Pengikut laman ini

Tuesday, July 12, 2011

Karangan SPM - Format Pidato (Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera)

Soalan Contoh:


Anda akan menyertai pertandingan pidato yang akan dijalankan di peringkat daerah. Pidato tersebut bertajuk “Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera.”

Sediakan teks pidato itu.

Isi-isi Penting
• kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi
• kemajuan sains dan teknologi ideologi bervisi.
• semangat patriotisme penangkis neoimperialisme
• Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Salam apresiasi buat yang dihormati saudari pengerusi majlis, panel hakim yang sentiasa berpegang pada prinsip keadilan, guru-guru dan rakan pelajar yang dikasihi.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata, “bukannya perkara kecil bagi kita untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan negara kerana rupa-rupanya selain memerdekakan negara, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara”. Hal ini demikian kerana, kemerdekaan negara yang dicipta itu memelihara kesejahteraan masyarakat sejagat. Oleh itu, saya tampil di hadapan anda semua bagi menyampaikan sebuah pidato yang bermauduk “Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera”.

Sebagai implikasi awalan, kemerdekaan negara telah menjadi bukti pada cermin perjuangan bangsa Malaysia yang cinta akan negara yang menjadi tanah tumpah darah kita semua. Namun demikian, Malaysia pernah dituduh, kononnya tidak demokratik, diktator dan mengamalkan pemerintahan kuku besi oleh bangsa Eropah kerana tidak melakukan pertukaran kepimpinan seperti mereka. Tegasnya, kini negara kita ialah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Dengan kata lain, negara merdeka bermaksud negara yang bebas iaitu negara kita tidak lagi dikuasai atau dijajah oleh kuasa lain dan bebas dalam menentukan hala tujunya sendiri. Kemerdekaan yang dimaksudkan juga bebas daripada segala sudut, termasuklah bebas minda dan budaya daripada sebarang pengaruh asing. Rakyat negara kita yang merdeka pula mencatat kejayaan besar dalam pelbagai bidang dengan cemerlang di persada dunia. Hal ini sudah tentu akan mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, untuk mengupas segala persoalan, empat perspektif utama akan saya utarakan bagi mengungkap kemerdekaan negara demi kesejahteraan rakyatnya.

Saudara dan saudari,

Indikator saya yang pertama, kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, Malaysia telah melaksanakan pelbagai program pembangunan. Lihatlah, kewujudan kilang perindustrian bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan setelah kerajaan yang ditubuhkan selepas kemerdekaan kini lebih berwawasan dalam menentukan kesinambungan kedua-duanya. Sebagai contohnya, Menara Berkembar Petronas yang mempunyai 99 tingkat dan Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter. Kedua-duanya ini memberikan impak yang besar kepada imej negara yang menjadikannya sebagai identiti negara. Antara sedar atau tidak, kita sebenarnya mengukuhkan ekonomi negara ini lagi melalui pelbagai sudut. Secara tidak langsung, pembangunan yang dibina ini mampu meluaskan peluang pekerjaan, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup penduduk, dan hal ini sudah tentu memberikan kesejahteraan kepada masyarakat.

Hadirin sekalian,

Indikator saya yang kedua, kemajuan sains dan teknologi, ideologi bervisi. Perkembangan dan kemantapan teknologi sains semakin memberi impak dari hari ke hari kepada rakyat malahan membuka mata seluruh dunia. Kebebasan negara dalam melahirkan pelbagai idea baru dan menghasilkan pelbagai produk, kesan gabungan pengaplikasian kedua-duanya telah membuka peluang pasaran yang besar. Sebagai contohnya, daripada kajian terbaharu, rupa-rupanya pokok vanilla yang tidak terdapat di negara kita juga telah ditanam dan hidup dengan subur di negara kita. Kesimpulannya, rakyat boleh menikmati kelebihan ini seperti buah-buahan tempatan kita juga. Tambahan pula, kita bukan lagi seperti pungguk rindukan bulan dan tidak lagi bermimpi di siang hari kerana gapaian jauh melepasi awan sudah dibuktikan menjadi kenyataan. Perkara ini dibuktikan dengan kelahiran anak merdeka yang bergelar angkasawan negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang berjaya dalam misi negara dengan membolehkan negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara Russia dan Amerika Syarikat yang memang terkenal dalam bidang sains angkasa. Peristiwa besar seperti ini ialah catatan terbaik untuk dimuatkan sebagai kejayaan negara yang kini lebih diiktiraf dan dipandang tinggi oleh dunia. Dengan perkataan lain, sebagai sebuah negara yang merdeka, kita sebenarnya telah berjaya melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Saudara dan saudari,

Indikator saya yang ketiga, semangat patriotisme penangkis neoimperialisme. Hal ini demikian kerana, semangat yang kita padukan dan satukan ialah semangat cinta akan kemakmuran, jika tidak, masakan kita bisa bertahan ketika dirobek keamanan, dicemuh kesucian, dan dimaki dalam penghinaan. Ketika itu, kita sedar betapa pentingnya semangat perjuangan dan tuntutan kemerdekaan dan sekali gus meletakkan suatu tanggungjawab di pundak anak bangsa yang bakal mewarisi negara. Sebagai contohnya, sewaktu kegawatan ekonomi melanda seluruh dunia pada tahun 1997, negara kita berjaya mengharunginya dengan semangat patriotisme yang tinggi dan perpaduan yang jitu dalam kalangan pemimpin dan rakyat negara kita tanpa mengira kaum dan bangsa. Mahatma Gandhi pernah berkata, ”Majunya sesebuah negara kerana asas jati diri bangsanya”. Maka pada hari ini kita harus sedar, kurniaan kemerdekaan bukan sekadar kibaran jalur gemilang, dan bukan juga dendangan lagu kebangsaan kerana kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, iaitu apabila musuh datang melanda kita, patriotisme Malaysia jadi penangkisnya bagi kesejahteraan masyarakat semua.

Para hadirin yang dihormati,

Indikator saya yang terakhir, Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat. Walaupun pada 31 Ogos 1970, ada sesetengah pihak yang menyifatkan Rukun Negara sebagai doktrin ketahanan nasional. Sebenarnya, Rukun Negara digubal melalui pelbagai dasar strategi sosioekonomi dan ketatanegaraan yang lebih komprehensif serta berkesan. Sebagai contohnya, akhbar Utusan Melayu 16 Julai 1965 menyatakan penentangan adalah terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dengan perkataan lain, kewujudan Rukun Negara mampu mendepani zaman universal, holistik dan realistik kerana bisa menghakis seluruh prasangka kaum yang mungkin wujud di negara ini sebelum dan sesudah peristiwa 13 Mei 1969 yang begitu banyak memberikan pengajaran untuk kesejahteraan. Oleh hal yang demikian, saya menyarankan rakyat negara ini, biarlah gunung sama didaki, lurah sama dituruni, dan hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah”. Marilah kita bersama-sama meniti hari-hari yang mendatang dengan mengukuhkan semangat patriotisme dan mengekalkan kemerdekaan negara yang tercinta bagi memastikan masyarakat hidup aman dan sejahtera.

Cukuplah setakat ini sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon kemaafan sekiranya tersilap kata dan tersalah susun bicara semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh.


3 comments:

Anonymous said...

Assalamualikum cikgu, saya nur amani. Mohon kebenaran untuk "copy" karangan ini sebagai rujukan. Terima kasih.

Anonymous said...

alhamdulillah.. dgn teks ni blh sy siapkan PBS sej sy.. terima kasih cikgu >_<

cala monsta said...

assalam cikgu , izinkan saya copy karangan ini untuk rujukan saya. terima ksh . (: