Pengikut laman ini

Thursday, November 18, 2010

Fokus Latihan Pemahaman Cerpen dan Prosa Tradisional SPM 2010

Soalan 2 (b): Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Selamat datang cikgu!” ucap Daneng. Kalimatnya diselimuti perasaan ketidaksenangan yang timbul tenggelam. Senyumannya memaparkan barisan giginya yang kukuh dan kekuningan.
Jo tersentak, “Apa khabar?” tercetus suaranya.
“Baik. Cikgu baik?”
“Tentu, kalau tidak takkan sampai ke mari. Engkau terima pesanan daripada Isyak?”
“Ya, tetapi tidak sangka cikgu lebih awal…,” ucapnya.
Jo tersenyum. Dia mengamati tubuh Daneng yang kelihatan segar dan cergas. Dalam masa enam bulan sahaja begitu banyak perubahan pada diri Daneng.
“Zamri, Siti dan Inok, kirim salam.”
Air mukanya ugah. Dia melarikan pandangannya daripada Jo. Jemputlah ke rumah. Mak tentu seronok berjumpa dengan cikgu,” pelawa Daneng. Dia tidak ingin berbicara lebih lanjut tentang kawan-kawannya itu.

Jo mengikut Daneng dari belakang. Fikirannya ligat memikirkan Daneng. Tentu Daneng tidak tahu misi kedatangannya pada kali ini. Tentu Daneng ingat yang dia datang kerana hendak berurusan dengan Tuk Ketua, membawa berita dari Jabatan Orang Asli.

Bagaimana mungkin dia merampas kegembiraan seorang manusia yang ingin hidup dengan caranya yang tersendiri? Cara yang tidak salah di sisi undang-undang. Tetapi, patutkah dia membiarkan Daneng begitu sahaja? Bukankah kehidupan Daneng yang begitu satu pembaziran pada negara? Pelbagai soalan terus muncul dalam lautan fikirannya.
(Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau dalam antologi Anak Laut, DBP, 2000)

(i) Apakah perkara yang sedang difikirkan oleh Jo pada masa itu? [2 markah]

(ii) “Kalimatnya diselimuti perasaan ketidaksenangan yang timbul tenggelam.” Pada pendapat anda, mengapakah Daneng tidak begitu senang dengan kehadiran Cikgu Jo? [3 markah]

(iii) Huraikan satu gambaran masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu gambaran masyarakat lain yang terdapat dalam cerpen ini. [4 markah]


Soalan 2 (c): Petikan Prosa Klasik

Baca petikan klasik di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

     Maka segala makmum pun takbirlah. Baharulah imam membaca fatihah, maka sipahi yang keempat itu pun datanglah lalu diparangnya leher jauhari itu putus terpelanting pada kaki Jibor itu. Maka Jibor pun terkejut lalu ia melompat. Maka segala orang yang sembahyang itu pun habis pecahlah lari. Maka sembahyang itu pun menjadi batallah, sekalian makmum itu pun pecah belah, tiada berketahuan, hanya yang tiada batal itu imam dengan Sabor juga. Setelah tamatlah sembahyang kedua mereka itu, maka Sabor pun baharulah tahu akan fitnah itu daripada Saidah juga.

     Maka Jibor pun terlalu hairan melihat Sabor tiada mati itu, sekonyong-konyong akan jauhari juga mati, maka adalah ia berdosa dari dahulu dengan Saidah itu; sebab itulah mati. Maka lalu Jibor pun berfikir di dalam hatinya, “takut benar juga saudaraku Sabor itu; maka ia dilepaskan Allah subhanahu wataala daripada bala ini.” Maka segala keluarga jauhari pun datanglah dengan keris lembingnya mari bertanya kepada Jibor. Maka kata Jibor, “Tiada hamba ketahui.” Maka mayat jauhari itu pun diambil oranglah dibawanya ke rumah itu, seraya menyiasat orang membunuh jauhari itu. Maka tiadalah dapat orang membunuh itu. Maka mayat jauhari pun ditanamkan oranglah, seperti cara agama Islam.
(Dipetik daripada Sabor dalam antologi Kerusi, DBP, 2000)

(i) Apakah maksud rangkaian kata sekalian makmum itu pun pecah belah. [2 markah]

(ii) Berdasarkan petikan, apakah reaksi Jibor selepas peristiwa jauhari mati dipancung oleh sipahi? Mengapakah Jibor berkeadaan demikian? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah Sabor diselamatkan oleh Allah daripada dibunuh? [3 markah]


Jawaban Cadangan

Jawaban Soalan 2 (b)

(i) Perkara yang sedang difikirkan oleh Jo pada masa itu ialah Daneng tidak tahu tujuan kedatangannya ke situ dan mungkin Daneng menyangka bahawa dia hendak berjumpa dengan Tok Batin bagi membawa berita daripada Jabatan Orang Asli.

(ii) Pada pendapat saya, Daneng tidak begitu senang dengan kehadiran Cikgu Jo kerana dia masih belum bersedia untuk menyambung persekolahannya. Selain itu, dia tidak sanggup untuk meninggalkan keluarganya dan juga alam sekitar yang bersih dan segar di kawasan tempat tinggalnya itu.

(iii) Satu gambaran masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas ialah masyarakat yang hormat-menghormati, contohnya Daneng menghormati Jo apabila Jo datang berjumpa dengannya. Satu gambaran masyarakat lain yang terdapat dalam cerpen ini ialah masyarakat yang cinta akan alam sekitar, contohnya Daneng memperoleh Hadiah Nobel kerana sumbangannya terhadap perjuangan mempertahankan alam semula jadi.

Jawaban Soalan 2 (c)

(i) Maksud rangkaian kata sekalian makmum itu pun pecah belah ialah semua orang yang sedang bersembahyang itu lari bertempiaran.

(ii) Selepas peristiwa jauhari mati dipancung oleh sipahi, Jibor berasa sangat hairan. Jibor berkeadaan demikian kerana dia tidak menyangka bahawa jauhari pula yang mati dan bukannya Sabor yang sepatutnya dibunuh.

(iii) Pada pendapat saya, Sabor diselamatkan oleh Allah daripada dibunuh kerana dia tidak melakukan dosa, imannya kepada Allah amat kukuh dan dia juga sebagai orang yang teraniaya kerana menjadi mangsa fitnah Siti Saidah.

No comments: