Untuk pengetahuan semua, pada 4 Januari 2012 yang lalu, jemaah menteri dalam mesyuaratnya telah meluluskan Kurikulum Baharu Tingkatan 6 yang turut melibatkan perubahan Sistem Pentaksiran STPM. Perkara ini merupakan satu inovasi dalam kurikulum dan sistem pentaksiran STPM. Pelaksanaannya akan bermula pada penggal kedua nanti iaitu untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 Rendah sesi 2012. Kurikulum baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran ini merupakan antara transformasi pendidikan yang dilakukan oleh kerajaan. Hal ini bersesuaian dengan keperluan pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang lebih matang kerana mereka akan melangkahkan kaki ke universiti. Jadi, pedagogi, yang digunakan sebelum ini ditukar kepada andragogi yang lebih sesuai untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6.
Dengan terlaksananya kurikulum baharu ini, Kementerian Pelajaran akan dapat melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, berfikiran analitikal, inovatif, kreatif dalam mendepani cabaran dunia globalisasi. Selain itu, kurikulum baharu Tingkatan 6 ini akan berupaya untuk memberikan nafas baharu kepada pelajar dengan menyediakan satu suasana dan sistem pembelajaran yang lebih sesuai untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 atau Pra-U ini. Secara tidak langsung, perkara ini dirasakan dapat menarik perhatian pelajar-pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian mereka ke Tingkatan 6.
Kurikulum baharu ini sebenarnya tidak melibatkan perubahan sistem persekolahan yang diamalkan pada masa ini. Sistem baharu ini cuma melibatkan perubahan kurikulum dan sistem pentaksirannya sahaja tanpa mengubah sistem persekolahan yang sedia ada. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 akan mengikuti pengajian selama 3 penggal iaitu Penggal 1, 2, dan 3. Para pelajar pula akan menduduki peperiksaan berpusat bagi setiap penggal. Selain peperiksaan berpusat, pelajar-pelajar juga akan menghadapi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) pada penggal ke-2 dan ke-3. Keputusan peperiksaan bagi setiap penggal pula akan diumumkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia selepas penggal berakhir. Selepas penggal ke-3 berakhir, Gred Purata Keseluruhan akan dikeluarkan oleh MPM. Bagi pelajar-pelajar yang berhasrat untuk membaiki gred purata mata pelajaran masing-masing, mereka dibenarkan untuk berbuat demikian pada Penggal ke-2 atau ke-3. Pelajar-pelajar cuma dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM50.00 bagi setiap mata pelajaran untuk menduduki peperiksaan itu semula.
Berdasarkan kurikulum baharu Tingkatan 6 ini, para pelajar akan lebih berfokus dalam pengajian mereka. Isi kandungan pelajaran yang dipelajari dalam setiap penggal akan diuji dan dinilai dalam penggal itu sahaja. Perkara ini samalah seperti kurikulum yang diamalkan di kolej matrikulasi dan di universiti, cuma perbezaannya ialah mereka menggunakan sistem semester, tetapi Tingkatan 6 menggunakan sistem penggal. Bagi guru-guru Tingkatan 6 pula, mereka perlu memfokuskan pengajaran mereka dalam setiap penggal berdasarkan topik-topik yang telah ditetapkan oleh MPM dalam Sukatan Pelajaran yang terbaharu itu. Selain itu, guru-guru juga diberikan kuasa untuk membuat penilaian terhadap kerja kursus atau kertas penyelidikan pelajar dan markah tersebut akan dihantar melalui atas talian kepada MPM. Perkara ini dirasakan dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti guru dalam menjayakan transformasi sistem baharu Tingkatan 6 ini.
Di samping itu, guru-guru perlulah memberikan penekanan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang baharu iaitu berasaskan kuliah dan tutorial bagi menjadikan proses pembelajaran itu suatu pengalaman yang menarik dan berkesan di samping mampu melahirkan murid yang berfikiran kritis, analitis dan mempunyai minda teroka yang tinggi. Dengan kata lain, guru harus lebih proaktif dalam memainkan peranan dengan jayanya untuk mendukung kurikulum seperti yang diamanahkan oleh Kementerian Pelajaran ini. Untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pelajaran ini, guru-guru haruslah meningkatkan pengetahuan yang berkaitan dengan kaedah dalam menjalankan kajian, keupayaan melaporkan dapatan kajian dan yang paling utama adalah untuk menterjemahkan dapatan kajian tersebut kepada tindakan yang lebih bermakna dan berkesan. Oleh hal yang demikian, budaya menjalankan kajian, seperti Kajian Tindakan perlulah menjadi amalan guru-guru Tingatan 6.
Dengan terlaksananya transformasi kurikulum Tingkatan 6 ini, diharapkan sistem pendidikan di Malaysia akan berjaya mencapai hasrat untuk mencapai kecemerlangan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Keupayaan dan kepakaran guru dalam mengajarkan dan menyempurnakan sukatan pelajaran berdasarkan pelbagai kaedah yang dirancang atau yang diterima semasa berkursus, diharapkan dapat memberikan ilmu yang berguna kepada anak-anak didik dalam menghadapi peperiksaan dan mengaplikasikannya dalam kehidupan demi kemajuan dan pembangunan negara.

masalahnya cikgu khir KPM hanya menaikkan taraf Tingkatan 6 sahaja tetapi bagi guru yang mengajar masih ramai yang belum dilantik walaupun dah mengajar F6 lebih 7 tahun.
ReplyDelete