Pages

Monday, June 2, 2008

Teknik Mengolah Esei STPM - Guna Formula 2K

Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi Esei dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi & Koheren)
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim
Guru Cemerlang Bahasa Melayu

Pendahuluan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar pelajar menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya pelajar menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.

Pelajar juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, pelajar menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana pelajar tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.

Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa. Pelajar dikehendaki menulis sebuah esei yang panjangnya hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4 soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah pelajar menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah esei pelajar akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.

Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula 2K
1. Pendahuluan
i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan/Kenapa, Contoh, Huraian, Fokus soalan)

Contoh perenggan pendahuluan 1
Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Sebagai contoh, bilangan kes kemalangan jalan raya biasanya meningkat pada setiap kali musim perayaan utama hampir tiba. (C) Jumlah kes kemalangan jalan raya tersebut tentunya membimbangkan semua pihak. (H) Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha perlu ditingkatkan bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga pada hari-hari biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita. (F)

Contoh perenggan pendahuluan 2 
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C)  Perkara ini tentunya meresahkan bakal pembeli rumah yang sedang berkira-kira untuk membeli rumah sendiri. (H) Oleh itu, terdapat beberapa kesan yang timbul daripada masalah tersebut dan langkah-langkah perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah itu. (F)

2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)

Contoh perenggan isi
Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. (Ba) Oleh hal yang demikian, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)

ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan Antarabangsa. ((InkeManeTekA)

Contoh perenggan isi 
Salah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan) Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Selain itu, mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini biasanya akan menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah.

iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan/Kenapa, Huraian, Contoh)

Contoh perenggan isi
Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini dikatakan demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. (K) Seterusnya perkara ini berlaku disebabkan oleh jantung kita bekerja kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. (H) Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak, badminton, hoki, dan berjoging. (C)

3. Penutup/kesimpulan
i. KCAHH – Kesimpulan, Cadangan, Argumen, Huraian, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (K) Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah menjalankan langkah-langkah yang berkesan dengan kerjasama anggota masyarakat untuk membanterasnya. (C) Jika langkah terebut tidak diambil pastinya masalah rasuah akan menjadi semakin parah. (A) Jadi, kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana kesannya amat buruk kepada masyarakat dan negara. (H) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan demi kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat negara kita. (H)

ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah diharapkan dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya, hal ini membolehkan masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram, dan harmoni. (H)

Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid untuk menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu, murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik, dan sebagainya. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.

24 comments:

  1. Cikgu !!!!, hahaha....

    Apa yang cikgu nyatakan dalam blog, pernah dikatakan oleh cikgu kepada kami di kelas.

    Tetapi apa yang saya sedar semalam islah masalah saya bukan untuk mengembangkan isi untuk suatu perenggan. Masalah saya adalah lebih kepada mengidentitifikasi isi..Di mana ada kalanya saya menggunakan isi di bahagian huraian and mengambil huraian sebagai isi untuk ayat pertama.

    contohnya saya menggunakan :-

    peningkatan taraf hidup masyarakat di negara ini ,khususnya mereka yang menetap di kawasan bandar sekaligus telah menyumbang kepada kepesatan di jalan raya .

    -saya boleh terus mengembang isi tersebut mungkin sehingga ayat ke empat?

    tetapi selepas disemak , saya ditegur oleh kakak saya semalam yang isi ayat pertama sepatutnya adalah "pertumbuhan ekonomi yang pesat" (supaya jumlah ayat dalam isi saya adalah lebih seimbang dan huraian yang sama tidak akan diulangi)
    bukan " peningkatan taraf hidup masyarakat"


    Sekiranya di ujian STPM sebenar akankah mereka potong markah saya dengan banyak?

    -Angeline-

    ReplyDelete
  2. oh and cikgu !,kalau boleh masukkan lah satu chatterbox ... ini website-nya...

    http://www.shoutmix.com/main/ (tujuannya supaya orang yang datang lawat blog ini boleh meninggalkan sepatah dua kata... hahahah)...

    It's free anyway !..unless chatterbox premium dipilih, mereka akan caj cikgu menggunakan master card ..

    -Angeline-

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum...
    cikgu,nadia ni...

    btl apa yg ckg ktakan...
    sy dpt ilmu br...
    dpt formula br...
    hrp2,sy dpt aplikasikannya dlm skrip pidato nanti....
    terima ksh...

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum...
    cikgu,nadia ni...

    btl apa yg ckg ktakan...
    sy dpt ilmu br...
    dpt formula br...
    hrp2,sy dpt aplikasikannya dlm skrip pidato nanti....
    terima ksh...

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum...

    Saya mohon keizinan untuk menyalin teknik mengolah karangan yang terdapat di blog cikgu.

    Saya disarankan oleh guru b.m saya untuk melawat blog cikgu kerana saya difahamkan cikgu mempunyai teknik mengolah karangan STPM yang baik.

    Saya akhiri dengan ucapan terima kasih kpd Cikgu Mohd Khir Kassim kerana menyediakan bahan rujukan "Teknik Mengolah Karangan STPM Guna Formula".

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum saya nak mintak izin copy cikgu punya tips ni berguna sangat terima kasih banyak banyak mintak halal ye cikgu semoga cikgu sentiasa dirahmati ILAHI kerana sanggup berkongsi ilmu

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum...
    Izinkan saya menyalin ilmu yang berguna ini, terima kasih.

    ReplyDelete
  8. Hari ni karangan Bm..doakan ak supaya jawab dngan tenang..

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  10. assalamualaikum cikgu
    saya copy maklumat ni ye.
    terima kasih berguna sangat ilmu ni.

    ReplyDelete
  11. Terima kasih ckgu 👍
    Dan izinkan sy copy teknik ni ya

    ReplyDelete
  12. Cikgu izinkan saya copy teknik ni utk rujukan.

    ReplyDelete
  13. Izinkan sy copy n share. Terima kasih

    ReplyDelete
  14. izinkan sya cpy ye..sngt mmbntu dn mudh utk difahmi..trima ksih

    ReplyDelete
  15. Terima kasih cikgu .Izinkan saya untuk copy ini utk memantapkan lagi pengolahan esei saya .Semoga cikgu diberkati dan dikurnikan kesihatan yang baik berkongsi ilmu ini .Aamiin terima kasih cikgu .

    ReplyDelete
  16. Assalamualaikum cikgu,izinkan sy copy n share.Terima kasih..

    ReplyDelete
  17. Izin kan saya berkongsi ilmu ini kepada rakan -rakan saya ye cikgu

    ReplyDelete
  18. Asalamualaikum cg. Izinkan sy copy maklumat berguna nie ye cg.

    ReplyDelete
  19. Assalamualaikum cikgu, izinkan saya guna maklumat ini ya. Terima kasih ☺️

    ReplyDelete
  20. Assalamualaikum.....maaf ya....saya selalu ikut cara guru beritahu tetapi bila cuba sendiri selalu fail

    ReplyDelete
  21. Assalamualaikum cikgu.izinkan sy gunakan maklumat ini.. terima kasih.. semoga beroleh keberkatanNya.

    ReplyDelete
  22. Teknik ini sangat berguna thank you cikgu

    ReplyDelete
  23. terima kasih sngt cg

    ReplyDelete