Mulai tahun 2012,
calon-calon STPM Penggal 1 perlu bersedia untuk menjawab soalan yang berkaitan
dengan Pembacaan Kritiis dan Analitis. Bahagian ini sebenarnya menggantikan
soalan Rumusan Karangan berdasarkan Sukatan Pelajaran STPM sebelum ini. Terdapat 3 soalan yang perlu dijawab dalam bahagian ini iaitu:
· Soalan 1 - Menjelaskan 2 maksud frasa. [4 markah] - Setiap satu
maksud frasa, 2 markah.
·
Soalan 2 - Menyatakan
mesej yang hendak disampaikan oleh penulis berdasarkan petikan. [6 markah]
· Soalan 3 - Memberikan ulasan tentang pendapat atau idea daripada
petikan dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan tidak lebih daripada 150 patah perkataan. [20 markah]
Calon-calon STPM Penggal 1 2012 SMKBBST, sila buat latihan pembacaan kritis dan analitis di bawah dan jawapannya akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam kelas tutorial.
Petikan dan Soalan Contoh Pembacaan Kritis dan Analitis
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua
soalan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna menjangkakan kira-kira 255 jenis barangan terutamanya keperluan
harian akan meningkat ekoran daripada kenaikan harga petrol baru-baru ini.
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengesahkan bahawa sudah
berlaku peningkatan ketara harga barang-barang bukan kawalan di pasaran pada
masa ini. Kenaikan tersebut sudah pasti akan membebankan pengguna terutamanya
yang berpendapatan sederhana dan rendah. Jadi, sudah sampai masanya para pengguna
menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk menangani kenaikan harga
barangan ini.
Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli
barang. Mereka tidak boleh lagi menerima sebarang kenaikan harga barangan
begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu tindakan. Langkah berjimat-cermat dan
membeli barang jika perlu sahaja patut menjadi amalan seharian. Pengguna harus
berbelanja berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut perasaan. Pengguna perlu
melakukan pemantauan sendiri harga barangan dan hanya memilih premis yang
menjual barangan dengan harga yang berpatutan.
Para peniaga yang suka menangguk di air keruh ini memang tidak bertanggungjawab
dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka terlupa akan
tanggungjawab mereka untuk menyediakan barang dan perkhidmatan yang berkualiti
dan setimpal dengan harga barang atau perkhidmatan tersebut. Sebenarnya
keuntungan yang diperoleh secara menipu memang tidak baik dan tidak diberkati
oleh Tuhan. Namun demikian, para peniaga tersebut kebanyakannya tidak
menghiraukan kesusahan yang dialami oleh pengguna. Jadi para pengguna perlu
menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk bersatu dan mengambil tindakan
yang berkesan terhadap peniaga yang tidak jujur.
Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ini iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu melakukan pemantauan ke serata tempat di negara ini. Hal ini membolehkan harga barang-barang dipantau dan dikawal daripada terus meningkat. Jika harga barang tidak dikawal oleh pihak berkuasa, sudah tentu perkara ini akan menyebabkan masalah inflasi yang tidak terkawal berlaku di negara kita. Setakat ini, kadar inflasi di negara kita masih dapat dikawal dan berada pada paras kurang daripada tiga peratus. Oleh sebab peniaga bergantung pada pengguna untuk membeli barangan mereka, maka penggunalah sebenarnya mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan harga di pasaran.
(Disesuaikan daripada Utusan
Malaysia, 9 Ogos 2005)
1. Jelaskan maksud frasa
(a) ... mengesahkan sudah berlaku peningkatan ketara (baris 4 dan 5) [2]
(b) ... suka menangguk di air keruh (baris
18) [2]
2. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas? [6]
3. “Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang.” (baris 8)
1. Maksud frasa
a) ... mengakui bahawa telah meningkat dengan banyak
b) ... gemar mengambil kesempatan
2. Mesej yang hendak disampaikan oleh penulis ialah pengguna hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang. Para pengguna haruslah bertindak dengan membeli barangan yang perlu sahaja. Para peniaga pula tidak boleh mengambil kesempatan dan hendak mengaut keuntungan yang banyak semata-mata.
3. Pengguna
mempunyai hak yang perlu digunakan semasa hendak membeli barang. Hak itu
terdapat dalam undang-undang atau akta yang berkaitan dengan pengguna. Oleh
itu, pengguna harus menggunakan hak itu untuk kebaikan mereka.
Hak pengguna yang pertama menjamin
pengguna untuk memilih dan mendapatkan barangan yang kualitinya setara dengan
harga barangan tersebut. Hak ini perlu dipertahankan dan sekiranya pengguna
tidak mendapat barang yang tidak setara dengan harganya, perkara ini
menunjukkan bahawa hak pengguna sudah dilanggar.
Hak seterusnya ialah pengguna berhak
mendapat ganti rugi terhadap barangan yang rosak. Sekiranya pengguna mendapati
barang yang dibelinya itu rosak, maka dia berhak untuk mendapatkan barang
gantinya.
Pengguna juga mempunyai hak untuk
membuat aduan kepada pihak yang berkuasa. Oleh itu, sekiranya pengguna berasa
tertipu atau diperdayakan selepas membeli sesuatu barang, pengguna berhak untuk
membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Kesimpulannya, hak pengguna ini
sebenarnya melindungi pengguna daripada sebarang penipuan. Oleh itu, hak
pengguna ini perlu digunakan dengan sebaik-baik yang mungkin.

4 comments:
saya gunakan bahan cikgu utk latihan pelajar saya. tq
Sayapun gunakan bah an cikgu ini untuk pelajar saya. Nur Ain - Sabah
izin guna latihan ini utk pelajar sy. tq
tumpang tnya,, utk solan no. 2 tdk perlu huraian ka??
Post a Comment