Pengikut laman ini

Saturday, January 28, 2012

Karangan Berformat Memorandum - Isu Filem Seram, Tahyul dan Ganas

Soalan Contoh
Pertubuhan yang anda wakili kurang bersetuju dengan trend syarikat pengeluar filem yang lebih cenderung untuk menghasilkan filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas pada masa ini. Perkara ini berlaku kerana sambutan yang diberikan oleh masyarakat di negara ini memang sungguh menggalakkan. Anda diminta untuk menyediakan memorandum yang berkaitan dengan bantahan terhadap lambakan filem seram, tahyul dan ganas ini di negara kita.

Rangka Karangan
                  Memorandum
Kepada :
Daripada :
Tajuk :

1.0 Pendahuluan
2.0 Penyataan Masalah
3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut
      3.1 Mempengaruhi emosi remaja
      3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan
      3.3 Tidak menyumbang ke arah kemajuan
      3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai 
            kepercayaan karut
4.0 Cadangan Tindakan
      4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat
      4.2 Membimbing anak-anak ketka menonton 
5.0 Penutup
- ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin perlu mencegah perkara ini.

Karangan Contoh

Memorandum
Kepada : Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan
Daripada : Pertubuhan Pencinta Seni
Tajuk : Bantahan Terhadap Lambakan Filem Seram, Tahyul dan Ganas di Negara Kita.

1.0 Pendahuluan
Akhir-akhir ini wujud satu trend baharu iaitu kita disogokkan dengan filem yang berunsur seram, tahyul dan ganas. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan impak yang negatif terhadap remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, golongan yang suka menonton filem yang bercorak sedemikian ialah golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur seram, tahyul dan ganas yang terdapat dalam adegan filem tersebut. Kerjasama dan perhatian daripada pihak atau agensi yang bertanggungjawab amat penting untuk menangani permasalahan ini.

2.0 Penyataan Masalah
Berhubung dengan masalah di atas, kami sebagai ibu bapa yang prihatin daripada Pertubuhan Pencinta Seni ingin melahirkan rasa kebimbangan kami ini agar mendapat perhatian dan pertimbangan yang wajar daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana kesannya akan mempengaruhi remaja yang akan menjadi pemimpin negara kita pada masa akan datang. Salah satu punca yang dikenal pasti menyebabkan remaja menggemari filem yang bercorak sedemikian ialah filem itu berupaya untuk menghiburkan dan memberikan kepuasan kepada mereka yang menontonnya.

3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut
      3.1 Mempengaruhi emosi remaja
     Kami, ahli-ahli Pertubuhan Pencinta Seni bersepakat dan bersatu hati ingin menyatakan bantahan kami terhadap filem-filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas yang sering disiarkan di pawagam dan di televisyen. Perkara ini tentunya akan mempengaruhi emosi remaja yang belum matang.  Emosi mereka akan terganggu dan menyebabkan masalah ketidakstabilan emosi akibat pengaruh filem tersebut.
       3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan
       Filem-filem yang bercorak sedemikian juga boleh menjejaskan akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama. Kemungkinannya mereka akan mempercayai unsur-unsur yang terdapat dalam filem itu melebihi kepercayaan mereka terhadap Allah. Perkara ini akan menghakis keimanan dan kepercayaan mereka terhadap keesaan Tuhan. Kesan seterusnya, pegangan mereka terhadap agama akan menjadi longgar dan mereka mungkin mempercayai kuasa lain yang melebihi kekuasaan Allah.
       3.3 Tidak menyumbang ke arah kemajuan
    Unsur-unsur daripada filem yang bercorak sedemikian yang ditonton oleh remaja terutamanya tidak menyumbang ke arah kemajuan. Hal ini demikian kerana, pengaruh daripada filem itu tidak mendatangkan kesan atau impak yang baik untuk dicontohi, malahan mereka lebih cenderung untuk mencuba perkara yang negatif. Mereka akan percaya dan menyebabkan mereka leka dengan unsur-unsur yang terkandung dalam filem tersebut. Seterusnya, perkara ini mengundang bahaya kerana mereka mempercayai perkara-perkara mistik dan keganasan dalam kehidupan seharian.
      3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut
    Pengaruh daripada filem itu berupaya atau berpotensi untuk membentuk masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut. Hal ini demikian kerana, para remaja mudah terpengaruh oleh unsur-unsur yang terdapat dalam filem-filem tersebut. Mereka yang masih belum matang akan meniru aksi, gaya, atau perlakuan pelakon-pelakon filem tersebut. Gaya atau aksi ganas dalam filem itu akan diaplikasikan terhadap rakan-rakan di sekolah. Seterusnya perkara ini akan berakar umbi dalam hati dan jiwa mereka hinggalah mereka dewasa.

4.0 Cadangan Tindakan
      4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat
         Dengan berdasarkan impak negatif yang banyak daripada filem-filem tersebut, kami menyarankan pihak kementerian mengenakan syarat tapisan yang ketat terhadap produser filem. Perkara ini dapat menghalang impak negatif tersebut daripada menular dalam jiwa para remaja yang menontonnya. Pihak kementerian perlu menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak pengeluar filem agar tidak menjejaskan emosi dan kepercayaan remaja. Syarat tapisan yang ketat itu perlulah dikaji terlebih dahulu dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkaitan dengan filem.
      4.2 Mengenakan denda atau hukuman yang berat 
        Kami mencadangkan pihak kementerian mengenakan denda atau hukuman yang berat kepada pengeluar filem yang gagal mematuhi garis panduan tersebut. Hal ini dirasakan penting untuk mengelakkan para remaja kita daripada impak negatif filem-filem tersebut. Denda dan hukuman yang berat itu sekurang-kurangnya akan menakutkan pengeluar filem yang lain untuk melanggar garis panduan yang telah ditetapkan itu. Sebagai contohnya, pengeluar filem yang melanggar peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori agar dia tidak dapat mengeluarkan filem yang sama.

5.0 Penutup
Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin, kami perlu mencegah perkara ini daripada menjadi lebih serius. Perkara ini penting kerana filem seram dan ganas itu memberikan impak yang besar dalam pembentukan sahsiah, nilai-nilai murni dan jati diri para remaja. Oleh itu, kami menggesa semua pihak yang bertanggungjawab agar mempertimbangkan permasalahan ini dan bertindak dengan tegas terhadap pengeluar filem yang tidak mematuhi spesifikasi yang telah digariskan. Unsur-unsur seram, tahyul, dan ganas yang berlebihan perlulah ditapis terlebih dahulu oleh agensi yang bertanggungjawab dalam penapisan filem ini.



_____Mohamad Haziq____                                                   Tarikh : 20 Januari 2012           
(MOHD HAZIQ SYAKIR)
Pengerusi Pertubuhan Pencinta Seni
Teluk Intan, Perak                                                                        


Saturday, January 21, 2012

Novel Konserto Terakhir

Sinopsis/Ringkasan cerita

Hilmi berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Dia menumpang tinggal di rumah sepupu bapanya iaitu Datuk Johari. Walau bagaimanapun, kehadiran Hilmi tidak disukai oleh Datin Salmah kerana Datin Salmah memandang hina terhadap orang kampung yang miskin seperti Hilmi. Datuk Johari menawarkan kerja kepada Hilmi iaitu sebagai tukang kebun di rumahnya. Kerajinan dan sifat artistik yang dimiliki oleh Hilmi telah mengubah lanskap di kawasan pekarangan rumah Datuk Johari hingga menjadi lebih cantik.

            Hayati, anak Datuk Johari pula tertarik oleh kebolehan Hilmi bermain piano.  Hubungan Hayati dengan Hilmi yang semakin rapat menyebabkan Datin Salmah bertekad untuk menghalau Hilmi dari rumahnya. Hilmi kemudiannya meninggalkan rumah Datuk Johari dan belajar bermain alat muzik daripada Encik Bakar. Seterusnya, Hilmi berjaya menjadi seorang pemain alat muzik dan penggubah lagu yang terkenal. Sebelum berangkat ke London dengan suaminya, Hayati datang berjumpa dengan Hilmi dan menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi.

            Orkestra Hilmi berjaya memenangi Festival Muzik di Jepun. Hilmi berkahwin dengan Azizah tetapi Azizah meninggalkannya selepas mendapat seorang anak. Hilmi terjatuh dan terlantar di hospital pada malam “Pertunjukan Orkes Perdana.” Ketika itu, Hayati pulang dan mengambil alih tugas Hilmi sebagai pemimpin orkestra pada malam “Pertunjukan Orkes Perdana”. Di hospital pula, Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi sebenarnya ialah anak Datuk Johari hasil perkahwinannya dengan isterinya yang pertama. Sebagai kesannya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi sebelum itu. Akhirnya, Datuk Johari meninggal dunia secara mengejut selepas menerima berita kematian Hilmi.

