Pengikut laman ini

Wednesday, January 19, 2011

Watak dan Perwatakan Novel Kembara Amira

Watak Utama

Amira
Amira ialah seorang pelajar dan berkawan baik dengan Jacinta. Ibunya ialah Profesor Zaidah, iaitu pensyarah universiti dalam bidang arkeologi. Semasa cuti sekolah yang panjang, Amira dan Jacinta pergi ke kawasan emaknya yang sedang menjalankan kerja lapangan iaitu mencari gali artifak di Desa Karpus. Dia seorang anak tunggal yang berani dan tabah menghadapi rintangan dan dugaan. Sebagai contohnya, dia berani untuk pergi ke gua Gajah untuk menggerakkan usaha menyelamatkan Malique yang hilang. Amira tabah menghadapi dugaan walaupun mengalami peristiwa pahit iaitu dia hampir mati lemas akbiat tergelincir dan dihanyutkan oleh air sungai yang deras. Amira juga suka menolong orang yang sedang memerlukan bantuan, contohnya Amira menggerakkan usaha untuk menolong Malique dengan mendapatkan bantuan daripada Itai untuk mengesannya. Selain itu, dia bersahabat baik dengan Jacinta yang berketurunan Tionghua.

Amira menghormati orang yang lebih tua daripadanya terutamanya ibunya, Pak Lias dan Dr. Zawawi. Sebagai contohnya, dia mengucapkan salam kepada ibunya pada suatu pagi selepas Jacinta ditemui dalam keadaan pengsan. Selain itu, dia merupakan seorang pelajar yang pintar untuk membuat keputusan. Sebagai contohnya, Amira diminta oleh ibunya untuk membuat keputusan tentang Tau dengan Malique dan Ipah. Dia kuat semangat ketika cuba melawan arus dan tangannya cuba memeluk batu-batu yang terdapat di sepanjang sungai tetapi gagal kerana batu-batu itu licin. Amira seorang yang prihatin, contohnya dia prihatin akan Jacinta yang baru sedar daripada pengsan dengan menyuapkan kawannya sup.

Walau bagaimanapun, dia seorang yang nakal, contohnya kadang-kadang dia berbuat sesuatu tindakan yang tidak dijangka oleh ibu dan ayahnya. Namun begitu, dia seorang anak yang baik, contohnya dia tidak cerewet dan tidak pernah merungut dalam sebarang hal. Selain itu, Amira juga seorang yang penyayang, buktinya dia memicit bahu ibunya yang cedera perlahan-lahan dengan penuh kasih sayang. Amira taat akan agama iaitu dia dengan segera mengqada solat Subuh yang tidak dapat ditunaikan semasa di dalam kereta api. Amira seorang yang bertanggungjawab, contohnya dia rasa bersalah dan tidak berhenti menangis kerana dia yang menyebabkan Jacinta hilang. Dia cuma berhenti menangis apabila Jacinta berjaya ditemui oleh Tau.

Watak Sampingan

Jacinta
Jacinta ialah seorang pelajar yang berbangsa Cina yang berkulit putih dan gebu serta menjadi kawan baik Amira. Ibunya sudah meninggal dunia, dan ayahnya sekarang berkahwin dengan seorang perempuan lain. Dia tidak suka akan ibu tiri yang baru dikahwini oleh ayahnya itu. Dia mengikut Amira pergi ke tapak kerja lapangan atau tapak cari gali artifak tinggalan manusia pada zaman silam yang sedang dijalankan oleh ibu Amira dengan pelajar-pelajarnya tahun akhirnya. Dia telah beberapa kali mengikut Amira dalam melakukan kerja-kerja dalam bidang arkeologi. Jacinta diselamatkan dan diusung oleh Tau ke Desa Karpus. Dia dalam keadaan pengsan ketika dijumpai oleh Tau di celah banir pokok balak yang besar. Jacinta menyukai Dr. Zawawi iaitu pensyarah muda dan pembantu Profesor Zaidah.

Jacinta seorang yang tabah tetapi sentiasa tidak sabar, dan dia cepat merajuk apabila keluarganya menjadi topik perbualan. Dia suka menolong orang, contohnya dia bersama-sama dengan Amira, Itai, Pak Lias, Roslan, dan beberapa orang lagi dalam gerakan mencari Malique yang hilang. Dia sanggup membahayakan dirinya sendiri dalam usaha untuk menolong Amira yang dihanyutkan oleh air sungai yang deras.

Jacinta seorang yang bijak berkata-kata dan pandai berhujah, contohnya dia berhujah dengan O’Hara semasa mereka mencari Malique. Dia mengambil berat akan kebajikan rakannya, contohnya dia membawakan Amira makanan ke khemahnya pada suatu malam. Jacinta juga tidak pernah menyinggung perasaan sahabatnya, Amira walaupun mereka berlainan agama.

Itai
Itai ialah anak Tau tetapi menjadi anak angkat kepada Ludin yang berketurunan suku Orang Asli Semai yang tinggal di kampung di sebelah anak bukit. Sebenarnya Itai ialah adik Malique dan emak mereka ialah Ipah atau Jennifer. Dia seorang anak muda yang hebat, pintar, berani dan memiliki keistimewaan seperti boleh mengenali tapak kaki, meneka jantina berdasarkan tapak kaki dan boleh menghidu bau yang dibawa oleh angin. Itai berkemahiran untuk menangkap ikan dengan tangan iaitu tanpa menggunakan alat menangkap ikan. Itai akan dilantik sebagai ketua kampung yang memahami alam di hutan itu, iaitu menggantikan ayah angkatnya Ludin yang sedang memegang jawatan ketua kampung itu. Itai juga merupakan pelajar yang pintar dan menjadi harapan sekolahnya. Itai berkawan dengan Amira dan Jacinta selepas peristiwa dia menyelamatkan Amira daripada mati lemas.

Itai suka menolong orang yang sedang memerlukan bantuan, contohnya Itai membantu Amira untuk mencari Malique yang hilang. Itai menghormati orang yang lebih tua daripadanya, contohnya dia menghormati Ludin dan Tau dan tidak membantah cakap mereka. Itai seorang yang murah hati, iaitu dia dan Amira sanggup meredah hutan untuk mengambil ketulan emas di sungai untuk dihadiahkan kepada Jacinta. Dia seperti hilang semangat selepas terlihat makhluk yang berbulu ketika bersama-sama dengan Amira di dalam hutan dan seterusnya dia disergah oleh Tau pada masa itu.

Profesor Zaidah
Beliau seorang profesor dan pensyarah universiti dalam bidang arkeologi. Beliau kuat bekerja, contohnya Amira mengatakan memang tabiat ibunya suka memulakan kerja sejak awal pagi iaitu ketika orang lain masih tidur. Amira juga hairan dengan ibunya yang memiliki tenaga yang kuat untuk bekerja. Beliau merupakan ibu yang penyayang, contohnya walaupun sibuk dia masih ada masa untuk Amira, lebih-lebih lagi dia sedar akan kesalahannya yang mementingkan kerjanya selepas Amira . Beliau seorang yang penyabar, contohnya dia masih bersabar dan tidak memarahi Amira kerana kesilapannya yang menyebabkan Jacinta cedera.

Profesor Zaidah seorang ketua yang prihatin, contohnya dia mengambil berat kebajikan keluarga Pak Lias dan bertanyakan perbelanjaan keluarganya sebelum dia meninggalkan mereka untuk bekerja di Bukit Mat Raya. Beliau pakar dalam bidang arkeologi, contohnya dia mengatakan bahawa setiap lapisan tanah yang berlainan warna mewakili satu tempoh masa yang kita sendiri tidak pasti, mungkin ratusan atau ribuan tahun. Beliau berpengalaman selama lebih kurang dua puluh lima tahun dalam bidang itu.


2 comments:

Anonymous said...

as slm..mohon share..syukran :)

Anonymous said...

thnk u..............