya makan buah khuldi.

Rangkap 2:
Adam terlantar di tempat baru pada waktu tengah malam. Adam tidak mengerti suasana di tempat baru itu.

Rangkap 3:
Adam berasa cemas berada dalam keadaan yang gelap gelita.

Rangkap 4:
Sepanjang malam Adam bingung dan sedih menghadapi keadaan itu seorang diri.

Rangkap 5:
Sepanjang malam itu Adam hanya menangis sambil merenung bulan di angkasa.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah nilai kemanusiaan dan pengajaran.


2. Sajak Anak Laut
Maksud sajak
Rangkap 1:
Nelayan tua terkenang akan koleknya di laut. Dengan kolek itulah dia mencari rezeki di laut.

Rangkap 2:
Kolek usang dan nelayan tua mempunyai persamaan, iaitu saat kemusnahan dan kematian semakin hampir.

Bentuk sajak

Bentuknya bebas.

Terdiri daripada dua rangkap

Bilangan baris dalam rangkap tidak sama; rangkap pertama ada sembilan baris; rangkap kedua ada lima baris.

Panjang pendek barisnya tidak sama; paling pendek ada satu perkataan dan yang paling panjang ada 5 perkataan.

Suku kata dalam baris juga tidak sama; antara satu suku kata hingga tiga belas suku kata.

Rima akhirnya bebas/tidak sama

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, bentuk dan nilai kemanusiaan.

3. Sajak Jalan-jalan Raya Kotaku
Maksud Sajak
Rangkap 1:
Sepanjang perjalanan di kota, kesesakan jalan raya menguji kesabaran para penggunanya.

Rangkap 2:
Kebanyakan pengguna jalan raya hilang sabar. Ada juga pengguna jalan raya yang sombong dan bertindak mengikut perasaan. Keadaan sebegitu menyebabkan perjalanan terasa amat membosankan.

Rangkap 3:
Tiada sopan santun di jalan raya. Para pengguna jalan raya menonjolkan kelebihan dan kekuatan sehingga hilang sifat sopan santun. Demikianlah sifat warga kota pada masa kini.

Rangkap 4:
Jalan raya menjadi tempat manusia melakukan keganasan. Tiada lagi nilai murni dalam diri manusia pada akhir zaman ini.


Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah tema, nilai-nilai kemanusiaan dan pengajaran.


4. Sajak Duhai Pentafsir

Maksud sajak
Penyajak mencari pentafsir atau pembimbing yang dapat memimpinnya ke jalan kebenaran.
Dalam usia tua, penyajak menyedari segala kesilapannya, tetapi dia belum menemui petunjuk atau hidayah.
Oleh sebab itu, kehidupannya penuh dengan keresahan.
Dia melakukan kesilapan kerana tidak mendapat pendidikan agama yang cukup sejak kecil.
Penyajak sedar akan keadaan dirinya yang semakin tua dan kekuatan fizikalnya yang semakin berkurang.
Keadaan itu menyukarkannya untuk mendalami ilmu agama.
Selama ini penyajak terpengaruh oleh pelbagai gejala negatif tetapi kini dia telah sedar dan ingin mendampingi Tuhan.


Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, bentuk dan nilai kemanusiaan.


5. Sajak Di Ruang Gemanya

Maksud Sajak
Penyajak menumpukan seluruh taat setianya kepada negara dan senantiasa berharap agar negaranya akan mencapai kejayaan dan kegemilangan.
Demi rasa setianya itu, dia sanggup menghadapi sebarang rintangan tanpa mengenal rasa kecewa atau derita.
Penyajak juga menganggap dugaan yang dihadapi adalah sebagai adat kehidupan dan dia sanggup berkongsi pengalamannya dengan orang lain untuk menghadapi pelbagai bentuk cabaran hidup.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah bentuk, persoalan dan pengajaran.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, August 9, 2009

Ulang kaji Komponen Sastera (Cerpen) SPM 2009

Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 3 cerpen lagi yang belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan cerpen-cerpen tersebut semasa membuat ulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan ringkasan cerita ketiga-tiga cerpen tersebut kali ini untuk membantu pelajar supaya ingat akan ceritanya semula.

1. Cerpen Annyss Sophillea

Ringkasan Cerita
Cerpen ini mengisahkan Annyss Sophillea dari planet Alstonia yang hendak mencari kembarnya, iaitu Eyrique Etiqaz di bumi. Di bumi, dia bersahabat baik dengan Akmal. Setelah gagal mencari kembarnya, Annyss Sophillea kembali ke Alstonia. Dia bertemu dengan Strenn, iaitu sepupunya yang telah merampas kuasa kerajaan Alstonia. Sepatutnya Eyrique Etiqazlah yang mewarisi takhta kerajaan itu.

Annyss Sophillea pula berasa yakin bahawa Strenn telah menyembunyikan kembarnya itu supaya dapat terus kekal berkuasa. Oleh itu, dia berusaha untuk mencari Eyrique Etiqaz. Pada masa itulah Akmal datang untuk memberikan bantuan kepada Annyss Sophillea. Akmal berjaya naik ke Alstonia dengan menunggang eustary. Annyss Sophillea memberitahu Akmal bahawa dia dipisahkan daripada kembarnya supaya mereka menjadi lemah, sebaliknya jika mereka bersatu, mereka akan menjadi sangat kuat.

Akhirnya Annyss Sophillea dan Akmal berjaya menemui Eyrique Etiqaz di sebuah bilik kurungan di hujung terowong rahsia. Mereka pun mengeluarkan Eyrique Etiqaz dari bilik kurungan itu. Tenaga Eyrique Etiqaz pulih dalam masa yang singkat apabila dia menyentuh tanduk eustary.

Pada masa itu juga, Strenn datang dan menyebabkan dia dan Eyrique Etiqaz beradu kekuatan. Masing-masing memiliki kesaktian untuk mengalahkan lawan masing-masing. Pada suatu peringkat, apabila melihat Eyrique Etiqaz hampir kalah, Akmal mengeluarkan pistol lalu menembak Strenn, namun demikian di Alstonia, sesiapa yang membunuh orang maka dia juga akan turut terbunuh. Oleh sebab itu, Akmal turut tumbang dan merasai kesakitan yang ditanggung oleh Strenn. Walau bagaimanapun, Annyss Sophillea dan Eyrique Etiqaz sempat meletakkan tangan mereka pada dada Akmal untuk menyelamatkan nyawa sahabat mereka dari bumi itu.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan perhatian pada perwatakan Annyss Sophillea dan latar tempat serta latar masyarakatnya.

2. Cerpen Lambaian Malar Hijau
Ringkasan Cerita

Cerpen ini mengisahkan Daneng, anak orang Asli dari perkampungan di Lembah Tualang yang enggan meneruskan pelajaran walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Daneng sudah meninggalkan sekolah berasrama itu selama enam bulan dan kembali ke tempat tinggalnya semula. Cikgu Jo yang tidak mudah berputus asa terus memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya. Pada peringkat awalnya Daneng tetap berkeras dan tidak mahu menyambung pelajarannya kerana terlalu cinta akan kawasan hutan yang dianggapnya sebagai warisan nenek moyangnya.

Cikgu Jo menasihati Daneng agar melanjutkan pelajaran, kerana dengan ilmu dan kedudukan yang baik, dia akan dapat menjaga hutan itu dengan lebih berkesan. Akhirnya hati Daneng menjadi lembut dan dia bersetuju untuk meneruskan pelajarannya.

Dua puluh lima tahun kemudian, Daneng telah berjaya menerima Hadiah Nobel kerana usahanya memulihara, memelihara, dan menambah kawasan hutan di negara ini. Daneng telah dianugerahi gelaran “Datuk” atas segala usahanya itu. Sementara itu, Cikgu Jo pula berbangga dengan pencapaian pelajarnya itu. Di samping itu “Datuk Daneng” sebagai orang yang tidak cepat lupa daratan, terus mengenang jasa Cikgu Jo yang amat besar itu.

Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, perwatakan dan latar. Oleh itu, fokuskan perhatian pada gaya bahasa, perwatakan watak utama, iaitu Daneng dan latar tempat, di samping latar masyarakatnya.

3. Virus Zel Untuk Abah
Ringkasan Cerita

Cerpen ini mengisahkan Zel ialah seorang gadis yang berusia 20 tahun dan sedang mengalami tekanan perasaan akibat perceraian antara ibu dengan bapanya. Zel sebenarnya dahaga akan kasih sayang ayahnya, tambahan pula ibunya asyik sibuk dengan kerjanya iaitu menguruskan perniagaan komputernya. Zel kecewa kerana ayahnya tidak memahami perasaannya. Ibu Zel ialah seorang wanita yang berpelajaran dan berfikiran terbuka. Dia meminta Zel menerima hakikat bahawa ayah dan ibunya telah berpisah. Ibunya memberikan nasihat supaya Zel jangan menyimpan dendam terhadap ayahnya atau keluarga baru ayahnya. Walau bagaimanapun ibunya membenarkan Zel ke rumah ayahnya yang kini sudah berkahwin dengan Syarifah dan mempunyai tiga orang anak iaitu Awi, Aman, dan Arif.
Di samping itu kawan Zel, iaitu Win menasihati Zel supaya jangan bertindak mengikut emosi. Hal ini demikian kerana, Zel sudah berusia 20 tahun dan bakal menjadi penuntut jurusan undang-undang di United Kingdom. Pada suatu hari, Zel mengikut abang tirinya, Awi untuk membeli hadiah sempena hari lahir ayah mereka. Mereka bertengkar ketika memilih warna yang menjadi kegemaran ayah mereka. Perasaan Zel semakin tertekan apabila Awi meminta Zel supaya jangan mengganggu ayahnya lagi.
Dendam Zel terhadap ayah dan keluarga barunya membara semula. Dia ingin melepaskan virus Zel untuk memusnahkan Program ZQ 1308 yang sangat penting kepada keluarga ayahnya. Win sempat memujuk Zel supaya membatalkan niat buruknya itu. Akhirnya, Zel membatalkan niatnya untuk membalas dendam walaupun dia tetap berasa sakit hati.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, fokuskan perhatian pada perwatakan watak utama dan nilai-nilai kemanusiaan serta pengajarannya.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, August 4, 2009

Rumusan Karangan STPM

Kekeliruan tentang Rumusan Karangan STPM

Bagi murid-murid Tingkatan 6 Bawah atau Prauniversiti Bawah, soalan rumusan mungkin masih mengelirukan mereka. Hal ini demikian kerana, murid-murid masih terpengaruh oleh soalan Rumusan SPM. Mereka lebih cenderung untuk mencari isi tersurat dan tersirat. Oleh itu, murid-murid perlulah membiasakan diri dengan soalan Rumusan STPM dan menyesuaikan format soalan Rumusan Karangan STPM.

Murid-murid hendaklah melupakan soalan Rumusan SPM dan memberikan fokus atau tumpuan terhadap Rumusan Karangan STPM. Dalam soalan Rumusan STPM, murid-murid perlu mencari Isi Utama, Isi Sokongan, dan Kesimpulan. Dalam soalan Rumusan SPM. murid-murid sudah diberikan fokus isi tersurat dan tersiratnya. Murid-murid juga perlu menulis pendahuluannya di samping kesimpulan yang perlu difikirkan sendiri oleh pelajar.

Bagi soalan Rumusan Karangan STPM pula, murid-murid tidak perlu memikirkan isi-isi tersiratnya. Semua isi, iaitu sama ada Isi Utama, Isi Sokongan atau Kesimpulan perlu dicari dan diambil daripada petikan yang disediakan. Perkara penting yang perlu diberikan penekanan oleh murid-murid ialah mencari Isi Utama yang tidak dinyatakan dalam fokus soalan seperti SPM. Isi Utama mestilah dicari daripada perenggan pertama petikan. Selain itu, Isi Utama itu juga perlu jelas berdasarkan idea dalam perenggan pertama setiap petikan.

Isi Sokongan pula perlu dicari dan diambil daripada perenggan-perenggan lain dalam petikan tersebut. Setiap Isi Sokongan juga mesti jelas berdasarkan idea yang terdapat dalam petikan. Kebiasaannya, terdapat 5 hingga 6 Isi Sokongan daripada setiap petikan Rumusan Karangan. Isi Sokongan merupakan isi-isi lain yang menyokong Isi Utama.

Setelah mendapat 5 atau 6 Isi Sokongan, murid-murid perlu mencari Isi Kesimpulannya pula yang terdapat dalam perenggan akhir setiap petikan. Isi Kesimpulan juga perlu jelas berdasarkan idea dalam perenggan yang akhir daripada petikan.

Perbandingan antara Rumusan Karangan STPM dengan Rumusan SPM

1. STPM - Tiada fokus soalan
SPM - Ada fokus soalan
2. STPM - Tiada isi tersirat – semua isi ada dalam petikan
SPM - Ada isi tersirat
3. STPM - Ada isi Utama
SPM - Ada pendahuluan
4. STPM - Ada isi Sokongan
SPM - Ada isi tersurat dan tersirat
5. STPM - Ada isi Kesimpulan
SPM - Ada kesimpulan
6. STPM - Setiap isi perlu perlu jelas berdasarkan ayat-ayat dalam petikan
SPM - Isi perlu ringkas dan padat
7. STPM - Jumlah perkataan 180 – 190 perkataan
SPM - Jumlah perkataan tidak melebihi 120 perkataan
8. STPM - Perlu ditulis dalam 3 perenggan
SPM - Tiada format khusus tentang perenggan

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Thursday, July 30, 2009

Latihan Karangan SPM 2009 (Tingkatan 4)

Latihan Karangan Berdasarkan Topik dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4

1. Senario Masyarakat Kita (Buku Teks m.s. 1)

Soalan Contoh

Masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keadaan tersebut.

2. Ambang Remaja (Buku Teks m.s. 23)

Soalan Contoh

Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan yang penting untuk membangunkan negara ini.

Ulas pernyataan di atas.

3. Dunia Semakin Canggih (Buku Teks m.s. 50)

Soalan Contoh

Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.

Huraikan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.

4. Keranamu Malaysia (Buku Teks m.s. 75)

Soalan Contoh

Banyak kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa negara kita juga setanding dengan negara maju yang lain.

Huraikan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia pada peringkat antarabangsa.

5. Melestarikan Alam Sekitar (Buku Teks m.s. 100)

Soalan Contoh

Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengatasi masalah pencemaran alam namun masih kurang berkesan untuk mengatasinya.

Jelaskan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.

6. Riadah (Buku Teks m.s. 127)

Soalan Contoh

Aktiviti memancing ikan semakin diminati oleh sesetengah anggota masyarakat pada masa ini.

Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada aktiviti terebut.

7. Generasi Kita (Buku Teks m.s. 156)

Soalan Contoh

Remaja pada hari ini perlu diberikan pendidikan yang sempurna kerana mereka merupakan generasi yang akan memimpin negara pada masa depan.

Ulas pernyataan di atas.

8. Gaya Hidup Sihat (Buku Teks m.s. 180)

Soalan Contoh

Sebagai seorang wartawan majalah terkemuka di negara ini, anda dikehendaki menulis rencana yang bertajuk “Budaya Makanan Segera dalam Kalangan Masyarakat ”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

9. Kerjaya (Buku Teks m.s. 203)

Soalan Contoh

Anda berminat untuk menulis rencana tentang masalah mahasiswa yang menganggur dan hanya berminat untuk bekerja makan gaji selepas menamatkan pengajian.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

10. Warisan Bangsa (Buku Teks m.s. 223)

Soalan Contoh

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.

Jelaskan kelebihan-kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

11. Industri Pelancongan Malaysia (Buku Teks m.s. 249)

Soalan Contoh

Industri pelancongan di negara kita merupakan antara penyumbang utama dalam bidang ekonomi dan hal ini penting untuk memajukan negara.

Huraikan sumbangan-sumbangan industri pelancongan terhadap kemajuan negara.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, July 27, 2009

Latihan Karangan SPM 2009 (Tingkatan 5)

Latihan Karangan Berdasarkan Topik dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 5

1. Rumah Terbuka Rakyat Malaysia (Buku Teks m/s 1)

Soalan Contoh

Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah berkesempatan untuk mengunjungi rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.

2. Pendidikan Alaf Ini (Buku Teks m.s. 23)

Soalan Contoh

Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang akan menentukan kejayaan seseorang itu.
Huraikan kepentingan ilmu dalam era globalisasi yang semakin mencabar pada masa ini.

3. Pengangkutan Alaf Ini (Buku Teks m.s. 48)

Soalan Contoh

Masyarakat hari ini digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.
Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat di negara kita.

4. Bandar Pintar Malaysia (Buku Teks m.s. 75)

Soalan Contoh

Seseorang pembeli rumah akan membuat pertimbangan tertentu sebelum membuat keputusan untuk membelinya.
Jelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi seseorang pembeli rumah apabila membuat keputusan untuk membeli sesebuah rumah itu.

5. Alam Pekerjaan (Buku Teks m.s. 101)

Soalan Contoh

Perubahan yang berlaku dalam era globalisasi turut mengubah kerjaya seseorang pada masa depan.
Jelaskan ciri-ciri kerjaya yang akan menjadi budaya pada masa depan.

6. Pendidikan Industri (Buku Teks m.s. 126)

Soalan Contoh

Pendidikan tentang industri memainkan peranan penting dalam era perindustrian masa kini.
Sejauh manakah pendidikan industri ini penting kepada negara?

7. Biolembangan (Buku Teks m.s. 147)

Soalan Contoh

Sektor pertanian perlu dimajukan untuk menjamin keperluan makanan bagi penduduk di negara kita.
Jelaskan usaha-usaha untuk memajukan sektor pertanian di negara kita.

8. Pelaburan (Buku Teks m.s. 167)

Soalan Contoh

Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.

9. Teleperubatan (Buku Teks m.s. 187)

Soalan Contoh

Pada masa ini, penyakit kanser merupakan penyakit berbahaya yang digeruni oleh segenap lapisan masyarakat kerana menjadi pembunuh secara senyap.
Huraikan punca-puncanya dan langkah-langkah untuk menanganinya.

10. Sukan Seantero Dunia (Buku Teks m.s. 210)

Soalan Contoh

Negara kita telah berjaya menjadi penganjur beberapa kejohanan sukan pada peringkat antarabangsa dalam jangka masa beberapa tahun ini.
Bagaimanakah penganjuran sukan tersebut berupaya untuk memberikan manfaat kepada negara kita?

11. Komunikasi Global (Buku Teks m.s. 230)

Soalan Contoh

Kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi melalui penggunaan Internet mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia.
Bincangkan pernyataan tersebut.

12. Pelestarian Budaya Warisan (Buku Teks m.s. 249)

Soalan Contoh

Ada pendapat yang mengatakan bahawa sesetengah adat resam sesuatu kaum itu tidak patut diamalkan lagi pada masa ini.
Berikan komen anda tentang pernyataan tersebut.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Thursday, July 23, 2009

Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Cemerlang Daerah Sepang 2009

Kursus Peningkatan Profesionalisme dan Budaya Kerja Cemerlang Guru Cemerlang Daerah Sepang 2009
Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Sepang, En. A. Rahman Ngit sedang menyampaikan ucapan perasmian.


Cikgu Khir sedang menyampaikan ceramah tentang Kajian Tindakan.

Kursus Peningkatan Profesionalisme dan Budaya Kerja Cemerlang Guru Cemerlang Daerah Sepang telah dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Sepang. Kursus ini telah dijalankan dengan jayanya di Hotel Le Paris, Port Dickson pada 2- 4 Julai 2009. Seramai 26 orang Guru Cemerlang pelbagai gred (DGA34 hingga DG52) telah mengikuti kursus ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Sepang pada malam 2 Julai. Beliau telah menekankan aspek budaya kerja cemerlang kepada Guru-guru Cemerlang yang menghadiri kursus ini.

Beberapa slot ceramah telah dirancang dan disampaikan oleh penceramah jemputan dan juga penceramah dalam kalangan Guru Cemerlang sendiri. Antara pengisian slot tersebut adalah seperti Fokus Minda, Kemahiran Komunikasi, Kajian Tindakan, dan Head Count serta PATS. Saya sendiri telah diminta untuk menyampaikan ceramah tentang Kajian Tindakan. Kursus ini mendapat maklu balas yang baik daripada peserta kursus dan mereka mengakui bahawa mereka mendapat input yang banyak daripada kursus ini. Selain itu peserta kursus juga mengatakan bahawa mereka mendapat semangat baru untuk meningkatkan kecemerlangan mereka. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Sepang, Encik Mohd Amin bin Sulaiman pada 4 Julai 2009.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, July 17, 2009

Ucapan Tahniah kepada Pemidato SPRM Daerah Sepang


Cikgu ingin mengucapkan tahniah kepada Hassan Fathi bin Jamali yang telah berjaya mengalahkan 5 orang peserta lain dalam Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Daerah Sepang 2009 yang diadakan di SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, pada 17 Julai 2009. Pertandingan pidato yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Sepang dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ini telah berjaya mencungkil bakat-bakat muda sebagai pemidato di peringkat prauniversiti dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris.


Cikgu juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada peserta pidato kategori Bahasa Inggeris yang mewakili SMKBBST yang turut menjadi johan bagi kategori tersebut. Anda berdua telah mengharumkan nama sekolah kita di daerah Sepang. Bagi dua orang peserta SMK. BBST yang kurang bernasib baik, cikgu juga ingin mengucapkan tahniah kerana anda berdua telah berusaha dengan gigih dan berani untuk berpidato di hadapan khalayak. Bagi Mohd Syamil, jangan putus asa, berusahalah dengan lebih gigih lagi agar anda akan memperoleh kejayaan dalam pertandingan yang lain pada masa akan datang. Bagi kedua-dua orang pemidato yang berjaya, iaitu bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang akan mewakili daerah Sepang ke pertandingan di peringkat negeri nanti, anda telah membuktikan bahawa anda merupakan pemidato prauniversiti daerah Sepang yang terbaik. Oleh itu, anda berdua perlu meningkatkan usaha seterusnya untuk membuktikan anda juga menjadi pemidato yang terbaik pada peringkat negeri pada bulan Ogos nanti.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Thursday, June 25, 2009

Isu-isu Penting Karangan SPM 2009

Oleh sebab banyak pelajar yang mengemukakan pertanyaan tentang topik atau isu-isu penting yang berkaitan dengan soalan karangan SPM tahun ini, elok sekiranya saya paparkan isu-isu tersebut kali ini. Isu-isu tersebut dirasakan penting kerana belum pernah disoal dalam peperiksaan SPM sebelum ini. Selain itu, isu-isu tersebut juga terdapat dalam buku teks Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Walau bagaimanapun, isu-isu tersebut dijangkakan sahaja akan ditanya dalam peperiksaan tahun ini dan tidak semestinya akan ditanya dalam SPM nanti. Jadi, selain isu yang dikemukakan ini, pelajar-pelajar juga perlu menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lain. Hal ini demikian kerana, ada juga soalan yang dijangka ditanya tetapi tidak ditanya dalam peperiksaan dan begitu juga sebaliknya soalan yang tidak disangka-sangka akan ditanya tetapi ditanya dalam peperiksaan.

Isu-isu yang dirasakan penting untuk diberikan perhatian pada tahun ini telah disesuaikan dalam bentuk soalan contoh karangan SPM.

1. Warisan Bangsa
Soalan contoh:

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan-kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

2. Dunia Semakin Canggih
Soalan contoh:

Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.
Huraikan implikasi-implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.


3. Pelaburan
Soalan contoh:

Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.


4. Kenaikan Harga Barang
Soalan contoh:

Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah banyak memberikan kesan kepada para pengguna di negara kita.
Jelaskan kesan-kesan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah itu.

Saya ingin mengingatkan pelajar bahawa soalan-soalan contoh di atas cuma sebagai soalan panduan untuk membuat latihan penulisan karangan. Pelajar-pelajar juga boleh membina soalan sendiri dengan bimbingan guru masing-masing. Di samping itu, pelajar perlu berlatih untuk menulis karangan itu sendiri dan bukannya meminta karangan contoh atau menyalin karangan yang sudah siap sedia ditulis oleh orang lain. Janganlah mengharapkan karangan daripada orang lain sahaja. Pelajar perlu menulis karangan itu sendiri kerana pelajar yang cemerlang karangannya ialah pelajar yang banyak membuat latihan menulis karangan. Pelajar juga dinasihatkan untuk bertanya kepada guru bagi mendapatkan komen, pandangan dan bimbingan.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, June 20, 2009

Perenggan Penutup Karangan STPM dan SPM

Menulis Perenggan Penutup dengan Menggunakan Teknik KHPK dan KHH

Selepas memeriksa karangan pelajar-pelajar dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun, iaitu pada bulan Mei lalu, cikgu mendapati bahawa masih terdapat kelemahan dalam penulisan perenggan penutup atau kesimpulan. Kebanyakan pelajar menulis perenggan penutup atau kesimpulan yang pendek iaitu satu atau dua ayat sahaja. Perenggan itu juga tidak diolah dengan baik dan tidak dimasukkan peribahasa atau ungkapan yang menarik. Oleh itu cikgu akan membincangkan cara atau teknik untuk menulis perenggan tersebut agar dapat membantu pelajar-pelajar untuk memantapkannya.

i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1

Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)


ii. KHH (Kesimpulan, Huraian, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)


Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu pelajar-pelajar atau calon-calon STPM dan SPM untuk menghuraikan dan mengembangkan perenggan penutup atau kesimpulan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan setiap perenggan karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba teknik ini dan selamat mengarang.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Thursday, June 11, 2009

Kepentingan Set Induksi dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Set induksi memang penting dalam satu-satu pengajaran yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Namun demikian, ada guru yang seolah-olahnya sudah melupakan set induksi ini. Pada hal, set induksi ini telah dipelajari dan dipraktiskan semasa menjalani latihan praktikum sebelum menjadi guru dahulu. Kebiasaannya, guru akan terus membincangkan topik yang hendak diajar tanpa menggunakan set induksi yang bersesuaian dengan topik tersebut. Sebenarnya, set induksi ini penting untuk menarik perhatian pelajar agar menumpukan perhatian terhadap topik atau perkara yang hendak dibincangkan oleh guru di dalam kelas. Sekiranya set induksi tidak digunakan dalam pengajaran, sudah pasti pelajar akan berasa bosan dan kurang memberikan perhatian terhadap pengajaran guru. Oleh itu, guru-guru haruslah menggunakan set induksi yang mudah tetapi menarik perhatian pelajar di dalam kelas.

Antara set induksi yang boleh digunakan adalah seperti gambar, surat khabar, majalah, benda-benda maujud seperti raket badminton, gunting, topi, kopiah, komputer riba, telefon bimbit, radio dan sebagainya. Sebagai contohnya, jika guru-guru hendak membincangkan sajak Tukang Gunting, guru-guru bolehlah menggunakan gunting sebagai set induksinya. Bagi pengajaran sajak Anak Laut, guru boleh menggunakan gambar nelayan atau perahu sebagai set induksinya.

Sekiranya guru-guru hendak membincangkan karangan tentang industri pelancongan, guru-guru boleh menggunakan gambar pantai, atau tempat-tempat percutian di Malaysia, atau lagu 'Cuti-cuti Malaysia'. Gambar pantai

Selain itu, sekiranya guru-guru hendak membincangkan karangan tentang kebaikan dan keburukan kad kredit, guru-guru bolehlah menggunakan kad kredit yang sebenar atau gambar kad kredit.


Gambar kad kredit

Selepas bahan rangsangan yang dijadikan set induksi itu dipaparkan atau ditunjukkan, kemukakanlah beberapa soalan yang berkaitan dengan bahan itu untuk merangsang pemikiran pelajar. Di samping itu, dengan menggunakan set induksi, murid-murid juga akan bersedia dari segi mindanya terhadap isi pelajaran yang akan dibincangkan oleh guru selepas itu Selain bahan rangsangan yang dinyatakan tadi, guru-guru juga boleh mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan topik perbincangan untuk merangsang mereka terhadap isi pelajaran keseluruhannya.

Guru-guru pula kebiasaannya akan memberikan beberapa alasan tentang sebab mereka tidak menggunakan set induksi semasa pengajaran dijalankan. Antara alasan yang sering diberikan ialah mereka hendak cepat menghabiskan sukatan pelajaran. Jadi, mereka tiada masa untuk menggunakan set induksi, dan menganggap set induksi itu tidak penting dalam pengajaran Bahasa Melayu. Namun demikian, kita perlu menyedari bahawa kegagalan guru untuk menggunakan set induksi ini pastinya akan menyebabkan pelajar kurang tertarik dan tidak berminat terhadap mata pelajaran yang diajarkan oleh guru.

Seterusnya, perkara ini mungkin akan membunuh minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Oleh itu, kita harus menerima hakikat bahawa set induksi ini akan membantu guru untuk menyedikan minda pelajar bagi mengikuti pelajaran selanjutnya. Jadi, guru-guru tidak harus memandang set induksi ini sebagai perkara yang tidak penting jika hendak menarik minat pelajar untuk menyukai atau meminati mata pelajaran Bahasa Melayu. Jangan terlalu mementingkan sukatan pelajaran atau isi kandungan pelajaran sahaja sehingga menyebabkan pelajar tidak belajar dalam keadaan yang menyeronokkan. Hal ini demikian kerana jika pelajar belajar dalam keadaan terpaksa dan tidak menyeronokkan, sudah pastilah kesannya tidak lama. Selanjutnya, pengajaran yang tidak menyeronokkan juga biasanya menyebabkan pengajaran guru menjadi kurang berkesan.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, May 23, 2009

Sambutan Hari Guru Daerah Sepang 2009


Pejabat Pelajaran Daerah Sepang telah menganjurkan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah pada 23 Mei 2009 di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sepang, Yang Berhormat Dato’ Seri Ir. Mohd Zin bin Mohamed.

