Pengikut laman ini

Monday, December 6, 2010

Novel Tingkatan 5 2011 - Interlok

Sinopsis Novel Interlok (Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya)

Buku Empat
Interlok

1
Ketika Maniam teringat akan anaknya dan Malini yang sudah ditinggalkannya selama dua puluh satu tahun itu, Seman datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan pekerjaan di kebun getah itu. Maniam mengatakan bahawa bapa Seman ialah kawan baiknya suatu masa dahulu. Dia berjanji untuk membantu Seman yang terpaksa membina kehidupan baharu bersama-sama dengan emaknya kerana dia disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang kerana semua harta termasuk tanah dan rumahnya sudah menjadi milik Cina Panjang itu. Sejak kematian bapanya, Seman kuat beribadat dan memohon doa kepada Tuhan supaya diberikan perlindungan dan pertolongan. Pada malam itu, dia singgah di surau untuk menunaikan solat Isyak sebelum pulang ke rumahnya. Seman mengajak emaknya meninggalkan rumah itu esok paginya dan mengatakan bahawa dia sudah mendapat kerja di kebun getah. Seperti yang dijanjikan, Maniam menunggu Seman dan emaknya lalu menunjukkan rumah kuli yang akan menjadi tempat tinggal mereka nanti.

2
Selepas Cing Huat memarahi, menampar dan menghalaunya pada suatu malam, Yew Seng sudah nekad untuk meninggalkan rumah pada pagi esoknya. Dia akan pergi ke sebuah lombong yang berhampiran dengan Cangkat Janggus dan bekerja sebagai kuli di lombong bijih itu. Yew Seng sering kali bertentangan pendapat dengan bapanya dan dia juga suka berkawan dan bermain dengan budak-budak Melayu terutamanya Lazim. Perkara yang dilakukannya itu memang tidak disukai oleh bapanya. Di samping itu, Yew Seng selalu bersimpati dengan Lazim atas kemunduran orang Melayu. Dia mengatakan bahawa orang Melayu sama sahaja dengan orang Cina dan mereka bukannya orang hutan seperti yang selalu didakwa oleh bapanya itu. Di lombong bijih itu, dia mengenali Kong Beng yang menjadi kepala kuli di situ.

3
Setelah dua tahun setengah meninggalkan kampungnya, Seman pulang dan bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong pada suatu hari. Di situ, dia bertemu dengan Lazim dan hasratnya untuk meminang Upik pula terpaksa dilupakan apabila Lazim memberitahu bahawa Upik sudah berkahwin dengannya. Walau bagaimanapun, Setelah dicadangkan oleh Lazim, Seman meminta bantuan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat ranggi untuk dijadikan isterinya. Walaupun pada mulanya Mat Ranggi tidak bersetuju dengan hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya selama ini, iaitu dia terlalu mementingkan harta.

4
Seman akhirnya berkahwin dengan Gayah iaitu anak Mat Ranggi yang sudah dapat menerimanya sebagai menantu walaupun dia tidak berharta. Dia memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke Kampung Nyiur Condong dan berkahwin dengan Gayah. Selepas berkahwin, Seman tinggal bersama-sama dengan bapa mentuanya, dan ibunya pula tinggal di pondok yang berhampiran dengan rumah Lebai Man untuk memudahkannya belajar agama bersama-sama dengan pelajar yang lain.

5
Apabila tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu, keadaan menjadi tidak tenteram dan tentera orang putih mula mengundurkan diri. Orang-orang Cina pula gelisah dan takut akan tentera Jepun. Keadaan menjadi tidak tenteram kerana banyak berlaku rompakan. Sebagai contohnya, ada orang Melayu yang sanggup merompak kedai-kedai orang Cina untuk membalas dendam. Dalam satu rompakan di kedai Cing Huat pada suatu malam, Poh Eng hilang, tetapi dia telah diselamatkan oleh Seman. Seman membawa Poh Eng dan emaknya berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, tentera Jepun datang ke kedai Cing Huat dan bertanyakan Yew Seng yang menyertai kumpulan pengganas komunis yang diketuai oleh Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng pula balik ke rumahnya pada suatu malam dan meminta makanan. Dia berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang.

6
Selepas pengurus orang putih meninggalkan ladang mereka, orang Jepun pula yang mengambil alih pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, orang-orang yang tidak dikenali telah menculik pengurus kebun Cangkat Janggus pada suatu malam. Poh Eng pula telah dibawa lari oleh abangnya, Yew Seng pada malam itu juga. Mak Limah telah ditangkap oleh Jepun berikutan dengan kehilangan pengurus Jepun di kebun Cangkat Janggus itu.

