Pages

Saturday, May 24, 2008

Teknik Mengolah Karangan STPM

Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi KaranganOleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim
Guru Cemerlang Bahasa Melayu

Pendahuluan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.

Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.

Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan yang berfokuskan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada soalan karangan berformat. Murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4 soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i.   Membaca semua soalan
ii.  Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.

Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula

1. Pendahuluan

i. IKCHF- Isi, Kesan, Contoh, Huraian, Fokus soalan)

Contoh perenggan pendahuluanStatistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Sebagai contohnya, kemalangan jalan raya banyak melibatkan penunggang motosikal dan kereta. (C) Hal ini tentunya membimbangkan pelbagai pihak di negara kita. (H) Oleh hal yang demikian, usaha-usaha  perlu diambil oleh pelbagai pihak bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga pada hari-hari biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita . (F) 

Contoh perenggan pendahuluan 2
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C) Oleh itu, masalah ini amat merunsingkan pelbagai pihak terutamanya pembeli rumah. (H) Jadi terdapat kesan-kesan yang timbul dan pelbagai usaha perlu diambil untuk menangani masalah tersebut. (F)

2. Isi Karanganmi. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)

Contoh perenggan isiKemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. (Ba) Oleh yang demikian, pengguna jalan raya perlulah berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)

ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan Antarabangsa. ((InkeManeTekA)

Contoh perenggan isiSalah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan) Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Selain itu mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini seterusnya akan menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah dan sukar untuk meninggalkannya.

iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan, Huraian, Contoh)

Contoh perenggan isiAktiviti sukan yang kita lakukan setiap hari sebenarnya boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh yang mengandungi bahan yang tidak diperlukan oleh badan. (K) Perkara ini disebabkan oleh jantung kita akan bekerja dengan kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. Seterusnya perjalanan darah di dalam salur darah kita akan menjadi lancar dan dapat mengelakkan salur darah kita daripada menjadi sempit atau tersumbat (H) Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak, badminton, hoki, dan berjoging. (C)

3. Penutup/kesimpulan
i. KCAHH – Kesimpulan, Cadangan, Ancaman, Huraian, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (K) Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan rasuah. Kempen tersebut bolehlah dijalankan di media-media massa arus perdana dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah. (C) Hal ini dikatakan demikian kerana masalah rasuah tentunya akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jika jentera pentadbiran negara kita rosak sudah pasti kita semua yang akan menerima padahnya.(A) Perkara ini bertepatan dengan ungkapan, lebih baik mencegah daripada mengubati sesuatu penyakit. (H) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum berleluasa atau menjadi lebih serius. (H)


ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di negara kita ini daripada menjadi lebih serius. (K) Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. Dengan perkataan lain anggota masyarakat turut memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada pihak polis dalam memberikan maklumat tentang sebarang kegiatan jenayah. (H) Dengan cara itu masalah jenayah ini diharapkan dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berlaku di negara kita. Seterusnya hal ini membolehkan masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram dan harmoni.(H)

Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid dalam menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik dan sebagainya. Selain itu murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula baru ini.

Teknik P&P Komsas PMR dan SPM

Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Komponen Sastera PMR dan SPM
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim

Pengajaran dan pembelajaran komponen sastera (komsas) selalunya tidak menyeronokkan dan biasanya membosankan murid. Mengapakah keadaan ini berlaku? Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran komponen sastera. Satu daripada alasannya ialah guru tidak mendapat pendedahan tentang teknik pengajaran dan pembelajaran komsas. Selain itu guru tidak berminat dengan sastera dan tidak memiliki kemahiran tentang sastera. Guru juga tidak berkeupayaan untuk menunjukkan contoh kepada murid tentang cara-cara karya sastera itu dipersembahkan. Bagi murid pula, mereka selalunya kurang berminat dengan komsas kerana teknik penyampaian guru itu sendiri yang membosankan. Guru tidak menggunakan bahan bantu belajar untuk menarik minat murid dan guru biasanya mengggunakan teknik yang konvensional dan tidak berpusatkan murid. Oleh yang demikian guru-guru haruslah menukar teknik pengajaran dan pembelajaran komsas yang kurang menarik yang diamalkan sebelum ini. Teknik yang dicadangkan ini juga berpusatkan murid dan menggalakkan mereka menggunakan bakat, kreativiti dan pengetahuan sedia ada murid dalam menjalankan aktiviti di dalam kelas.

Teknik pengajaran dan pembelajaran komsas yang dimaksudkan adalah seperti yang berikut:

(a) Teater Pembaca
(b) Teater Bercerita
(c) Persidangan Meja Bulat
(d) Monodrama
(e) Balang Kaca
(f) Stesen
(g) Kerusi Panas
(h) Peta Minda
(i) Improvisasi
(j) Mestamu
(k) Dekon
(l) Adaptasi

(a) Teater Pembaca

• Melibatkan beberapa orang murid yang membaca skrip sesebuah cerita di hadapan kelas.
• Mengutamakan penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan mimik muka sahaja.
• Membantu penonton (murid) memahami, menghayati dan merasakan cerita itu seolah-olah sedang berlaku di hadapan mereka.
• Pelajar lain boleh mencatat maklumat penting berdasarkan aktiviti yang dijalankan.
• Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, dan prosa klasik.

(b) Teater Bercerita

• Melibatkan seorang pencerita dan digabungkan dengan beberapa orang pelakon.
• Pencerita akan menyampaikan cerita, dan pelakon beraksi mengikut watak dalam cerita tersebut.
• Guru atau murid boleh menyediakan skrip terlebih dahulu.
• Murid lain boleh mencatat maklumat berdasarkan arahan guru.
• Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.

(c) Persidangan Meja Bulat
• Perbincangan dilakukan secara berkumpulan.
• Seorang murid menjadi ketua untuk mempengerusikan perbincangan dan seorang pencatat.
• Perbincangan berfokus pada isu yang ditetapkan oleh guru.
• Semua anggota kumpulan mesti memberi pendapat semasa perbincangan dijalankan.
• Wakil kumpulan akan membentang dapatan atau hasil perbincangan.
• Masa perbincangan 15 – 20 minit.
• Guru memantau dan membimbing kumpulan semasa perbincangan dijalankan.
• Teknik ini sesuai untuk semua genre sastera.

