Soalan
Contoh
Dasar 1Murid 1Sukan yang telah
diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran banyak
memberikan manfaat kepada murid.
Huraikan manfaat
program tersebut kepada murid-murid sekolah.
Pendahuluan
- Dasar 1Murid 1Sukan - pembangunan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar
penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.
Isi
i. Aktiviti sukan dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah
- mengelakkan gejala negatif.
ii.
Mencungkil bakat murid – menyuburkan
bakat tersebut
iii.
Mewujudkan budaya mementingkan kesihatan - badan mereka menjadi sihat
iv.
Menggalakkan penyertaan murid dalam sukan - setiap murid berpeluang
v. Memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum
Penutup
- Program ini banyak manfaatnya - perlu disokong oleh
semua pihak
Karangan Contoh
Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri
Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar
ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah.
Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah
iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk
meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya
satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut
akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.
Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka
dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri
daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala
negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau
permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola
keranjang, dan sebagainya. Aktiviti yang dilakukan itu memang memberikan manfaat
yang banyak kepada mereka. Jadi, dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat
menggunakan masa dengan berkesan dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti
yang kurang sihat.
Dasar ini membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka
dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain
bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid
dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk
mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat
mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh
mereka.
Program tersebut dapat mewujudkan budaya atau amalan yang mementingkan kesihatan
dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam
aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan
mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima
pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan
perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab
soalan dalam pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program
ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
peperiksaan.
Dasar tersebut berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid
dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap murid berpeluang untuk
melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain
itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau
dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam aktiviti sukan atau permainan dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk mewakili sekolah. Oleh
itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan
kaum dalam kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti
sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan
ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya,
murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti
kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara
ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan
sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tegasnya, dasar tersebut
dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di
negara ini.
Pendek kata, dasar 1Murid 1Sukan merupakan satu tranformasi
baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu,
ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni
ini. Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah
tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan perkara ini,
ibarat bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar
murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan
kecemerlangan sukan negara.
5 comments:
*thumbs up* :)
I like this essay. Thanks for help me
thanks
Assalamualaikum cikgu, sy mohon copy bahan dalam blog cikgu utk sy mengajar pelajar sy yer, terima kasih,sy doakan cikgu diberkati Allah dan murah rezeki selalu.
Maaf ye cg.mohon dinilai balik karangan ini.ayatnya kurng gramatis.byk pengulangan ayat yg sama.cntohnya dlm perenggan kelima.byk perkataan yg sama diulang byk kali.sy tak rase karangan seperti ini diterima dlm spm.maaf jika menyinggung.
Post a Comment