Pengikut laman ini

Tuesday, November 18, 2008

Tips 2 Karangan STPM 2008

Topik atau isu lain yang penting dalam Bahagian A Kertas 2 ialah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Oleh itu saya cadangkan soalan seperti di bawah ini untuk dijadikan panduan dan latihan sebelum peperiksaan STPM.

Soalan Contoh:

Isu kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berlaku di negara kita telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Huraikan kesan-kesan isu tersebut dan langkah-langkah untuk mengatasinya.


Karangan contoh di bawah ini ditulis oleh seorang daripada anak
murid saya iaitu Nurzafirah bt. Rahim (6A2) berdasarkan tugasan mingguan yang telah diberikan kepadanya sebelum ini.

Pendahuluan
- Masalah kebanjiran PATI – perlu tindakan

Isi-isi Penting
i. masalah jenayah
ii. memonopoli peluang pekerjaan
iii. ancaman kepada keselamatan negara
iv. langkah penguatkuasaan undang-undang
v. penyelesaian secara diplomatik

Penutup
- timbulkan kesan negatif – perlu ditangani

Karangan Contoh

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang datang ke negara kita secara senyap-senyap sudah lama berlaku dan hal ini menyebabkan kebanjiran pendatang berkenaan secara besar-besaran. Pelbagai usaha dan tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa, misalnya pihak imigresen yang mengetatkan pengawasan di sempadan negara dan tidak kurang juga tindakan kerajaan untuk mengembalikan sebilangan besar pendatang asing yang tiada permit ke negara mereka. Ekoran daripada tindakan tersebut, usaha pendatang asing tanpa izin yang berniat untuk datang ke negara ini dapat dibanteras. Oleh hal yang demikian, usaha itu haruslah diteruskan agar keamanan dapat dikekalkan di negara kita.

Terdapat pelbagai kesan akibat kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini. Salah satunya ialah kesan negatif iaitu timbulnya masalah jenayah dalam kalangan mereka. Masalah jenayah seperti rompakan, ragut dan sebagainya tidak dinafikan turut didalangi oleh pendatang tanpa izin ini. Kehadiran mereka tanpa permit sukar untuk dikenal pasti oleh pihak berkuasa. Lantaran itu, mereka sewenang-wenangnya menggunakan kesempatan tersebu ibarat pepatah, "Sambil menyelam minum air", untuk melakukan jenayah secara berselindung tanpa diketahui oleh pihak berkuasa tempatan. Masalah jenayah sedemikian jika tidak dibanteras sudah tentu akan menyusahkan masyarakat tempatan dan turut menyebabkan imej negara tercalar.

Kebanjiran pendatang asing tanpa izin juga turut menyebabkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya sektor pembuatan dimonopoli oleh pendatang tersebut. Tidak dinafikan migrasi pendatang asing ini ke negara kita adalah berpunca daripada kurang peluang pekerjaan di negara mereka. Oleh hal yang demikian, mereka mengambil kesempatan untuk berhijrah ke negara jiran untuk mencari pekerjaan melalui sindiket pekerjaan yang tidak sah. Kesanggupan mereka untuk bekerja di negara ini terbukti apabila banyak sektor pembinaan yang menawarkan mereka pekerjaan sebagai buruh binaan yang memenatkan. Walaupun begitu, seperti kata peribahasa, "Alah bisa tegal biasa", kesusahan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bekerja, tidak sama seperti rakyat negara ini yang tidak tahan dengan pekerjaan berat tersebut.

Kesan lain akibat masalah tersebut ialah keselamatan negara akan turut terancam dengan kehadiran beribu-ribu pendatang asing tanpa izin. Hal ini demikian kerana, selain melakukan jenayah, kehadiran mereka yang ramai serta kualiti kesihatan yang tidak dijaga turut menjejaskan kesihatan rakyat tempatan. Penyakit berjangkit seperti selesema burung dan pelbagai penyakit lagi yang memudaratkan kesihatan akan disebarkan secara tidak langsung. Pemantauan seperti pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya dilakukan oleh imigran dari luar negara tidak dilakukan kerana kehadiran mereka ke negara ini adalah secara haram dan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. Akibatnya, masyarakat tempatan akan berasa tidak selamat dengan persekitaran luar dan berasa waswas untuk keluar bekerja dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara kita iaitu salah satunya dengan menguatkuasakan undang-undang. Tidak dinafikan, pendatang asing tanpa izin yang bolos ke negara kita disebabkan oleh bantuan individu yang berkuasa kerana kegiatan rasuah yang menular. Oleh hal yang demikian, setelah pelbagai inisiatif diambil, namun masih ada lagi kes pendatang asing tanpa izin yang berjaya melepasi sempadan maka hal ini tidak lain berkaitan dengan kegiatan rasuah yang berlaku dalam kalangan pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara. Oleh itu, tindakan tegas harus diambil oleh kerajaan untuk membendung gejala ini. Penguatkuasaan yang ketat, misalnya mengenakan denda yang berat kepada pesalah yang mendalangi kegiatan tersebut serta mengembalikan pendatang asing tanpa izin ke negara asal mereka merupakan antara langkah yang boleh diambil.

Masalah yang turut melibatkan hubungan antara dua negara ini seharusnya diselesaikan secara diplomatik antara kedua-duanya, misalnya negara Indonesia perlu menyokong dan mempersetujui tindakan kerajaan Malaysia untuk menghantar sebilangan besar rakyat negara tersebut yang tidak memiliki permit pekerjaan yang sah di negara ini tanpa mengenakan tindakan berat kepada mereka. Negara Indonesia juga perlu menerima keputusan jika Malaysia terpaksa mengenakan hukuman kepada sebahagian rakyat negara jiran yang berkeras untuk tidak menyerah diri pada tarikh yang ditetapkan. Kerjasama antara kedua-dua pihak ini pasti akan mengurangkan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini, seterusnya hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara juga tidak akan terjejas.

Oleh hal yang demikian, kebanjiran pendatang asing tanpa izin sememangnya membawa kesan yang negatif kepada negara. Masalah ini sudah tentu akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani segera. Jadi, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menangani masalah tersebut. Selain itu kerjasama antara pihak berkuasa tempatan serta pihak kerajaan kita dengan kerajaan negara jiran perlu ditingkatkan agar masalah rasuah dalam kalangan pihak berkuasa tidak berlaku. Hal ini perlu dibanteras agar tidak memburukkan keadaan lagi. Jika masalah tersebut dapat ditangani, sudah tentu hal ini tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara negara yang sudah sekian lama terjalin.
Oleh; Nurzafirah Rahim.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

4 comments:

Anonymous said...

Adakah Blog ini akan terus berfungsi?
Saya harap cikgu dapat muat naik lebih banyak bahan lagi supaya pelajar dapat belajar.
Cikgu sudah lama tak muat naik bahan baharu.
Harap Cikgu Khir dapat terus menggunakan blog ini. Terima Kasih.

Mohd Khir Kassim said...

Blog ini akan dikemas kini pada bulan Januari. Bulan Disemberini cuti, dan banyak hal lain yang perlu diuruskan. Anda boleh rujuk blog cikgu lain. Banyak lagi blog lain yang boleh dirujuk, kalau pelajar hendak belajar bukannya daripada blog saya sahaja. Selain itu untuk lebih sopan, perkenalkanlah diri anda.

aiskream cekelat said...

saya pelajar tingkatan 6 sistem modular rasa kesal dengan cikgu bm saya.pbs diberikan tajuk yang susah2..berbanding dengan kelas lain.sedangkan kami kelas terakhir,sepatutnya pbs bantu pelajar,ini tidak,kami terpakse mengulang beberape kali untuk dapat markah yg baik,pertama kali buat ade yang mampu memdapat 10 markah shaja,kerana tajuk2 yang diberikan trlalu kecil skop nye,

Alphonsus Bernard said...

bagus karangan ni