Pengikut laman ini

Friday, October 29, 2010

Fokus Karangan Bahan Rangsangan SPM 2010 – Kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara.

Dengan berdasarkan soalan percubaan Bahagian A (Karangan Bahan Rangsangan) negeri Perak, isu yang diketengahkan ialah kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara.


Soalan contoh (Rujuk Soalan Karangan Bahagian A, Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu negeri Perak 2010 daripada blog Cikgu Zaki).

Gambarajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada sambutan kemerdekaan negara. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara pada setiap tahun. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Rangka Karangan

Pendahuluan
• Hari ulang tahun kemerdekaan yang kita sambut setiap tahun mempunyai banyak kepentingannya

Isi-isi (Sudah disediakan dalam bahan rangsangan)
• Memupuk semangat patriotik
• Memupuk perpaduan kaum
• Menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan

Penutup
• Hari ulang tahun kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat

Karangan Contoh

      Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya.

      Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk semangat patriotik atau semangat cinta akan negara. Semasa sambutan hari ulang tahun kemerdekaan diadakan, kita akan dapat menghayati pengalaman pejuang negara dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negara kita sendiri. Perkara ini dikatakan demikian kerana pepatah ada mengatakan bahawa "Tak kenal maka tak cinta" iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya sendiri dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung.

      Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.

      Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Oleh sebab itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila.

      Kesimpulannya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Jadi, kita berharap agar kemerdekaan negara terus dikekalkan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

17 comments:

farah suhaimi said...

trima ksih:D

nor ikma said...

terima kasih cikgu :)

Cikgu L said...

cikgu, mohon untuk berkongsi maklumat ini...

Cikgu Khir Kassim said...

Salam Cikgu Latifah, sememangnya kita harus berkongsi maklumat. Sila gunakan mana-mana bahan yang dirasakan bermanfaat, cuma kalau ada kesilapan harap dibetulkan pada mana-mana bahagian yang mungkin sayapun terlepas pandang.

Anonymous said...

terima kasih cikgu..ia dpt membantu sya di saat2 genting ni..:D

N A Z M I E S K I said...

Salam,

Terima kasih Cikgu atas informasi yang cikgu kongsikan bersama melalui laman blog. Sangat bermanfaat bagi diri saya yang bergelar sebagai Calon Persendirian SPM. :)

Eija Hassan said...

salam cikgu.

saya nak tanya.kalau karangan rgsangan,boleh atau tak patah perkataan melebihi 250 patah perkataan? markah akan dipotong ke?

Cikgu Khir Kassim said...

Salam Cik Za Huny, Kalau lebih 250 perkataan dalam karangan rangsangan, tidak dipotong markah tetapi anda harus ingat bahawa masa yang dicadangkan cuma 45 minit dan markahnya 30 sahaja. Jadi, tulis dalam masa yang dicadangkan. Oleh itu, tumpukan jawapan anda kepada karangan respons terbuka yang markahnya lebih 100 dan masa yang dicadangkan 1 jam 30 minit.

Cikgu Khir Kassim said...

Karangan respons terbuka lebih banyak markahnya iaitu 100 markah, jadi berikan tumpuan yang lebih kepada karangan respons terbuka. Oleh sebab itu, masanya lebih lama iaitu 1 jam 30 minit. Karangan rangsangan, markahnya tetap 30 walau ditulis banyak manapun perkataannya.

RiZ said...

cikgu saya suka karangan ini....
saya berharap karangan yang cikgu beri dapat membantu saya dalam menjawap soalan ini.... cikgu saya nak tanya 1 soalan.... macam mana nak menulis karangan yang bagus dan laju...

Cikgu Khir Kassim said...

Salam Riz, cara untuk menulis karangan yang bagus dan laju mestilah melalui latihan yang konsisten dan menggunakan teknik atau formula yang sesuai. Sila rujuk teknik yang saya gunakan dalam arkib blog ini dan layari juga teknik Dr. Ghazali Lateh yang saya rasa boleh membantu Riz kerana telah terbukti sebelum ini melalui pencapaian pelajar-pelajar kami.

misliha said...

cikgu ada latihan soalan novel interlok

princess ateen said...

cikgu, saya lemah dalam tatabahasa, bagaimakah cara untuk memperbaiki tatabahasa saya? saya memerlukan tips sedkit dari cikgu, TERIMA KASIH ,

Putra said...

assalamualaikum cikgu khir kassim..saya sering kali dapat B dalam bahasa melayu..bagaimana cara untuk saya dapat kn skurang2 nya A dalam bm

Anonymous said...

Assalamualaikum cikgu khir kassim :-)
Terima kasih c:
Cikgu, boleh kongsikan untuk tiptop dalam tatabahasa? Ujian baru2 ni, saya hanya dapat 21/40. Saya amat memerlukan bimbingan dari cikgu.

Dari, calon pmr.
Ini e-mel saya, tazjrbintaz@gmail.com

Anonymous said...

thnks bro 4 de karangan

Unknown said...

cikgu, karangan ini bernilai berapa markah kalau ini merupakan karangan panjang di spm? pd pendapat saya, karangan ini adalah terlalu pendek dan bukan sebuah karangan SPM.