(d) Monodrama
• Satu teknik lakonan yang dilakonkan oleh seorang pelakon (murid)
• Pelakon mesti menghayati watak yang dipilih.
• Pelakon berusaha untuk meluahkan rasa hati supaya dapat menjelaskan peranan dan tindakan watak dalam sesuatu karya.
• Berdasarkan lakonan itu, murid lain dapat menilai perwatakannya dan perwatakan individu lain.
• Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.

(e) Balang Kaca
• Seorang murid berlakon sebagai watak utama.
• Murid-murid lain berlakon sebagai watak-watak lain dan mengelilingi watak utama.
• Watak-watak lain memberi pandangan terhadap watak utama.
• Watak utama tidak bercakap tetapi boleh memberi respons melalui mimik muka, gerak tubuh dan sebagainya.
• Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.

(f) Kerusi Panas
• Seorang murid dikehendaki memainkan peranan sebagai satu-satu watak.
• Murid berkenaan duduk di kerusi di hadapan kelas.
• Murid-murid lain mengajukan pertanyaan berkaitan perwatakan watak berkenaan.
• Murid yang duduk di kerusi mesti menjawab soalan sebagai watak yang sedang dilakonkannya.
• Pelajar lain mencatat perwatakan watak-watak dalam Lembaran Pengurusan Grafik (LPG) yang disediakan.
• Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.

(g) Improvisasi
• Aktiviti lakonan secara spontan yang mengisahkan kejadian, peristiwa atau situasi sebenar.
• Dijalankan dalam kumpulan antara 2 – 5 orang murid.
• Mereka diberi masa 10 – 15 minit untuk berfikir dan menyusun dialog.
• Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.

(h) Stesen
• Murid mencari maklumat secara berkumpulan dari satu stesen ke satu stesen.
• Maklumat di setiap stesen berbeza-beza berdasarkan arahan guru.
• Murid perlu pergi ke semua stesen untuk melengkapkan maklumat.
• Teknik ini sesuai untuk semua genre sastera.

(i) Peta Minda
• Murid mencatatkan maklumat tentang sesuatu aspek dalam bentuk peta minda.
• Peta minda boleh disediakan oleh guru lebih awal, atau pelajar sendiri membina peta minda itu.
• Teknik ini sesuai untuk semua genre sastera.

(j) Mestamu
• Murid melagukan sajak atau puisi tanpa muzik.
• Gunakan melodi lagu yang diminati/popular dan gantikan seni kata/lirik lagu itu dengan sajak atau puisi yang dipelajari.
• Murid lebih mudah mengingati sajak/puisi.
• Teknik ini sesuai untuk puisi seperti sajak, pantun, syair, gurindam, dan seloka.

(k) Dekon
• Seorang murid mendeklamasikan sajak atau puisi.
• Seorang atau beberapa orang murid melakonkan aksi yang sesuai dengan maksud sajak/puisi
• Murid lebih mudah mengingati sajak/puisi.
• Teknik ini sesuai untuk sajak.

(l) Adaptasi
• Murid mencipta karya dalam bentuk genre lain berdasarkan sesuatu genre. Misalnya, menulis pantun atau syair berdasarkan cerpen; menulis skrip drama berdasarkan sajak atau menulis sajak berdasarkan novel.
• Dapat mempelbagaikan kemahiran dan meningkatkan kreativiti murid.
• Teknik ini sesuai untuk semua genre sastera.

Guru-guru bolehlah mencuba teknik-teknik yang telah dikemukakan tadi semasa mengajarkan komsas di dalam kelas. Semoga teknik tersebut tidak membosankan murid malahan boleh menarik minat dan perhatian mereka untuk mempelajari komsas dan sastera secara amnya. Di samping itu, pakar-pakar kemahiran belajar mengatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ialah pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Pembelajaran yang menarik pula sudah tentu akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pengetahuan murid. Diharapkan juga agar minat murid-murid tersebut disuburkan oleh guru yang mengajarkan komsas dengan memberikan bimbingan bukan sahaja untuk mengkaji aspek sastera malahan berupaya untuk menghasilkan karya sastera seperti sajak, pantun, gurindam, cerpen dan novel.

Biodata

Cikgu MOHD KHIR B. KASSIM (G.C. Bahasa Melayu), dilahirkan pada 14 Ogos 1964 di Kampung Sungai Che’ Maja, Rungkup, Bagan Datoh, Perak. Mendapat pendidikan di SK. Sungai Tiang Baroh, Rungkup; SMK. Tun Abdul Razak Selekoh; SMK. Seri Perak, Teluk Intan, Perak; dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan daripada USM (1988); Diploma Pendidikan daripada Institut Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1990); dan Ijazah Sarjana Pendidikan (Sosiologi Pendidikan) daripada UM (1999). Pernah bertugas di SMK. Tanjong Sepat, Kuala Langat sebagai guru Bahasa Melayu dan sekarang bertugas di SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Antara jawatan yang pernah disandang; Ketua Panitia Bahasa Melayu (1992-1995), Penolong Kanan Kokurikulum (1995-1998), Ketua Bidang Bahasa (1998-2003), Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu negeri Selangor, seterusnya dilantik sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu Gred DG48 sejak 1 Oktober 2003. Mulai 1 Januari 2008 pula telah dilantik sebagai Guru Akademik Tingkatan 6 Gred DG52 dan mulai 1 Januari 2012, Gred DG54. Pernah bertugas sebagai hakim pertandingan Bahasa Ala Parlimen Guru-Guru Kementerian Pelajaran Malaysia peringkat zon dan kebangsaan, Bahas Ala Parlimen Sekolah Menengah peringkat daerah, negeri, zon dan kebangsaan serta Forum Remaja peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Membantu Jabatan Pelajaran Selangor dan Pejabat Pelajaran Daerah Sepang dalam kurikulum Bahasa Melayu iaitu sebagai Guru Sumber Bahasa Melayu dan dilantik sebagai Jawatankuasa Teknikal Pertandingan Koakademik negeri dan daerah. Pernah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku rujukan dan ulang kaji yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu dengan Syarikat Penerbitan Sasbadi Sdn. Bhd. dan Syarikat Cerdik Publication Sdn. Bhd. Mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1996 dan Anugerah Guru Dedikasi peringkat Daerah Sepang pada tahun 2009. Menyumbangkan khidmat profesional kepada Bahagian Pembinaan dan Pembangunan Kompetensi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia. Pernah mengikuti beberapa seminar tentang bahasa, pendidikan, budaya, dan sastera di peringkat kebangsaan dan yang terkini menyertai International Convention on Eduational Innovation anjuran Universiti Malaya pada Mei 2008.

