Pages

Tuesday, August 14, 2018

Esei Tidak Berformat - Isu Amalan Berbudi Bahasa

Soalan STPM 2013


Amalan berbudi bahasa amat penting dan perlu menjadi budaya rakyat negara ini. Huraikan langkah-langkah yang dapat dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.

Esei Contoh

Budi bahasa memang penting untuk diamalkan oleh setiap anggota masyarakat di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana budi bahasa melambangkan identiti individu dan kebiasaannya amalan tersebut diamalkan sejak kecil. Amalan seperti bercakap dengan sopan apabila berkomunikasi dengan orang lain ketika melayan pelanggan atau ketika bertugas di kaunter memang perlu dijadikan budaya oleh anggota masyarakat kita. Perkara ini dapat mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat. Jadi, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
                          
        Satu daripada langkah yang boleh dilakukan ialah pihak ibu bapa perlulah memberikan pendidikan tentang budi bahasa kepada anak-anak sejak kecil. Perkara ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak. Kebiasaannya anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka terutamanya ketika bercakap atau berinteraksi dengan orang lain. Hal ini disebabkan anak-anak mudah dibentuk ketika kecil dan amalan berbudi bahasa akan menjadi budaya dalam kehidupan. Tegasnya, pendidikan tentang budi bahasa kepada anak-anak perlu dipupuk oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.

        Langkah yang seterusnya ialah pihak sekolah hendaklah menekankan amalan berbudi bahasa semasa dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Jadi, amalan tersebut dapat dipupuk di dalam kelas secara formal. Sebagai contohnya, amalan berbudi bahasa dapat dipupuk melalui mata pelajaran Agama Islam, Pendidikan Moral, Sivik dan Kewarganegaraan. Oleh itu, pendidikan formal lebih berkesan untuk memupuk amalan tersebut. Jelaslah bahawa amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda dapat dipupuk melalui pendidikan formal dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

        Langkah yang lain ialah pihak kerajaan perlulah menjalankan kempen-kempen yang berkaitan dengan amalan berbudi bahasa. Dengan cara itu, anggota masyarakat dapat diberikan kesedaran tentang amalan yang murni tersebut. Sebagai contohnya, kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” boleh disiarkan melalui televisyen dan radio serta media massa arus perdana yang lain. Jadi, kempen yang dijalankan tersebut terbukti memberikan kesan yang menyeluruh kepada masyarakat. Perkara tersebut membuktikan bahawa kempen-kempen yang berkaitan dengan amalan berbudi bahasa yang dijalankan oleh kerajaan dapat membentuk amalan bersopan santun dalam kalangan generasi muda.

        Pihak media massa pula haruslah menerbitkan dan menyiarkan rancangan atau program yang berunsurkan amalan berbudi bahasa. Rancangan yang disiarkan perlulah menarik perhatian anggota masyarakat yang menontonnya. Contohnya, penerbit program televisyen boleh memilih rancangan yang berbentuk program realiti yang digemari oleh masyarakat. Program tersebut akan ditonton oleh remaja dan mereka akan dipupuk dengan amalan berbudi bahasa. Jelaslah bahawa rancangan yang berunsurkan amalan berbudi bahasa berkesan dalam memupuk amalan tersebut.

        Selebriti terkenal yang menjadi idola atau tokoh dalam pelbagai bidang perlu menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda. Perkara ini dikatakan demikian kerana mereka lebih berpengaruh kepada generasi muda dan dijadikan idola atau ikutan oleh mereka. Contohnya, artis, pelakon, dan penyanyi atau selebriti terkenal boleh mempengaruhi generasi muda. Tingkah laku atau amalan yang baik daripada mereka berkesan untuk mengubah sikap generasi muda agar menjadikan amalan berbudi bahasa sebagai budaya. Terbuktilah bahawa selebriti ternama yang menjadi ikon memainkan peranan penting untuk memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda.

        Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta harus mengadakan program tertentu yang boleh membentuk amalan berbudi bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana pertubuhan tersebut boleh mengadakan sebarang aktiviti yang lebih berkesan untuk mempengaruhi masyarakat. Pertubuhan seperti PIBG, PERKIM, PENGASIH, dan sebagainya boleh mengadakan “Kempen Budi Bahasa Amalan Mulia”. Pertubuhan tersebut dikatakan lebih hampir dengan anggota masyarakat dan sering menjalankan aktiviti yang dapat memupuk amalan berbudi bahasa. Perkara ini membuktikan bahawa NGO memainkan peranan yang penting dalam mencapai hasrat tersebut.

        Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan penting dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mencapai hasrat tersebut. Namun demikian, jika usaha tersebut tidak dilakukan maka usaha tersebut akan menemui kegagalan. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana hasrat murni tersebut memang penting untuk dilaksanakan. Jadi, kita berharap agar usaha murni tersebut akan dapat dicapai demi keamanan, keharmonian, dan kesejahteraan negara pada masa akan datang.
(640 perkataan)

Saturday, April 21, 2018

Bengkel Teknik Menjawab Soalan BM Penggal 2

Bengkel Teknik Menjawab Soalan BM Penggal 2 untuk pelajar SMK Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor; 21 April 2018; 8:30 - 1:00 tengah hari; Kompleks LKIM Kuala Selangor.



Friday, April 6, 2018

Teknik untuk Mengesan Susunan Konstituen Ayat


Jika pelajar hendak mengesan susunan konstituen ayat, pelajar perlu mengenal pasti subjek, predikat, dan frasa keterangan serta meneliti kedudukan atau susunannya   dalam ayat tersebut. Predikat ayat akan disongsangkan ke depan dan subjeknya diletakkan di belakang jika ayat itu ayat songsang. Jika ayat itu ada frasa keterangan, frasa itu juga boleh disongsangkan dan dibawa ke hadapan. Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah.

Soalan STPM Penggal 2 2015
Analisis soalan dan jawapan:
16 Yang manakah bukan ayat songsang?
A   Bilakah delegasi dari negara Jepun akan tiba?
B   Rajin benar pembantu rumah Puan Saadiah itu.
C   Adik lelakinya penulis novel remaja yang terkenal.
D   Pada minggu hadapan, Encik Khairul menghadiri kursus.

Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat yang bukan ayat songsang. Oleh itu, pelajar perlu mengenal pasti ayat songsang dan bukan ayat songsang. Jawapannya C kerana ayat tersebut menepati kehendak soalan iaitu ayat “Adik lelakinya penulis novel remaja yang terkenal.” merupakan ayat susunan biasa dan bukan ayat songsang. Tiga ayat dalam jawapan A, B, dan D pula merupakan ayat songsang kerana susunannya bukan susunan biasa. 

Susunan songsang bagi ayat C ialah "Penulis novel remaja yang terkenal adik lelakinya." Susunan biasa bagi ayat A ialah "Delegasi dari negara Jepun akan tiba bila?" Susunan biasa bagi ayat B pula ialah "Pembantu rumah Puan Saadiah itu rajin benar." Susunan biasa bagi ayat D ialah "Encik Khairul menghadiri kursus pada minggu hadapan."

Wednesday, March 7, 2018

Sunday, January 21, 2018

Bentuk Kata dan Golongan Kata

Bentuk kata
Pastikan bentuk fizikal kata tersebut. Adakah bentuknya tunggal (T), terbitan (T), majmuk (M), atau ganda (G) (TTMG). Terdapat empat bentuk kata sahaja dalam bahasa Melayu dan tiada bentuk kata yang lain. Jadi, berhati-hatilah ketika hendak menentukan bentuk kata dan jangan keliru dengan golongan kata.

Golongan kata
Pastikan kata tersebut tergolong dalam golongan kata nama (N), kata kerja (K), kata adjektif (A), atau kata tugas. (T) (NKAT) Terdapat empat golongan kata sahaja dalam bahasa Melayu dan tiada golongan kata yang lain. Jadi, berhati-hatilah juga ketika hendak menentukan golongan kata dalam bahasa Melayu dan jangan terkeliru dengan bentuk kata pula.
Soalan STPM 2017
Yang manakah kata terbitan yang kata dasarnya terdiri daripada kata tugas?
A  Merupai
B  Meyakini
C  Mengenai
D  Menyudahi

Soalan berfokuskan kata terbitan yang kata dasarnya terdiri daripada kata tugas. Oleh itu, calon perlu mengenal pasti kata tugas dalam kata terbitan tersebut. Oleh itu, pilihan jawapan D merupakan jawapan yang tepat kerana kata dasar “Menyudahi” ialah “sudah” dan kata “sudah” merupakan kata tugas.

Soalan STPM 2017
32
Kesan penggunaan komputer begitu banyak, terutamanya kepada orang yang terlalu kerap menggunakannya. Penggunaan komputer secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan. Jika seseorang sering menekan tetikus dan menatap komputer terlalu lama, ia boleh mengalami sakit belakang. Mata juga boleh mengalami masalah jika tumpuan pandangan terlalu terarah kepada monitor komputer dengan lamanya. Ada juga yang mengatakan bahawa penggunaan komputer secara berlebihan boleh membawa penyakit yang serius kerana pancaran cahaya monitor komputer mengandungi radiasi.

 (a) Berdasarkan petikan di atas,
(i) namakan bentuk kata bagi perkataan yang berhuruf condong.

Perkataan
Bentuk kata
Berlebihan
Kata terbitan
Tetikus
Kata ganda
Monitor komputer
Kata majmuk
[3]
(ii) berikan golongan kata bagi perkataan yang bergaris.

Perkataan
Golongan kata
Banyak
Kata adjektif
Terlalu
Kata tugas
Radiasi
Kata nama

[3]

Friday, January 12, 2018

Wednesday, January 3, 2018

Kolokium Penyelidikan Guru Tingkatan Enam


LAPORAN KAJIAN TINDAKAN

Meningkatkan Penguasaan Pelajar dalam Penulisan Esei dengan Menggunakan Teknik Formula

Mohd. Khir Kassim
Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya
46150 Petaling Jaya Selangor

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam penulisan esei melalui Teknik Formula. Tinjauan awal menunjukkan bahawa kemahiran tersebut masih belum dikuasai dengan baik oleh sebahagian besar pelajar. Buktinya perenggan esei pelajar tidak diolah dan dikembangkan dengan baik dalam latihan yang diberikan. Perkara itu juga menyebabkan pelajar gagal untuk mendapatkan markah yang tinggi kerana esei mereka tidak menepati ciri perenggan yang kohesi dan koheren seperti yang ditetapkan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu STPM Penggal 1. Selain itu, kebanyakan pelajar menulis esei yang pendek dan kurang daripada 600 patah perkataan. Jadi, penulisan esei dengan menggunakan teknik formula diperkenalkan kepada pelajar Tingkatan 6BK7 yang terdiri daripada 13 orang pelajar untuk menulis esei yang menepati ciri kohesi dan koheren. Teknik yang diperkenalkan ini dimulakan dengan formula perenggan pendahuluan iaitu IKCHF (Ayat isu, ayat huraian isu kenapa, ayat contoh isu, ayat huraian contoh, dan ayat fokus soalan). Formula perenggan isi pula ialah IKCHP (Ayat isi, ayat huraian isi kenapa, ayat contoh isi, ayat huraian contoh, dan ayat penegasan isi). Formula perenggan penutup ialah KCAHH (ayat kesimpulan, ayat cadangan umum, ayat ancaman, ayat huraian ancaman, dan ayat harapan). Selepas dilaksanakan tindakan dengan menggunakan Teknik Formula, pelajar dapat menghasilkan perenggan esei yang menepati ciri wacana yang kohesi dan koheren atau jalinan idea dan jalinan ketatabahasaannya turut menepati ciri perenggan yang utuh dan mantap.

1. 0 REFLEKSI MASALAH
Setelah menyemak latihan esei pelajar-pelajar Tingkatan 6BK7, didapati bahawa pelajar tidak dapat mengolah esei dengan baik kerana pelajar lemah dalam penguasaan kemahiran penulisan esei. Kebanyakan pelajar tidak menghadapi masalah yang besar untuk mencari isi esei tetapi menghadapi masalah apabila hendak mengolah atau mengembangkan isi-isi esei tersebut. Oleh hal yang demikian, kebanyakan pelajar tidak dapat menulis esei dengan baik kerana gagal mengolah dan mengembangkan isi-isi esei tersebut secara kohesi dan koheren. Hal ini disebabkan oleh pelajar-pelajar tidak memiliki kemahiran tentang teknik menulis esei yang betul dan sistematik.

Esei yang ditulis oleh pelajar agak ringkas dan tidak mencapai jumlah perkataan yang dikehendaki, iaitu antara 600 hingga 650 perkataan pada peringkat Tingkatan 6. Ada juga pelajar yang cuma dapat menulis esei sekitar 300 hingga 400 patah perkataan sahaja. Boleh dikatakan sebahagian besar pelajar saya memperoleh satu markah sahaja dalam satu perenggan esei mereka. Ada pula pelajar yang menulis esei tetapi perenggannya tidak seimbang iaitu ada perenggan yang terlalu pendek dan ada perenggan yang terlalu panjang. Perkara ini sudah tentu menyebabkan markah esei mereka agak rendah dan akan menjejaskan markah keseluruhan Kertas 1 Bahasa Melayu STPM.

Setelah menganalisis masalah itu dan mendapatkan maklum balas daripada mereka, didapati bahawa antara punca yang menyebabkan pelajar saya tidak dapat mengolah isi esei dengan baik ialah kaedah pengajaran esei yang biasa dan tidak menggalakkan pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir yang berkesan.

2. 0 MASALAH YANG DIKAJI
Dalam proses pembelajaran esei, setiap pelajar memiliki cara, pemikiran dan persepsi yang berbeza antara satu dengan yang lain. Perkara yang menjadi persoalannya ialah terdapat sebahagian pelajar yang lemah dalam kemahiran mengolah isi esei berdasarkan soalan yang diberikan. Dalam hal ini, kemahiran menulis esei memang berkaitan dengan kemahiran-kemahiran yang lain seperti kemahiran berfikir, kemahiran mengolah, atau mengembangkan isi esei. Pengetahuan mengenai aspek pengolahan isi esei sangat penting dalam kemahiran menulis esei.

Kemahiran menulis esei mempunyai pelbagai objektif seperti yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu STPM. Kemahiran menulis esei merupakan kemahiran kognitif, iaitu kemahiran menyatakan idea yang hendak disampaikan dan mengembangkan idea tersebut dalam perenggan esei.  Kemahiran tersebut diperlukan terutamanya semasa menjawab soalan peperiksaan Penggal 1. Secara keseluruhannya sebahagian besar pelajar tidak dapat menulis esei dengan baik kerana gagal mengolah dan mengembangkan isi-isi esei tersebut. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak memiliki kemahiran tentang teknik atau cara mengolah esei yang betul dan sistematik. Perkara itu telah menyebabkan pelajar gagal menghasilkan esei yang baik, iaitu bentuk penulisan esei yang memiliki ciri wacana yang kohesi dan koheren. Tambahan pula, ada esei pelajar yang tidak menepati ciri-ciri esei yang baik dan relevan. Oleh itu, Teknik Formula diperkenalkan bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam penulisan esei yang perlu memiliki kohesi dan koheren yang baik dan berkesan.

3. 0 OBJEKTIF KAJIAN
3.1 Objektif Umum
Meningkatkan penguasaan dan keterampilan penulisan dan pengolahan esei pelajar.

3.2Objektif Khusus
3.2.1    Meningkatkan teknik olahan ayat atau jalinan ayat yang kohesi dan koheren dalam perenggan esei
3.2.2    Mengembangkan penguasaan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif, dan analitis dalam penulisan esei

4. 0 KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan pelajar tingkatan 6BK7 yang akan menduduki peperiksaan STPM Penggal 1. Responden kajian terdiri daripada 13 orang pelajar. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar yang berpencapaian tinggi, sederhana, dan rendah.

5. 0 PELAKSANAAN KAJIAN
    5.1 Tinjuan Masalah
Pengesanan terhadap pengajaran esei dalam proses pengajaran dan pembelajaran menunjukkan bahawa pelajar tidak dapat menulis esei dengan baik. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar tidak dilatih dan tidak didedahkan dengan teknik dan cara mengolah isi esei yang betul. Di samping itu, proses pengajaran dan pembelajaran tidak menggunakan teknik yang menyeronokkan serta tidak menarik minat dan perhatian mereka dalam penulisan esei. Teknik yang digunakan juga lebih berpusatkan guru, tidak menggalakkan pelajar mengembangkan kemahiran berfikir dan membosankan mereka. Oleh itu, teknik pengajaran telah diubah dengan menjalankan teknik pengajaran yang menarik dan menggunakan bahan rangsangan serta bahan bantu belajar yang sesuai dengan tajuk esei. Penggunakan projektor LCD, power-point, klip video, jadual berfikir, gambar, dan sebagainya bermula dengan set induksi dan dalam langkah yang seterusnya hinggalah bahagian penutup. Perkara ini dilakukan untuk menarik perhatian mereka agar mereka dapat belajar dalam suasana yang menyeronokkan. Secara tidak langsung teknik ini dapat merangsang kemahiran berfikir dan membolehkan pelajar menulis serta mengolah esei dengan baik.

       5.2 Analisis Tinjauan Masalah
     5.2.1 Tinjauan dan mengenal pasti masalah
Segala  masalah  yang  berlaku  semasa  menjalankan  aktiviti  pengajaran dan pembelajaran esei dikaji dan dianalisis  iaitu melalui pemerhatian di dalam kelas, penyemakan latihan esei, dan  analisis markah Peperiksaan Percubaan Penggal 1, serta markah Pascapercubaan Penggal 1. Berdasarkan penyemakan latihan esei pelajar, saya didapati 11 daripada 13 orang mendapat satu markah sahaja daripada tiga markah yang diperuntukkan untuk setiap perenggan.

Bil
Pelajar
Markah satu perenggan esei [3]
Praujian
1
Pelajar 1
2
2
Pelajar 2
2
3
Pelajar 3
1
4
Pelajar 4
1
5
Pelajar 5
1
6
Pelajar 6
1
7
Pelajar 7
1
8
Pelajar 8
1
9
Pelajar 9
1
10
Pelajar 10
1
11
Pelajar 11
1
12
Pelajar 12
1
13
Pelajar 13
1

                 Jadual 1: Markah esei dalam satu perenggan

5.2.2 Melalui instrumen temu bual tidak berstruktur, didapati tiga orang sahaja daripada 13 orang pelajar yang suka dan berminiat untuk menulis esei. Hampir semua pelajar mengatakan mereka tidak berminat dengan mata pelajaran Bahasa Melayu dan tidak berminat untuk menulis esei kerana pengalaman mereka yang membosankan semasa mereka belajar karangan di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Setelah maklumat tersebut dianalisis, tindakan atau teknik yang dirasakan sesuai untuk mengubah amalan pengajaran dan juga amalan pembelajaran pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menyeronokkan serta pelajar dapat mengolah esei mereka dengan lebih baik.
5.2.3 Soalan esei untuk praujian dan pascaujian telah diberikan kepada pelajar dan digunakan dalam aktiviti latihan dan ujian apabila teknik formula ini digunakan. Keputusan ujian dicatat dalam bentuk markah bagi satu-satu perenggan atau jumlah markah yang diperoleh bagi setiap soalan esei yang meliputi praujian dan juga pascaujian.
    5.2.4   Praujian  dijalankan untuk memperoleh  maklumat tentang keberkesanan  pada  peringkat  awal kaedah pengajaran yang lebih menekankan kaedah yang konvensional dan kaedah penerangan oleh guru serta tidak berpusatkan pelajar. Pelajar juga menulis esei berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka sahaja serta tidak menggunakan sebarang teknik untuk menghuraikan perenggan esei.
                         
5.3 Tindakan untuk Menangani Masalah
           5.3.1 Aktiviti pengajaran dan pembelajaran esei dijalankan selama dua bulan dan sebanyak dua masa diperuntukkan bagi setiap sesi pengajaran untuk melaksanakan aktiviti tersebut. Pelajar dipastikan berbincang dengan rakan dalam kumpulan masing-masing untuk membuat rangka bagi isi esei, kemudian mereka mengolahnya dengan menggunakan jadual berfikir berdasarkan formula esei dan membentangkannya di dalam kelas. Pelajar dalam kumpulan lain diminta untuk mengemukakan soalan dan memberikan komen atau pandangan terhadap isi dan huraian isi yang dibentangkan. Saya akan memastikan perbincangan dan pembentangan dijalankan dengan lancar serta memberikan bimbingan.
            5.3.2 Pelajar-pelajar diminta untuk membuat rujukan daripada akhbar, majalah, dan maklumat daripada internet semasa mencari isi-isi esei dan maklumat lain untuk mengembangkan perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan penutup esei.

5.4  Cara Pelaksanaan
            5.4.1 Pelajar-pelajar  diminta untuk menggunakan teknik formula esei, iaitu formula untuk perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup (IKCHF, IKCHP, dan KCAHH) semasa berfikir untuk menghuraikan dan mengembangkan isi esei. Pelajar juga diberikan jadual teknik formula yang perlu diisikan oleh pelajar semasa perbincangan dijalankan.

5.4.2 Contoh Langkah Pengajaran dan Pembelajaran Penulisan Esei

Set Induksi: Guru menunjukkan gambar atau klip video tentang isu atau topik esei dan pelajar diminta untuk memberikan pandangan atau jawapan terhadap soalan yang dikemukakan oleh guru.

Langkah 1: Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu 3 - 4 orang pelajar dalam satu kumpulan.

Setiap kumpulan diberikan tugasan yang berbeza berdasarkan fokus soalan. Setiap kumpulan dikehendaki berbincang tentang;
Kumpulan 1 –     pengolahan perenggan pendahuluan esei
Kumpulan 2 – satu isi dan mengolah isi esei tersebut dalam satu   perenggan
Kumpulan 3 – satu isi dan mengolah isi esei tersebut dalam satu perenggan
Kumpulan  4 –   pengolahan perenggan penutup esei

Langkah 2: Pelajar membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing dan pelajar lain diminta untuk mengemukakan soalan atau pandangan, serta guru memberikan bimbingan.

Pengukuhan: Guru membuat kesimpulan dan penerangan kepada pelajar-pelajar tentang proses penulisan esei dan pengolahan isi esei. Pelajar-pelajar diminta menulis tiga perenggan esei di rumah.

5.5  Membuat Refleksi Kajian
5.5.1 Refleksi keputusan ujian sebelum dan selepas penggunaan kaedah formula esei.

Bil
Pelajar
Jantina
Markah Sebelum
(50)
Markah Selepas
(50)
Perubahan
Markah
STPM
K1
1
Pelajar 1
P
27
30
+3
A
2
Pelajar 2
L
24
26
+2
A
3
Pelajar 3
P
8
22
+14
C
4
Pelajar 4
P
23
27
+4
A
5
Pelajar 5
P
9
16
+7
C
6
Pelajar 6
L
18
22
+4
B+
7
Pelajar 7
P
9
20
+11
A-
8
Pelajar 8
P
12
24
+12
A
9
Pelajar 9
P
12
18
+6
B
10
Pelajar 10
P
25
26
+1
B
11
Pelajar 11
P
15
17
+2
B+
12
Pelajar 12
P
4
8
+4
F
13
Pelajar 13
P
23
22
-1
A-
           Jadual 2 : Keputusan Praujian dan Pascaujian Soalan Esei yang Lengkap

Keputusan ujian pengesanan menunjukkan bahawa pelajar-pelajar lebih berupaya untuk menulis esei yang baik kohesi dan koherennya sekiranya didedahkan dengan teknik mengolah isi esei yang betul dan menarik perhatian mereka. Selain itu, pelajar-pelajar didedahkan dengan penggunaan bahan bantu belajar yang menarik seperti surat khabar, majalah, projektor, power-point, klip video, gambar, dan bahan-bahan daripada internet. Terdapat perubahan dalam pencapaian pelajar selepas penggunaan teknik formula dan bahan-bahan rangsangan serta bahan bantu belajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Markah tertinggi yang dicapai dalam ujian pasca ialah 30 berbanding dengan 27 sebelum penggunaan teknik atau formula esei. Markah terendah dalam ujian pasca pula ialah 8 berbanding dengan sebelumnya, iaitu 4.

5.5.2 Keberkesanan kaedah pengajaran dinilai dengan membuat pemerhatian, penelitian dan juga melalui analisis prestasi dalam peperiksaan. Didapati kaedah yang dipraktikkan terbukti dapat menarik perhatian pelajar dan memudahkan mereka untuk mengolah isi esei atau mengembangkannya dengan baik iaitu ada tautan (kohesi) dan runtutan (koheren) antara ayat dengan ayat dan antara perenggan dengan perenggan esei. Pelajar-pelajar yang terlibat dalam kajian ini didapati menunjukkan perubahan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dan mereka semakin berani dan yakin untuk memberikan pandangan serta dapat berfikir dengan lebih kreatif. Proses pengajaran dan pembelajaran esei menjadi semakin menyeronokkan dan pelajar melibatkan diri dengan aktif dalam perbincangan dan pembentangan serta bersoal jawab dan memberikan hujah. Selain itu, pelajar juga menyatakan bahawa mereka semakin seronok untuk menulis esei dan mereka dapat menghuraikan isi esei dengan lebih cepat daripada sebelumnya selepas menggunakan teknik formula tersebut. Jumlah perkataan mereka juga semakin meningkat iaitu puratanya 70 hingga 80 perkataan dalam satu perenggan berbanding dengan 50 hingga 60 perkataan sahaja dalam satu perenggan. Hal ini dikatakan demikian kerana pemikiran pelajar saya menjadi lebih kritis dan kreatif. Mereka juga dapat membina ayat majmuk dalam esei berbanding dengan ayat mereka yang pendek-pendek atau ayat tunggal sahaja sebelum ini. Markah esei dalam satu-satu perenggan juga turut meningkat dan menunjukkan perubahan iaitu enam orang pelajar mendapat dua markah dalam pascaujian berbanding dengan 2 orang dalam ujian pra seperti yang ditunjukkan dalam rajah 3 di bawah.  

Bil
Pelajar
Markah satu perenggan esei [3]
Pascaujian
1
Pelajar 1
2
2
Pelajar 2
2
3
Pelajar 3
1
4
Pelajar 4
2
5
Pelajar 5
1
6
Pelajar 6
1
7
Pelajar 7
2
8
Pelajar 8
2
9
Pelajar 9
1
10
Pelajar 10
1
11
Pelajar 11
1
12
Pelajar 12
1
13
Pelajar 13
2

                 Jadual 3: Markah esei dalam satu perenggan

5.5.3      Walaupun kajian tindakan yang dijalankan ini cuma meliputi sebahagian kecil pelajar, namun diyakini kajian ini dapat menggambarkan secara umum tentang pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam penulisan dan pengolahan esei pelajar. Teknik ini didapati berkesan dan memberikan satu dorongan baharu dalam proses PdPc. Formula esei ini mencetuskan idea kepada pelajar untuk mencipta formula mereka sendiri bagi mengingat sesuatu fakta atau mengembangkan fakta dalam mata pelajaran lain.

6.0  CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
6.1 Oleh sebab maklum balas yang diterima adalah positif dan pelajar lebih berminat dalam pengajaran dan pembelajaran esei serta prestasi pelajar yang agak membanggakan dalam peperiksaan, Teknik Formula tersebut akan terus digunakan dan ditambah baik.

6.2 Kajian untuk penambahbaikan ini penting untuk membantu dan membimbing pelajar dalam mengolah isi esei dan seterusnya menulis esei yang baik dan cemerlang. Bagi guru-guru, kajian ini akan menyuburkan budaya menyelidik, membuat rujukan, dan berbincang dengan rakan-rakan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah penulisan esei yang menepati ciri kohesi dan koheren. Kajian ini juga akan dikongsi bersama dengan guru-guru Bahasa Melayu yang lain khususnya di kolej ini dan secara amnya guru-guru dari kolej atau sekolah yang lain. Seterusnya, kajian tentang aspek lain dalam penulisan esei yang lebih berkesan perlu dijalankan selepas ini. Dicadangkan agar aspek kelemahan pelajar dalam penulisan esei seperti masalah kesilapan tatabahasa sebagai kajian seterusnya.


Bibliografi


Awang Sariyan. 1984. Teknik Mengarang Kertas Am dan Bahasa Melayu I,  Nurin  Enterprise, Kuala Lumpur. 

Awang Sariyan. 2006. Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Md. Sidin Ahmad Ishak, Mohd Saleeh Rahamad. 2005. Strategi Bahasa: Panduan Nahu dan Retorik Untuk Penulisan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mohd Khir Kassim dan Suhaimi Mohd Salleh. 2015. Bahasa Melayu STPM Penggal 1, SAP Publication Sdn. Bhd., Shah Alam.

Sulaiman Masri. 1988. Penulisan dalam bahasa Malaysia Baku, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.



Lampiran
Lampiran 1

Teknik Mengolah Esei dengan Menggunakan Formula
1. Perenggan Pendahuluan
    Teknik/Formula IKCHF (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Fokus) – Ayat Isu, Ayat Kesan/Kenapa, Ayat Contoh, Ayat Huraian contoh, Ayat Fokus)
Contoh olahan perenggan pendahuluan
Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan anggota masyarakat berasa bimbang akan keselamatan mereka semasa di jalan raya. (K) Sebagai contohnya, banyak kecederaan berlaku di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (C)  Jadi, perkara ini benar-benar memberikan kesan negatif kepada anggota masyarakat di negara kita. (H) Oleh hal yang demikian, terdapat banyak usaha yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita. (F)                                                                       (78 perkataan)

Contoh olahan perenggan pendahuluan
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak  disiapkan  oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal  ini  sudah  tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Sebagai contohnya, terdapat beberapa  kes  seperti  ini  yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti  yang  dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C) Perkara ini menambahkan beban bagi pembeli-pembeli rumah yang terpaksa menyewa rumah lain untuk dijadikan tempat tinggal. (H) Jadi, terdapat  langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah  yang  terpaksa ditanggung oleh pembeli rumah tersebut. (F)                                              (89 perkataan)

2. Perenggan Isi
   Teknik/Formula  Ini Kaedah Cemerlang Hendak Pandai (IKCHP – Ayat Isi, Ayat Kesan/Kenapa, Ayat Contoh, Ayat Huraian contoh, Ayat Penegasan)

Contoh olahan perenggan isi
Kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang cuai ketika memandu kenderaan. (Isi) Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (Kenapa) Mereka kebiasaannya akan menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan, memandu kereta dalam keadaan mengantuk, dan memandu kenderaan sambil berbual dengan penumpang di sebelah. (Contoh – Apa contoh perbuatannya) Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan sering terbabas hingga melanggar kenderaan lain. (Hurai – apa kesannya) Oleh itu, para pengguna jalan raya yang cuai semasa memandu kenderaan menjadi punca berlakunya kemalangan yang boleh meragut nyawa manusia yang tidak berdosa. (Penegasan)

                                                                                  

3. Perenggan Penutup/kesimpulan
    i. Kita Cuma Ada Harapan Hidup (KCAHH – Ayat Kesimpulan, Ayat Cadangan, Ayat Ancaman, Ayat Huraian, Ayat Harapan)


Contoh olahan perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (K) Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlu mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah melalui media-media massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. (C) Hal ini dikatakan demikian kerana masalah rasuah amat berbahaya dan boleh merosakkan jentera pentadbiran negara serta kita semua juga yang akan menerima padahnya.(A) Perkara ini tentunya akan merugikan semua pihak dan tidak menguntungkan sesiapa. (H) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat. (H)        
(89 perkataan)

Contoh olahan perenggan kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita. (K) Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk menangani masalah ini daripada manjadi lebih serius.(C) Sekiranya tindakan itu tidak dijalankan, tentunya masalah tersebut sukar untuk ditangani. (A)   Jadi, kita tidak mahu masalah tersebut terus meningkat kerana kita tidak mahu nyawa yang tidak berdosa akan melayang akibat kemalangan jalan raya. (H) Kita berharap agar bilangan kes kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan pengguna jalan raya dapat menggunakan jalan raya dengan selamat. (H)
(82 perkataan)