Pengikut laman ini

Friday, October 25, 2013

Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.
                                                                                                                         [30 markah]

Masalah pelupusan sampah bukan sahaja dihadapi di negara kita tetapi juga berlaku di negara-negara maju seperti Jepun. Berdasarkan jumlah sampah yang semakin meningkat setiap tahun, pelupusan sampah secara konvensional sudah tidak praktikal lagi pada masa ini. Oleh hal yang demikian, kerajaan mahu rakyat bersedia untuk berkongsi bersama-sama bagi menanggung kos pelupusan sampah dengan menggunakan sistem yang lebih berkesan termasuklah penggunaan teknologi moden seperti insenarator bagi memastikan penjagaan alam sekitar terjamin.

Oleh itu, negara kita akan menggunakan teknologi insenarator ini bagi menggantikan kaedah pelupusan sampah yang sedia ada pada masa ini. Langkah ini perlu diambil untuk menangani masalah pelupusan sampah yang kurang efisien pada masa ini. Pelbagai cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi masalah pelupusan sampah. Antara cadangan itu termasuklah pembinaan loji insenarator seperti yang digunakan oleh negara-negara maju.

Antara teknologi insenarator moden yang dimajukan adalah dengan menggunakan gasifikasi dan peleburan abu yang dapat mengurangkan pengeluaran dioksin pada tahap yang memenuhi piawaian antarabangsa. Asap dan gas yang berbahaya kepada manusia tidak dilepaskan ke udara tetapi diserap dan dikumpulkan oleh alat tersebut. Oleh itu, teknologi insenarator tidak akan menjejaskan kesihatan manusia dan tidak mengganggu keselesaan penduduk yang tinggal  berhampiran dengan pusat pelupusan sampah tersebut.

            Selain dapat menyelesaikan masalah pelupusan sampah, teknologi insenarator juga mampu menjana tenaga yang dapat memenuhi keperluan untuk menggerakkan loji berkenaan. Di samping itu, teknologi tersebut berupaya untuk menjual tenaga yang dihasilkan kepada syarikat utiliti yang membekalkan tenaga kepada masyarakat. Selain insenarator yang kekal terdapat juga insenarator bergerak yang menggunakan roda dan berupaya mengendalikan dua tan sisa termasuklah pepejal. Insenarator seumpama itu dicipta khusus dan berkonsepkan mesra alam serta tidak mencemarkan alam.

            Oleh hal yang demikian, kita berharap pembinaan insenarator tersebut akan menjadi kenyataan pada masa yang telah dijangkakan. Hakikat yang perlu kita terima ialah kaedah pelupusan yang digunakan sekarang tidak lagi mampu menampung sampah yang kita buang setiap hari. Walaupun kos insenarator ini agak tinggi, namun dalam jangka masa panjang, teknologi ini menguntungkan manusia dan tidak merosakkan alam sekitar yang sudah sedia tercemar.
(Disesuaikan daripada ‘Penggunaan Insenarator
Tidak Dapat Dielakkan’, Berita Harian, 10 Mac 2007)

1.  Apakah kelebihan teknologi insenarator dalam usaha untuk melupuskan sampah dengan lebih efisien?  [4]

Skema jawapan cadangan  
- dapat mengurangkan pengeluaran dioksin
- tidak menjejaskan kesihatan manusia
- tidak mengganggu keselesaan penduduk
- mampu menjana tenaga
- mesra alam atau tidak mencemarkan alam
                                                                                                                                                                                                                                                                
2. Jelaskan tiga harapan yang dinyatakan oleh penulis dalam petikan di atas.     [6]

Skema jawapan cadangan
-   rakyat bersedia untuk berkongsi kos pelupusan sampah dengan kerajaan – sistem ini lebih berkesan
-   negara kita dapat gunakan insenarator – cara sekarang kurang efisien
-   pembinaan insenarator  akan jadi kenyataan – cara sekarang tidak dapat menampung sampah yang dibuang setiap hari.

3.  Pada pendapat anda, apakah peranan anggota masyarakat di negara ini untuk membantu kerajaan dalam usaha menangani masalah sampah? Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.  [20]

Skema jawapan cadangan
- buang sampah di tempat yang disediakan
- berikan pendidikan kepada anak-anak tentang amalan membuang sampah
- jalankan aktiviti kutipan sampah dan membersihkan kawasan
- libatkan diri dalam kempen membersihkan kawasan
- nasihati orang lain dan jadi contoh amalan membuang sampah di tempat yang sesuai. 

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum,cikgu.Terima kasih di atas jasa baik cikgu yang berkongsi ilmu di blog ini.Cikgu,saya telah memasukkan fakta yang salah dalam karangan SPM saya semalam.Saya cukup yakin bahawa hasrat melahirkan rakyat berminda kelas pertama ialah saranan Tun Dr.Mahathir Mohamad tetapi rupa-rupanya Tun Abdullah Ahmad Badawi.Saya tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut.Saya ingin tahu,adakah markah karangan saya ditolak sehingga saya tidak akan mencapai tahap cemerlang,baik atau lebih rendah daripada itu? Saya terlalu risau memikirkan kesalahan yang telah saya lakukan. Terima kasih.