Pengikut laman ini

Saturday, April 17, 2010

Buku Ulasan Komsas Terbaharu 2010



Buku-buku ulasan Komsas saya yang terbaharu telah diterbitkan oleh Cerdik Publication Sdn. Bhd. Buku-buku tersebut sudah berada di pasaran sejak 10 April yang lalu. Buku-buku tersebut terlewat diterbitkan oleh sebab masalah teknikal.

Buku Komsas tersebut adalah untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Buku ulasan Komsas Tingkatan 4 (Antologi Harga Remaja dan Novel Melunas Rindu) untuk zon Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan itu saya hasilkan bersama-sama dengan Dr. Lim Swee Tin dan Mumtaz Abd. Aziz.

Bagi ulasan Komsas Tingkatan 1 (Antologi Kasut Kelopak Jantung dan Novel Sukar Membawa Tuah) untuk zon Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, dan Negeri Sembilan, saya hasilkan bersama-sama dengan Cikgu Alias Muda dan Tn. Hj. Zakaria Perngis. Saya juga telah menghasilkan buku ulasan Antologi Kasut Kelopak Jantung untuk zon-zon yang lain bersama-sama dengan Cikgu Alias Muda dan Cikgu Alias Ismail.

Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim 

Wednesday, April 14, 2010

Nilai dalam Novel Melunas Rindu

Nilai yang dimaksudkan ialah nilai murni atau nilai kemanusiaan. Setiap pengarang akan menerapkan nilai-nilai murni atau nilai-nilai kemanusiaan dalam ceritanya. Nilai murni ini biasanya merujuk kepada tingkah laku atau perbuatan yang baik dan murni serta boleh dijadikan ikutan atau teladan oleh pembaca. Secara umumnya, nilai-nilai murni tersebut bersifat universal dan dapat diterima oleh semua orang di dunia ini tanpa mengira batasan geografi, kaum, bangsa dan agama.

Kasih sayang
Nilai ini digambarkan melalui kasih sayang antara Fuad dengan Farhana. (Rujuk halaman 201)

Ketabahan
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang tabah menghadapi liku-liku dalam hidupnya. (Rujuk halaman 192)

Tolong-menolong
Nilai ini digambarkan melalui watak Robert Lim yang membantu keluarga abang dan kakak iparnya iaitu Peter Lim dengan Swee Lan. (Rujuk halaman 89)

Kerajinan
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad, Pak Ismail dan Mak Salmah yang rajin mengusahakan tanah yang baru dibeli oleh Fuad. (Rujuk halaman 23)

Hormat-menghormati
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang sentiasa menghormati orang yang lebih tua daripadanya seperti dia menghormati emak Farhana. (Rujuk halaman 84)

Taat akan agama
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang tidak pernah meninggalkan sembahyang termasuklah semasa dalam keadaan musafir, dia menunaikan solat qasar. (Rujuk halaman 81)

Murah hati
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang memberikan jagung yang ditanamnya sendiri kepada Farhana dan guru-guru lain di sekolahnya. (Rujuk halaman 55)

Meminta maaf
Nilai ini digambarkan melalui watak Robert Lim yang ingin memohon maaf kepada Mariana iaitu emak kandung Fuad. (Rujuk halaman 169)

Menepati janji
Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang menepati janjinya iaitu dia pergi ke rumah emak Farhana selepas sembahyang Maghrib di surau hospital untuk memastikan adik-adik Farhana dalam keadaan baik dan terurus. (Rujuk halaman 188)

Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, April 6, 2010

Hari Keusahawanan SMKBBST 2010


Pihak sekolah SMK. Bandar Baru Salak Tinggi akan mengadakan Hari Keusahawanan pada hari Sabtu ini iaitu pada 10 April 2010. Pelbagai gerai akan dibuka pada hari tersebut. Gerai-gerai tersebut adalah seperti gerai makanan, minuman, cenderamata, pakaian, permintaan lagu dan ucapan di samping pameran pengajian tinggi di dewan terbuka. Selain itu, terdapat juga rumah misteri, permainan paint ball, flying fox, memanah, dan beberapa permainan lagi. Sebuah kumpulan nasyid terkenal juga telah menyatakan persetujuan untuk membuat persembahan di samping sesi fotografi bersama-sama dengan kumpulan tersebut.

Pelajar-pelajar yang pernah belajar di SMKBBST dan pengunjung lain dijemput hadir untuk membeli barang dan juga permainan dengan menggunakan kupon yang disediakan. Kupon-kupon boleh dibeli di gerai yang disediakan pada hari Sabtu nanti. Kelas prauniversiti juga turut melibatkan diri dan akan membuka gerai makanan, cenderamata dan permainan.

Tujuan utama hari keusahawanan ini diadakan adalah untuk mendapatkan dana bagi menaik taraf kantin sekolah. Jadi sambil membeli barangan, anda juga menyumbangkan derma kepada pihak sekolah. Oleh itu, saya menyeru pelajar-pelajar yang pernah bersekolah di SMKBBST agar datang pada hari Sabtu nanti untuk membeli kupon-kupon yang telah disediakan. Ibu bapa pelajar dan masyarakat yang tinggal berdekatan dengan SMKBBST juga dijemput hadir untuk memeriahkan Hari Keusahawanan ini. Marilah kita bersama-sama berbelanja sambil menghulurkan derma.

Friday, April 2, 2010

Kelemahan Karangan Pelajar Prauniversiti SMKBBST dalam PKS 1 2010


Dengan berdasarkan jawapan pelajar saya dalam PKS 1 pada bulan Mac yang lalu, terdapat beberapa kelemahan yang ketara. Kelemahan-kelemahan tersebut adalah dari segi isi dan olahan, format, serta bahasa. Kelemahan dari segi isi adalah dari segi bilangannya, iaitu ada pelajar yang tidak dapat mengemukakan 5 isi seperti yang dikehendaki dalam skema jawapan. Mereka cuma dapat mengemukakan 3 atau 4 isi sahaja. Selain bilangannya tidak cukup, ada pelajar juga yang tidak dapat mengolah isi tersebut dengan baik terutamanya perenggan pendahuluan dan penutup yang terlalu pendek. Hal ini bermakna, pelajar masih belum mahir dengan teknik mengolah karangan dalam perenggan agar menjadi satu kesatuan idea yang mantap. Oleh itu, sudah tentu perkara tersebut akan mempengaruhi aspek Relevan yang akan mengurangkan markah pelajar. Selain itu, terdapat juga pelajar yang tidak mematuhi format laporan seperti yang dinyatakan dalam soalan. Sebagai contohnya, pelajar terlupa untuk menulis tajuk laporan.

Kesalahan lain yang agak banyak dilakukan oleh pelajar ialah kesalahan bahasa, antaranya kesalahan morfologi eperti ejaan, pemilihan kata yang sesuai, kata kerja transitif dan tak transitif, kata sendi serta imbuhan. Kesalahan lain yang dapat dikesan seperti kesalahan frasa, iaitu kesalahan frasa kerja pasif. Kesalahan sintaksis yang dilakukan oleh pelajar ialah kesalahan ayat yang tergantung atau ayat yang tiada subjek. Selain itu, terdapat juga masalah ayat yang kurang sesuai dan kurang menarik disebabkan pelajar kurang berlatih untuk menulis karangan. Pelajar-pelajar didapati agak sukar untuk membina ayat dan ayat yang dibina itu kadang-kadang tidak menunjukkan kematangan pelajar prauniversiti. Oleh itu, pelajar-pelajar prauniversiti perlulah membaiki kesalahan tersebut dan banyak membuat latihan menulis karangan. Selain itu, pelajar-pelajar juga perlu lebih kerap bertanya kepada guru tentang kelemahan mereka dalam penulisan karangan ini. Hal ini demikian kerana, soalan karangan menyumbangkan markah yang paling banyak iaitu 50 markah. Pelajar-pelajar juga boleh berlatih untuk menganalisis kesalahan bahasa melalui karangan yang ditulis oleh pelajar itu sendiri.

Kali ini, saya ingin memaparkan karangan contoh yang ditulis oleh pelajar saya sendiri iaitu saudari Norfazlina untuk diteliti dan dikaji kelemahan dan kekuatannya.

Soalan karangan:
Peningkatan harga barangan keperluan utama menyebabkan masyarakat Malaysia semakin terbeban oleh pelbagai masalah dalam kehidupan.
Huraikan penyataan ini.

Isu kenaikan harga barang sudah tidak asing lagi didengar pada hari ini. Kebanyakan barangan terutamanya barangan keperluan harian telah mengalami kenaikan harga. Sudah tentu disebabkan masalah ini, banyak keburukan akan timbul terutamanya kepada anggota masyarakat yang sentiasa memerlukan barangan tersebut. Mereka terpaksa mengamalkan langkah berjimat cermat untuk memastikan keperluan harian mereka dapat dipenuhi. Hal ini lebih merunsingkan kita apabila masalah ini terpaksa ditempuhi oleh golongan yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan yang banyak. Perkara ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah akan berlaku dalam keluarga apabila segala perbelanjaan harian terpaksa dijimatkan. Disebabkan mempunyai tanggungan yang banyak, segala kehendak terpaksa dilupakan dan perlu memberikan penekanan kepada barang-barang yang lebih penting.

Akibat daripada kenaikan harga barang, dalam masa yang sama pendapatan kakitangan kerajaan mahupun swasta juga meningkat, namun perkara ini tidak mendatangkan kebaikan kepada masyarakat kerana harga barangan lain juga semakin meningkat tidak setara dengan kenaikan gaji pekerja. Hal ini telah menyebabkan kos sara hidup juga meningkat terutamanya bagi golongan yang tinggal di bandar lebih merasai perubahan perkara ini. Apabila harga barang meningkat, dalam masa yang sama sumber makanan seharian seperti kuih-muih, lauk-pauk, dan makanan lain juga terpaksa dinaikkan harganya untuk seseorang peniaga itu mendapat keuntungan tetapi malangnya ada sesetengah pihak yang mencekik darah dengan menaikkan harga dua kali ganda banyaknya. Sudah tentu perkara ini membuatkan masyarakat merungut terutamanya kepada mereka yang gemar membeli makanan di luar apabila tiba masa makan. Oleh itu, di sinilah peranan anggota masyarakat untuk menjalankan langkah yang sewajarnya dan para pengguna pula perlu mengukur baju di badan sendiri dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka.

Isu kenaikan harga barang ini juga boleh menyebabkan berlakunya konflik dalam hubungan kekeluargaan. Apabila sisu ini timbul, mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan terpaksa merancang perbelanjaan. Masalah ini timbul kerana pasangan suami isteri terpaksa membahagikan tugas untuk membeli sesuatu barangan tetapi ada sesetengah pasangan tidak mahu bertolak ansur dan juga tidak mahu berkongsi perbelanjaan. Perkara ini boleh mengakibatkan tekanan dalam hubungan kekeluargaan sehingga berlakunya pergaduhan, perceraian, sakit hati dan sebagainya. Tambahan pula, mereka terpaksa menanggung perbelanjaan anak sedangkan barangan keperluan anak-anak juga semakin meningkat harganya. Oleh itu, persefahaman amatlah penting dalam sesebuah keluarga itu untuk menjadikan rumah tangga aman damai tanpa sering berlakunya persengketaan terutamanya yang berkaitan dengan hal-hal yang remeh yang boleh diselesaikan jika adanya persefahaman dan tolak ansur antara mereka.

Selain itu, isu ini juga boleh memberi kesan terhadap pekerja iaitu melalui perubahan perlakuannya di tempat kerja. Perkara ini merupakan kesan yang amat negatif dalam masyarakat dan patut dielakkan dengan segera. Perkara ini berlaku apabila ada sesetengah pekerja yang kekurangan pendapatan, mengambil keputusan untuk membodek majikannya untuk mendapatkan kenaikan pangkat dengan cepat. Isu kenaikan harga barangan ini juga boleh menyebabkan berlakunya amalan rasuah dalam kalangan pekerja untuk mendapatkan sumber pendapatan yang lebih dengan cara yang mudah. Amalan ini merupakan satu perlakuan yang salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman yang berat terhadap sesiapa yang mengamalkan aktiviti rasuah. Dalam masa yang sama, usaha untuk mencari pendapatan yang lebih terbantut apabila mereka ditangkap atas kesalahan itu dan terus dibuang kerja menyebabkan tiada lagi sumber kewangan yang boleh diperoleh terutamanya bagi mereka yang mempunyai keluarga sendiri dan tanggungannya.

Masyarakat juga akan dibebani oleh hutang akibat kenaikan harga barangan ini. Sudah tentu perkara ini akan memberi bebanan kepada keluaarga terutamanya apabila sampai hujung bulan. Mereka terpaksa membayar hutang bulanan seperti bayaran ansuran kereta, rumah dan juga keperluan untuk bulan tersebut. Hal ini ditambah pula dengan hutang yang tertunggak dan perlu dibayar seperti hutang kad kredit. Perkara yang lebih menyakitkan apabila ada sesetengah pihak yang perlu membayar hutang kepada Along. Hal sebegini boleh mengakibatkan ketakutan dalam kalangan masyarakat kerana sering dikejar oleh Along. Lebih kejam lagi apabila Along tersebut mencari ahli keluarga penghutang pula untuk dijadikan tebusan. Oleh itu, mereka haruslah mengelakkan diri daripada masalah tersebut kerana terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak perbuatan buruk padahnya.

Masalah jenayah juga akan mudah berlaku dengan adanya isu kenaikan harga barang ini. Masalah jenayah akan berlaku apabila mereka dibebani dengan masalah hutang, pembayaran kos sara hidup dan sebagainya. Mereka akan mengambil jalan mudah dengan melakukan ragut atau rompakan untuk menyara hidup keluarga. Sudah pastinya perkara ini akan memberikan impak yang negatif terhadap mangsa rompakan kerana mereka juga menerima masalah kenaikan harga barang. Ada sesetengah masyarakat yang mengalami tekanan kerana kos sara hidup yang semakin meningkat dan mereka sukar untuk menempuhinya, seterusnya berlakulah kes jenayah lain iaitu kes penderaan. Akibat mengalami tekanan perasaan, mereka melepaskan tekanan tersebut kepada isteri dan juga anak-anak mereka hingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan seterusnya maut di tangan bapa sendiri.

Oleh hal yang demikian, isu kenaikan harga barang ini merupakan perkara yang sangat sensitif terhadap anggota masyarakat kerana banyak impak negatif yang diterima apabila isu ini timbul. Walaupun tidak menjadi masalah terhadap golongan yang berpendapatan rendah ataupun sederhana yang terpaksa menempuh semua masalah ini dengan hati yang terbuka walaupun sukar untuk diterima. Sememangnya agak sukar untuk untuk menurunkan kembali harga barangan kerana sumber untuk mendapatkan segala barangan tersebut semakin hari semakin sukar akibat arus pembangunan yang semakin maju. Oleh itu, para penggunalah yang harus memikirkan cara untuk berjimat cermat untuk mengatasi masalah kos sara hidup mereka di samping untuk menstabilkan keadaan ekonomi. Para pengguna haruslah mengikut pepatah, sediakan payung sebelum hujan iaitu sebelum perkara yang buruk menimpa mereka berlaku setelah berbelanja dengan boros.

Karangan ini dihasilkan oleh Norfazlina binti Idris 6A1.

Sebagai kesimpulannya, pelajar-pelajar prauniveriti harus ingat bahawa karangan yang mantap tidak dapat dihasilkan tanpa latihan yang konsisten kerana kemahiran menulis karangan perlu digilap dan dilatih selalu. Selain membaca bahan-bahan yang sesuai dengan topik atau isu karangan daripada surat khabar, majalah atau Internet, pelajar-pelajar perlu memindahkan pengetahuan tersebut dalam bentuk ayat anda sendiri. Di samping itu, kemahiran mengarang turut melibatkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Oleh itu, kebiasaannya kalau pelajar kurang berlatih untuk menulis karangan, sudah tentu pelajar akan menghadapi masalah untuk membina ayat semasa menulis karangan dalam peperiksaan.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim