Pengikut laman ini

Tuesday, March 9, 2010

Seminar Kesusasteraan Melayu di UPSI

Seminar Pengenalan Teks Terbaharu Kesusasteraan Melayu SPM di UPSI

Pada hari Rabu yang lepas iaitu pada 3 Mac 2010, saya telah diundang oleh Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu, UPSI untuk menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Teks Antologi Anak Global – Kajian Sepintas Lalu dan Teknik P&P Berkesan. Seminar ini telah dihadiri oleh guru-guru pelatih Kesusasteraan Melayu semester 2, 4 dan 6. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur seminar khususnya penasihat jawatakuasa seminar ini, iaitu Dr. Hajah Siti Khariah Mohd Zubir, pensyarah kanan di Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu UPSI yang juga merupakan rakan lama saya dalam pengajaran Kesusasteraan Melayu suatu masa dahulu di daerah Kuala Langat & Sepang.

Saya telah membincangkan karya-karya yang terdapat dalam teks Anak Global secara sepintas lalu. Karya-karya yang telah dibincangkan ialah sajak, cerpen dan drama. Antara aspek penting yang disentuh ialah tema, gaya bahasa sajak, sinopsis cerpen, serta watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen dan drama. Di samping itu, saya telah berkongsi pengalaman tentang teknik p&p Kesusasteraan Melayu yang hampir sama dengan KOMSAS untuk menarik perhatian pelajar agar berminat untuk mengikuti pelajaran di dalam kelas. Guru-guru pelatih haruslah kreatif dan sentiasa memikirkan teknik yang menarik dan berkesan agar pelajar tidak bosan semasa p&p Kesusasteraan Melayu atau KOMSAS dijalankan di dalam kelas. Sebenarnya, ada beberapa perkara lagi yang ingin dikongsi dengan guru-guru pelatih UPSI, tetapi oleh sebab kekangan masa, perkara tersebut tidak sempat untuk dibincangkan.

Selain saya, terdapat dua orang pembentang kertas kerja lagi iaitu Dr. Ghazali Lateh yang juga penulis novel Dari Lembah ke Puncak yang terpilih sebagai teks novel Kesusasteraan Melayu SPM mulai tahun ini. Tajuk kertas kerja Dr. Ghazali ialah Imbasan Struktural Novel Dari Lembah ke Puncak. Guru-guru pelatih bertuah kerana dapat menimba pengalaman daripada penulis novel itu sendiri. Dr. Ghazali banyak meluahkan pengalaman beliau dalam menghasilkan novel tersebut di samping pengalaman beliau menghasilkan pelbagai karya sastera yang seperti sajak dan cerpen. Di samping itu, banyak soalan juga telah dilontarkan oleh guru-guru pelatih yang ingin tahu dalam pelbagai perkara yang berkaitan dengan pengalaman Dr. Ghazali sebagai penulis yang sedang mengukir nama dalam bidang sastera di negara kita.

Seorang lagi pembentang kertas kerja dalam seminar tersebut ialah Cikgu Faridah Mohd. Shereef, guru Kesusasteraan Melayu SMK. Serendah. Cikgu Faridah telah berpengalaman lebih 20 tahun dalam pengajaran dan pemeriksaan kertas Kesusasteraan Melayu SPM. Beliau telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk Sekilas Pandang Novel Jeriji Kasih. Beliau membincangkan aspek struktural novel tersebut di samping memberikan petua atau teknik menjawab soalan dan penandaan kertas Kesusasteraan Melayu SPM.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

2 comments:

Aida Ali said...

Kirim salam Dr. Hjh. Siti Khairiah. Lama tak jumpa dia..

juilis69 said...

Tahniah Cikgu..sebagai guru yang berpengalaman luas dalam bidang bahasa dan sastera..guru-guru pelatih pada hemat saya sudah mendapat input yang banyak lewat perkongsian cikgu. Teruskan perjuangan.. kalau ada bahan Kesusasteraan Melayu SPM 2010 mohon diemel kepada saya -juilis7868@gmail.com

Cikgu Juilis Mokujal
Kota Belud, Sabah