Pengikut laman ini

Saturday, October 30, 2010

Fokus Esei STPM 2010 – Pelaburan Asing

Satu daripada isu yang perlu difokuskan dalam esei STPM 2010 nanti ialah isu yang berkaitan dengan pelaburan asing.


Di bawah ini, dipaparkan esei yang ditulis oleh Norfazlina binti Idris (6A1), iaitu pelajar SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Soalan Contoh

Pelaburan asing merupakan perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh sesebuah negara. Perkara ini penting untuk membangunkan ekonomi sesebuah negara terutamanya negara-negara yang sedang membangun dengan pesat seperti negara kita.

      Huraikan faktor-faktor yang menggalakkan pelaburan asing ke negara kita.

Karangan Contoh

      Pelabur asing merupakan golongan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara terutamanya bagi negara yang sedang membangun seperti negara kita. Hal ini amat penting untuk dititikberatkan kerana pelabur asing merupakan pihak yang boleh menjadi batu loncatan untuk negara kita mencapai kemajuan seiring dengan negara maju yang lain. Pihak yang bertanggungjawab di negara ini haruslah aktif memainkan peranan, contohnya mereka perlu bertemu dengan pelabur asing bagi memberikan penerangan yang berkaitan dengan hal ini. Dengan cara itu, sudah tentu pelabur-pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara ini iaitu apabila mereka yakin akan mendapat pulangan yang sewajarnya hasil daripada penerangan tersebut. Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai faktor yang dapat menarik pelabur asing untuk melabur di negara kita.

      Faktor yang boleh mendorong pelabur asing untuk melabur di negara kita ialah kestabilan politik. Sudah tentu pelabur tidak akan teragak-agak, malah mereka lebih berminat untuk melibatkan diri dalam hal ini sekiranya keadaan politik negara kita stabil. Jadi, kita perlulah mempertahankan dan mengekalkan kestabilan politik yang sudah lama wujud di negara kita. Tambahan pula, pada zaman sekarang, tidak banyak negara yang stabil dari segi politik yang menyebabkan pelabur akan berfikir dua kali untuk membuat pelaburan di sesebuah negara. Dengan kelebihan yang kita miliki itu, kita harus menggunakannya dengan sebaik-baik yang mungkin kerana peluang baik seperti itu mungkin tidak akan datang bergolek pada masa akan datang.

      Dengan adanya tenaga kerja yang banyak, perkara ini boleh membantu negara untuk meningkatkan kemasukan pelaburan asing. Perkara ini dapat dilihat apabila sesebuah negara itu mempunyai banyak pekerja untuk melakukan sebarang pekerjaan di samping upah kerjanya yang murah. Oleh itu, pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara kita dan seterusnya mereka akan mewujudkan peluang pekerjaan di kilang-kilang dengan lebih banyak di negara ini. Secara tidak langsung, negara kita akan dapat banyak manfaat dalam satu masa seperti kata pepatah, “sambil menyelam minum air”. Oleh itu, masalah pengangguran akan dapat dikurangkan dan secara tidak langsung pelaburan itu akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia.

      Pelabur asing yang datang ke negara kita ingin akan layanan dan kemudahan yang baik dari negara kita, termasuklah kemudahan infrastruktur. Kemudahan-kemudahan seperti sistem jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan komunikasi merupakan prasyarat dan perkara yang sangat penting untuk membawa produk mereka ke luar negara untuk dipasarkan di pasaran antarabangsa. Oleh sebab itu, pihak kerajaan haruslah menyediakan kemudahan yang lengkap dari segi prasarana untuk menarik pelabur asing yang lebih banyak supaya melabur ke negara ini. Layanan yang baik ini akan memberikan keselesaan kepada mereka semasa berada di negara ini dan membawa rakan-rakan pelabur asing yang lain untuk melabur di negara ini.

      Faktor birokrasi juga turut memainkan peranan penting bagi menentukan kemasukan pelaburan asing. Hal ini dikatakan demikian kerana jika faktor birokrasi sesebuah negara itu tidak terlalu ketat, sudah pasti pelabur asing akan tertarik untuk melabur di sesebuah negara itu. Birokrasi seperti urusan pentadbiran yang merumitkan pelabur, contohnya sesuatu permohonan yang memerlukan masa yang lama untuk diluluskan akan menyusahkan para pelabur asing dan akan menyebabkan mereka kurang berminat atau membatalkan pelaburan mereka dan berpindah ke negara lain. Secara tiidak langsung, perkara ini akan memberikan impak negatif terhadap negara ini. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa, “kerana nila setitk, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, pihak berkuasa perlu memastikan urusan birokrasi atau pentadbiran di negara ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan yang akan memudaratkan negara.

      Kemasukan pelaburan asing juga sering dikaitkan dengan aspek kestabilan ekonomi negara kita. Oleh sebab itu, faktor ekonomi negara kita turut tidak terkecuali daripada pertimbangan para pelabur sebelum melabur di sini. Sudah tentu para pelabur akan mencari negara yang mempunyai ekonomi yang stabil seperti negara kita bagi meluaskan perniagaan mereka untuk mendapat pulangan yang menguntungkan mereka. Jika negara kita mundur dan menghadapi pelbagai masalah, tidak mungkin para pelabur akan berminat untuk melabur di negara kita kerana perkara itu akan memberikan masalah kepada mereka. Seterusnya, negara kita akan menghadapi kesukaran untuk membangun dan tidak akan dapat pelaburan dari luar negara. Dengan kata lain, faktor ekonomi merupakan faktor yang sangat penting untuk memajukan sesebuah negara dan usaha untuk menarik pelabur asing perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

      Sebagai kesimpulannya, pelaburan asing memang penting untuk mempercepat kemajuan dan pembangunan negara kita. Jadi, usaha-usaha yang berkesan daripada semua pihak yang terlibat haruslah ditingkatkan untuk menarik pelabur asing ke negara kita. Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di negara kita, sudah pasti ekonomi negara kita sukar untuk berkembang dan mengalami pertumbuhan dengan pesat. Perkara itu disebabkan oleh negara kita tersebut kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini perlu mencari jalan untuk menarik pelaburan asing dengan banyak demi kemakmuran negara kerana "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".


Hasil nukilan Norfazlina binti Idris (6A1)

9 comments:

Anonymous said...

karangan y mnrk dan brgne skli...

AdIb DoRA's blog said...

cikgu, tolong besarkan 'font' ada karangan mengenai modal insan kelas1?

Anonymous said...

cikgu,,boleh ker guna kata2 bervariasi???

Anonymous said...

cikgu boelh tolong bagi lagi banyak contoh karangan lain tak ? karangan cg sangat membantu :) . terima kasih cg :D

Unknown said...

Cikgu kalau utk kesan buruk pelaburan asing ada cikgu

Unknown said...

Cikgu kalau utk kesan buruk pelaburan asing ada cikgu

Anonymous said...

boleh tahanlah cikgu

Anonymous said...

teruskan usaha cikgu

Unknown said...

nice cikgu , thank you ^_^