Sunday, May 18, 2008

Latihan Rumusan 1 SPM

Latihan Rumusan 1 SPM
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah cakera padat cetak rompak dan kesan buruk masalah ini. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sekali lagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengadakan operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan cetak rompak cakera optik hingga ke akar umbi. Namun, ternyata tindakan terhadap peniaga kecil-kecilan yang beroperasi di pasar malam, kaki lima kedai dan pasar raya mini sebelum ini kurang berkesan dalam menghapuskan lanun cetak rompak. Oleh itu kita tidak boleh lagi bertolak ansur bukan sahaja bagi menjaga kepentingan artis, industri hiburan dan pengusaha yang sah, malah memastikan kita tidak dicap sebagai pusat pengeluaran dan pengedaran cakera padat cetak rompak. Hal ini demikian kerana, jika masalah ini dibiarkan berterusan sudah tentu akan menimbulkan banyak masalah dan menjejaskan imej negara kita sendiri. Seterusnya perkara ini akan merugikan banyak pihak yang berkaitan dengan industri cakera optik di negara ini.

Sehubungan dengan itu langkah kementerian yang memberikan tumpuan penguatkuasaan terhadap kilang cakera optik ini sememangnya wajar. Kita yakin masalah ini akan dapat diatasi jika pengeluarannya dapat dihentikan. Namun, yang lebih penting lagi adalah tiadanya campur tangan asing dalam tindakan terhadap pengusaha kilang berkenaan. Memang selama ini banyak kilang diserbu dan tuan punyanya ditahan, tetapi kes itu senyap begitu saja selepas campur tangan orang yang berpengaruh atau pihak atasan yang mungkin sudah terhutang budi dengan pengeluar cakera padat cetak rompak terbabit. Namur, walau berapa besar sekalipun operasi dijalankan, jika mereka yang terbabit berjaya melepaskan diri, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan. Oleh yang demikian para pegawai penguatkuasa perlulah lebih tegas dalam menjalankan tugas yang mencabar ini.

Selain itu, tindakan yang kita harapkan ialah langkah penguatkuasaan ini sepatutnya disertai dengan hukuman yang lebih tegas terhadap mereka yang didapati bersalah menjalankan kegiatan haram itu. Jika sekadar menyita peralatan, merampas barangan cetak rompak, denda dan kompaun yang mampu dibayar, jelaslah masih jauh daripada mencukupi kerana tindakan yang diambil ini tidak tegas dan tidak menakutkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Kita berharap agar cadangan untuk meminda undang-undang bagi memasukkan hukuman penjara dapat disegerakan, begitu juga dengan cadangan penubuhan Mahkamah Harta Intelek yang dikatakan akan menjadi realiti pada tahun ini menjadi kenyataan. Pengguna juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah cakera padat cetak rompak ini. Pengguna hendaklah memboikot atau tidak membeli cakera padat cetak rompak yang dijual di kaki lima atau di pasar malam. Mereka seharusnya membeli cakera padat yang asli dan terdapat cap kementerian yang berkenaan. Semoga dengan adanya langkah-langkah tersebut diharapkan agar masalah cetak rompak akan dapat ditangani dengan lebih berkesan pada masa akan datang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Rencana Pengarang
Penguatkuasaan Tanpa Hukuman Tegas Tidak Bermakna,
Berita Harian, 4 Februari 2006)

Kesalahan Tatabahasa

Kesalahan Tatabahasa
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim

1. Kesalahan Ejaan

displin
malaysia
kemudahan awan
walaubagaimanapun
berkhawin
pokok diterbang
naskah

2. Kesalahan Imbuhan

mengalakkan
perwatakkan
berakibat
pemandu diingati
menggunakkan
perlantikan
pembalakkan

3. Kesalahan pemilihan perkataan

memandu dengan cepat
hendak tengok kawan
saya ada ingat
pada pendapatan saya

4. Kesalahan Tatabahasa yang Lain

Oleh kerana itu
Sehubungan itu
Justeru itu
Selain daripada itu
Ia dibuat daripada kayu
Ini kerana
Petikan membincangkan tentang
Di masa lalu

Glosari KOMSAS

GLOSARI KOMPONEN SASTERA MELAYU
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim

adegan – bahagian kecil dalam sesuatu babak drama.

aksi – gerak laku atau tindakan watak.

aliterasi – pengulangan bunyi huruf konsonan yang sama dalam satu baris.

anafora – pengulangan sesuatu kata atau frasa pada awal baris yang biasanya secara berturutan agar memperoleh kesan tertentu.

antologi – kumpulan karya sejenis atau pelbagai jenis yang dihasilkan oleh seseorang pengarang atau lebih.

asonansi – pengulangan bunyi huruf vokal, iaitu a, e, i, o, u yang sama dalam satu baris.

babak – bahagian utama dalam satu drama atau lakonan yang terdiri daripada adegan.

bahasa istana – bahasa diraja yang digunakan ketika berkomunikasi dengan kerabat diraja.

bahasa kiasan – penggunaan kiasan atau perbandingan untuk menimbulkan kesan.

bait – bahagian dalam sajak, rangkap

balada – puisi naratif yang romantis

cerita asal usul – cerita yang menerangkan asal usul atau perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia

cerita penglipur lara – suatu bentuk cerita rakyat yang asalnya disampaikan oleh tukang cerita
secara lisan

cerita rakyat – cerita yang dituturkan secara lisan dan terkenal dalam masyarakat
Melayu tradisional

dialek – loghat atau pelat daerah

diksi – pemilihan dan penggunaan kata-kata dalam penulisan

drama – karya yang dipersembahkan oleh pelakon di pentas, radio, televisyen, atau sandiwara

epifora – pengulangan kata-kata pada akhir baris puisi untuk penegasan

epik – prosa atau puisi panjang yang mengisahkan kepahlawanan tokoh penting yang menjadi legenda sesuatu bangsa atau negara

episod – sebahagian cerita daripada cerita yang lebih besar dalam karya sastera atau drama

gaya bahasa – susunan kata yang digunakan oleh pengarang dalam usaha mengungkapkan tema dan persoalan dalam karya

genre – jenis, bidang, atau cabang sastera atau seni

gurindam - puisi Melayu lama yang setiap rangkapnya terbina daripada dua baris maksud dan mempunyai rima akhir aa

hiperbola – gaya perbandingan yang menyatakan sesuatu secara melampau atau berlebih-lebihan

imbas kembali – teknik plot atau cerita yang memperlihatkan peristiwa-peristiwa yang terdahulu dan dikenang atau diingat semula

imbas muka – teknik plot atau cerita yang memungkinkan pembaca meramalkan atau menjangkakan sesuatu yang akan berlaku

imej – gambaran yang timbul kesan daripada penggunaan kata-ungkapan, dan ayat dalam puisi

imejan – bayangan tentang sesuatu yang dapat dikesan melalui pancaindera

inversi – keterbalikan kata-kata yang berbeza daripada susunannya yang lazim

klimaks/kemuncak – bahagian dalam cerita yang paling menarik atau penting daripada
bahagian-bahagian lain

konflik – ketegangan atau pertentangan antara dua watak

kronologi – susunan atau urutan peristiwa mengikut masa

latar – keterangan mengenai waktu, ruang, atau masyarakat yang terjadinya sesuatu peristiwa itu berlaku

latar masa – gambaran tentang zaman, era, sejarah atau musim sesuatu peristiwa itu berlaku

latar tempat – gambaran tentang tempat sesuatu kejadian atau peristiwa itu berlaku

latar masyarakat – gambaran tentang kehidupan atau budaya hidup masyarakat dalam sesuatu cerita seperti pekerjaan, agama, amalan, sikap, dan sebagainya

mesej – segala yang berupa gagasan, pengajaran, amanat, atau teladan yang hendak disampaikan

metafora – sejenis bahasa perbandingan yang membandingkan sesuatu dengan menggunakan kata konkrit dengan kata abstrak atau perbandingan langsung yang tidak menggunakan kata seperti, bak, bagai, umpama, persis, laksana dan macam

monolog dalaman – rakaman pengalaman atau emosi watak yang berlaku hanya dalam fikiran atau dalam hati watak serta tidak disuarakan

monolog – pembicaraan yang dilakukan dengan diri sendiri, cetusan rasa atau suara hati yang terluah tanpa disedari

nada – perasaan atau emosi penyair atau penyajak yang mempengaruhi bunyi dari segi tinggi rendahnya tekanan suara

paradoks – pernyataan yang kelihatan bertentangan tetapi kenyataannya mengandung kebenaran dengan pendapat umum yang realiti

peleraian – peringkat akhir dalam binaan plot dalam sesuatu cerita; penyelesaian suatu cerita dalam karya

pengajaran – suatu perkara yang berkaitan dengan nilai murni yang dapat mengajar manusia supaya berbuat baik dan meninggalkan yang jahat

pengulangan – hal berulang-ulangnya kata, ungkapan, baris, atau rangkap

persoalan – perkara-perkara utama yang ingin disampaikan oleh pengarang bagi memantapkan tema

personifikasi – pemberian sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang,
tumbuh-tumbuhan, keadaan atau peristiwa.

perwatakan – gambaran sifat-sifat luaran dan dalam sesuatu watak

plot – rentetan atau urutan peristiwa yang berdasarkan sebab dan akibat

prosa – sebarang bentuk tulisan atau karangan yang mempunyai corak atau gambaran yang tertentu

puisi – suatu bentuk tulisan yang berirama dan dilahirkan melalui tanggapan yang penuh imaginatif daripada penyair atau penyajak

rangkap – beberapa baris yang merupakan satu kesatuan dalam puisi

repitasi – pengulangan bahagian ayat yang dianggap penting bagi menunjukkan penegasan yang dikehendaki

responsi – pengulangan kata di tengah baris pantun atau sajak

rima – keselarasan bunyi pada suku kata terakhir dalam sesuatu baris puisi atau rangkap

romantis – nada yang perlahan dan penuh dengan kelembutan dan kasih saying

sampiran – pembayang maksud bagi pantun

saspens – unsure ketegangan yang berlaku hasil daripada konflik-konflik yang ditimbulkan oleh watak dalam cerita yang menyebabkan pembaca tertanya-tanya

seloka – puisi Melayu lama yang setiap rangkapnya mempunyai bilangan baris maksud yang bebas dan rima akhirnya juga tidak terikat.

simbol – lambang-lambang tertentu yang digunakan untuk menggambarkan sesuatu maksud

simile – perumpamaan yang secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan kata seperti, bak, bagai, umpama, macam dan persis

sinkof – penyingkatan kata

sinopsis – ringkasan cerita atau sesuatu perkara penting dalam sesebuah cerita

subplot – plot sampingan kepada plot utama

sudut pandangan – cara pengarang meletakkan kedudukan dirinya ketika mengembangkan sesuatu plot

syair - puisi Melayu lama yang setiap rangkapnya terbina daripada empat baris maksud dan mempunyai rima akhir aaaa.

tema – gagasan, fikiran, atau persoalan utama yang ingin disampaikan oleh pengarang

watak – pelaku yang menggerakkan atau menghidupkan cerita dalam karya

watak antagonis- watak dalam karya yang merupakan penentang watak utama

watak bulat/bundar – watak yang aktif ,iaitu ada perubahan pada fikiran ,aksi ,atau
perwatakannya dari semasa ke semasa

watak dinamik – watak yang bergerak bukan saja dari segi fizikal tetapi juga dari segi
pemikirannya

watak kodi – watak yang selalu terdapat dalam cerita rakyat

watak pipih/statik – watak yang tidak menampakkan sebarang perubahan dari mula hingga akhir cerita

watak protagonis –watak utama ,iaitu watak dasar atau watak pusat yang berperanan penting dalam cerita

watak putih – watak yang senantiasa melakukan tindakan yang positif dan baik

watak sampingan – watak pembantu yang membantu watak utama dalam suatu cerita

watak utama – watak yang berperanan paling penting dalam cerita dan menggerakkan
keseluruhan cerita

Peribahasa SPM

Peribahasa dalam Soalan Bahasa Melayu SPM
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim

Mulai tahun 2004, soalan Bahasa Melayu Kertas 2 SPM turut meliputi aspek peribahasa iaitu:
Soalan 3: Pengetahuan dan kefahaman tentang tatabahasa bahasa Melayu, ceraian (e).

