Pengikut laman ini

Tuesday, December 25, 2012

PBS BM STPM 2013 - Penulisan Esei Berformat (910/4)


Pelajar Tingkatan 6 Penggal 2 yang akan menyambung persekolahan pada 2 Januari 2013 nanti perlu menyempurnakan PBS ini dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru. Pelajar perlu menulis kesemua esei berformat itu di dalam kelas selepas guru membincangkan formatnya. Esei berformat itu akan disemak dan dinilai oleh guru dan markahnya akan dihantar kepada pihak MPM melalui talian internet. Format karangan yang dimaksudkan itu adalah seperti yang berikut.

     1.     Laporan
     2.     Syarahan
     3.     Ceramah
     4.     Teks Ucapan
                                               5.     Memorandum
                                               6.     Minit Mesyuarat
                                               7.     Kertas Cadangan
                                               8.     Surat Kiriman Rasmi

Kertas Penulisan Esei Berformat STPM 910/4 (Penggal 2)
1    Penulisan esei berformat (910/4) ini merupakan satu daripada dua kerja kursus yang wajib dilaksanakan oleh para pelajar. (Satu kerja kursus lagi ialah penulisan esei ilmiah dalam Penggal 3.)
2   Kegagalan pelajar menghantar esei berformat ini pada tarikh yang ditetapkan akan menyebabkan pelajar gagal dalam Kertas 910 Bahasa Melayu.
3     Dalam konteks penulisan esei berformat, kerja kursus ini perlu dilaksanakan oleh para pelajar semasa mereka berada di Penggal 2.
4     Kerja kursus ini perlu dilaksanakan secara individu (bukan secara berkumpulan seperti penulisan esei ilmiah) berdasarkan tajuk soalan yang diberikan oleh guru.
5       Pelajar dikehendaki untuk menulis kesemua esei berformat ini dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Melayu.
6      Kelapan-lapan esei itu akan disemak dan dinilai oleh guru dalam Penilaian Berasaskan Sekolah. Markahnya akan dihantar kepada pihak MPM supaya dapat dijumlahkan dengan markah peperiksaan berpusat yang dikendalikan oleh MPM bagi menentukan gred mata pelajaran dan Purata Nilai Gred Keseluruhan.
7    Dalam peperiksaan STPM baharu, penulisan esei berformat ini dikemukakan sebagai Kertas 4 dengan kod kertasnya ialah 910/4.
8     Pelajar akan diminta supaya menulis setiap esei berformat yang panjangnya antara 600 hingga 650 patah perkataan, kecuali surat kiriman rasmi yang menghendaki pelajar menulis tidak kurang daripada 250 patah perkataan.
  9        25 markah diperuntukkan untuk setiap esei berformat itu.
10      Tujuan penilaian esei berformat ini dilaksanakan adalah untuk memastikan pelajar dapat:
(a)  menulis esei mengikut bentuk format yang dikehendaki;
(b)  mengembangkan isi secara tersusun, padat, dan meyakinkan supaya terhasil sebuah wacana yang utuh;
(c)  menghasilkan esei yang isinya menepati tajuk dengan menggunakan bahasa yang lancar dan berkesan.

Strategi untuk Menulis Esei Berformat
1       Fahami arahan dan kehendak soalan dengan sebaik-baiknya.
2     Baca soalan esei yang dikemukakan dengan teliti, kemudian kenal pasti isu dan format soalan itu.
3   Setiap isi perlu dihuraikan dengan baik. Calon-calon tidak sepatutnya menghadapi masalah untuk mematuhi apa-apa format pun yang dikehendaki dalam soalan kerana guru akan memberikan pendedahan dan bimbingan kepada mereka.
4       Sediakan lima hingga enam isi bagi setiap soalan esei berformat.
5      Sekiranya calon mampu untuk menghuraikan setiap isi dengan mendalam, empat isi dikira sudah mencukupi kerana panjangnya esei itu kelak pasti akan mencapai 600 hingga 650 patah perkataan.
6   Bagi calon yang lemah dalam mengolah setiap isi, empat isi tidak mencukupi kerana dibimbangi bahawa panjangnya esei itu kelak tidak akan mencapai jumlah 600 patah perkataan.
7       Oleh itu, calon harus menambah satu isi lagi untuk memanjangkan karangan.
8  Selepas selesai menulis esei, semaklah kerelevanan setiap isi dengan isu yang dikehendaki dalam soalan. Semak setiap perkataan dan ejaannya serta penggunaan penanda wacana yang betul dan sesuai. Pastikan tidak ada kesalahan tatabahasa dalam esei yang ditulis.

Kriteria Penilaian
1     Penulisan esei berformat dinilai berdasarkan beberapa aspek, iaitu aspek kerelevanan, pengolahan, dan bahasa iaitu sama seperti karangan tidak berformat, cuma bezanya dari segi format dan jumlah markah sahaja.
2     Penilaian dari segi kerelevanan ini melibatkan bahagian pendahuluan, isi, dan penutup. Hal ini bermaksud bahawa pendahuluan, isi, dan penutup karangan yang ditulis haruslah relevan dengan tajuk yang diberikan.
3  Penilaian dari aspek pengolahan pula melibatkan keupayaan calon mengolah esei berdasarkan:
(a)  kesepaduan esei; dan
(b)  binaan karangan.
4       Dari segi kesepaduan esei, (kohesi dan koheren) aspek yang akan dikenal pasti ialah:
(a)  jalinan isi dengan huraian;
(b)  jalinan isi dengan isi;
(c)  jalinan perenggan dengan perenggan; dan
(d)  jalinan ayat dengan ayat.
5      Dari segi binaan karangan pula, penilaian akan dibuat mengikut binaan penulisan esei, iaitu pendahuluan, isi, dan penutup.
6       Penilaian dari segi bahasa dibuat berdasarkan penggunaan:
             i.        diksi/pemilihan kata – melibatkan penggunaan kata umum, istilah, dan peribahasa,
        ii.     tatabahasa – melibatkan penggunaan sintaksis (frasa dan ayat) dan morfologi (imbuhan, kata ganda, dan kata majmuk), dan
            iii.        mekanis – melibatkan aspek ejaan dan tanda baca.

 7   Bagi dua esei berformat yang baharu iaitu kertas cadangan dan minit mesyuarat, kriteria penilaiannya agak berbeza sedikit dan calon-calon perlu mendapatkan panduan itu daripada portal MPM. Pihak MPM telah memuat naik panduan tersebut pada 19 Disember 2012 yang lalu.

Thursday, November 15, 2012

Soalan Latihan Rumusan STPM - Sistem Terminal

Soalan Rumusan - Peperiksaan Percubaan STPM Negeri Perak 2012 

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat dengan menggunakan tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 180 hingga 190 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.                                              
                                                             [20 markah]

Berdasarkan permintaan yang tinggi terhadap hasil produk tumbuhan herba pada peringkat domestik dan global, industri herba dan aromatik di Malaysia dilihat mempunyai potensi untuk merangsang ekonomi negara. Pada tahun 2009, data menunjukkan bahawa nilai pasaran hasil produk tumbuhan herba tempatan mencatatkan jumlah RM9 bilion setahun. Sementara itu, pasaran produk berasaskan herba tidak perlu dikhuatiri kerana wujudnya arah aliran dalam kalangan masyarakat berpendidikan tinggi yang sudah mula mengutamakan produk berasaskan alam semula jadi berbanding dengan produk yang mengandungi bahan kimia.
Tumbuhan herba yang tumbuh subur di hutan Khatulistiwa di Malaysia sememangnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan negara. Sekali gus sektor ini mampu memberikan pulangan yang lumayan sehingga berbilion-bilion ringgit setahun sekiranya usaha dan kaedah tanaman secara komersial dilakukan dengan betul.
Sehubungan dengan hal itu, industri herba dan aromatik juga berpotensi untuk menjadi sumber komoditi baharu negara selain kelapa sawit, bijih timah, koko, getah, dan minyak mentah. Hutan di negara ini menyimpan segala jenis herba, iaitu tumbuh-tumbuhan yang kini khasiatnya dikaji untuk manfaat manusia sebagai makanan dan ubat-ubatan. Usaha untuk menjadikan tumbuhan herba sebagai dimensi baharu komoditi negara bukanlah suatu hal yang mustahil untuk dicapai, memandangkan Malaysia merupakan antara negara terkaya di dunia dengan memiliki hutan yang mengandungi lebih daripada 20 ribu spesies tumbuhan. Lebih membanggakan kita daripada jumlah tersebut, kira-kira 2000 spesies telah didokumentasikan sebagai tumbuhan ubat-ubatan, sekali gus berfungsi sebagai stor simpanan yang mengandungi bahan herba bernilai untuk diproses menjadi produk penjagaan kesihatan.
Selari dengan perubahan gaya hidup masyarakat dunia dan keperluan industri makanan, perusahaan tumbuhan herba berupaya untuk menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada peladang dan petani. Sektor ini menjanjikan pendapatan yang lebih tinggi berbanding dengan penghasilan sesetengah tanaman tradisi lain yang banyak diusahakan oleh petani atau pekebun kecil di luar bandar.
Pasaran bagi produk herba yang meningkat berkali-kali ganda, sudah tentu memberikan jaminan yang lebih kukuh kepada peserta dalam industri ini untuk lebih berdaya saing bagi memenuhi permintaan pengguna. Malaysia juga tidak terkecuali daripada dilanda arus perkembangan perubatan tradisional dunia. Nilai import produk herba dan aromatik serta pasaran makanan kesihatan turut menunjukkan peningkatan. Peningkatan permintaan tersebut sangat berkait rapat dengan faktor tumbuhan herba yang digunakan secara meluas dalam produk, seperti perubatan tradisional, penghasilan bahan kimia tulen dalam ubat-ubatan, dan ekstrak yang mengandungi bahan aktif. Selain itu, hasil tumbuhan herba juga digunakan dalam industri makanan, minuman, perisa, kosmetik, bahan pencuci, kemasan diri, penambahan diet serta wangi-wangian.
Di Malaysia, kepelbagaian biologi flora dan fauna mampu menjadi pemangkin ke arah kemajuan industri herba tempatan dan seterusnya merealisasikan kewujudannya sebagai komoditi baharu untuk memacu ekonomi negara agar lebih mapan. Perkembangan maklumat mengenai kepelbagaian khasiat tumbuhan herba menjadi faktor penarik dalam kalangan saintis Barat untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang berkaitan dengan tumbuhan itu, seterusnya mengusahakannya secara komersial. Oleh hal yang demikian, 80 peratus daripada pasaran domestik produk tumbuhan herba dan aromatik itu datangnya dari luar kerana peserta asing dalam industri ini mempunyai bahan mentah yang lebih berkualiti melalui P&P yang dijalankan.
Saintis Barat yang lebih pantas mengorak langkah untuk mengaut keuntungan daripada sektor ini menyedari bahawa penggunaan tumbuhan herba sebagai ubat-ubatan kurang memberikan kesan sampingan berbanding dengan penggunaan ubat moden. Oleh sebab itu, pengguna yang semakin peka dengan aspek kesihatan dan kecantikan, lebih cenderung untuk memilih produk yang berasaskan herba dan aromatik kerana faktor risiko yang rendah, di samping aspek keberkesanannya yang lebih terjamin.
(Dipetik dan diubah suai daripada Dewan Ekonomi, September 2011)

Sunday, November 4, 2012

Eei STPM Modular 2012 – Isu Kemudahan Awam


Esei ini ditulis oleh saudari Immazaitul Nor Aim binti Naim, Kelas 6 Rendah 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi.

Soalan Contoh

Kita sering mendapati bahawa banyak kemudahan awam yang disediakan oleh pelbagai pihak telah dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pada pandangan anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku?

Kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta adalah untuk kegunaan orang ramai. Akan tetapi, ada kemudahan yang disediakan itu telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contohnya, mereka merosakkan kemudahan awam seperti memutuskan gagang telefon awam, menconteng dinding tandas awam, merosakkan alat permainan di taman permainan kanak-kanak, dan sebagainya. Perkara itu menyebabkan orang lain pula yang akan menerima kesannya kerana tidak dapat menggunakannya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemudahan awam ini dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Seperti yang kita sedia maklum, antara faktor yang menjadi puncanya disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral di rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli keluarga itu sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik serta tidak menitikberatkan soal agama dan moral. Oleh itu, mereka merosakkan kemudahan awam tanpa memikirkan akibat dan kesukaran yang akan dihadapi oleh orang lain. Jadi, tanpa didikan agama dan moral daripada keluarga, perkara ini akan menyebabkan remaja tidak dapat membezakan perkara yang baik atau buruk. Hal ini menunjukkan bahawa didikan agama dan moral yang kurang dititikberatkan oleh ibu bapa menjadi faktor kemudahan awam dirosakkan.
Faktor lain kemudahan awam dirosakkan ialah remaja terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka. Perkara ini berlaku kerana mereka kebiasaannya akan melakukan atau mencontohi tindakan rakan-rakan yang lain. Kebiasaannya, remaja akan mengikut contoh atau melakukan tindakan yang dilakukan oleh rakan yang merosakkan kemudahan awam, seperti merosakkan pam atau sinki tandas. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesulitan kepada orang lain yang hendak menggunakannya. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh rakan merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Kita juga sedar bahawa perkara itu disebabkan oleh sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin akan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan anggota masyarakat lebih mementingkan urusan mereka sendiri. Tindakan itu boleh diibaratkan seperti “katak di bawah tempurung” kerana mereka tidak menghiraukan perkara yang sedang berlaku. Hasilnya, gejala ini tentunya menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam selepas menggunakannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin akan orang lain merupakan salah satu daripada faktor yang menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Selain itu, kemudahan awam yang disediakan oleh pihak tertentu itu dirosakkan oleh orang yang hendak meluahkan perasaan marah mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak ada tempat lain untuk meluahkan perasaan selain merosakkan kemudahan awam yang disediakan. Perkara ini jelas terbukti seperti kata-kata kesat dan lucah yang terdapat di dinding-dinding tandas awam dan di pondok telefon awam. Orang yang tidak bertanggungjawab itu mungkin akan berasa lega dan berpuas hati dengan tindakannya itu. Sesungguhnya, perkara ini menunjukkan bahawa faktor orang yang hendak melepaskan perasan marah atau geramnya menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Seterusnya, faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau tidak tegas. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa tidak bertindak dengan tegas atau mengenakan denda yang berat terhadap pihak yang merosakkan kemudahan awam. Perkara ini menyebabkan orang yang tidak bertanggungjawab semakin berani untuk merosakkan kemudahan awam. Namun demikian, orang yang memerlukan kemudahan awam tersebut pula yang terpaksa menanggung akibat buruknya. Oleh itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi faktor penyumbang terhadap masalah ini.
Selain itu, kemudahan awam juga sering dirosakkan kerana kurang pemantauan dan penyelenggaraan daripada pihak yang bertanggungjawab. Masalah ini akan menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam tersebut apabila mereka tidak dapat menggunakannya. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kekurangan kakitangan daripada pihak berkuasa yang hendak membuat pemantauan ataupun perbelanjaan untuk menyelenggarakan kemudahan awam itu sudah habis digunakan. Akibatnya, kemudahan awam yang dirosakkan itu akan terus terbiar dan perkara itu akan menjejaskan kebersihan atau keselesaan. Jadi, sememangnya faktor ini membuktikan bahawa masalah kurang pemantauan atau penyelenggaraan menyebabkan  perkara tersebut berlaku.
Sebagai kesimpulannya, kita dapat melihat bahawa kemudahan awam yang dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini berpunca daripada beberapa perkara. Oleh itu, semua pihak  haruslah berganding bahu untuk menangani masalah ini agar tidak menjadi lebih serius. Sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, masalah ini akan menyebabkan imej negara tercemar akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab ini. Jadi, kita haruslah bekerjasama untuk mengatasi masalah ini sebelum menjadi amalan tersebut menjadi tabiat atau budaya masyarakat kita. Akhirnya, kita berharap agar kemudahan awam dapat digunakan dan dinikmati oleh orang ramai tanpa sebarang masalah.

Saturday, October 20, 2012

Analisis Soalan Esei STPM 2001 - 2011


Calon-calon STPM tahun 2012, sama ada Tingkatan 6 Atas ataupun Tingkatan 6 Rendah (Penggal 1) bolehlah meneliti analisis soalan seperti yang dipaparkan di bawah ini. Teliti trend soalan setiap tahun untuk membuat jangkaan dan menentukan fokus soalan pada tahun 2012.

Tahun
Isu/Fokus Soalan
Format


2001
1. Bincangkan penyataan tentang peningkatan umur persaraan daripada 55 kepada 60 tahun
Umum
2. Sebab dan langkah pengabaian budaya hidup berjiran
Umum
3. Penyataan  kekesalan dan langkah mengatasi kegagalan bidang penternakan memenuhi keperluan penduduk tempatan
Memorandum
4. Bincangkan perkara yang berkaitan dengan globalisasi
Umum


2002
1. Faktor yang mempengaruhi kestabilan institusi kekeluargaan.
Umum
2. Kesan pertumbuhan pasar raya.
Umum
3. Langkah untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Umum
4. Punca kekurangan bekalan air dan langkah mengatasinya.
Laporan



2003
1. Kesan negatif pencemaran sungai dan langkah mengatasinya.
Umum
2. Sebab kelembapan pasaran buku ilmiah dan cadangkan langkah untuk mempertingkatkannya.
Umum
3. Faktor yang menyebabkan berlakunya kegiatan cetak rompak dan kesan-kesannya.
Umum
4. Kelemahan sistem pengangkutan awam dan langkah mengatasinya.
Laporan



2004
1. Usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk melalui sistem pendidikan.
Umum
2. Kesan buruk penggunaan racun serangga dan langkah mengatasi masalah.
Umum
3. Ulasan tentang faktor kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran dalam mencapai kemajuan negara.
Umum
4. Cara memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar.
Ucapan


2005
1. Kepentingan aktiviti sukan dalam kehidupan warga Malaysia.
Umum
2. Dapatkah Malaysia menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini.
Umum
3. Cara-cara Malaysia mengatasi kegawatan ekonomi.
Ceramah
4. Kesan negatif penggunaan tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga.
Umum



2006
1. Kebaikan aktiviti kitar semula kepada masyarakat dan negara.
Ceramah
2. Penjelasan tentang sebab-sebab siswazah kurang berminat dalam bidang pertanian.
Umum
3. Penyataan  kekesalan tentang kesan negatif program bersifat realiti yang disiarkan melalui televisyen.
Memorandum
4. Sebab golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan.
Umum





2007
1. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, jelaskan tindakan yang perlu dilakukan untuk memperkukuh patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini.
Umum
2. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan gejala obesiti atau kegemukan dikatakan berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak sihat.
Umum
3. Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya kegiatan seni budaya tradisional kini semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini.
Umum
4. Jelaskan penyataan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memasukkan komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi para pelajar tingkatan satu hingga lima boleh memberikan kesan yang positif kepada pelajar.
Umum




2008
1. Jelaskan sebab telefon bimbit menjadi piihan ramai dan kesan yang timbul daripada penggunaannya.
Umum
2. Pada pendapat anda, mengapakah gejala rasuah perlu dibendung?
Umum
3. Tulis teks syarahan yang bertajuk ”Hak-hak Pengguna”.
Syarahan
4. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan yang mengatakan kebanyakan rancangan televisyen lebih mementingkan keuntungan kewangan berbanding dengan melaksanakan tanggungjawab sosial?
Umum




2009
1. Berikan penjelasan anda tentang manfaat memajukan industri desa.
Umum
2. Huraikan peranan muzik dalam masyarakat.
Umum
3. Pada pandangan anda, apakah kelebihan menguasai lebih daripada satu bahasa? Kemukakan cadangan anda untuk menggalakkan generasi muda menguasai lebih daripada satu bahasa.
Umum
4. Pada pendapat anda, mengapakah perpaduan kaum penting kepada rakyat dan negara? Jelaskan langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan perpaduan kaum di negara ini.
Umum




2010
1. Jelaskan pelbagai kesan negatif pembakaran secara terbuka.
Umum
2. Huraikan kebaikan mempelajari dan mengamalkan ilmu seni pertahanan diri.
Umum
3. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa penglibatan remaja dalam kumpulan samseng berpunca daripada kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka.
Umum
4. Faktor yang menarik pelancong asing melawat Malaysia dan kepentingan industri pelacongan kepada masyarakat dan negara.
Ceramah






2011
1. Jelaskan sebab barangan dari luar masih mendapat sambutan daripada pengguna. Apakah kesan negatif yang akan timbul sekiranya fenomena ini tidak di atasi.
Umum
2. Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya gangguan mental.
Umum
3. Jelaskan kepentingan penganjuran peraduan mengarang esei, cerpen, dan puisi untuk orang ramai.. Selain itu, kemukakan cara untuk meningkatkan penyertaan orang ramai dalam peraduan tersebut.
Umum
4. Sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), anda telah diundang untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar institusi pengajian tinggi tentang kebaikan penggunaan jalur lebar kepada masyarakat dan negara. Tulis teks ceramah itu selengkapnya.
Ceramah