Pages

Wednesday, March 31, 2021

Teknik Induksi dan Eklektik

Teknik Induksi

Teknik induksi bermaksud penyampaian idea yang dimulakan dengan suatu pernyataan khusus dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus dan diakhiri dengan pernyataan umum. Dengan perkataan lain, sesuatu perenggan itu dimulakan dengan huraian dan contoh yang bersifat khusus serta kemudiannya diakhiri dengan ayat topik yang bersifat umum.

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

+

Ayat topik

(Pernyataan umum)

 

Contoh perenggan teknik induksi

Ada petani yang melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam. Jadi, pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pencemaran udara berlaku.

 Teknik Eklektik

Teknik eklektik bermaksud penyampaian idea yang menggabungkan dua teknik iaitu teknik deduksi dengan teknik induksi. Dengan perkataan lain, teknik eklektik dimulakan dengan pernyataan umum dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus serta diakhiri oleh pernyataan umum. Oleh itu, dalam perenggan eklektik ini, ayat pertamanya ialah ayat topik (ayat topik yang merupakan pernyataan umum), kemudiannya diikuti oleh huraian/sokongan dan contoh, serta diakhiri dengan ayat kesimpulan (ayat kesimpulan merupakan pernyataan umum). 

Ayat topik

(Pernyataan umum)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

+

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat kesimpulan

(Pernyataan umum)

 

Contoh perenggan teknik eklektik

Pencemaran udara disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam. Tegasnya, pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran terbuka telah menyebabkan udara tercemar.

 Teknik analogi akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

No comments:

Post a Comment