Soalan:
Aktiviti penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan negara kita dikatakan semakin sukar dikawal oleh pihak berkuasa. Huraikan langkah-langkah untuk menangani aktiviti penyeludupan di sempadan negara kita.
Pendahuluan
· Kes penyeludupan sering dipaparkan di media massa dewasa ini
· Kes penyeludupan seperti penyeludupan beras,
gula, petroleum, dan sebagainya
· Walau bagaimanapun, langkah-langkah perlu diambil untuk menangani masalah penyeludupan
Isi Penting
IS1: Memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sering berlaku kejadian
penyeludupan
IS2: Meningkatkan rondaan di kawasan “panas” dan selalu menjadi tempat berlakunya
penyeludupan
IS3: Mengadakan kempen kesedaran tentang
penyeludupan
IS4: Menambah bilangan pondok kawalan di kawasan sempadan negara
IS5: Meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan penyeludupan
Penutup
· Terdapat pelbagai langkah yang perlu
dijalankan untuk memastikan kes penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan.
· Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu
dengan pihak berkuasa untuk memastikan kes penyeludupan dikurangkan demi
kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Contoh
Esei
Media massa sering
memaparkan berita tentang kes penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan negara kita. Perkara ini menunjukkan bahawa masalah ini semakin serius dan membimbangkan kerana bilangan kes semakin meningkat dan sukar dibendung oleh pihak berkuasa. Barang-barang seperti beras, gula, petroleum, minyak masak, rokok, hidupan liar, senjata api, dan sebagainya
merupakan contoh barangan yang diseludup di kawasan sempadan negara kita. Kes penyeludupan tersebut melibatkan nilai rampasan yang
besar dan perkara itu merugikan negara kerana penyeludup mengelakkan cukai yang
perlu dibayar kepada kerajaan. Oleh itu, langkah-langkah yang berkesan
perlu diambil untuk menangani aktiviti penyeludupan di kawapan sempadan
negara kita dengan negara jiran.
Langkah yang
perlu diambil ialah pihak berkuasa perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sering berlaku
kejadian penyeludupan. Kamera tersebut dapat mengimbas atau merakam segala
perbuatan jenayah yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Contohnya, kamera tersebut perlu diletakkkan atau dipasang di kawasan sempadan negara kita dengan negara lain, di kawasan sempadan atau di kawasan perairan, dan sebagainya. Perkara ini akan menakutkan
penyeludup dan dapat menghalang mereka daripada melakukan aktiviti penyeludupan.
Jadi, dengan cara itu kes penyeludupan dapat dikurangkan jika pihak berkuasa
memasang kamera litar tertutup di kawasan “panas” atau di kawasan yang sering berlaku aktiviti penyeludupan.
Pihak berkuasa perlu meningkatkan rondaan di kawasan “panas” dan selalu menjadi tempat berlakunya penyeludupan. Perkara ini akan menakutkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penyeludupan. Sebagai contohnya, pihak imigresen melakukan rondaan yang lebih kerap di kawasan sempadan negara atau di kawasan perairan sempadan negara, dan sebagainya. Melalui cara itu kes penyeludupan dapat dikurangkan dan kerugian akibat kegiatan penyeludupan dapat dikurangkan. Perkara itu jelas menunjukkan bahawa masalah penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan melalui rondaan yang lebih kerap oleh pihak berkuasa di kawasan yang sering berlaku aktiviti tersebut.
Langkah
lain yang boleh diambil ialah pihak berkuasa perlu mengadakan kempen kesedaran tentang keburukan
penyeludupan kepada masyarakat. Perkara itu penting kerana anggota masyarakat
akan mendapat maklumat dan kesedaran tentang kepentingan mengangani kes
penyeludupan. Contohnya, anggota masyarakat diberikan kesedaran tentang bahaya
atau keburukan akibat kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan dan pihak
imigresen boleh menerangkan cara untuk menangani masalah penyeludupan melalui
demonstrasi atau iklan di media massa. Dengan cara itu, kesedaran tentang
kegiatan penyeludupan dapat ditangani dan dikurangkan di kawasan sempadan.
Tegasnya, bilangan kes atau aktiviti penyeludupan dapat dikurangkan melalui
kempen-kempen kesedaran tentang pencegahan kes penyeludupan.
Pihak berkuasa juga perlu menambah
bilangan pondok kawalan di kawasan sempadan negara. Hal ini dapat menghalang
penyeludup daripada melakukan aktiviti penyeludupan. Pondok kawalan boleh
berfungsi sebagai pusat pemantauan dan tempat orang ramai untuk membuat
aduan tentang kes penyeludupan. Jadi, pihak berkuasa perlu membina pondok
kawalan imigresen di tempat yang strategik atau di kawasan sempadan negara seperti
di sempadan Malaysia dengan Thailand dan sempadan Malaysia dengan Indonesia.
Perkara ini tentunya akan menakutkan penyeludup kerana pihak imigresen dapat bertindak dengan
lebih pantas untuk menangkap penyeludup yang melakukan aktiviti penyeludupan.
Pihak
berkuasa hendaklah meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan penyeludupan
yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Tindakan itu perlu
dilakukan kerana denda atau hukuman yang berat akan menakutkan orang ramai
untuk melakukan penyeludupan. Sebagai contohnya, hukuman penjara mandatori dan
sebatan rotan kepada penyeludup di khalayak berupaya untuk menakutkan orang
ramai dan menyedarkan penyeludup daripada melakukan aktiviti penyeludupan.
Dengan cara itu, kes penyeludupan dapat dikurangkan dan kerugian negara dapat
diminimumkan. Jadi, jelaslah bahawa denda atau hukuman yang berat dapat
mengurangkan kes penyeludupan.
Sebagai
kesimpulannya, terdapat pelbagai
langkah yang perlu dijalankan untuk memastikan kes penyeludupan dapat
dikurangkan di kawasan sempadan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding
bahu dengan pihak kerajaan untuk memastikan kes penyeludupan dapat ditangani
dengan berkesan. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah pasti masalah
tersebut sukar untuk ditangani. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana
kita tidak mahu kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat negara kita terjejas. Jadi, kita
berharap agar masalah penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan supaya
rakyat negara kita hidup makmur dan sejahtera tanpa aktiviti penyeludupan. (618 perkataan)