Pengikut laman ini

Thursday, September 30, 2010

Fokus Karangan SPM 2010 – Penyakit Berbahaya

Isu lain yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah penyakit berbahaya.

Soalan ini terdapat dalam Karangan Respons Terbuka Peperiksaan Percubaan SPM 2010 negeri Johor iaitu Soalan 4 (Dimensi antarabangsa).

Penularan penyakit berbahaya seperti H1N1, Demam Denggi dan AIDS telah mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan manusia sejagat.
    Bincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh negara-negara terlibat untuk menangani penularan penyakit-penyakit berbahaya.

Selain itu, soalan negeri Pahang turut menyentuh isu yang sama iaitu wabak penyakit berbahaya dalam Soalan 4.

Wabak ILI dan H1N1 merupakan penyakit berjangkit yang menular di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini. Wabak ini telah menimbulkan pelbagai kesan terhadap kesihatan penduduk dan ekonomi sesebuah negara.

     Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengatasi penularan tersebut.

Soalan SBP dan Sekolah Kluster juga menyentuh isu yang sama iaitu dalam Soalan 4.

Belakangan ini, penyakit yang berbahaya sangat cepat merebak dari satu negara ke satu negara yang lain.
     Jelaskan cara-cara untuk mengawal penularan wabak tersebut secara global.


Soalan negeri Sabah turut menyentuh isu yang sama, cuma nombor soalan soalannya sahaja yang berbeza iaitu nombor 3 (Dimensi masyarakat atau negara). Selain itu, penyakit berbahaya itu pula difokuskan kepada amalan corak hidup yang tidak sihat, dan tidak semestinya pernyakit berbahaya yang berjangkit sahaja seperti soalan negeri Johor, Pahang, dan SBP & Sekolah Kluster.

Penyakit berbahaya semakin mengancam kesihatan rakyat Malaysia akibat amalan dan corak hidup yang tidak sihat.
     Huraikan langkah-langkah untuk menangani masalah ini.


Di bawah ini saya paparkan soalan dan karangan contoh yang membincangkan isu yang hampir sama dan fokus soalannya juga hampir sama dengan soalan tersebut untuk rujukan bersama.

Soalan Contoh

Negara kita turut menerima tempias akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini.
     Sarankan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara kita dan negara-negara yang terlibat.

Rangka Karangan


Pendahuluan
- Wabak penyakit berjangkit di negara ini terkawal - kerajaan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit.

Isi-isi Penting
i. Pesakit-pesakit dikuarantin daripada orang awam supaya tidak berjangkit.
ii. Jangan melancong atau berkunjung ke negara-negara yang dilanda oleh penyakit tersebut.
iii. Gunakan mesin pengimbas - sekat kemasukan pelancong asing dari negara yang terlibat memasuki negara Malaysia.
iv. Penyediaan ubat-ubatan seperti vaksin untuk ketahanan tubuh badan melawan penyakit.
v. Memusnahkan punca penyakit yang berpunca daripada unggas (ayam, burung dan lain-lain).

Penutup
- Kerajaan dan rakyat perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling – aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlu diutamakan - meyakinkan pelancong asing.

Karangan Contoh

     Industri pelancongan negara terjejas sedikit akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia baru-baru ini. Namun demikian, wabak penyakit itu berjaya dikawal dan tidak memberikan kesan yang serius terhadap industri pelancongan dan kesihatan rakyat negara ini. Hal ini demikian kerana, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang efektif untuk menangani penyakit tersebut. Berdasarkan langkah mencegah lebih baik daripada mengubati, penyakit tersebut tidak merebak kepada rakyat negara ini. Seterusnya rakyat negara ini perlu berasa bimbang akan wabak yang menular di seluruh dunia itu.

     Negara kita dan negara-negara yang terlibat sepatutnya mengambil langkah seperti mengasingkan pesakit yang menghidap wabak tersebut. Dengan perkataan lain, pesakit perlu dikuarantin dan diasingkan daripada orang awam agar penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain iaitu sebelum nasi menjadi bubur. Jika tindakan ini diambil sudah pasti penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negara-negara lain. Seterusnya, keadaan ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia malahan industri pelancongan juga tidak terjejas.

     Langkah lain yang perlu dijalankan adalah dengan mengelakkan diri daripada melancong ke negara-negara yang terlibat. Rakyat negara kita atau negara lain perlu membatalkan rancangan buat sementara waktu untuk pergi melancong ke negara-negara yang sedang dilanda wabak itu seperti negara China, Hong Kong, dan Indonesia. Langkah yang dikatakan sebagai menyediakan payung sebelum hujan, sudah pasti dapat mengelakkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh penyakit yang berbahaya itu.

     Pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat pemeriksaan yang ketat dan menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara masing-masing. Sebagai contohnya, alat pengimbas tersebut perlu diletakkan di lapangan-lapangan terbang antarabangsa seperti di KLIA, Kuching, dan Bayan Lepas. Alat pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan pelancong yang masuk sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit tersebut. Sekiranya mereka telah dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu di bawa ke hospital untuk diberikan rawatan dan juga dikuarantin.

     Selain itu, pihak berkuasa perlu menyediakan ubat-ubatan dan vaksin yang boleh melawan virus H5N1 dan mencegah virus tersebut daripada menyerang manusia. Seseorang yang perlu ke luar negara atas urusan yang penting perlu diberikan suntikan vaksin yang dapat mencegah seseorang itu daripada dijangkiti penyakit tersebut. Hal ini demikian kerana, vaksin yang berkesan akan berupaya untuk melawan virus penyakit itu daripada menyerangnya. Orang yang sudah dijangkiti oleh penyakit ini pula, perlu diberikan rawatan yang rapi dan ubat-ubatan yang benar-benar berkesan untuk mengubati pesakit tersebut.

     Langkah seterusnya ialah pihak berkuasa perlu memusnahkan haiwan yang telah dijangkiti dan menjadi punca penyakit ini merebak kepada manusia pula. Unggas seperti burung dan ayam yang telah dijangkiti perlulah dihapuskan segera agar wabak tersebut tidak menjangkiti manusia pula. Hal ini demikian kerana, penyakit ini sebenarnya berpunca daripada unggas seperti ayam dan burung yang dijangkiti oleh virus tersebut dan seterusnya memindahkannya kepada manusia yang memeliharanya atau terlibat secara langsung dengan unggas tersebut setiap hari.

     Sebagai kesimpulannya, pihak kerajaan dan rakyat hendaklah peka terhadap keadaan di sekeliling mereka. Aspek penjagaan kebersihan dan kesihatan perlulah diberikan perhatian yang utama dalam kehidupan seharian. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah kerana sekiranya aspek kebersihan diabaikan sudah pasti penyakit itu akan mudah menyerang mangsanya. Jadi, langkah awal penting untuk menghindarkan seseorang itu daripada dijangkiti oleh wabak yang berbahaya ini. Seterusnya, perkara ini juga akan dapat meyakinkan pelancong yang hendak melancong ke negara kita.

12 comments:

dr.ika said...

hati-hatilah kerana solan menyuruh kita menghuraikan secara global..

Anonymous said...

cikgu
kalau saya menghuraikan esei tersebut dgn isi seperti
i. kerjasama jabatan kebersihan dan kementerian kesihatan
ii. kerjasam antara negara jiran
iii. penjagaan kebersihan dan kesihatan individu
adakah ia sudah terkeluar tajuk atau blh tahan lagi?

Cikgu Khir Kassim said...

Salam, isi tersebut boleh diterima juga tetapi pastikan fokus soalan itu nanti. Satu lagi tolong betulkan isi jabatan kebersihan. Sebenarnya tiada jabatan kebersihan tapi yang yang ada ialah Jabatan Kesihatan.

Anonymous said...

Cikgu bolehkah saya tanya sesuatu? kalau saya tulis keluar daripada tajuk masihkah saya akan mendapat markah?

Cikgu Khir Kassim said...

Salam, untuk pengetahuan anda, kalau karangan terkeluar daripada tajuk pun masih ada markah iaitu markah bahasa,tapi markah isi mungkin sedikit atau tiada lagsung. Janganlah tulis lain daripada yang diminta oleh soalan atau tajuk karangan itu. Pastikan kehendak soalan betul-betul.

Semoga berjaya dan jangan buat kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Anonymous said...

terima kasih cikgu. dalam karangan saya , saya tuliskan langkah-langkah yang diambil oleh diri , sekolah , keluarga , masyarakat , antarabangsa dan negara dalam tajuk ini. adakah saya telah silap?

Anonymous said...

terima kasih cikgu saya ni tidak pandai dalam bab karangan so, terima kasih je lah?

carly said...

Isi-isinya sangat baik saya dapat meningkatkan pengetahuan.

carly said...

Isi-isinya sangat baik saya dapat meningkatkan pengetahuan.Terima kasih:D

Dyana said...

Salam,terima kasih cikgu di atas karangan yang cukup bernas ini..

Anonymous said...

bagus

Iman said...

sangat bagus! terima kasih cikgu :)