Pengikut laman ini

Saturday, February 28, 2009

Tanggungjawab Semua Guru untuk Meningkatkan Penguasaan Bahasa Melayu Murid

Keberkesanan Pengajaran Mata Pelajaran Bahasa Melayu Menjadi Tanggungjawab Semua Guru Mata Pelajaran Lain

Keberkesanan pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu memerlukan kerjasama daripada guru-guru subjek yang lain. Guru Bahasa Melayu sahaja tidak mampu untuk memastikan kejayaan sepenuhnya tentang apa-apa yang diajarkan. Hal ini demikian kerana, ada murid yang terkeliru apabila guru-guru subjek lain mengabaikan hukum atau peraturan tatabahasa dalam bahasa Melayu. Guru-guru mata pelajaran lain mengatakan bahawa mata pelajaran lain tidak mementingkan aspek bahasa. Kesalahan ejaan dan aspek tatabahasa yang lain tidak diambil kira. Oleh itu, murid-murid sudah terbiasa dengan pengabaian aspek tatabahasa dalam mata pelajaran lain. Contohnya, dalam aspek penggunaan kata sendi nama ke dan di, dari dan daripada, di dalam dan dalam, pada dan kepada. Begitu juga dengan kesalahan penggunaan tatabahasa yang lain seperti selain daripada itu, membincangkan tentang, semua murid-murid, dan para guru-guru.

Guru-guru Bahasa Melayu memang menghadapi cabaran yang besar untuk membetulkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan bukan sahaja oleh murid-murid malahan guru-guru mata pelajaran lain. Hal ini demikian kerana, cuma guru-guru Bahasa Melayu sahaja yang menitikberatkan aspek tatabahasa dan ada penolakan markah terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Perkara ini akan menyebabkan murid-murid keliru dengan penggunaan tatabahasa yang betul dalam sesuatu ayat.

Ada juga sebahagian kecil daripada guru mata pelajaran lain memang kurang mahir dengan bahasa Melayu terutamanya guru-guru bukan Melayu. Tidak dinafikan pula, ada guru bukan Melayu yang berjaya menggunakan bahasa Melayu dengan fasih, lancar dan penggunaan tatabahasa yang betul. Ada kalanya penggunaan tatabahasa mereka lebih baik daripada guru-guru berbangsa Melayu sendiri.

Bukti lain yang menunjukkan pengabaian aspek tatabahasa bahasa Melayu juga boleh didapati daripada buku teks mata-mata pelajaran yang lain. Jadi, seharusnya aspek tatabahasa ini perlu diselaraskan dalam semua mata pelajaran yang menggunakan bahasa Melayu, termasuklah juga dengan buku teksnya. Orang yang mahir dalam tatabahasa bahasa Melayu perlu dipanggil dan dilibatkan bersama-sama untuk membetulkan kesalahan tatabahasa sebelum buku teks itu diterbitkan. Guru-guru Bahasa Melayu yang berpengalaman dan mahir dalam tatabahasa bahasa Melayu perlu diminta untuk menyampaikan kursus dalaman tentang tatabahasa kepada guru-guru mata pelajaran lain. Dalam hal ini, pihak pentadbirlah yang lebih berkuasa untuk menggerakkan aktiviti perkembangan staff di sekolah masing-masing. Pihak PPD juga boleh mengadakan kursus tatabahasa di peringkat daerah untuk guru-guru mata pelajaran lain.

Oleh hal yang demikian, usaha yang menyeluruh dan bersepadu perlu dijalankan demi melaksanakan penggunaan tatabahasa yang betul dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan juga mata-mata pelajaran lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Tanpa kerjasama yang menyeluruh daripada semua guru yang terlibat sudah tentu masalah penggunaan tatabahasa ini akan berterusan dan akan menjejaskan markah murid-murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Di samping meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan guru mata pelajaran Sains dan Matematik, kita juga perlu memperkasakan bahasa Melayu dengan memberi penekanan terhadap aspek tatabahasa yang betul. Jika sebarang langkah tidak diambil untuk memperkasakan bahasa Melayu, terutamanya dalam aspek tatabahasa sudah tentu generasi akan datang menghadapi masalah kecelaruan bahasa Melayu.

Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

No comments: