Pengikut laman ini

Sunday, September 1, 2019

Pembacaan Kritis dan Analitis STPM

Soalan Pembacaan Kritis dan Analitis

Hal ini seterusnya akan mewujukan budaya TMK dalam kalangan masyarakat  untuk memudahkan urusan seharian.
Jelaskan langkah yang dapat diambil oleh pihak tertentu untuk memupuk budaya TMK dalam kalangan masyarakat di negara kita?  Panjang jawapan anda hendaklah tidak melebihi 150 patah perkataan. [20]

Jawapan pelajar

//Langkah yang dapat diambil adalah pihak kerajaan mewujudkan sebuah pusat internet. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sebilangan rumah tiada gajet pintar atau internet di rumah. Sebagai contohnya, pusat internet diwujudkan di kawasan perumahan. //Hal ini kerana memudahkan anggota masyarakat tanpa mengira umur untuk melayari internet.

//Seterusnya langkah yang dapat diambil adalah mengadakan kelas TMK oleh pihak sekolah. //Isu ini dapat dikatakan kerana masih ramai pelajar yang kurang celik penggunaan gajet dan cara mengakses internet. Sebagai contohnya, pihak sekolah mengadakan kelas cara mengakses internet melalui gajet pintar. Hasilnya, para pelajar dapat mengetahui cara penggunaan internet.

//Akhir sekali, langkah yang dapat diambil adalah penjualan gajet dengan harga yang murah oleh pihak pengeluar gajet pintar. //Perkara ini dapat dikatakan kerana segelintir anggota masyarakat tidak mampu untuk membeli gajet pintar. //Sebagai contohnya, penjualan gajet dengan harga yang mampu dimiliki oleh lapisan masyarakat. Hasilnya, anggota masyarakat dapat menggunakan IT dan celik TMK. (148 perkataan)

Analisis kesalahan

1. Kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar ialah kesalahan kata pemeri “adalah” iaitu terdapat dalam ayat pertama perenggan pertama dan perenggan kedua.
2. Kesalahan lain ialah kesalahan penggunaan kata hubung “kerana” selepas frasa “Hal ini”. Sepatutnya kata hubung “kerana” hadir selepas klausa seperti “Hal ini dikatakan demikian”. Kata hubung “kerana” menghubungkan klausa dengan klausa atau ayat dengan ayat.
3. Kesalahan seterusnya ialah ayat tergantung kerana tiada subjek atau tiada predikat seperti dalam ayat keempat, perenggan ketiga.
4. Kesalahan isi iaitu isi tidak/kurang relevan seperti dalam perenggan ketiga. Syarikat pengeluar gajet pintar tidak berupaya untuk menjual produk mereka dengan harga yang murah kalau tiada bantuan, subsidi, atau pengecualian cukai daripada kerajaan.


Jawapan yang sudah dibaiki kesalahannya

Pihak kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak pusat internet di sesuatu kawasan. Terdapat sebahagian rumah masih tiada kemudahan internet di rumah. Sebagai contohnya, pusat internet komuniti diwujudkan lebih banyak di  kawasan taman perumahan. Perkara ini akan memudahkan anggota masyarakat untuk melayari internet.

Pihak sekolah boleh mengadakan kelas TMK kepada pelajar. Tindakan ini harus dijalankan kerana masih ramai pelajar yang kurang celik dalam penggunaan gajet dan cara mengakses internet. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh mengadakan kelas tentang cara mengakses internet melalui gajet pintar. Hasilnya, para pelajar dapat mengetahui cara menggunakan internet untuk tujuan kebaikan.

Kerajaan perlu memberikan peranti elektronik percuma kepada pelajar yang tidak berkemampuan. Ada segelintir anggota masyarakat yang tidak mampu untuk membeli peralatan tersebut. Contohnya, Kementerian Pendidikan memberikan komputer riba atau telefon pintar kepada pelajar miskin. Hasilnya, semua pelajar akan dapat menggunakan peranti elektronik dan menjadi anggota masyarakat yang celik TMK. (141 perkataan)