Pengikut laman ini

Monday, June 14, 2010

Karangan Pelajar Pra-U - Perniagaan Internet

Peperiksaan Pertengahan Tahun baru sahaja berlalu dan ada pelajar sudah mengetahui markah masing-masing. Di samping itu, ada juga yang sudah mendapat kertas jawaban daripada guru. Oleh itu, para pelajar seharusnya meneliti dan menganalisis kesalahan yang telah ditandakan oleh guru dan cuba baiki setiap kesalahan yang telah dilakukan itu. Selain itu, sila teliti kelemahan-kelemahan yang telah dilakukan dan buatlah pembetulannya, semoga dengan cara itu para pelajar akan berupaya untuk meningkatkan prestasi dalam ujian atau peperiksaan yang bakal dilalui selepas ini.


Saya selalu menekankan perkara ini kerana kebanyakan pelajar tidak membuat analisis bagi setiap kesalahan yang telah dilakukan dalam setiap soalan yang telah dijawab dalam peperiksaan.

Untuk tujuan tersebut, di bawah ini saya paparkan karangan yang telah ditulis oleh pelajar saya, iaitu Nurul Naziera bt. Md. Nizam (6A1). Sila teliti dan analisis kelemahan dan kekuatan karangan ini sebagai latihan.

Soalan: Perniagaan Internet semakin popular dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dalam era globalisasi ini.


Huraikan kelebihan dan kelemahan perniagaan Internet pada masa ini.

Perniagaan internet merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan teknologi yang canggih atau lebih dikenali sebagai e-dagang iaitu melakukan urusan jual beli antara peniaga dengan pengguna melalui Internet. Di Malaysia, aktiviti perniagaan Internet semakin terkenal dan mendapat sambutan pada masa kini, selaras dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi negara. Di samping itu, perniagaan Internet bukan sahaja khusus kepada syarikat-syarikat besar, malah terdapat juga syarikat kecil yang menjalankan perniagaan Internet, walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap bagi memperoleh pendapatan sampingan. Hal ini menunjukkan bahawa perniagaan Internet semakin mendapat sambutan hangat iaitu memberi kebaikan kepada peniaga mahupun pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan Internet juga mempunyai keburukan yang tidak dapat dijangka.

Perniagaan Internet memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini demikian kerana, pihak peniaga tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan promosi di tepi-tepi jalan, pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Para peniaga juga boleh membuat promosi dengan mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka dengan menggunakan kemudahan Internet. Kerja-kerja promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah, malahan kosnya juga dapat dikurangkan, antaranya kos pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini turut memudahkan pelanggan dalam urusan pembelian barang. Pelanggan tidak perlu membuang masa untuk membuat tempahan di kedai malah boleh membuat tempahan melalui Internet sahaja.

Di samping itu, perniagaan Internet juga dapat meluaskan pasaran di serata dunia. Sebagai contohnya, produk Malaysia seperti pencuci muka berjenama murah bukan sahaja tertumpu di dalam negara sahaja, malah boleh meluaskan pasarannya ke luar negara juga seperti Indonesia, Filipina, Singapura, India, mahupun Amerika Syarikat. Penjualan barang di luar negara bukan sahaja memperkenalkan jenama produk Malaysia, malah memberi keuntungan besar di samping meningkatkan ekonomi negara. Hal ini berikutan wujudnya pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli antara Malaysia dengan negara luar mula berminat terhadap barangan dari Malaysia dan mula menyebarkan berita tersebut kepada rakan-rakan mereka.

Selain itu, perniagaan Internet juga memberikan impak kepada ekonomi negara, lebih-lebih lagi dari aspek pelancongan. Dalam sektor pelancongan, kebiasaannya setiap hotel dan pusat pelancongan akan menjual produk pelancongan mereka iaitu dengan membuat promosi mereka melalui Internet supaya pasaran akan lebih luas sehingga ke luar negara. Keadaan ini dapat menarik pelancong yang lebih banyak untuk datang dan bercuti ke Malaysia. Pendapatan negara melalui pertukaran mata wang asing bukan sahaja meningkat, malah persaingan antara negara maju yang lain juga dapat diatasi. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia juga mampu memberikan saingan yang hebat dalam sektor pelancongan melalui penggunaan alatan yang canggih dan berteknologi tinggi.

Terdapat juga beberapa kesan negatif apabila menceburkan diri dalam perniagaan Internet, antaranya ialah peniaga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan. Sebagai contohnya, walaupun Malaysia semakin meningkat maju, terdapat banyak lagi anggota masyarakat yang tidak mahir menggunakan teknologi maklumat. Peniaga juga terpaksa bersabar dengan kerenah pelanggan yang sering tidak berpuas hati dengan produk yang dipasarkan atas alasan hanya membuat pilihan melalui iklan dalam Internet sahaja. Keadaan ini juga memberikan impak kepada peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menghantar barang yang lain itu semula demi kepuasan pengguna. Selain itu, terdapat juga pengguna yang terlalu cerewet dan menyusahkan peniaga atau usahawan Internet. Keadaan ini berlaku kepada peniaga yang mengamalkan konsep bayar, terima dan guna iaitu pembeli terpaksa membayar harga barangan tersebut terlebih dahulu sebelum menghantar barangan.

Di samping itu, pengguna atau pelanggan juga perlu berhati-hati kerana pelbagai risiko juga perlu dihadapi oleh peniaga. Risiko yang dimaksudkan itu, seperti produk atau perkhidmatan yang dipasarkan hanya indah khabar daripada rupa, contohnya bagi sesetengah produk, terutamanya makanan dan produk kesihatan. Hal ini demikian kerana ditakuti produk tersebut berbahaya untuk kesihatan pengguna. Dalam sektor pelancongan pula, kebanyakan pelanggan membuat aduan bahawa tempat-tempat percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam Internet tidak secantik mana, seperti mana yang ditunjukkan melalui iklan dalam Internet. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan, malah mendapat tanggapan negatif daripada pelancong asing yang kebanyakannya tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan.

Sebagai kesimpulannya, perniagaan Internet bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna malah memberikan kemudahan dan kebaikan kepada peniaga. Di samping itu, bukan sahaja rakyat yang menerima kebaikan dan faedahnya, malahan hal ini turut memberikan impak yang besar juga kepada negara. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia kini mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Walau bagaimanapun, pengguna juga harus berhati-hati kerana terdapat beberapa risiko yang bakal dihadapi oleh mereka. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa dan kerajaan haruslah mengawal penggunaan Internet dalam bidang perniagaan, supaya kemudahan ini tidak disalahgunakan kerana kita tidak mahu sudah terhantuk baru nak tengadah.

4 comments:

Anonymous said...

cikgu
apabila hendak menulis di perenggan baru , penanda wacana seperti di samping itu, selain itu boleh guna sebagai permulaan ayat ke?

Cikgu Mohd Khir Kassim said...

Penanda wacana seperti di samping itu, selain itu, boleh digunakan pada permulaan ayat.

Anonymous said...

wow!!this 'karangan' is so awesome!!it helped me in my 'karangan'..well i juz took the points actually but it still heped me a lot. thank you!! :)

Anonymous said...

assalammualaikum cikgu,saya diberitahu oleh cikgu saya dalam karangan stpm peribahasa dan kata-kata hikmah tidak digalakkan,saya agak keliru dengan teknik menjawab esei stpm.boleh cikgu share sedikit teknik dan format ?