Fahami petikan di
bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa
menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat dengan menggunakan tidak
lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 180 hingga 190 patah
perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.
[20 markah]
[20 markah]
Berdasarkan
permintaan yang tinggi terhadap hasil produk tumbuhan herba pada peringkat
domestik dan global, industri herba dan aromatik di Malaysia dilihat mempunyai
potensi untuk merangsang ekonomi negara. Pada tahun 2009, data menunjukkan
bahawa nilai pasaran hasil produk tumbuhan herba tempatan mencatatkan jumlah
RM9 bilion setahun. Sementara itu, pasaran produk berasaskan herba tidak perlu
dikhuatiri kerana wujudnya arah aliran dalam kalangan masyarakat berpendidikan
tinggi yang sudah mula mengutamakan produk berasaskan alam semula jadi
berbanding dengan produk yang mengandungi bahan kimia.
Tumbuhan herba yang
tumbuh subur di hutan Khatulistiwa di Malaysia sememangnya dapat dimanfaatkan
sepenuhnya bagi menjana pendapatan negara. Sekali gus sektor ini mampu
memberikan pulangan yang lumayan sehingga berbilion-bilion ringgit setahun
sekiranya usaha dan kaedah tanaman secara komersial dilakukan dengan betul.
Sehubungan dengan hal
itu, industri herba dan aromatik juga berpotensi untuk menjadi sumber komoditi
baharu negara selain kelapa sawit, bijih timah, koko, getah, dan minyak mentah.
Hutan di negara ini menyimpan segala jenis herba, iaitu tumbuh-tumbuhan yang
kini khasiatnya dikaji untuk manfaat manusia sebagai makanan dan ubat-ubatan.
Usaha untuk menjadikan tumbuhan herba sebagai dimensi baharu komoditi negara
bukanlah suatu hal yang mustahil untuk dicapai, memandangkan Malaysia merupakan
antara negara terkaya di dunia dengan memiliki hutan yang mengandungi lebih
daripada 20 ribu spesies tumbuhan. Lebih membanggakan kita daripada jumlah
tersebut, kira-kira 2000 spesies telah didokumentasikan sebagai tumbuhan
ubat-ubatan, sekali gus berfungsi sebagai stor simpanan yang mengandungi bahan
herba bernilai untuk diproses menjadi produk penjagaan kesihatan.
Selari dengan
perubahan gaya hidup masyarakat dunia dan keperluan industri makanan,
perusahaan tumbuhan herba berupaya untuk menghasilkan pendapatan yang lumayan
kepada peladang dan petani. Sektor ini menjanjikan pendapatan yang lebih tinggi
berbanding dengan penghasilan sesetengah tanaman tradisi lain yang banyak diusahakan
oleh petani atau pekebun kecil di luar bandar.
Pasaran bagi produk
herba yang meningkat berkali-kali ganda, sudah tentu memberikan jaminan yang
lebih kukuh kepada peserta dalam industri ini untuk lebih berdaya saing bagi
memenuhi permintaan pengguna. Malaysia juga tidak terkecuali daripada dilanda
arus perkembangan perubatan tradisional dunia. Nilai import produk herba dan
aromatik serta pasaran makanan kesihatan turut menunjukkan peningkatan.
Peningkatan permintaan tersebut sangat berkait rapat dengan faktor tumbuhan
herba yang digunakan secara meluas dalam produk, seperti perubatan tradisional,
penghasilan bahan kimia tulen dalam ubat-ubatan, dan ekstrak yang mengandungi
bahan aktif. Selain itu, hasil tumbuhan herba juga digunakan dalam industri
makanan, minuman, perisa, kosmetik, bahan pencuci, kemasan diri, penambahan
diet serta wangi-wangian.
Di Malaysia, kepelbagaian biologi flora dan fauna mampu
menjadi pemangkin ke arah kemajuan industri herba tempatan dan seterusnya
merealisasikan kewujudannya sebagai komoditi baharu untuk memacu ekonomi negara
agar lebih mapan. Perkembangan maklumat mengenai kepelbagaian khasiat tumbuhan
herba menjadi faktor penarik dalam kalangan saintis Barat untuk melakukan
penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang berkaitan dengan tumbuhan itu,
seterusnya mengusahakannya secara komersial. Oleh hal yang demikian, 80 peratus
daripada pasaran domestik produk tumbuhan herba dan aromatik itu datangnya dari
luar kerana peserta asing dalam industri ini mempunyai bahan mentah yang lebih
berkualiti melalui P&P yang dijalankan.
Saintis
Barat yang lebih pantas mengorak langkah untuk mengaut keuntungan daripada
sektor ini menyedari bahawa penggunaan tumbuhan herba sebagai ubat-ubatan
kurang memberikan kesan sampingan berbanding dengan penggunaan ubat moden. Oleh
sebab itu, pengguna yang semakin peka dengan aspek kesihatan dan kecantikan,
lebih cenderung untuk memilih produk yang berasaskan herba dan aromatik kerana
faktor risiko yang rendah, di samping aspek keberkesanannya yang lebih
terjamin.
(Dipetik dan diubah suai daripada Dewan Ekonomi, September 2011)
BAJET JE!
ReplyDelete