Pengikut laman ini

Tuesday, December 25, 2012

PBS BM STPM 2013 - Penulisan Esei Berformat (910/4)


Pelajar Tingkatan 6 Penggal 2 yang akan menyambung persekolahan pada 2 Januari 2013 nanti perlu menyempurnakan PBS ini dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru. Pelajar perlu menulis kesemua esei berformat itu di dalam kelas selepas guru membincangkan formatnya. Esei berformat itu akan disemak dan dinilai oleh guru dan markahnya akan dihantar kepada pihak MPM melalui talian internet. Format karangan yang dimaksudkan itu adalah seperti yang berikut.

     1.     Laporan
     2.     Syarahan
     3.     Ceramah
     4.     Teks Ucapan
                                               5.     Memorandum
                                               6.     Minit Mesyuarat
                                               7.     Kertas Cadangan
                                               8.     Surat Kiriman Rasmi

Kertas Penulisan Esei Berformat STPM 910/4 (Penggal 2)
1    Penulisan esei berformat (910/4) ini merupakan satu daripada dua kerja kursus yang wajib dilaksanakan oleh para pelajar. (Satu kerja kursus lagi ialah penulisan esei ilmiah dalam Penggal 3.)
2   Kegagalan pelajar menghantar esei berformat ini pada tarikh yang ditetapkan akan menyebabkan pelajar gagal dalam Kertas 910 Bahasa Melayu.
3     Dalam konteks penulisan esei berformat, kerja kursus ini perlu dilaksanakan oleh para pelajar semasa mereka berada di Penggal 2.
4     Kerja kursus ini perlu dilaksanakan secara individu (bukan secara berkumpulan seperti penulisan esei ilmiah) berdasarkan tajuk soalan yang diberikan oleh guru.
5       Pelajar dikehendaki untuk menulis kesemua esei berformat ini dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Melayu.
6      Kelapan-lapan esei itu akan disemak dan dinilai oleh guru dalam Penilaian Berasaskan Sekolah. Markahnya akan dihantar kepada pihak MPM supaya dapat dijumlahkan dengan markah peperiksaan berpusat yang dikendalikan oleh MPM bagi menentukan gred mata pelajaran dan Purata Nilai Gred Keseluruhan.
7    Dalam peperiksaan STPM baharu, penulisan esei berformat ini dikemukakan sebagai Kertas 4 dengan kod kertasnya ialah 910/4.
8     Pelajar akan diminta supaya menulis setiap esei berformat yang panjangnya antara 600 hingga 650 patah perkataan, kecuali surat kiriman rasmi yang menghendaki pelajar menulis esei tersebut tidak kurang daripada 250 patah perkataan.
  9        25 markah diperuntukkan untuk setiap esei berformat itu.
10      Tujuan penilaian esei berformat ini dilaksanakan adalah untuk memastikan pelajar dapat:
(a)  menulis esei mengikut bentuk format yang dikehendaki;
(b)  mengembangkan isi secara tersusun, padat, dan meyakinkan supaya terhasil sebuah wacana yang utuh;
(c)  menghasilkan esei yang isinya menepati tajuk dengan menggunakan bahasa yang lancar dan berkesan.

Strategi untuk Menulis Esei Berformat
1       Fahami arahan dan kehendak soalan dengan sebaik-baiknya.
2     Baca soalan esei yang dikemukakan dengan teliti, kemudian kenal pasti isu dan format soalan itu.
3   Setiap isi perlu dihuraikan dengan baik. Calon-calon tidak sepatutnya menghadapi masalah untuk mematuhi apa-apa format pun yang dikehendaki dalam soalan kerana guru akan memberikan pendedahan dan bimbingan kepada mereka.
4       Sediakan lima hingga enam isi bagi setiap soalan esei berformat.
5      Sekiranya calon mampu untuk menghuraikan setiap isi dengan mendalam, empat isi dikira sudah mencukupi kerana panjangnya esei itu kelak pasti akan mencapai 600 hingga 650 patah perkataan.
6   Bagi calon yang lemah dalam pengolahan setiap isi, empat isi tidak mencukupi kerana dibimbangi bahawa panjangnya esei itu kelak tidak akan mencapai jumlah 600 patah perkataan.
7       Oleh itu, calon harus menambah satu isi lagi untuk memanjangkan karangan.
8  Selepas selesai menulis esei, semaklah kerelevanan setiap isi dengan isu yang dikehendaki dalam soalan. Semak setiap perkataan dan ejaannya serta penggunaan penanda wacana yang betul dan sesuai. Pastikan tidak ada kesalahan tatabahasa dalam esei yang ditulis.

Kriteria Penilaian
1     Penulisan esei berformat dinilai berdasarkan beberapa aspek, iaitu aspek kerelevanan, pengolahan, dan bahasa iaitu sama seperti karangan tidak berformat, cuma bezanya dari segi format dan jumlah markah sahaja.
2     Penilaian dari segi kerelevanan ini melibatkan bahagian pendahuluan, isi, dan penutup. Hal ini bermaksud bahawa pendahuluan, isi, dan penutup karangan yang ditulis haruslah relevan dengan tajuk yang diberikan.
3  Penilaian dari aspek pengolahan pula melibatkan keupayaan calon mengolah esei berdasarkan:
(a)  kesepaduan esei; dan
(b)  binaan karangan.
4       Dari segi kesepaduan esei, (kohesi dan koheren) aspek yang akan dikenal pasti ialah:
(a)  jalinan isi dengan huraian;
(b)  jalinan isi dengan isi;
(c)  jalinan perenggan dengan perenggan; dan
(d)  jalinan ayat dengan ayat.
5      Dari segi binaan karangan pula, penilaian akan dibuat mengikut binaan penulisan esei, iaitu pendahuluan, isi, dan penutup.
6       Penilaian dari segi bahasa dibuat berdasarkan penggunaan:
             i.        diksi/pemilihan kata – melibatkan penggunaan kata umum, istilah, dan peribahasa,
        ii.     tatabahasa – melibatkan penggunaan sintaksis (frasa dan ayat) dan morfologi (imbuhan, kata ganda, dan kata majmuk), dan
            iii.        mekanis – melibatkan aspek ejaan dan tanda baca.

 7   Bagi dua esei berformat yang baharu iaitu kertas cadangan dan minit mesyuarat, kriteria penilaiannya agak berbeza sedikit dan calon-calon perlu mendapatkan panduan itu daripada portal MPM. Pihak MPM telah memuat naik panduan tersebut pada 19 Disember 2012 yang lalu.

4 comments:

Anonymous said...

salam cikgu, dtg lah sekolah sy bg ceramah tntang pnulisan esei pbs. kami mash lemah dn xnmpk cra yg btl

Cikgu Mohd Khir Kassim said...

Semua guru Bahasa Melayu Tingkatan 6 sudah didedahkan dengan format penulisan esei berformat yang betul mengikut panduan dan arahan MPM pada awal Januari 2013. Jadi sepatutnya tiada masalah.

NouryzA said...

assalamualaikum w.b.t cikgu,sy nk tye tentng tajuk dan soalan kerja khusus bahasa melayu stpm 2013 bg calon persendirian,mgikut MPM soalan tlh dimuat trun dlm portal tp sy xjumpa la tajuk dia,

Cikgu Mohd Khir Kassim said...

Waalaikumussalam Nureen Qarlisya. Sila dapatkan soalan PBS 910/4 - Cari dalam manual calon swasta.