Pengikut laman ini

Saturday, November 12, 2011

Karangan STPM dan SPM - Isu Pencemaran Bahasa

       Soalan:
       Masalah  pencemaran bahasa semakin berleluasa dalam kalangan  masyarakat pada masa ini. Keadaan ini menyukarkan hasrat  kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. 
Huraikan langkah untuk menangani masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

       Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan bahasa rojak dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi lingua franca’ kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan.
         Salah satu langkah untuk membendung masalah penemaran bahasa ialah peranan pihak sekolah. Di peringkat sekolah, para pelajar sering didedahkan dengan pelbagai kesalahan bahasa oleh guru-guru Bahasa Melayu. Apabila para pelajar melakukan kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi. Selain itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Sebagai contohnya, pihak sekolah mengadakan bulan bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pidato, syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang sesuai. Dengan penyertaan oleh para pelajar, secara tidak langsung mereka belajar tentang bahasa yang betul, bak kata pepatah Sambil menyelam minum air
Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu.  Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis di samping mengembalikan martabat bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kempen ini boleh dilancarkan melalui media massa kerana media massa merupakan satu komponen yang paling mudah untuk menyebarkan informasi. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat dijalankan dengan lancar. Dengan kewujudan kempen ini, diharapkan masalah pencemaran bahasa kalangan masyarakat dapat dielakkan.
Pihak kerajaan juga perlu mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai dan kakitangan kerajaanakan menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat ataupun melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan, sesuai dengan peribahasa Melayu, Alah bisa tegal biasa”. Dengan cara ini, masalah pencemaran bahasa dapat diminimumkan.
Pencemaran bahasa yang sering kita lihat adalah di papan-papan tanda. Pihak kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa yang gramatis bagi papan-papan tanda. Hal ini perlu dipandang serius kerana bahasa menunjukkan bangsa. Jika pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan terpengaruh oleh penggunaan-penggunaan bahasa yang salah, seterusnyamasalah pencemaran bahasa menjadi lebih serius. Oleh itu, papan-papan tanda yang ingin dibuat perlulah mendapat kelulusan bahasa daripada pakar-pakar bahasa Melayu. Dengan ini, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dibendung. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada merawat”.
Di samping itu, peranan ibu bapa juga penting dalam memperkasakan usaha mengatasi masalah pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan anak-anak mereka dengan budaya membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini mempengaruhi minat dan cara anak-anak menulis ayat dan bercakap. Dalam era dunia tanpa sempadan ini, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai perkataan dan istilah yang kurang baik dan digunakan sebagai bahasa percakapan harian mereka. Hal ini langsung tidak mendatangkan maslahat kepada anak-anak, ibu bapa, mahupun negara malahan semakin memburukkan keadaan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang berbentuk ilmiah di rumah di samping menekankan aspek-aspek penggunaan bahasa dengan betul kepada anak-anak sejak kecil kerana hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan perlu bekerjasama untuk menjalankan langkah yang pragmatik bagi menangani masalah pencemaran bahasa. Usaha yang berterusan dan efisien akan menyebabkan bahasa yang telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan ini semakin dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Jika tiada prakarsa daripada mana-mana pihak, maka pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa. Langkah untuk memprioritikan bahasa Melayu ini dilakukan agar generasi akan datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan bahasa ibunda mereka yang selama ini diperjuangkan agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas.   

Oleh: Nurul Natasha Shaharuddin 6A2
SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

2 comments:

Anonymous said...

salam cgu,sy nk tnya kit,klu kita tulis 2 isi dalam 1 perenggan markah dipotong x...???

Anonymous said...

Salam. Setiap isi mesti dihuraikan dalam sat perenggan sahaja. Jangan campur adukkan isi tersebut dalam satu perenggan. Markah tidak dipotong tapi dikurangkan.