Assalamualaikum dan selamat sejahtera Tuan Yang Dipertua, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.
Tuan Yang Dipertua,
Bertemu sekali lagi dalam sesi penggulungan kali ini. Dalam sesi penggulungan ini saya akan membidas ketiga-tiga hujah pincang yang telah dikemukakan oleh barisan pembangkang sebentar tadi dan seterusnya saya akan merumuskan hujah-hujah kerajaan.
Saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh pihak pembangkang iaitu bangunan bersejarah itu memerlukan kos yang tinggi untuk mengekalkannya. Beliau mengatakan bahawa kerajaan terpaksa membelajakan wang yang banyak untuk memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah yang rata-ratanya sudah lama ditinggalkan oleh penjajah. Sebenarnya, kita perlu sedar bahawa kos yang dibelanjakan tersebut tidak sama dengan nilai sejarah yang terdapat pada bangunan tersebut yang tidak boleh dijual beli atau ditukar ganti. Jadi, bangunan tersebut sememangnya perlu dijaga dan dipulihara daripada musnah ataupun rosak, walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi. Kita tidak mahu bangunan yang tinggi nilai sejarahnya ini rosak atau musnah kerana bangunan tersebut tidak dapat digantikan dengan bangunan yang baharu kerana bangunan yang baharu itu tidak sama nilai sejarahnya dengan bangunan yang asal.
Hujah kedua pembangkang pula ialah saingan dengan bangunan baharu. Pembangkang mengatakan bahawa bangunan bersejarah tidak perlu dikekalkan sebagai warisan negara kerana adanya faktor saingan dengan bangunan baharu. Saya membidas hujah ini kerana kita sedia maklum bahawa bangunan baharu sememangnya lebih cantik, besar, unik dan canggih. Namun demikian, bangunan yang baharu dibina ini tidak mempunyai nilai sejarahnya seperti bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita. Kita memang boleh membina banyak bangunan baharu tetapi apakah unsur sejarah yang terdapat pada bangunan tersebut? Sudah tentu jawapannya, tiada unsur sejarah yang hendak ditonjolkan berbanding dengan bangunan-bangunan bersejarah tinggalan penjajah yang sarat dengan unsur sejarah yang tidak boleh ditukar ganti dengan bangunan baharu.
Tuan Yang Dipertua,
Beralih pula kepada hujah ketiga pembangkang, iaitu kesukaran untuk mengekalkan keaslian akibat dipulihara. Pembangkang mengatakan bahawa bangunan bersejarah tidak perlu dikekalkan sebagai warisan negara kerana memang sukar untuk mengekalkan keaslian bangunan tersebut akibat proses pemuliharaan yang dilakukan terhadap bangunan tersebut. Semasa proses memulihara bangunan bersejarah itu dijalankan, sudah tentu akan berlaku kerosakan pada bangunan tersebut. Hal ini demikian kerana, bangunan tersebut sudah lama dibina dan mungkin ada yang sudah tidak kukuh lagi. Saya membidas hujah pembangkang ini kerana semasa kerja-kerja pemuliharaan dijalankan, pihak kerajaan akan memastikan pekerja-pekerja yang menjalankan kerja-kerja pemuliharaan haruslah terdiri daripada pekerja-pekerja yang mahir dan berpengalaman dalam kerja-kerja pemuliharaan bangunan lama dan bersejarah. Jadi, pihak kerajaan akan memastikan bahawa langkah ini akan dijalankan semata-mata untuk mengekalkan keaslian bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.
Tuan Yang Dipertua,
Seterusnya saya akan merumuskan ketiga-tiga hujah kerajaan seperti yang telah dikemukakan dalam sesi pertama sebentar tadi. Hujah kerajaan yang pertama berdasarkan indikator mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi bukan sahaja kepada negara kita, malahan kepada dunia. Hal ini jelas terbukti dengan perisytiharan Tapak Warisan Dunia yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui UNESCO pada tahun lepas kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang. Badan dunia yang disegani ini sudah tentu memilih kedua-dua buah negeri tersebut kerana di Melaka dan Pulau Pinang memang banyak terdapat bangunan yang bersejarah dan nilai sejarahnya itu amat tinggi.
Hujah kerajaan yang kedua berpaksikan frasa, sebagai bahan kajian. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini menjadi tumpuan para pengkaji dalam pelbagai bidang. Banyak aspek yang boleh dikaji oleh para penyelidik bangunan lama yang memiliki unsur sejarah yang tinggi ini. Para pengkaji atau penyelidik akan melaporkan hasil kajian tersebut dalam bentuk penulisan atau dokumentari agar dapat dibaca, ditonton dan seterusnya difahami oleh masyarakat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa. Berdasarkan kajian itu juga, para pengkaji akan mendapat pengetahuan yang berguna tentang ilmu senibina yang telah digunakan oleh arkitek atau jurubina pada zaman dahulu.
Hujah kerajaan yang ketiga iaitu berpaksikan frasa, menarik pelancong. Bangunan-bangunan bersejarah itu berupaya untuk menjadi daya tarikan utama kepada pelancong dari dalam atau luar negara. Para pelancong yang datang ke negara kita pastinya hendak melihat kesan-kesan sejarah tinggalan penjajah zaman dahulu. Oleh itu, bangunan-bangunan tersebut merupakan sebahagian daripada kesan sejarah dan perlulah dikekalkan dan dipulihara daripada musnah. Jadi, bangunan-bangunan tersebut perlulah dipelihara dan dikekalkan keasliannya sampai bila-bila, seperti kata pepatah, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, dan boleh disaksikan oleh generasi yang akan datang.
Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tetap mempertahankan usul yang dibentangkan ini iaitu bangunan bersejarah perlu dikekalkan sebagai warisan negara. Jadi, berdasarkan rumusan hujah mantap yang saya nyatakan tadi, saya memohon usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan sebulat suara.
Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.
Sekian, terima kasih.
Dijemput pasukan bahas sekolah pihak Tuan/Puan untuk menyertai program Bengkel Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen pada hari Sabtu, 26 Januari 2013 bertempat di IPGKPI, Bangi.
ReplyDeleteSegala maklumat lanjut boleh didapati di http://belajardebat.blogspot.com
Terima kasih.
cikgu blh x tolong post kan tajuk gagasan 1 malaysia mampu memacu kecermelangan negara sbb selasa ny saye ade tournament mohon jasa baik cikgu
ReplyDeletepanjang nyer?4 minit cukup ke?
ReplyDeletebangga dengan keluarbiasaan cikgu.sy pelajar pra u..menyertai perbahsan 26/6 ini...bagaimana ingin membuat teks pergulungan yang bertajuk 'sistem peperiksaan wajar dimansuhkan'
ReplyDelete