Soalan peribahasa itu akan menguji murid-murid dari segi pengetahuan dan pemahaman tentang aspek peribahasa serta penggunaannya. Soalan-soalannya mungkin dalam bentuk memberikan peribahasa yang sesuai dengan pernyataan atau petikan yang diberikan, mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai pada ruangan yang disediakan dalam ayat atau pernyataan, membina ayat berdasarkan peribahasa dan memberi maksud peribahasa. Jumlah markah bagi soalan ini ialah 6 markah. Berdasarkan trend soalan semasa, soalan yang akan dikemukakan adalah berdasarkan 3 peribahasa.

Peribahasa tersebut meliputi simpulan bahasa, pepatah, bidalan, perumpamaan, dan kata-kata hikmat. Oleh itu murid-murid dinasihatkan supaya menguasai seberapa banyak yang boleh tentang peribahasa Bahasa Melayu secara umum, di samping memberikan penekanan terhadap semua peribahasa yang terdapat dalam buku teks tingkatan 4 dan 5.

Untuk membantu murid-murid dalam mengenal pasti peribahasa yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, yang berikut disenaraikan peribahasa tersebut dengan muka suratnya sekali:

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. (m/s 10) (SPM 2004)
Dengan adanya kerjasama dalam masyarakat, keadaan masyarakat itu akan menjadi kuat dan sebarang pekerjaan dapat dilaksanakan dengan mudah.

2. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. (m/s 10 & 166) (SPM 2004)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama.

3. Darah daging. (m/s 10)
Anak yang ada pertalian darah dengan ibu atau bapanya. Adat atau sesuatu kelaziman pada sesuatu kaum ataupun seseorang.

4. Seperti lembu dicucuk hidung. (m/s 166)
Orang bodoh yang mengikut perintah sahaja.

5. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. (m/s 166)
Generasi pelapis yang akan memikul tanggungjawab terhadap negara pada masa depan dan masing-masing mempunyai peranan yang sama penting.

6. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. (m/s 166)
Seimbang dari segi kedudukan dan sama tarafnya.

7. Jika melentur buluh biarlah dari rebungnya. (m/s 174 & 176)
Jika hendak mendidik anak hendaklah bermula sejak kecil lagi.

8. Tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. (m/s 174)
Hajat atau harapan yang begitu besar.

9. Genggam bara api biar sampai jadi arang. (m/s 174)
Apabila melakukan sesuatu pekerjaan, hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan diusahakan sehingga berjaya.

10. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. (m/s 174)
Sesuatu keputusan bergantung pada diri sendiri untuk melakukannya.

11. Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. (m/s 234)
Sesuatu yang sentiasa dikenang atau diingati dan sukar untuk dilupakan.


Di samping itu, peribahasa yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu tingkatan 5 pula ialah:
.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (m/s 3)
Setiap keinginan tentu ada cara untuk mencapainya.

Lintah darat. (m/s 15)
Peminjam wang yang mengenakan faedah yang tinggi pada peminjam.

Jauh perjalanan luas pengalaman. (m/s 80) ; banyak berjalan luas pengalaman. (m/s 252)
Semakin banyak pengalaman baru yang diperoleh jika kita pergi ke tempat orang.

Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. (m/s 91 & 116) (SPM 2004)
Sikap bersatu padu yang mementingkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. (m/s 15 & 98)
Jika ada perpaduan, rakyat akan menjadi kuat, dan kalau berpecah belah, negara akan hancur.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. (m/s 98)
Sikap bersatu padu yang mementingkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.

Seperti kacang lupakan kulit. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007)
Orang yang tidak tahu mengenang budi.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama.

Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. (m/s 99)
Perlu mengikut adat dan kepercayaan tempat kita berada pada masa itu.

Masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. (m/s 99)
Walau di mana sekalipun kita berada, kita hendaklah mengikut cara hidup masyarakat di mana kita menetap kerana setiap masyarakat mempunyai adat resam serta cara hidup mereka yang tertentu.

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. (m/s 99)
Orang yang bermuafakat akan tetap setia antara satu dengan yang lain (jika seorang mendapat kesusahan, yang lain turut sama merasakannya.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. (m/s 114, 115, 116 & 216)
Seseorang itu perlu berusaha untuk memperoleh sesuatu.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. (m/s 114)
Kalaulah kita hendakkan sesuatu kejayaan atau kesenangan, kita hendaklah sanggup menempuh kesusahan dan juga bekerja dengan cara yang bersungguh-sungguh.

Rajin dan usaha tangga kejayaan. (m/s 114)
Kejayaan akan dicapai jika disertai dengan usaha dan kerajinan.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. (m/s 115)
Sikap berjimat-cermat akan membolehkan seseorang itu menjadi kaya-raya.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan. (m/s 115)
Sesuatu perkara yang terlalu banyak pada satu-satu masa.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. (m/s 116) (SPM Ulangan 2007)
Bersusah payah terlebih dahulu supaya dapat mengecap kesenangan pada masa akan datang..

19. Sediakan payung sebelum hujan. (m/s 189)
Hendaklah bersiap sedia dan beringat-ingat sebelum mendapat kesusahan.

20. Memerah otak. (m/s 115)
Memikirkan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh.

21. Genggam bara api, biarlah sampai jadi arang. (m/s 215)
Melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

22. Bagai aur dengan tebing. (m/s 115)
Saling membantu antara satu sama lain.

23. Mencari jalan. (m/s 115)
Mencari ikhtiar untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

24. Biar mati anak, jangan mati adat. (m/s 179 & 265)
Sikap menghormati dan sayangkan adat tradisi itu lebih daripada menghormati dan menyayangi anak sendiri.

Setelah membaca semua peribahasa daripada buku teks tersebut, diharapkan murid-murid dapat merujuk kamus peribahasa untuk meluaskan penguasaan peribahasa dan memahami penggunaannya. Murid-murid juga digalakkan untuk berbincang dengan guru dan rakan, serta membuat latihan yang sesuai dengan bimbingan guru bagi memantapkan penguasaan aspek peribahasa Melayu. Hal ini dapat mengelakkan murid-murid menghadapi masalah semasa menjawab soalan peribahasa dalam peperiksaan penggal dan SPM. Selain itu rajin-rajinlah membaca kamus peribahasa bagi meluaskan perbendaharaan peribahasa anda. Hal ini demikian kerana bilangan peribahasa sangat banyak dan soalan peribahasa dalam peperiksaan SPM pula tidak semestinya dipilih daripada peribahasa yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

Kertas 1 Bahasa Melayu SPM

Panduan Menjawab Soalan Kertas 1 Bahasa Melayu SPM
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim

Kertas 1 : Karangan [130 markah]

(a) Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan (30 markah)

Soalan bahagian ini akan memaparkan bahan rangsangan iaitu berbentuk grafik sebagai panduan kepada pelajar untuk menulis karangan. Bahan rangsangan tersebut mungkin berbentuk gambar tunggal, gambar bersiri, ilustrasi, carta, jadual, graf, peta, dialog dan sebagainya. Pelajar dikehendaki menulis karangan berdasarkan bahan rangsangan tersebut yang panjangnya antara 200 hingga 250 patah perkataan berdasarkan tema atau tajuk yang diberikan.
Untuk menghasilkan karangan berpandu yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:

Membuat penelitian
Membuat perancangan
Menulis karangan
Membuat semakan

1. Membuat Penelitian (5 minit)
i. Pelajar perlu meneliti bahan rangsangan yang dikemukakan.
ii. Pelajar perlu memahami dan menentukan perkara yang dikehendaki berdasarkan bahan rangsangan yang dikemukakan.

2. Membuat Perancangan (5 minit)
i. Pelajar perlu memikirkan serta menyenaraikan isi-isi yang berkaitan dengan bahan rangsangan tersebut.
ii. Pelajar perlu menyediakan sekurang-kurangnya 3 isi yang utama berdasarkan bahan rangsangan tersebut.
iii. Pelajar perlu menghuraikan perkara-perkara yang tersirat di samping perkara yang tersurat pada bahan rangsangan.

3. Menulis Karangan Berpandu (30 minit)
i. Pelajar perlu menulis perenggan pendahuluan.
ii. Pelajar perlu menulis isi (sekurang-kurangnya 3 isi) dan menghuraikan atau mengembangkannya.
iii. Pelajar perlu menulis menutup atau kesimpulan karangan berpandu.

4. Membuat semakan (5 minit)
i. Jumlah Perkataan – pastikan jumlah perkataan karangan berpandu ini dipatuhi. Jangan tulis melehihi had yang telah ditetapkan iaitu 200 hingga 250 perkataan.

ii. Ayat
(a) Tiada ayat yang tergantung.
(b) Tiada ayat yang terlalu panjang sehingga boleh menyebabkan maksudnya kabur.
(c) Tiada ayat yang salah tatabahasanya.

iii. Istilah
(a) Gunakan istilah atau perkataan yang sesuai
(b) Gunakan imbuhan yang sesuai
(c) Gunakan sistem ejaan yang betul

iii. Tanda Bacaan
(a) Gunakan tanda bacaan yang sesuai.

(b) Karangan Umum (100 markah)
Bahagian ini akan mengemukakan 5 soalan karangan yang berdasarkan 3 bidang kemahiran iaitu intrapersonal atau interpersonal, maklumat dan estetik. Berdasarkan trend soalan semasa, soalan yang keempat biasanya merujuk kepada isu serantau atau antarabangsa. Sementara itu soalan yang kelima pula berdasarkan bidang estetik. Pelajar dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah melebihi 350 perkataan berdasarkan 5 soalan yang dikemukakan.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
1. Membaca semua soalan
2. Membuat pemilihan dan perancangan
3. Menulis karangan
4. Membuat semakan

Membaca Semua Soalan (5 minit)
i. Baca semua soalan yang dikemukakan dan buat pilihan yang tepat berdasarkan
pengetahuan pelajar tentang soalan tersebut.

Membuat Perancangan (10 minit)
i. Pelajar perlu membaca soalan yang dipilih itu dengan teliti sekali lagi.
ii. Pelajar perlu memahami dan menentukan kehendak soalan serta formatnya.
iii. Pelajar perlu memikirkan dan menyenaraikan isi atau maklumat yang berkaitan dengan isu atau maklumat yang berkaitan dengan isu atau perkara yang hendak ditulis.
iv. Pelajar perlu menyediakan isi yang sesuai iaitu lima atau enam isi yang benar-benar relevan dan benar-benar diketahui oleh pelajar.
v. Pelajar perlu mencatatkan maklumat sokongan, misalnya statistik, contoh-contoh yang relevan daripada isu-isu semasa, pendapat tokoh yang berwibawa, peribahasa dan maklumat-maklumat sokongan yang lain yang sesuai dan berkaitan dengan isi yang hendak ditulis.

Menulis Karangan (65 minit)
i. Pelajar perlu menulis satu perenggan pendahuluan karangan berserta huraiannya.
ii. Pelajar perlu menulis isi (lima atau enam isi) berserta huraiannya.
iii. Pelajar perlu menulis penutup atau kesimpulan karangan.


Catatan:
· Pelajar perlu ingat bahawa setiap isi karangan hendaklah ditulis dalam perenggan yang berlainan (satu isi, satu perenggan).
· Setiap isi dalam perenggan tidak seharusnya dihuraikan terlalu panjang (meleret-leret) dan tidak pula terlalu ringkas dan pastikan setiap perenggan seimbang.

Membuat Semakan (10 minit)

i. Ayat
(a) Tiada ayat tergantung.
(b) Tiada ayat yang terlalu panjang sehingga maksudnya kabur.
(c) Ayat perlulah gramatis iaitu mengikut sistem bahasa yang betul.


ii. Istilah
(a) Gunakan istilah atau perkataan yang sesuai
(b) Gunakan imbuhan yang sesuai
(c) Sistem ejaan mestilah betul.

iii. Tanda Bacaan
(a) Gunakan tanda bacaan yang sesuai.

Latihan Analisis Kesalahan Bahasa 1 STPM

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
[15 markah ]

Cadangan untuk mengharamkan iklan makanan segera merupakan tindakan yang drastik, namun kami kurang pasti sama ada ia berkesan atau tidak. Ini kerana, mengharamkan iklan tidak akan memberhentikan pengguna daripada mengambil makanan segera, sebab makanan segera telah lama bertapak di Malaysia dan menjadi sebahagian makanan harian. Bagi saya, jalan penyelesaiannya ialah melalui pendidikan. Kita perlu beritahu kepada pengguna apa sebenarnya makanan segera dan kandungan yang terdapat dalam makanan segera iaitu komposisi nutrient. Setelah pengguna mendapat semua maklumat yang penting mengenai makanan segera, terpulanglah kepada pengguna untuk membuat pilihan yang bijak. Kita tidak perlu mengharamkan iklan kerana ia bukan tindakan yang baik. Contohnya iklan rokok dan arak telah diharamkan tetapi masih ramai yang menghisap rokok walaupun sudah tahu keburukannya.



Latihan Analisis Kesalahan Bahasa 2 STPM

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
[15 markah ]


Dalam isu Maybank, ia menegaskan bahawa pemilihan firma guaman terus dibuat berasaskan merit dan kenyataan itu seharusnya membantu melenyapkan sebarang kontroversi berpanjangan. Kita sedar ada pihak juga mahu kerajaan mempertahankan tindakan Maybank mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan Bumiputera dalam firma guaman yang mahu menjadi panel bank terbabit, dengan alasan ia selari dengan dasar kerajaan untuk mengagihkan secara adil kekayaan negara, khususnya kepada kaum Bumiputera yang masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding kaum lain. Kita harus menerima hakikat mengenai semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih wujud dan diperlukan selagi kemiskinan antara kaum belum seimbang.



Latihan Analisis Kesalahan Bahasa 3 STPM

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
[15 markah ]


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin sangat dengan kenaikan mendadak harga cili merah yang dijual disekitar pasar Pulau Pinang. Tinjauan CAP ke pasar yang dilakukan pada 9 Mei lalu menunjukkan harga cili merah tempatan meningkat dari RM7 kepada RM15 sekilogram. Peningkatan ini adalah lebih daripada 100 peratus sejak seminggu lalu dan telah menyebabkan kekurangan yang besar di pasaran. Pemborong mempersalahkan penuaian hasil cili merah yang rendah di kawasan terbabit menyebabkan harganya meningkat 100 peratus. Aduan biasa yang diterima dari surirumah ialah harga tiga biji cili adalah kira-kira RM1.50 yang lebih mahal berbanding nasi lemak. CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat bekalan dan harga cili. Bekalan cili perlu ditingkat dan mengurangkan harganya.




Latihan Analisis Kesalahan Bahasa 4 STPM

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
[15 markah ]

Kerajaan kita sentiasa berusaha untuk membantu rakyat yang miskin di negara ini. Di antara usaha yang dilaksanakan ialah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di luar bandar. Melalui langkah tersebut dapat menjamin penduduk memperolehi pendapatan. Bila ada pendapatan, mereka dapat menumpukan dengan lebih banyak lagi perhatian kepada usaha menjaga kesihatan diri dan keluarga. Walaubagaimanapun, usaha ini mestilah mendapat sambutan dari golongan yang miskin itu sendiri. Berjaya atau gagalnya usaha tersebut amat bergantung kepada kerjasama yang mereka berikan. Tegasnya, kejayaan usaha tersebut tidak hanya bergantung kepada kerajaan sahaja.

Latihan Rumusan 3 STPM

Latihan Rumusan 3 STPM

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannnya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 170 - 180 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan. [ 20 markah ]

Jenayah yang melibatkan kes ragut kini dikategorikan sebagai jenayah rompak dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan. Polis juga sudah mengambil beberapa langkah dengan memudahkan mangsa ragut membuat laporan di semua balai polis, pondok polis dan polis peronda dengan tujuan untuk mengatasi masalah kesukaran membuat aduan mengenai kejadian berkenaan. Namun, yang membimbangkan kita ialah peragut kini sanggup melakukan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Contoh yang terbaru, kes yang membabitkan pelajar di Wangsa Maju baru-baru ini bukan lagi dianggap kes ragut tetapi kes bunuh.

Kejadian yang bermula dengan rompakan harta benda sudah bertukar menjadi kes jenayah kekerasan hingga menyebabkan kecederaan dan kematian. Apakah dalam kemelut sebegini, kita selaku anggota masyarakat hanya mampu melihat perkara ini berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan? Walaupun kita tidak boleh bertindak bersendirian, kita masih boleh menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membantu pihak berkuasa untuk menangani kes yang semakin menjadi-jadi ini. Masyarakat boleh membuat aduan di balai polis yang terdekat atau menghubungi polis dengan segera jika mereka melihat ada kelakuan orang tertentu yang boleh menimbulkan syak.

Kebanyakan kes ragut ini berlaku di kawasan bandar-bandar besar dan juga di kawasan yang lengang. Peragut juga biasanya melakukan aktiviti mereka itu apabila menyedari bahawa mangsa mereka bersendirian. Sebenarnya kes ragut berpunca daripada sikap individu yang ingin mendapat wang dengan jalan yang mudah. Selain itu juga mereka hendak mendapatkan wang dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu mereka terpaksa meragut beg tangan atau barang-barang kemas yang dipakai oleh kaum wanita.
Kebiasaannya juga peragut tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan yang tetap untuk menyara hidup mereka. Selain itu mereka juga malas untuk melakukan kerja yang halal kerana pendapatannya tidak lumayan. Perkara ini menyebabkan mereka akan meragut beg tangan mangsa yang lemah.
Antara cara untuk menangani kes ini daripada menjadi lebih serius adalah dengan mengadakan kawalan dan rondaan yang lebih ketat. Kawalan tersebut patut dilakukan oleh anggota polis dalam usaha untuk mencekup peragut yang bermaharajalela. Selain itu anggota polis yang berpakaian biasa perlu ditempatkan di tempat awam agar mudah bagi mereka untuk menangkap peragut yang tidak bertanggungjawab itu.
Bagi kita, adalah lebih baik menghalang sesuatu perbuatan jenayah itu sebelum jenayah itu berlaku. Kita bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa tanggungjawab untuk membanteras jenayah termasuk curi dan ragut tidak seharusnya diserahkan kepada polis semata-mata. Polis tidak mungkin dapat mengatasi masalah jenayah ini sepenuhnya memandangkan wujudnya jurang atau nisbah yang begitu besar antara jumlah anggota polis dengan bilangan penduduk.

Justeru, semua pihak perlulah memainkan peranan untuk mencegah kejadian jenayah seperti kes ragut, rompakan, pecah rumah dan pecah kereta dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa. Tanpa kerjasama daripada semua pihak dalam masyarakat sudah tentu usaha untuk menangani kes ragut menjadi semakin sukar. Oleh hal yang demikian, marilah kita menjadikan angka kes ragut yang begitu tinggi itu sebagai satu kejutan untuk kita memerangi jenayah ini bersama-sama. Semoga masalah ini akan dapat ditangani dengan berkesan dalam usaha menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat negara ini.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
‘Rakyat Kena Bantu Polis Perangi Kes Jenayah Ragut’,
Berita Harian, 7 Ogos 2006)

Latihan Rumusan 2 STPM

Latihan Rumusan 2
Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannnya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 170 - 180 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.
[ 20 markah ]

Sebagai bencana alam, banjir memang tidak dapat dielakkan. Perkara ini memang biasa berlaku di kawasan rendah di negari-negeri Pantai Timur setiapkali musim tengkujuh tiba. Hujan lebat yang turun dengan tidak berhenti-henti selama beberapa hari menyebabkan sungai-sungai tidak dapat menampung air dan terjadilah banjir. Ombak besar di Laut China Selatan juga memburukkan lagi keadaan bencana alam yang bermusim ini. Namun demikian, fenomena yang sering terjadi di beberapa kawasan rendah di Lembah Kelang sejak akhir-akhir ini tidak boleh dianggap sebagai bencana alam secara semula jadi. Hal ini demikian kerana banjir tersebut tidak bermusim dan boleh dielakkan. Jika semua pihak prihatin dan mematuhi peraturan alam sekitar, Kuala Lumpur tidak akan dilanda banjir kilat hanya kerana hujan lebat selama dua atau tiga jam. Kadang-kadang hujan lebat tidak sampai sejam pun tetapi pasti menyebabkan beberapa jalan utama di pusat bandar raya terputus akibat ditenggelami oleh air.

Banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga di beberapa kawasan rendah di Lembah Kelang bukanlah merupakan masalah baru. Sejak sekian lama warga kota berasa bimbang setiap kali apabila langit mendung. Hujan lebat akan menyebabkan beberapa jalan utama ditenggelami air, dan terjadilah kesesakan lalu lintas yang boleh menggendalakan setiap urusan. Banjir kilat boleh menjejaskan peniaga dan penjaja kecil di pasar malam. Lebih malang lagi, bajir kilat boleh membawa selut dan lumpur ke dalam rumah dan merosakkan harta benda.

Masalahnya ialah semua pihak sudah seperti tidak prihatin terhadap punca banjir kilat. Kita nampaknya terlalu ingin untuk membangun dengan cepat, sehingga melupakan ciri-ciri untuk memelihara dan menjaga alam sekitar. Kita bangga untuk menegakkan batu-bata dan besi demi menunjukkan keupayaan untuk mencakar langit tetapi tidak prihatin terhadap usaha-usaha untuk mengekalkan alam sekitar dan keindahan bumi. Kita asyik membangun, tetapi mengetepikan peraturan-peraturan alam sekitar. Dalam kes banjir kilat di Kuala Lumpur, salah satu faktor yang telah dikenal pasti sebagai penyebabnya ialah kegagalan pihak pemaju atau kontraktor untuk mematuhi peraturan tentang alam sekitar, termasuk usaha untuk mencegah banjir kilat. Pihak pemaju lebih mementingkan aspek keuntungan dan tidak mengambil berat tentang peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Projek-projek pembangunan dilaksanakan tanpa sistem perparitan yang sesuai. Sungai dan saliran lain ditimbus, tanpa menyediakan laluan alternatif untuk air mengalir. Tembok halangan banjir dibina dengan tidak menepati syarat dan kesesuaian yang telah ditetapkan.

Pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pengairan dan Saliran gagal memantau projek-projek pembangunan, menyebabkan pihak pemaju berani mengetepikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Sesetengah pemaju memang telah menunjukkan sikap ”kurang ajar” tetapi tidak ada tindakan tegas yang dikenakan terhadap mereka. Dalam waktu yang sama, sungai dan saliran di kawasan yang terlibat tidak pula diselia dengan baik walaupun peruntukan berjuta-juta ringgit telah diluluskan setiap tahun untuk kerja-kerja membersih sungai dan saliran.
Selain itu masyarakat sendiri pun tidak prihatin dan terus melakukan amalan-amalan yang tidak baik yang boleh menyumbang kepada masalah banjir di kawasan bandar. Sikap orang ramai yang suka membuang sampah di merata-rata tempat merupakan salah satu punca yang menyebabkan banjir kilat. Sampah yang dibuang ke dalam longkang boleh menyekat longkang, menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan lancar, dan akhirnya terjadilah banjir. Sistem perparitan dan longkang mudah tersumbat jika setiap hari ditimbuni dengan segala macam sampah.

Sebenarnya, banjir kilat boleh diatasi sekiranya semua pihak mematuhi peraturan-peraturan untuk memelihara alam sekitar, pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang dengan sempurna. Orang ramai pula perlu mengubah sikap dan membaiki tabiat buruk mereka yang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat. Sesungguhnya, banjir kilat bukanlah masalah alam tetapi bencana yang berpunca daripada kesilapan manusia sendiri.

(Diubahsuaikan daripada Mengapa Banjir Kilat Kerap Melanda
Bandar Kita, oleh Abd. Jalil Ali, Dewan Masyarakat, Jun 2000)

Topik Karangan STPM

Topik Karangan Tingkatan 6 2008

Bil. Topik
1. Kitar semula
2. Kemalangan maut
3. Bangunan bersejarah
4. Obesiti (STPM 2007)
5. Bahasa yang salah pada papan tanda dan iklan
6. Pengurusan sampah
7. PLKN
8. Gengsterisme
9. Kenaikan harga barang
10. Bahan Picisan
11. Lambakan Drama Asing
12. Pendatang Tanpa Izin
13. Rasuah Masalah Global
14. Majukan Industri Pertanian
15. Bencana alam
16. Internet dan Dasar Langit Terbuka
17. Isu Ragut dan Langkah untuk Menanganinya
18. Isu Pelancongan – Tahun Melawat Malaysia
19. Isu Cakera Padat Cetak Rompak
20. Masalah Perumahan di Negara Kita
21. Isu Kad Kredit