Pengikut laman ini

Tuesday, March 24, 2009

Pendahuluan Karangan STPM dan SPM

Pendahuluan Karangan SPM dan STPM
Cara Menulis Pendahuluan Karangan dengan Menggunakan Teknik FACLK
Cikgu mendapati bahawa masih banyak anak murid cikgu yang kurang faham dan menghadapai masalah untuk menulis perenggan pendahuluan yang mantap. Jadi, kali ini cikgu akan membincangkan cara atau panduan untuk menulis pendahuluan karangan. Hal ini perlu diberi perhatian kerana terdapat juga murid yang tidak mementingkan aspek pendahuluan dalam karangan. Buktinya, ada murid yang menulis dua ayat sahaja dalam pendahuluan karangannya. Selain itu, ada juga murid yang menulis dua ayat tanya dalam perenggan pendahuluannya. Jadi, siapakah yang akan menjawab soalan tersebut? Jika perkara ini berlaku sudah pastilah markah pendahuluan akan kurang dan markah keseluruhan karangan akan terjejas terutamanya dalam peperiksaan STPM. Karangan yang baik seharusnya mempunyai pendahuluan yang diolah dengan baik dan seimbang dengan perenggan-perenggan yang lain.

Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menulis pendahuluan karangan seperti yang terdapat dalam buku-buku panduan menulis karangan di pasaran. Ada penulis yang menyarankan pelbagai cara seperti pendahuluan jenis definisi, sejarah, berdasarkan pandangan tokoh-tokoh, dan sebagainya. Jadi, dalam paparan kali ini saya mencadangkan satu cara lagi untuk memudahkan murid berfikir dan menulis pendahuluan karangan tersebut dengan menggunakan teknik FACLK. Diharapkan teknik ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid untuk menulis pendahuluan karangan, selain teknik yang biasa digunakan oleh murid-murid sebelum ini.

Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya)
Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L) dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap serta menepati kehendak skema pemeriksa.

Soalan Contoh 1
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud.
Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Perenggan Pendahuluan Contoh 1
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)


Soalan Contoh 2
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

Perenggan Pendahuluan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F) Bangunan tersebut boleh dijadikan fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tersebut jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara. (K)

Murid-murid harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal tentang keseluruhan karangan murid-murid. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 90 hingga 100 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 50 hingga 60 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan sudah pasti akan menjejaskan markah aspek relevan (R) dan juga mempengaruhi markah pengolahan (P).

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

14 comments:

j@c said...

maafkan saya, cikgu. Bolehkah saya minta pendapat cikgu tentang cuti penggal persekolahan sama ada ia wajar dipendekkan atau dikekalkan. saya harap cikgu dapat membantu saya kerana saya kebuntuan idea.terima kasih.

Mohd Khir Kassim said...

Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. fikirkan kebaikan atau keburukan kalau cuti persekolahan dipendekkan dan begitu juga sebaliknya. Cuba layari blog Cikgu Ghalib atau Cikgu Razak untuk dapatkan idea.

j@c said...

terima kasih cikgu. saya meminta pendapat cikgu kerana saya akan bertanding dalam pertandingan perbahasan. Saya sukar mendapat isi untuk barisan pembangkang. harap cikgu boleh membantu. terima kasih atas blog yang dicadangkan.

d!@n a.k.a $ygm!Lo said...

ckg,terima ksh sbb beri formula...
sy akan praktikkan dlm karangan sy nanti...

Nurliana Bazilah said...

Assalamualaikum cikgu,
Disini saya ingin meminta pendapat mengapa cuti penggal wajar dipendekkan. Saya berharap cikgu dapat berkerjasaman dengan saya. Saya mememohon jasa baik cikgu untuk membantu saya. Saya berharap cikgu dapat mengemuka pendapat cikgu secepat mungkin. Alamat emel saya - liyanazyla_93@yahoo.com

Mohd Khir Kassim said...

Nurliana, sila rujuk laman sembang, saya sudah mengemukakan pendapat saya tentang isu itu kerana ada pelajar lain bertanyakan isu yang sama.

saliha zaini said...

assalamualaikum cikgu, saya pelajar tingkatan 5 ingin bertanya,dalam soalan kertas 2 pemahaman soalan 2 sekiranya soalan bertanyakan tentang persoalan dalam cerpen perlukah pelajar menghuraikan dengan lebih lanjut persoalan tersebut?

intan said...

assalamualaikum...kami pelajar smk pdg piol jerantut ada task yang kne wat....kami kena cari semua contoh perenggan pendahuluan...cntohnya pendahuluan jenis tokoh,puisi dsb...leh tak cikgu bagi semua contoh2 pendahuluan...

echa'joe.. said...

slm cgu.Saya nak minta cikgu tolong ajarkan saya bagaimana cara untuk menjadikan isi karangan bahasa melayu itu sangat baik.Ini kerana, saya mempunyai masalah untuk membuat isi sejak saya berada dalam tingkatan enam.Semoga cikgu dapat membantu saya.Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih kapada cikgu.

Anonymous said...

salam ckg..boleh cikgu beri saya satu pendahuluan menarik tentang Peranan Ibu Bapa Membentuk Anak-anak Berdikari?saya memerlukannya untuk menyiapkan karangan saya..terima kasih..

kronik said...

terima kasih :)

izzati hazwani said...

salam cg..saya ingin bertanyakan mengenai bagaimanakah kita ingin menulis pendahuluan karangan dengan kaedah persoalan?

arif prudent said...

salam cikgu, bleh cg tolong bg contoh pendahuluan peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak2 dlm bidang sukan...

Anonymous said...

Lancau