SMK. Bandar Baru Salak Tinggi telah menerima dua anugerah iaitu:
1. Kategori Penghargaan Khas (Asrama Harian Sekolah Menengah Luar Bandar)
2. Kategori Sekolah Harapan

Dua orang guru SMK. Bandar Baru Salak Tinggi pula telah menerima anugerah iaitu bagi Kategori Guru Dedikasi iaitu:
1. Cikgu Mohd Khir Kassim
2. Ustaz Zulkifli bin Abd Mubi

Selain itu terdapat juga beberapa anugerah lain yang telah disampaikan untuk menghargai jasa guru serta memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh guru-guru sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan ada juga di peringkat antarabangsa. Anugerah lain yang dimaksudkan adalah seperti Pusat Sumber Cemerlang, Pemimpin Cemerlang dan anugerah kemuncak majlis ini iaitu Tokoh Guru Daerah Sepang 2009. Dua orang tokoh yang dimaksudkan ialah Encik Sabardin bin Lebam dan Puan Ong Yee Mei. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua guru yang telah menerima hadiah dan anugerah. Semua guru hendaklah menguatkan azam dan meneruskan usaha untuk mendidik anak bangsa kerana ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, May 17, 2009

Panduan Menjawab Soalan Analisis Kesalahan Bahasa STPM

Bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang berada di Tingkatan 6 Atas, soalan ini sudah biasa anda jawab, tetapi bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang baru memulakan pengajian di Tingatan 6 Bawah, soalan ini sudah tentu agak asing bagi anda. Bagi pelajar-pelajar praunversiti yang baru, soalan ini tiada pilihan dan mesti dijawab iaitu Soalan 8. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana boleh membantu calon untuk meningkatkan markah Kertas 2. Selain itu, soalan ini juga kebiasaannya agak mudah dan tidaklah terlalu sukar untuk dijawab. Jadi, para pelajar perlulah membuat latihan yang bersistematik dan berterusan terutamanya berdasarkan soalan yang pernah ditanya dalam peperiksaan STPM. Antara jenis kesalahan bahasa yang popular dan biasa ditanya dalam soalan STPM ialah kesalahan dalam aspek morfologi dan sintaksis iaitu:

• Pengimbuhan, termasuklah imbuhan pinjaman seperti pra, dwi, dan anti
• Kata Ganti Nama Diri Pertama, Kedua dan Ketiga, Kata Ganti Tunjuk, Kata Ganti Tak Tentu, pemilihan kata yang sesuai (Diksi), Kata Hubung, Kata kerja Transitif dan Tak Transitif, Kata Sendi, Kata Penguat, dan Kata Pemeri
• Kata Majmuk, Kata Ganda, Hukum D-M, dan penjodoh bilangan.
• Frasa Sendi, Frasa Kerja Pasif, dan ayat tiada subjek (ayat tergantung).

Panduan umum untuk menjawab soalan Analisis Kesalahan Bahasa adalah seperti yang berikut:

1. Baca ayat-ayat dalam petikan itu sepintas lalu dan kenal pasti kesalahan bahasanya. Tandakan kesalahan-kesaslahan bahasa yang telah anda kenal pasti itu. Kenal pasti kesalahan kata, frasa, dan ayatnya. Kesalahan yang popular ialah kesalahan kata.
2. Biasanya terdapat sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam ayat-ayat tersebut dan kadang-kadang terdapat 6 hingga 7 kesalahan. Walau bagaimanapun markah yang diperuntukkan cuma untuk 5 kesalahan sahaja.
3. Selepas kesalahan bahasa tersebut anda kenal pasti, buatlah jadual iaitu tiga ruangan atau lajur, iaitu untuk ruangan Kesalahan, Sebab Kesalahan, dan Pembetulan.
4. Untuk lajur Kesalahan, nyatakan kesalahan tersebut. Kemudian tulislah alasan kesalahan tersebut dalam lajur Sebab Kesalahan dan tulis pula pembetulannya dalam lajur Pembetulan.

Kesalahan Umum yang Biasa Dilakukan oleh Pelajar

• Jawapan tidak mengikut format, iaitu tidak ditulis di dalam jadual.
• Terlalu banyak sebab diberikan pada ruang Sebab Kesalahan menyebabkan pemeriksa sukar memahaminya.
• Ada juga Sebab Kesalahan yang diberikan itu secara umum dan tidak jelas atau kurang tepat.
• Gagal menggunakan peluang untuk mencari kesalahan ayat yang lebih daripada 5 kesalahan yang diminta.
• Terlalu banyak kesalahan bahasa yang disenaraikan. Sebenarnya yang betulpun dikatakan salah.

Latihan 1 (Berdasarkan Soalan STPM 2008)

8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.

Seorang polis inspektor yang baru dua bulan bertugas telah menceritakan keadaan di daerah itu kepada pemberita. Beliau menyatakan bahawa banjir itu berpunca daripada sebuah empangan yang pecah akibat gempa bumi yang berlaku di negara jiran. Untuk memudahkan orang ramai mengikuti perkembangan terkini, sebuah jawatankuasa petugas telah dibentuk. Jawatankuasa tersebut dikehendaki bertugas setiap hari, sebaliknya pada Hari Jumaat.

Dalam kesibukan orang ramai membantu pihak keselamatan menyelamatkan mangsa, terdapat sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mencuri barang-barang, terutamanya makanan dan pakaian. Pihak polis mensyaki kegiatan tersebut dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Untuk mengawal keadaan di daerah itu memerlukan sukarelawan yang lebih banyak. Walau bagaimanapun, ekoran tertangkapnya beberapa penjenayah, kegiatan mencuri dapat dikawal.



Pelajar-pelajar prauniversiti diharapkan dapat melengkapkan jadual di atas dengan jawapan yang sesuai. Saya sudah menyediakan satu jawapan contoh di dalam jadual jawapan dan jawapan lain perlu dicuba dan dicari oleh pelajar sendiri. Pelajar-pelajar perlu berlatih dan berusaha untuk mencari jawapannya berdasarkan peraturan tatabahasa yang telah dipelajari. Cari jawapannya daripada bahan rujukan seperti Tatabahasa Dewan dan buku-buku rujukan tentang tatabahasa. Selepas mendapat jawapannya, dan jadual tersebut dilengkapkan, bincanglah jawapan itu dengan guru-guru anda. Cara itulah yang berkesan bagi pelajar untuk menjawab soalan ini.

Latihan 2
8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.

Kerajaan kita sentiasa berusaha untuk membantu penduduk miskin yang tinggal di luar bandar. Di antara usaha yang dilaksanakan adalah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di luar bandar. Langkah tersebut akan menjamin penduduk miskin tersebut memperoleh pendapatan. Bila ada pendapatan, mereka akan menumpukan dengan lebih banyak lagi perhatian terhadap usaha untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga. Walaubagaimanapun, usaha itu mestilah mendapat sambutan dari penduduk luar bandar tersebut. Kejayaan atau kegagalan usaha kerajaan itu amat bergantung pada kerjasama yang mereka berikan. Kesimpulannya, usaha tersebut memerlukan kerjasama dan penglibatan daripada kedua-dua belah pihak.

Selamat mencuba latihan Analisis Kesalahan Bahasa di atas.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Guru Pembina Negara Bangsa

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah mendidik saya dahulu dan semua warga pendidik di seluruh negara. Ucapan ini juga dikhususkan kepada rakan-rakan guru di SMKBBST, di Daerah Sepang, Kuala Langat dan seterusnya rakan-rakan dari daerah lain di negeri Selangor terutamanya yang mengenali saya. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan guru terutamanya guru Bahasa Melayu dari negeri lain seperti Cikgu Suraini dan Cikgu Nawi (Terengganu), Cikgu Alias dan Dr. Ismail (IPI) (Perak), Cikgu Ku Halim dan Cikgu Jaizah (IPP) (Perlis), Cikgu Ramlah (Kak Ram GC) dan Cikgu Rahim (IPSAH) (Kedah), Cikgu Muhamad (Kelantan), Cikgu Adzman (KMKP) dan Cikgu Zakaria (Negeri Sembilan), Cikgu Borhan dan Cikgu Shaleha (Melaka), Cikgu Mazlan, Cikgu Arsani dan Cikgu Hairul Badrul (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Cikgu Zanariah dan Cikgu Azizul (Johor).

Tidak lupa juga ucapan Selamat Hari Guru ditujukan kepada rakan-rakan pengendali blog Bahasa Melayu seperti Cikgu Razak, Cikgu Ghalib, Dr. Ghazali Lateh, Cikgu Aminhad, Cikgu Azman, Cikgu Suhaimi, Cikgu Bukharis, Cikgu Zaki, Cikgu Taufiq, Cikgu Tan C.L dan banyak lagi nama yang tidak dapat saya senaraikan dalam ruangan ini.

Tahniah dan syabas kepada rakan-rakan guru yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai pendidik dan teruskan usaha untuk meningkatkan kecemerlangan bagi mendidik anak bangsa. Bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, tugas kita memang sangat mencabar dalam era globalisasi ini dan kuatkan azam untuk terus menjadi pembina negara bangsa yang cemerlang. Teruskan komitmen rakan-rakan untuk membina negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang pada masa akan datang. Bacalah sajak di bawah yang saya cipta khusus untuk semua guru di Malaysia.

Modal Insan Perkasa

Tertanam sudah benih perasaan yang luhur
Telah mengalir darah suci seorang guru
Cita-cita murni yang tak pernah padam
Sudah berakar tunjang jiwa perkasa
Hasrat murni mendidik anak bangsa
Makin membara dalam ribut globalisasi

Tuntutan zaman semakin menghambat
Memburu masa menagih jasa
Kecemerlangan terus dijana
Tunas bangsa modal berharga
Sebatikan dalam cermin paradigma

Guru Cemerlang bangunkan diri
Dalam sukar terus bermandiri
Meneguhkan perjuangan suci
Melahirkan modal insan berkualiti
Bermaruah tinggi berbudi pekerti
Menjadi cerminan akal budi

Sudah terukir dan terpahat namamu
Dipupuk dan dipelihara dalam jiwa
Tunas bangsa dibelai dan dibaja
Sudah pasti subur di persada negara
Alunkan lagu dengan irama kemajuan
Alunkan melodi kecemerlangan

Bangunkan modal insan perkasa
Nyalakan jiwa yang masih muda
Lahirkan minda kelas pertama
Kita bina mahligai wawasan
Yang mengangkat martabat bangsa
Menjulang nama di dalam peta dunia
Meletakkan diri dalam kelas pertama
Setanding dengan negara ternama.

Oleh Mohd Khir Kassim
SMK. BBST, Sepang, Selangor.
Mei 2009

Thursday, April 30, 2009

Kajian Tindakan

Konsep Umum Kajian Tindakan

Pelopor kajian tindakan di bilik darjah di United Kingdom, Elliott dan Adelman (1976) berpendapat kajian tindakan ialah satu pendekatan penyelidikan yang berusaha untuk meningkatkan mutu profesionalisme guru dengan cara menyelidik situasi sosial di sekolah. Tujuan penyelidikan itu adalah untuk membaiki kualiti amalan guru.

Elliott (1981) mengatakan bahawa, “kajian tindakan ialah rangka untuk penilaian kendiri di sekolah dan pendekatan dalam kajian tindakan yang mementingkan refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk membaiki atau mengubah amalan kendiri dalam sesuatu situasi sosial”. Carr dan Kemmis (1986) juga menyatakan bahawa kajian tindakan ialah satu bentuk refleksi kendiri melalui aktiviti inkuiri untuk membaiki dan memahami amalan dan situasi sosial. Kenyataan mereka:
Action research is a form of self-reflective inquiry undertaken by participants (teachers, students or principals, for example) in social (including education) situation in order to improve the rationality and justice of their social or educational practice; their understanding of these practices; and the situation (and institution) in which these practices are carried out.”

Mc. Niff (1998) menerangkan bahawa kajian tindakan ialah satu pendekatan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan menjadi bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Menurut beliau, pendekatan ini melibatkan guru melaksanakan inkuirinya sendiri serta melibatkan guru-guru lain secara kolaboratif (usaha sama) sewaktu mengadakan kajian. Beliau merumuskan konsep kajian tindakan dengan mengatakan bahawa:
Action research implies adopting a deliberate openness to new experiences and processes, and, as such, demands that the action of educational research is it self educational. By consciously engaging in their own educational development, teachers gain both professionally and personally, and it is this personal commitment that counts the process of human inquiry.”

Lomax (1994) menegaskan kajian tindakan ialah penyelidikan pendidikan (educational research) yang berbeza dengan penyelidikan dalam pendidikan (research in education).

Guru-Guru Perlu Menjalankan Kajian Tindakan
Guru-guru perlu menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan yang dijalankan dapat mengenal pasti atau mengesan kelemahan pelajar dan guru perlulah memikirkan cara-cara yang sesuai untuk mengatasi kelemahan tersebut mengikut kesesuaian pelajar di dalam sesuatu kelas. Hal ini terbukti melalui kajian tindakan yang telah dijalankan di beberapa buah negara maju akhirnya berjaya meningkatkan pencapaian pelajar masing-masing.

Seperti yang telah diterangkan tadi, kajian tindakan ialah kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti atau mengesan punca-punca masalah dan mencari langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Jika masalah tersebut masih tidak dapat diatasi, kajian semula harus dilakukan untuk mencuba langkah lain yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah itu. Dengan perkataan lain, guru-guru perlulah reflektif, kreatif dan proaktif bagi merawat masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajarnya dengan berkesan.

Dalam hal ini guru-guru sepatutnya menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing atau di sekolah masing-masing untuk mengatasi kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Kelemahan-kelemahan dan masalah pelajar tersebut perlu ditangani oleh guru itu sendiri dan sepatutnya guru itu perlu mencari cara yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Hal ini demikian kerana, guru-guru yang mengajar di dalam sesebuah kelas itu sendiri yang memahami kelemahan murid-muridnya. Oleh itu, guru tersebut perlu mencuba langkah-langkah yang difikirkan sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid di dalam kelasnya sendiri.

Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah guru-guru itu sendiri perlu membuat muhasabah diri (cermin diri) dan mengkaji kelemahan dirinya sendiri yang mungkin menjadi punca kelemahan dan masalah murid-muridnya. Perkara ini selalunya tidak disedari oleh guru-guru yang mengajar murid-muridnya di dalam kelas. Ada juga guru yang menganggap dirinya sudah sempurna dan tiada kelemahan langsung hingga menyebabkan guru tersebut tidak dapat menerima kritikan atau komen daripada murid-muridnya, pandangan rakan-rakan sejawatan ataupun pihak lain yang memberikan teguran. Sepatutnya guru-guru perlu bersikap terbuka dan sanggup menerima kritikan demi kebaikan dirinya untuk membaiki kelemahan yang ada. Dengan kata lain, kajian tindakan ini juga boleh digunakan untuk mengkaji kelemahan diri, seterusnya memikirkan cara untuk membaiki kelemahan tersebut dan akhirnya akan dapat meningkatkan prestasi pengajaran guru-guru di dalam kelas.

Kaedah Kajian Tindakan
Kaedah yang digunakan dalam kajian tindakan tidaklah terlalu rumit, kerana yang pentingnya ialah hasil atau dapatan yang hendak diperoleh. Kaedah untuk mendapatkan data atau maklumat perlulah mudah dan tidak kompleks untuk mengenal pasti masalah murid-murid. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan tidak sama dengan kajian konvensional yang memerlukan kaedah kajian yang lebih lengkap dan rumit. Sampelnya pun tidak memerlukan angka atau bilangan yang besar kerana masalahnya pun tidak sama antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain dan antara satu kelas dengan kelas yang lain. Kebiasaannya, kajian tindakan ini bermula dengan refleksi pengajaran yang lepas. Oleh hal yang demikian, kita perlu meneliti refleksi yang ditulis dalam buku rekod mengajar dan juga perkara yang kita alami semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Kaedah menganalisis data dalam kajian tindakan juga tidak memerlukan analisis yang rumit atau mengikut analisis data bagi penyelidikan yang konvensional, tetapi cukup setakat menggunakan kaporan pemerhatian, peratus atau bilangan sahaja. Perkara yang perlu diberikan penekanan untuk menganalisis data ini ialah perubahan yang berlaku terhadap pelajar-pelajar itu yang biasanya dilihat dari sudut perubahan tingkah laku ataupun perubahan dari segi markah yang diperoleh oleh pelajar-pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana, sampel kajian tindakan ini tidak besar dan yang pentingnya ialah dapatan yang diperoleh hasil analisis data tersebut. Oleh hal yang demikian, analisis data kajian tindakan juga kebiasaannya melibatkan kaedah kualitatif di samping kaedah yang biasa digunakan iaitu kaedah kuantitatif. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan kajian tindakan selalunya melibatkan aspek yang berkaitan dengan sikap, tingkah laku atau tabiat yang sukar diukur dengan nombor.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim


Perkongsian Pengalaman tentang Kajian Tindakan 2009


Saya telah diminta oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sepang (Sektor Pengurusan Akademik iaitu Puan Siti Aishah, untuk berkongsi pengalaman tentang Kajian Tindakan dengan guru-guru di daerah ini. Beliau telah menyusun jadual untuk saya berkongsi pengalaman dan menyampaikan kaedah untuk menjalankan kajian kepada guru-guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 2, Sejarah Tingkatan 2 dan Pendidikan Islam. Jadual yang ditetapkan adalah seperti yang berikut:

1. Guru-guru sejarah Tingkatan 2 – 16 Julai 2009, di SMK. Seri Sepang.

2. Guru-guru Geografi Tingkatan 2 – 23 Julai 2009, di SMK. Pantai Sepang Putera.

3. Guru-guru Pendidikan Islam – 5 Ogos 2009, di PKG Salak.

Antara objektif kursus Kajian Tindakan ini adalah memberikan pendedahan kepada guru-guru untuk menjalankan kajian ini di sekolah masing-masing. Pihak PPD Sepang juga berharap agar Kajian Tindakan ini dijadikan budaya oleh guru-guru di daerah ini. Hal ini demikian kerana, pada masa ini Kajian Tindakan menjadi semakin penting untuk meningkatkan profesionalisme guru. Di samping itu, hasil kajian itu juga nanti boleh dipertandingkan di peringkat daerah, terutamanya untuk memilih guru inovatif pada setiap tahun. Hasil kajian itu juga boleh dikongsi oleh guru-guru lain di daerah ini. Kajian Tindakan turut menjadi syarat untuk memohon jawatan Guru Cemerlang. Selepas dilantik menjadi Guru Cemerlang pula, mereka perlu meneruskannya dan menjadikannya sebagai amalan atau budaya di sekolah. Oleh itu, budaya menjalankan kajian ini memang perlu digalakkan dalam kalangan guru pada masa ini.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim