Amalan berbudi bahasa amat penting dan perlu
menjadi budaya rakyat negara ini. Huraikan langkah-langkah yang dapat
dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
Esei Contoh
Budi bahasa memang penting untuk
diamalkan oleh setiap anggota masyarakat di negara ini. Hal ini dikatakan demikian
kerana budi bahasa melambangkan identiti individu dan kebiasaannya amalan tersebut diamalkan sejak kecil. Amalan seperti bercakap dengan sopan apabila berkomunikasi dengan
orang lain ketika melayan pelanggan atau ketika bertugas di kaunter memang
perlu dijadikan budaya oleh anggota masyarakat kita. Perkara ini dapat
mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat. Jadi, terdapat
pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang
berbudi bahasa.
Satu
daripada langkah yang boleh dilakukan ialah pihak ibu bapa perlulah memberikan
pendidikan tentang budi bahasa kepada anak-anak sejak kecil. Perkara ini
dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan
anak-anak. Kebiasaannya anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka
terutamanya ketika bercakap atau berinteraksi dengan orang lain. Hal ini
disebabkan anak-anak mudah dibentuk ketika kecil dan amalan berbudi bahasa akan
menjadi budaya dalam kehidupan. Tegasnya, pendidikan
tentang budi bahasa kepada anak-anak perlu dipupuk oleh ibu bapa untuk
melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
Langkah
yang seterusnya ialah pihak sekolah hendaklah menekankan amalan berbudi bahasa
semasa dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Jadi, amalan tersebut dapat
dipupuk di dalam kelas secara formal. Sebagai contohnya, amalan berbudi bahasa
dapat dipupuk melalui mata pelajaran Agama Islam, Pendidikan Moral, Sivik dan
Kewarganegaraan. Oleh itu, pendidikan formal lebih berkesan untuk memupuk
amalan tersebut. Jelaslah bahawa amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi
muda dapat dipupuk melalui pendidikan formal dalam pengajaran dan pembelajaran di
sekolah.
Langkah
yang lain ialah pihak kerajaan perlulah menjalankan kempen-kempen yang
berkaitan dengan amalan berbudi bahasa. Dengan cara itu, anggota masyarakat
dapat diberikan kesedaran tentang amalan yang murni tersebut. Sebagai contohnya,
kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” boleh disiarkan melalui televisyen dan radio
serta media massa arus perdana yang lain. Jadi, kempen yang dijalankan tersebut
terbukti memberikan kesan yang menyeluruh kepada masyarakat. Perkara tersebut
membuktikan bahawa kempen-kempen yang berkaitan dengan amalan berbudi bahasa
yang dijalankan oleh kerajaan dapat membentuk amalan bersopan santun dalam
kalangan generasi muda.
Pihak
media massa pula haruslah menerbitkan dan menyiarkan rancangan atau program
yang berunsurkan amalan berbudi bahasa. Rancangan yang disiarkan perlulah
menarik perhatian anggota masyarakat yang menontonnya. Contohnya, penerbit
program televisyen boleh memilih rancangan yang berbentuk program realiti yang
digemari oleh masyarakat. Program tersebut akan ditonton oleh remaja dan mereka akan dipupuk dengan amalan berbudi bahasa. Jelaslah bahawa rancangan yang berunsurkan amalan berbudi bahasa
berkesan dalam memupuk amalan tersebut.
Selebriti
terkenal yang menjadi idola atau tokoh dalam pelbagai bidang perlu menunjukkan
contoh yang baik kepada generasi muda. Perkara ini dikatakan demikian kerana mereka
lebih berpengaruh kepada generasi muda dan dijadikan idola atau ikutan oleh
mereka. Contohnya, artis, pelakon, dan penyanyi atau selebriti terkenal boleh
mempengaruhi generasi muda. Tingkah laku atau amalan yang baik daripada mereka
berkesan untuk mengubah sikap generasi muda agar menjadikan amalan berbudi
bahasa sebagai budaya. Terbuktilah bahawa selebriti ternama yang menjadi ikon
memainkan peranan penting untuk memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan
generasi muda.
Pihak
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta harus mengadakan program
tertentu yang boleh membentuk amalan berbudi bahasa. Hal ini dikatakan demikian
kerana pertubuhan tersebut boleh mengadakan sebarang aktiviti yang lebih
berkesan untuk mempengaruhi masyarakat. Pertubuhan seperti PIBG, PERKIM,
PENGASIH, dan sebagainya boleh mengadakan “Kempen Budi Bahasa Amalan Mulia”. Pertubuhan
tersebut dikatakan lebih hampir dengan anggota masyarakat dan sering menjalankan aktiviti yang
dapat memupuk amalan berbudi bahasa. Perkara ini membuktikan bahawa NGO
memainkan peranan yang penting dalam mencapai hasrat tersebut.
Kesimpulannya,
pelbagai pihak perlu memainkan peranan penting dalam usaha untuk melahirkan
generasi muda yang berbudi bahasa. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu
untuk mencapai hasrat tersebut. Namun demikian, jika usaha tersebut tidak
dilakukan maka usaha tersebut akan menemui kegagalan. Kita tidak mahu perkara
tersebut berlaku kerana hasrat murni tersebut memang penting untuk
dilaksanakan. Jadi, kita berharap agar usaha murni tersebut akan dapat dicapai
demi keamanan, keharmonian, dan kesejahteraan negara pada masa akan datang.
(640 perkataan)
Bagus ni karangan ni.
ReplyDeleteassalamualaikum..mohon izin kongsikan nota ini dengan murid - murid ...terima kasih
ReplyDeletebuto
Delete