Pages

Wednesday, January 26, 2011

Sinopsis Buku Satu Novel Interlok

Keluarga Seman

1
Pada suatu petang ketika Seman membelah kayu, dia dan emaknya mendengar bunyi batuk ayahnya yang sakit itu. Seman pula berbual-bual dengan emaknya dan antara yang dibualkannya itu adalah tentang jodoh Seman. Bunyi batuk ayahnya itu semakin kuat dan Mak Limah memberikan ubat kepada Pak Musa. Batuk ayahnya semakin menjadi-jadi dan badannya juga semakin kurus. Sementara emaknya memasak nasi, Seman menjaga dan berbual-bual dengan ayahnya. Ayahnya mengingatkan Seman bahawa jika dia meninggal dunia nanti, Seman hendaklah membawa emaknya keluar dari rumah itu. Bapanya menerangkan bahawa tanah, binatang ternakan dan rumah yang duduki oleh mereka itu bukan miliknya tetapi milik orang lain. Bapanya bimbang tentang nasib mereka nanti yang mungkin tidak mempunyai rumah selepas kematiannya. Perkara yang diberitahu oleh bapanya itu menyebabkan Seman tertanya-tanya dalam hatinya tentang tuan punya harta yang dimiliki oleh ayahnya itu.

Oleh sebab batuk bapanya semakin menjadi-jadi, pada malam itu juga, ibunya menyuruh Seman pergi memanggil dukun untuk mengubati bapanya. Semasa bapanya sakit, Cina Panjang datang ke rumah mereka banyak kali dan Seman juga banyak kali pergi ke kedai Panjang untuk meminjam wang dan mengambil barang keperluan dapur. Pak Utih datang ke rumah Seman untuk mengubati ayahnya dengan menggunakan cara tradisional seperti air jampi, kemenyan, daun sireh , tangkal daripada tengkorak manusia dan sebagainya. Selepas makan malam, Seman mendapati batuk bapanya semakin teruk hingga mengeluarkan darah. Seterusnya, Seman dan emaknya memandikan ayahnya pada waktu tengah malam seperti yang dipesan oleh Pak Utih. Selepas itu, mereka berduapun tertidur kerana mengantuk. Apabila terjaga semula, Seman mendapati ayahnya sudah tidak bernyawa lagi dan Mak Limah menangis kerana terlalu sedih.

Mak Limah masih ingat akan Pak Musa yang menyembunyikan Seman di dalam kelambu ketika guru besar datang untuk mengajak Seman ke sekolah. Pak Musa tidak mahu Seman pergi ke sekolah tetapi dia bersetuju untuk membenarkan Seman belajar mengaji Quran dan agama dengan Lebai Seman. Ramailah orang kampung yang datang untuk menziarahi mayat ayah Seman. Seman pula disuruh oleh emaknya ke kedai Cina Panjang untuk mengambil barang-barang keperluan dapur dan satu bungkusan kertas kecil yang berisi wang kepadanya. Mayat Pak Musa diusung ke tanah perkuburan pada pukul satu tengah hari.

2
Setelah dua puluh tujuh hari bapanya meninggal dunia, Seman dipanggil oleh Cina Panjang. Cina Panjang mengatakan bahawa Pak Musa banyak berhutang kepadanya dan sudah menggadaikan semua tanah kepadanya. Cina Panjang menunjukkan surat-surat tanah itu kepada Seman tetapi Seman tidak tahu untuk membacanya kerana dia buta huruf. Oleh itu, Seman meminta kebenaran agar dia diberikan kebenaran untuk membawa surat-surat itu pulang ke rumahnya tetapi Cina Panjang. menolak permintaan itu. Seman seolah-olah tidak percaya bahawa bapanya berhutang hampir sepuluh ribu rnggit seperti yang didakwa oleh Cina Panjang.

Seman menyelongkar barang-barang di rumahnya untuk mencari wang yang dipercayainya telah disembunyikan oleh bapanya. Selepas itu, dia mencangkul tanah di bawah rumahnya pula. Perkara itu telah menyebabkan emaknya berasa hairan. Seman meneruskan usahanya lagi untuk mencari wang ayahnya itu di dalam reban ayam pula. Walau bagaimanapun, semua usahanya itu tidak mendatangkan hasil.

3
Mak Limah mengatakan bahawa semua tanah bapanya itu memang milik mereka tetapi sepanjang pengetahuannya, Pak Musa tidak meninggalkan wang. Akan tetapi, Seman mengatakan bahawa bapanya meninggalkan wang yang banyak Oleh sebab itu, dia bertindak demikian untuk mencari wang yang ditinggalkan oleh ayahnya. Mak Limah menasihati Seman agar merujuk perkara itu kepada Penghulu Talib dengan bantuan Lebai Man untuk mendapatkan kepastian. Pada pagi itu, Seman pergi ke rumah Lebai Man dan menceritakan masalahnya itu. Lebai Man terkejut kerana sepanjang pengetahuannya Pak Musa memang memiliki tanah itu dan dia tidak tahu pula Pak Musa sudah menggadaikan tanah-tanahnya itu.

Seman dan Lebai Man pergi ke rumah Penghulu Talib untuk mendapatkan pandangannya tentang masalah yang sedang dihadapinya itu. Penghulu Talib mengatakan bahawa dia memang pernah mendengar cerita yang sama sebelum itu, iaitu mengikut undang-undang kerajaan, tanah orang Melayu tidak boleh dijual kepada orang asing. Dia juga mengatakan bahawa memang Pak Musa membeli tanah itu tetapi tidak tahu sumber dia mendapat wang untuk membeli tanah tersebut. Mereka cuma mengetahui bahawa Pak Musa memang berhutang kepada Cina Panjang. Seterusnya, Penghulu Talib menerangkan bahawa sebenarnya Pak Musa membeli tanah dengan menggunakan wang yang diberikan oleh Cina Panjang kepadanya. Menurut Penghulu Talib, urusan jual beli tanah itu memang sah di sisi undang-undang tetapi selepas itu Cina Panjang akan membuat perjanjian lain dengan Pak Musa daripada menguasai tanah itu sebagai hak miliknya yang mutlak. Penghulu Talib berharap agar tidak ada orang lain yang mengikut jejak Pak Musa untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa eksploitasi Cina Panjang yang terlalu mementingkan dirinya.

4
Ketika Seman mengasah parang panjangnya di tepi telaga di depan rumahnya, Cina Panjang, Pak Cin, dan anaknya Kadir datang hendak berjumpa dengannya. Cina Panjang meminta Seman dan emaknya meninggalkan rumahnya itu kerana ada orang lain yang .hendak tinggal di situ. Walau bagaimanapun, dengan tegasnya Seman mengatakan bahawa mereka tidak mahu meninggalkan rumah itu. Cina Panjang pula mengatakan bahawa jika mereka tidak mahu keluar dari rumah itu, Seman perlu membayar sewanya. Seman masih berdegil dengan mengatakan bahawa dia tidak mahu membayar sewa yang diminta oleh Cina Panjang. Mak Limah pula mengajak Seman meninggalkan rumahnya itu tetapi Seman mengatakan bahawa mereka tiada tempat lain untuk dijadikan tempat berlindung.

Lazim dan Mamat Labu datang ke rumah Seman dan mereka terkejut apabila diberitahu bahawa mereka diusir dari rumahnya itu. Kemudian, Penghulu Talib datang bersama-sama dengan Cina Panjang, Pak Cin, dan anaknya Kadir sambil bertanya tentang peristwa yang baru berlaku tadi. Seman memberitahu Penghulu Talib bahawa dia sedang mengasah parang panjangnya untuk memotong daun mengkuang ketika Cina Panjang dan Pak Cin tiba. Cina Panjang pula mengatakan bahawa daun mengkuang itupun tidak boleh dipotong oleh Seman lagi kerana sudah dijualnya kepada orang lain. Penghulu Talib menasihati Seman agar keluar dari rumahnya itu dengan cara baik tetapi meminta Cina Panjang memberikan tempoh selama seminggu sebelum mereka keluar dari situ. Penghulu Talib juga mengingatkan mereka agar tidak mengganggu Seman selama tempoh tersebut. Cina Panjang pula mengingatkan Seman supaya jangan merosakkan rumahnya itu. Lebai Man memujuk Seman dan Mak Limah supaya bersabar dan mengajak mereka berdua tinggal di rumahnya sahaja.

5
Masalah yang dihadapi oleh Seman dan ibunya itu menyebabkan Lazim sukar untuk melelapkan mata kerana fikirannya terganggu. Sejak menjadi guru, dia dapat melihat bangsanya terus miskin dan bodoh kalau tidak mahu berubah sikap. Dia juga miskin tetapi sejak menjadi guru, orang kampung menghormati keluarganya, buktinya panggilan terhadap ayahnya sudah berubah iaitu bapa Cikgu Lazim. Dia memikirkan cara untuk menolong orang-orang kampungnya dengan menubuhkan perkumpulan dan mengajak Seman menyertainya. Seman mengatakan bahawa dia tidak memahami siasah yang diperjuangkan oleh Lazim, tambahan pula dia tidak tahu membaca dan menulis. Walau bagaimanapun, Seman memberikan sokongan moral kepada Lazim. Lazim berasa memang susah untuk menyatupadukan pemuda-pemuda di kampungnya kerana mereka tidak memahami siasah yang diperjuangkannya itu. Lazim memikirkan cara untuk membantu Seman iaitu dengan menawarkan tanah bapanya untuk dijadikan tapak rumah. Akan tetapi, Seman menolaknya walaupun Lazim dan rakan-rakannya sanggup mendermakan wang untuk membina rumah baharu Seman.


3 comments: