Pengikut laman ini

Saturday, November 15, 2008

Peringatan Akhir Kepada Calon STPM 2008

Kertas 2 Bahasa Malaysia STPM 2008

Peringatan terakhir sebelum menghadapi peperiksaan.

Peringatan tentang Masa:
Pastikan anda membuat perancangan masa mengikut soalan dan masa yang diperuntukkan.

Peringatan tentang teknik menjawab soalan:

Karangan
1. Baca semua soalan dan pilih satu daripada 4 soalan yang dikemukakan berdasarkan pengetahuan yang anda miliki tentang kehendak soalan tersebut.
2. Baca soalan itu sekali lagi dengan teliti dan garisi kata kunci dalam soalan.
3. Setelah memahami kehendak soalan, buatlah perancangan dengan membuat rangka karangan iaitu dengan menyenaraikan 5 isi penting karangan.
4. Fikirkan juga perkara-perkara yang hendak ditulis dalam pendahuluan dan penutup karangan.
5. Selepas itu mulakan jawaban anda dengan menulis perenggan pendahuluan, seterusnya 5 perenggan isi dan perenggan kesimpulan. Jadi, jumlah perenggan nya sebanyak 7 perenggan.
6. Gunakan formula atau teknik untuk mengolah karangan yang telah dipelajari sebelum ini.
7. Pastikan karangan anda dijalin dengan ayat-ayat yang mempunyai pertalian dan pertautan atau mempunyai kohesi dan koheren.
8. Patuhi had perkataan karangan iaitu lebih kurang 650 – 700 perkataan. Pastikan setiap perenggan seimbang dari segi fizikalnya iaitu bilangan perkataannya adalah antara 90 – 100 perkataan.
9. Ingat, jumlah perkataan yang melebihi had tidak akan dibaca oleh pemeriksa dan sekiranya jumlah perkataan kurang daripada had yang ditetapkan, markah akan dipotong.
10. Masukkan ungkapan menarik atau peribahasa yang sesuai dalam mana-mana perenggan.
11. Elakkan daripada kesalahan bahasa yang biasanya kurang diberikan perhatian oleh calon-calon, contohnya elakkan penggunaan kata hubung pada awal ayat.
12. Semak sepintas lalu karangan yang sudah siap ditulis agar kesilapan dapat dibaiki.

Rumusan
1. Baca petikan sepintas lalu sambil menandakan isi utama dan isi-isi sampingan yang berkaitan.
2. Isi utama terdapat dalam perenggan pertama.
3. Cari 5 - 6 isi sokongan daripada perenggan-perenggan yang lain.
4. Kesimpulan pula terdapat dalam perenggan yang akhir.
5. Sila tulis rumusan anda dalam 3 perenggan dan tulis jumlah perkataan di dalam kurungan bahagian bawah, sebelah kanan rumusan selepas menamatkan jawaban.
6. Sila patuhi had perkataan yang dinyatakan dalam soalan, biasanya antara 180 hingga 190 patah perkataan. Perkataan yang melebihi had tidak akan dibaca oleh pemeriksa.
7. Elakkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan oleh calon.

Alih Bentuk Teks
1. Baca teks asal sepintas lalu dan fahami maksudnya.
2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu baku.
3. Masukkan semua isi penting yang terdapat dalam teks asal.
4. Elakkan daripada membuat ulasan atau memberikan pendapat.
5. Jangan salin teks asal sepenuhnya.
6. Tulis dalam perenggan mengikut kesesuaian teks (tidak melebihi 3 perenggan)
7. Elakkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan oleh calon.
8. Semak jawaban dengan membaca ayat-ayat yang telah ditulis.

Analisis Kesalahan Bahasa
1. Baca petikan sepintas lalu dan tandakan kesalahan bahasanya.
2. Buat 3 lajur iaitu untuk menulis kesalahan bahasa, sebab kesalahan dan pembetulannya.
3. Cari sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa daripada petikan dan beri sebab kesalahan dan pembetulan bagi setiap kesalahan.
4. Sebab kesalahan mestilah berdasarkan peraturan bahasa atau sistem bahasa mengikut Tatabahasa Dewan.
5. Biasanya calon dapat mengesan kesalahan kata, frasa atau binaan ayat dalam petikan tersebut. Kesalahan yang paling popular berdasarkan tahun-tahun yang lepas ialah kesalahan morfologi.

Selamat menjawab soalan dan saya doakan agar semua calon yang mengambil kertas Bahasa Malaysia mendapat keputusan yang cemerlang.

Daripada Cikgu Khir Kassim

No comments: