Pengikut laman ini

Thursday, May 9, 2019

Petua Menukar Ayat Dua Objek kepada Satu Objek


Pelajar perlu mengesan kata kunci atau kehendak soalan dan mengaitkannya dengan ayat yang terdapat dalam soalan. Garisi kata kerja transitif,  objek tepat dan objek sipi dalam ayat tersebut. Jadi, pelajar perlu menguasai rumus ayat aktif yang mengandungi dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi terlebih dahulu. Kemudian, pelajar perlu menguasai rumus untuk menukar ayat dua objek kepada ayat satu objek. Teknik untuk menukar ayat tersebut adalah dengan menukar imbuhan kata kerjanya dan memastikan satu objek sahaja selepas kata kerjanya.
Sebagai contohnya, analisis soalan struktur yang berikut.
36     Tukarkan ayat aktif transitif yang berikut kepada ayat aktif transitif yang mengandungi satu objek. (STPM U 2015)
(a)  Pengasuh itu memberi bayi susu.
 Pengasuh itu memberikan susu kepada bayi. (ayat satu objek sahaja iaitu "susu" sebagai objeknya) 
(b)  Azimah mengirimi ayahnya wang RM300.
 Azimah mengirimkan wang RM300 kepada ayahnya. (ayat satu objek sahaja iaitu "wang RM300" sebagai objeknya)

Tuesday, May 7, 2019

Teknik Mempasifkan Ayat yang Mengandungi Dua Objek

Pelajar perlu mengesan kata kunci atau kehendak soalan dan mengaitkannya dengan ayat yang terdapat dalam soalan. Garisi kata kerja transitif,  objek tepat, dan objek sipi dalam ayat tersebut. Jadi, pelajar perlu menguasai rumus ayat aktif yang mengandungi dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi terlebih dahulu. Kemudian, pelajar perlu menguasai rumus ayat pasif daripada ayat dua objek. Teknik untuk mempasifkan ayat tersebut adalah dengan meletakkan objek tepatnya di hadapan kata kerja yang telah dipasifkan bagi ayat pasif ganti nama diri ketiga.
Contoh ayat aktif yang mengandungi dua objek ialah “Fatimah membancuhkan ayah kopi.” Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Ayah dibancuhkan kopi oleh Fatimah.” (Ayah - KGND ketiga)  Contoh ayat aktif lain yang mengandungi dua objek ialah “Abang menghadiahi adik jam tangan.” Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Adik dihadiahi jam tangan oleh abang.”  (Abang - KGND ketiga)
Bagi ayat pasif ganti nama diri pertama dan kedua pula, rumusnya adalah seperti yang berikut.
Contoh ayat aktif yang mengandungi dua objek untuk ganti nama diri pertama ialah “Saya membancuhkan ayah kopi.” (Saya - KGND pertama) Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Ayah saya bancuhkan kopi.” (Saya - KGND pertama berada di hadapan kata kerja)  Contoh ayat aktif lain yang mengandungi dua objek untuk ganti nama diri kedua ialah “Kamu menghadiahi adik jam tangan.” (Kamu - KGND kedua) Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Adik kamu hadiahi jam tangan.” (Kamu - KGND kedua berada di hadapan kata kerja) 

Monday, May 6, 2019

Teknik Menganalisis Ayat yang Mengandungi Dua Objek

Pelajar perlu mengesan kata kunci atau kehendak soalan dan mengaitkannya dengan ayat yang terdapat dalam pilihan jawapan. Garisi kata kerja transitif,  objek tepat, dan objek sipi dalam ayat tersebut. Jadi, pelajar perlu menguasai rumus ayat aktif yang mengandungi dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi terlebih dahulu. Petuanya ialah objek tepat menjadi penyambut selepas kata kerja transitif dan kemudian diikuti oleh objek sipi. Kebiasaannya, kata kerja transitif yang diikuti oleh objek tepat dan objek sipi berimbuhan meN-...-kan dan meN-...-i. Contoh kata kerja transitif tersebut adalah seperti memasakkan, memotongkan, menghadiahi, menjatuhi, dan sebagainya.   
Cuba analisis kehendak soalan yang berikut. 

23  Frasa kerja + objek 1 + objek 2 + frasa keterangan
Ayat yang manakah yang binaannya seperti di atas? (STPM 2018)
A  Ibu mahu menjahitkan baju kurung nenek di dalam bilik saya.
B  Mereka telah menyelamatkan beberapa ekor anak buaya di sungai itu.
Kami akan menghadiahi Cikgu Wati sepasang baju semasa hari lahirnya.
D Seorang jururawat membantu ibu muda itu dengan menyapukan luka anaknya. 
Ayat A tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Sepatutnya ayat yang mengandungi objek tepat dan objek sipi ialah “Ibu mahu menjahitkan nenek baju kurung di dalam bilik saya.”
Ayat B tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Ayat “Mereka telah menyelamatkan beberapa ekor anak buaya di sungai itu.” cuma mengandungi satu objek. Frasa kerja “menyelamatkan beberapa ekor anak buaya di sungai itu” cuma mengandungi satu objek. Frasa “beberapa ekor anak buaya” merupakan satu objek sahaja dan frasa “di sungai itu” merupakan frasa keterangan. 
Ayat C menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek iaitu frasa kerja transitifnya didikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Ayat “Kami akan menghadiahi Cikgu Wati sepasang baju semasa hari lahirnya.” mengandungi kata kerja transitif “menghadiahi”, “Cikgu Wati” sebagai objek tepat dan “sepasang baju” sebagai objek sipi.
Ayat D tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Dalam ayat “Seorang jururawat membantu ibu muda itu dengan menyapukan luka anaknya.” cuma mengandungi satu objek sahaja. Frasa “ibu muda” merupakan satu objek sahaja.

Friday, May 3, 2019

Kata Kerja yang Membawa Maksud Lokatif, Benefaktif, Kausatif, dan Refleksif

Teknik Menganalisis Soalan Fungsi imbuhan me-N...-i, me-N...-kan, dan ber-

Pelajar  perlu  mengesan  kata  kunci  atau  kehendak  soalan  dan mengaitkannya dengan perkataan  yang  dinyatakan  dalam  soalan.   Kemudian,  garisi   kata   yang  mengandungi imbuhan  tersebut.  Jadi,  pelajar perlu menguasai fungsi imbuhan me-N...-i terlebih dahulu. Imbuhan  me-N...-i   berfungsi  untuk  memberikan  maksud  lokatif  (atau  yang   berkaitan dengan lokasi). Jangan keliru dengan kata yang membawa maksud kausatif, benefaktif, dan refleksif.  Sebagai contohnya, analisis kehendak soalan yang berikut. 

Soalan 9
Pada  pagi  itu,  kami  menelusuri  hutan  itu  dengan  penuh hati-hati. Cahaya matahari mula menerangi  kawasan tempat  kami  bermalam.  Pokok-pokok rendang melindungi  tanah daripada  panas  matahari pagi.  Ahmad mengajak  kami untuk merenangi sungai  yang tidak jauh daripada khemah kami. (STPM 2016)

Yang manakah fungsi imbuhan meN-…-i  pada perkataan yang dicondongkan dalam petikan di atas?
A   Membawa maksud lokatif
B   Membawa maksud kausatif
C   Membawa maksud refleksif
D   Membawa maksud benefaktif

Terdapat empat kata yang berimbuhan meN-...-i dalam soalan iaitu menelusuri, menerangi, melindungi, dan merenangi. Keempat-empat kata tersebut berfungsi untuk membawa maksud lokatif. Semua perkataan tersebut membawa maksud lokatif kerana semuanya berkaitan dengan lokasi iaitu menelusuri, menerangi, melindungi, dan merenangi. Objek selepas kata kerja berimbuhan tersebut juga mempunyai lokasi.

Imbuhan yang membawa maksud kausatif pula ialah imbuhan meN...-kan. Imbuhan tersebut membawa maksud penyebab kepada sesuatu (Siapa atau apa yang menjadi penyebab). Contohnya, perkataan yang dimaksudkan adalah seperti memasukkan, menaikkan, mengemaskan, membersihkan, dan sebagainya. Contoh ayatnya adalah seperti yang berikut.
  1. Azmi memasukkan buku ke dalam beg. (Azmi menjadi penyebab objek (buku) masuk ke dalam beg.)
  2. Syed menaikkan bendera di tapak perhimpunan. (Syed menjadi penyebab objek (bendera) naik.)
  3. Amirah mengemaskan biliknya itu. (Amirah menjadi penyebab objek (biliknya) itu kemas.)
  4.  Alif membersihkan bilik itu. (Alif menjadi penyebab objek (bilik) itu bersih.)
Imbuhan  yang  membawa  maksud benefaktif  juga ialah imbuhan meN...-kan. Imbuhan tersebut   membawa  maksud   faedah   atau  “benefit”.  (siapa  yang  mendapat  faedah). Contohnya,  perkataan  yang  dimaksudkan  adalah  seperti  memasakkan,  membelikan, menjahitkan,  menuliskan, dan sebagainya. Objek tepat selepas  kata kerja tersebut yang mendapat  faedah  daripada  perbuatan subjek ayat. Contoh ayatnya adalah seperti yang berikut.
  1. Kusalini memasakkan ayah nasi goreng. (Ayah mendapat faedah daripada perbuatan Kusalini.)
  2. Kahirul membelikan adiknya buku cerita. (Adiknya mendapat faedah daripada perbuatan Kahirul.)
  3. Sabena menjahitkan ibu baju kurung. (Ibu mendapat faedah daripada perbuatan Sabena.)
  4. Aiman menuliskan nenek surat. (Nenek mendapat faedah daripada perbuatan Aiman)
Imbuhan  yang  membawa  maksud  refleksif  pula ialah imbuhan ber-. Imbuhan  tersebut membawa maksud refleksi kepada diri sendiri. (perbuatan yang dilakukan oleh  seseorang yang  memberikan  refleksi).   Contohnya,   perkataan  yang  dimaksudkan  adalah  seperti bersolek, bersikat, dan  sebagainya. Imbuhan bagi kata kerja tersebut  membawa  maksud refleksif.  Ayat tersebut  juga  tiada objek kerana  kata kerjanya ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Contoh ayatnya adalah seperti yang berikut.
  1. Farah sedang bersolek di hadapan cermin. (Farah melakukan perbuatan yang memberikan refleksi untuk dirinya.)
  2. Ilman sedang bersikat di dalam bilik. (Ilman melakukan perbuatan yang memberikan refleksi kepada dirinya.)