Pengikut laman ini

Wednesday, March 31, 2021

Teknik Induksi dan Eklektik

Teknik Induksi

Teknik induksi bermaksud penyampaian idea yang dimulakan dengan suatu pernyataan khusus dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus dan diakhiri dengan pernyataan umum. Dengan perkataan lain, sesuatu perenggan itu dimulakan dengan huraian dan contoh yang bersifat khusus serta kemudiannya diakhiri dengan ayat topik yang bersifat umum.

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

+

Ayat topik

(Pernyataan umum)

 

Contoh perenggan teknik induksi

Ada petani yang melakukan pembakaran terbuka seperti membakar kawasan hutan untuk bercucuk tanam. Mereka melakukan pembakaran hutan kerana kawasan tersebut perlu dibersihkan sebelum pelbagai jenis tanaman ditanam. Jadi, pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pencemaran udara berlaku.

 Teknik Eklektik

Teknik eklektik bermaksud penyampaian idea yang menggabungkan dua teknik iaitu teknik deduksi dengan teknik induksi. Dengan perkataan lain, teknik eklektik dimulakan dengan pernyataan umum dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus serta diakhiri oleh pernyataan umum. Oleh itu, dalam perenggan eklektik ini, ayat pertamanya ialah ayat topik (ayat topik yang merupakan pernyataan umum), kemudiannya diikuti oleh huraian/sokongan dan contoh, serta diakhiri dengan ayat kesimpulan (ayat kesimpulan merupakan pernyataan umum). 

Ayat topik

(Pernyataan umum)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

+

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat kesimpulan

(Pernyataan umum)

 

Contoh perenggan teknik eklektik

Pencemaran udara disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam. Tegasnya, pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran terbuka telah menyebabkan udara tercemar.

 Teknik analogi akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Tuesday, March 30, 2021

Retorik - Teknik Penyampaian Idea

Teknik penyampaian idea merupakan subtopik Retorik. Terdapat empat teknik penyampaian idea yang sering kali digunakan untuk menyampaikan wacana dengan berkesan iaitu teknik deduksi, teknik induksi, teknik eklektik, dan teknik analogi.

Teknik Deduksi

Teknik deduksi bermaksud penyampaian idea yang dimulakan dengan pernyataan umum dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus dan diakhiri juga dengan pernyataan khusus. Dengan perkataan lain, sesuatu perenggan itu dimulakan dengan ayat topik yang bersifat umum dan kemudiannya diikuti oleh ayat huraian dan contoh yang bersifat khusus.

 

Ayat topik

(Pernyataan umum)

+

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

 

Contoh perenggan teknik deduksi

Pencemaran udara disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam atau membuka ladang.

Petua atau tips untuk membezakan pernyataan umum dengan pernyataan khusus:  

1.  Ayat pernyataan umum bersifat umum dan tidak spesifik atau tidak jelas. Ayat pernyataan umum masih boleh disoal untuk mendapatkan penjelasan.

2.  Ayat perrnyataan khusus bersifat khusus dan spesifik atau jelas. Ayat pernyataan umum tidak perlu disoal lagi untuk mendapatkan penjelasan.

3.  Contoh ayat pernyataan umum dan ayat pernyataan khusus terdapat dalam perenggan contoh teknik deduksi di atas.

Teknik penyampaian idea lain akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.