 Tema
Ketabahan seorang pemuda yang menghadapi cabaran dalam kehidupan hingga mencapai kejayaan yang cemerlang.

 Persoalan
i.   Sikap masyarakat yang mementingkan pangkat dan kedudukan sehingga sanggup menghina keluarga sendiri.
ii.  Keikhlasan dalam memberikan pertolongan tanpa memikirkan balasannya.
iii. Kesanggupan berkorban demi menjaga kepentingan pihak lain.
iv. Kejayaan dalam bidang seni dicapai tanpa memerlukan pendidikan tinggi.
v.  Keinsafan setelah melakukan sesuatu kesalahan.

Watak Utama
Hilmi
 Perwatakan Hilmi
i.   Pemuda kampung yang miskin dan berpendidikan sekolah Melayu hingga darjah empat sahaja.
ii.  Rajin bekerja dan mempunyai kemahiran artistik.
iii. Mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang muzik.
iv. Memiliki kegigihan dalam menghadapi dugaan.
v.  Bersikap penyayang, bersopan, dan akur kepada nasihat orang tua.
vi.  Taat kepada perintah Tuhan dengan menunaikan sembahyang.
vii.  Bijak memanfaatkan kekecewaan untuk mencipta kejayaan.
viii. Pencipta dan penggubah lagu yang terkenal.
ix.  Memenangi Festival Muzik di Tokyo dan pesta muzik tahunan RTM.
x.   Meninggal dunia tanpa mengetahui bahawa dia ialah anak kandung Datuk Johari.

Watak Sampingan
Hayati
i.   Anak Datuk Johari dan Datin Salmah.
ii.  Bersifat simpati dan belas kasihan kepada Hilmi.
iii. Gadis yang penyayang dan mencintai Hilmi.
iv. Sikapnya berubah selepas mencintai Hilmi, iaitu mulai sembahyang dan membaca buku-buku agama.
v. Berkahwin dengan Mohsin kerana taat akan perintah ibu bapanya.
vi. Suka berterus terang dan jujur.
vii. Menjadi penyelamat pada malam pertunjukan Orkes Perdana dengan menggantikan Hilmi sebagai peneraju orkestra itu.  

Binaan Plot
Peristiwa disusun secara tidak kronologi kerana ada teknik imbas kembali.
i.   Permulaan – Kehadiran Hilmi di rumah Datuk Johari dan Datin Salmah.
ii.  Perkembangan - Konflik berlaku antara Datin Salmah dengan Hilmi dan antara Azizah dengan Hilmi.
iii. Perumitan - Pembaca tertanya-tanya tentang perkara yang mungkin berlaku pada malam Pertunjukan Orkes Perdana kerana Hilmi sebagai teraju utama sedang terlantar di hospital.
iv. Kemuncak cerita – Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi ialah anak Datuk Johari.
v. Peleraian – Datuk Johari mati setelah beliau mendapat tahu bahawa Hilmi, anak kandungnya itu meninggal dunia di hospital.

Nilai
i. Kasih sayang - contohnya Hilmi sayang akan Hayati hingga dia berasa cemburu melihat Hayati berjalan dengan Mohsin.
ii. Simpati - contohnya, Hayati bersimpati kepada Hilmi yang tidak makan nasi kerana dilarang oleh Datin Salmah.
iii. Tolong-menolong - contohnya, Mamat menolong Hilmi dengan cara memperkenalkan Hilmi kepada Encik Bakar supaya Hilmi dapat mempalajari alat muzik.
iv. Gigih - contohnya, Hilmi gigih berusaha tanpa mengenal jemu hingga berjaya menjadi pemain muzik dan penggubah lagu yang terkenal.
v. Taat kepada ibu bapa contohnya, Hayati berkahwin dengan Mohsin kerana taat kepada ibu bapanya walaupun Hayati mencintai Hilmi.
vi. Insaf - contohnya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan kejam mereka terhadap Hilmi selepas mengetahui bahawa Hilmi ialah anak Datuk Johari sendiri.
vii. Nasihat-menasihati - contohnya Pak Amat menasihati Hilmi supaya berusaha memajukan diri.
viii. Ikhlas - contohnya, Encik Bakar menolong Hilmi dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Pengajaran
i.  Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita.
ii. Kita janganlah mementingkan darjat dan pangkat hingga sanggup menghina orang lain.
iii. Kita perlulah menolong orang lain yang memerlukan pertolongan.
iv. Kita hendaklah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.
v. Kita janganlah mementingkan keseronokan hingga sanggup mengorbankan rumah tangga sendiri.
vi. Kita perlulah mematuhi nasihat orang yang berpengalaman kerana banyak manfaatnya.
vii. Kita haruslah sayang-menyayangi antara sesama insan.
viii. Kita janganlah terlalu gembira dengan kemewahan hidup hingga lupa akan kampung halaman sendiri.

Sunday, January 8, 2012

Masalah dan Cabaran Bahasa Melayu

Antara masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru Bahasa Melayu ialah pelajar yang berbangsa Melayu beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak perlu dipelajari lagi kerana mereka menuturkan bahasa Melayu setiap hari. Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan bahasa kerana menganggap perkara itu betul dan tidak salah. Tambahan pula, mereka menjadikan media massa sebagai rujukan. Walaupun media massa pada hari ini menunjukkan kesungguhan untuk membetulkan kesalahan bahasa tetapi masih terdapat kesalahan yang biasa dilakukan. Oleh itu, kita haruslah membetulkan kesalahan yang biasa dilakukan dan membiasakan perkara yang betul.

      Bahasa yang terdapat pada papan iklan atau papan tanda jalan juga banyak yang salah. Kita sering melihat kata-kata seperti Selekoh Merbahaya, Kedai Jahit Wanita, Minah Restoran, Pusat Membeli-belah, dan sebagainya. Oleh itu, pihak yang berkuasa dalam menguatkuasakan bahasa ini iaitu DBP sepatutnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk memantau kesalahan bahasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekiranya masalah ini tidak dilakukan sudah tentu banyak pihak yang menganggap kesalahan tersebut bukan satu kesalahan.

      Selain itu, pengaruh bahasa sms juga menyebabkan masalah ini semakin buruk. Para pelajar sepatutnya tidak terpengaruh oleh bahasa sms semasa menulis karangan. Mereka seharusnya membezakan bahasa sms dengan bahasa penulisan karangan. Bahasa sms memang sesuai digunakan semasa hendak menghantar pesanan ringkas tetapi tidak sesuai digunakan dalam karangan atau dalam majlis formal. Antara bahasa sms yang popular digunakan sekarang seperti, sape, takyah, takde. xde, ko, keje, ak, gi, camne, katne, dan watpe.

      Pengaruh bahasa Inggeris pula memang tidak dapat dielakkan tetapi hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh menggunakan sekerat bahasa Melayu dan sekerat lagi dalam bahasa Inggeris. Perkara inilah yang dikatakan bahasa rojak atau sekerat ular, sekerat belut, dan bercampur aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan.

      Bagi pelajar-pelajar pula, mereka kurang berminat untuk mempelajari peraturan atau rumus tatabahasa. Oleh itu, mereka tidak mengetahui alasan atau sebab kesalahan yang telah dilakukan. Mereka menganggap perkataan atau ayat yang biasa digunakan oleh mereka atau media massa itu betul dan tidak mengetahui sebab kesalahan terebut. Sebagai contohnya, mereka menggunakan perkataan yang tidak baku dalam jawapan, seperti analisa, minima, optima, tengahari, pasaraya, alatulis, aturcara, barisan guru-guru, dan sebagainya. Sepatutnya, mereka perlu mengetahui alasan atau sebab sesuatu kesalahan bahasa itu untuk memantapkan penguasaan bahasa mereka.

      Kesalahan lain yang kerap kali dilakukan adalah dari segi sebutan baku iaitu sepatutnya sebutan mengikut ejaan. Aspek sebutan ini kebiasaannya kurang dititikberatkan oleh pengguna bahasa terutamanya pelajar. Perkataan yang selalu disebut dengan pelbagai sebutan seperti nasionalisme, peka, psikologi, automatik, dan sebagainya. Oleh itu, bagi para pengguna bahasa terutamanya pelajar, perlu menyebut sesuatu perkataan itu mengikut ejaannya agar sistem bahasa kita ini dapat ditingkatkan. Walaupun, bunyinya agak janggal tetapi kita perlu membiasakannya agar menjadi satu kebiasaan. Kita sepatutnya membiasakan sebutan yang betul dan membetulkan sebutan yang biasa digunakan tetapi sebenarnya tidak betul.