7
Maniam dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus pula telah ditangkap oleh Jepun disebabkan oleh kehilangan pengurus Jepun itu. Semasa dalam tahanan, Maniam telah diseksa oleh tentera Jepun. Walau bagaimanapun, dia telah bertemu dengan anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ dan membebaskannya. Maniam meminta bantuan daripada anaknya itu, iaitu Inspektor Ramakrisynan supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula sangat marah apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng.

8
Keadaan menjadi semakin gawat dan sukar kerana barang-barang keperluan sangat kurang dan harganya melambung tinggi. Orang kampung juga semakin susah akibat hasil pertanian mereka terpaksa dijual dengan harga yang murah kepada Jepun dan sekiranya mereka enggan, hasil pertanian itu akan dirampas dan tuan punyanya pula akan ditangkap dan dihukum. Kebun-kebun pula sering diserang oleh gerombolan komunis pada waktu malam dan pengurus-pengurusnya yang terdiri daripada orang Jepun itu ditangkap ataupun dibunuh. Lazim turut ditangkap oleh Jepun kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.

9
Setelah Jepun tewas, orang Inggeris kembali ke Malaya dan pada masa itu berlaku penentangan terhadap pengganas komunis. Sementara itu, pengganas komunis pula semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Malaya. Gerombolan pengganas komunis telah mengambil alih balai polis dan Inspektor Rama ditangkap kerana bekerjasama dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, dan dia terus membebaskan kawannya itu.

10
Orang Melayu yang diwakili oleh Lazim, Mail Jambul, dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh Inggeris. Kemudian darurat diisytiharkan di seluruh negeri kerana Parti Komunis Malaya melakukan pemberontakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan komunis di wilayah-wilayah yang telah dirampas daripada tangan Inggeris. Mereka mengatakan bahawa perkara itu dilakukan untuk membebaskan seluruh Malaya daripada penjajahan Inggeris dan untuk mencapai matlamat itu, mereka terpaksa melumpuhkan ekonomi negeri ini terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mereka terpaksa merosakkan kebun-kebun getah dan kelapa serta menghancurkan lombong-lombong bijih.

Sementara itu, Yew Seng dan Kong Beng kembali semula ke hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang kebun-kebun di kawasan itu pada setiap malam dan membunuh orang putih yang menjadi pengurusnya. Selain itu, mereka terus menyerang dan merosakkan pokok-pokok getah serta menghancurkan lombong bijih. Cing Huat pula telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di pekan kecil di kawasan tempatnya tinggal itu. Mereka berjuang untuk membersihkan nama orang Cina akibat dakyah pengganas komunis yang sesat itu dan memperjuangkan kebajikan orang-orang Cina. Orang-orang India juga mempunyai pertubuhan yang sama dan memperjuangkan kebajikan kaum mereka. Pertubuhan mereka itu dipimpin oleh Raman iaitu seorang guru yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima.

Suppiah dan dua anggota baharu gerombolan itu menangkap Maniam dan dibawa ke dalam hutan di tempat persembunyian gerombolan tersebut pada suatu malam. Ketika Suppiah hendak menembak Maniam, Poh Eng menyelamatkan Maniam dengan menembak Suppiah. Pada masa itu juga, Inspektor Rama dan pasukan keselamatannya melakukan serangan hendap terhadap gerombolan pengganas komunis itu. Dalam serangan tersebut pasukan keselamatan telah berjaya menewaskan gerombolan pengganas komunis. Yew Seng pula cedera parah di bahagian atas lututnya dan anggota pengganas yang masih hidup telah ditangkap.

Yew Seng dan Poh Eng sedar dan insaf akan perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan antipenjajah. Orang-orang di pekan Simpang Empat pula berasa gembira dan mereka hendak menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Mereka semuanya berasa gembira apabila Malaya akan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman akan merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana bapanya hendak berjumpa dengan mereka.

35 comments:

Anonymous said...

Cikgu... knape buku 4 je..
buku 1 / 2 / 3 mne??
sye pning la.. na buat sinopsis buku Interlok nie..

Faiez Haiqal said...

Assalamualaikum.. :)
Boleh saya dapatkan juga sinopsis buku 1, 2 dan 3..??

Terima Kasih...

Nalisa Syahira said...

sinopsis buku 1 , 2 , 3 ada tak ?

Anonymous said...

semuanya berapa buku ckgu?,,

Anonymous said...

erm sinopsis buku 1,2 ,3 memang takde erk?

irah said...

sinopsis jee ke?????

Anonymous said...

thanks cikgu, but sy masih perlu sinopsis bab 1,2,3 yea.

facebook.com/nachie.sipot

Nurul Husna said...

Assalamualaikum cikgu,semoga cikgu dalam keberkatan Nya.cikgu,saya ucapkan bebyak terima kaseh atas ptolongn ckgu kpd plajar tgkatan 5 2011 dlam mncari snopsis interlok,tapi cikgu,saya maseh prlukan sinopsis untuk buku 1,2,3 dalam waktu terdekat ni,saya harap cikgu sudi bntu saya dan kekawan yg laen,kerjasama cikgu amat kami hargai.terima kaseh cikgu.wassalam.

aliza said...

salam
tahniah kerana cikgu begitu 'cepat bertindak' demi manfaat pelajar.. alhamdulillah ada cikgu seperti ini, saya amat kagum dan ingin mencontohinya walaupun sukar..

Uthaya Sankar SB said...

Usaha murni yang sangat membantu. Tambahan pula, kini "semua orang" berebut-rebut mahu membaca novel ini!

Hidayah said...

hurm thx cikgu.. walaupun sekolah saya tak edarkan lagi buku komsas ni.

azmah said...

Salam cikgu, saya minta izin untuk gunakan sinopsis ini untuk pelajar sekolah saya. Tq. semoga usaha cikgu diberkati olehNya.

Lim Ah Nee said...

Terima kasih Cikgu Mohd Khir Kassim.Mohon menggunakan bahan dalam pengajaran. dari Cikgu Lim Ah Nee Rawang. BP(PBMP )UPM.

Anonymous said...

dimana boleh saya dapatkan sinopsis 1,2 dan 3 cikgu?

eikakecik26@yahoo.com

Anonymous said...

smua nak shortcut. nak sinopsis 1,2,3 baca lah buku sendiri. makin ada internet makin nak jd pemalas.

Anonymous said...

salam cikgu.sy student uitm dr kelantan .sy tertarik nk baca novel ni .kecoh sekarang ni,kaum india mrhkan novel ni.sy dapat rskan x ada apa yg slh pd novel ni..sy sgt berminat nk baca.,walaupun bidang pengajian sy di U lebih kepada matematik,tapi sy mmg mempunyai minat yg mendalam dlm bidang sastera.
sy nk tanya,mcm mana sy nak dptkan novel ni?boleh beli kat mana?
harap cikgu dpt bantu :)

Anonymous said...

x patut buang buku ni.... memang buku 1 malaysia... cerita pengorbanan dan hakikat dulu2... baca dulu baru tahu..

Cheguman said...

kenapa novel ni nak ditukar?

Farah said...

salam cikgu...

walaupun saya dh bekerja tp saya tertarik nk baca novel nih...seb saya rasa novel nih bagus...
tp cari kat kedai buku xde...
cikgu tau x kt mn boleh dpt novel nih...harap cikgu boleh bantu...

Aslina said...

assalamualaikum cikgu... sebab kontroversi mengenai buku ni, saya tertarik nak baca keseluruhan cerita novel ni. kat mana boleh dapat ye?

atau ada dalam versi pdf lagi baik. terima kasih.

Cikgu Khir Kassim said...

Waalaikumussalam Cik Agogo dan Farahfarhana, novel Interlok boleh didapati di kedai-kedai buku yang menjual buku teks sekolah. Novel ini juga boleh dipinjam daripada pelajar-pelajar Tingkatan 5 Zon Tengah iaitu negeri Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Terima kasih.

Qaseh Fara said...

jenuh na mencari sinopsis buku 1, 2, dan 3

shahirahkhairudin said...

As Salam Cikgu..
mohon share sinopsis ini di laman belog saya,..

Putrin Ieja said...

terima kasih cikgu....
usaha cikgu membantu murid2 amat saya hargai....
TERIMA KASIH....

haziqah said...

asaalamualaikum...
sy nk sinopss utk buku 1, 2, 3 gak..
blh bantu???

Unknown said...

cikgu boleh x saya dapatkan buku ini.saya cadang buku ini akan mendapat sambutan hebat dari pelajar.saya sebagai orang india saya x suka mereka yang menghalang buku ini jadi buku komsas pelajar

Anonymous said...

slmm ckgu... tq utk sinopsis. tp, ade tak bku 1, 2 dan 3? tlg ckgu, tmbh kan..

Anonymous said...

cikgu....mcmne sye nk dpatkn sinopsis untk kluarga chin huat je...???

Anonymous said...

latar tempat dan contoh peristiwa takde ker.....
satu lagi latar masa dan contoh takde ker......

syahirah said...

sinopsis buku 1,2,3 ade??
kalau boleh, saya nak tema, persoalan, watak dan perwatakan, latar dan nilai murni...
secepat yang mungkin...

ira_puteribonda said...

best nye bce bku interlok ni, tapi pning pale jugakkkk!... buku 1,2,3 mne?...

Sam06 said...
This comment has been removed by the author.
Sam06 said...

Assalamualaikum...Cikgu,di manakah boleh saya dapatkan novel ni @ bhn komsas yg lain dlm format Pdf atau e-book?Saya OKU,sebab tu saya x boleh nak selak buku2 biasa...

H A J A R said...

Alhamdulillah . .

Unknown said...

Apakah langkah2 ekonomi dalam novel ini?