Pengikut laman ini

Friday, October 25, 2013

Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.
                                                                                                                         [30 markah]

Masalah pelupusan sampah bukan sahaja dihadapi di negara kita tetapi juga berlaku di negara-negara maju seperti Jepun. Berdasarkan jumlah sampah yang semakin meningkat setiap tahun, pelupusan sampah secara konvensional sudah tidak praktikal lagi pada masa ini. Oleh hal yang demikian, kerajaan mahu rakyat bersedia untuk berkongsi bersama-sama bagi menanggung kos pelupusan sampah dengan menggunakan sistem yang lebih berkesan termasuklah penggunaan teknologi moden seperti insenarator bagi memastikan penjagaan alam sekitar terjamin.

Oleh itu, negara kita akan menggunakan teknologi insenarator ini bagi menggantikan kaedah pelupusan sampah yang sedia ada pada masa ini. Langkah ini perlu diambil untuk menangani masalah pelupusan sampah yang kurang efisien pada masa ini. Pelbagai cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi masalah pelupusan sampah. Antara cadangan itu termasuklah pembinaan loji insenarator seperti yang digunakan oleh negara-negara maju.

Antara teknologi insenarator moden yang dimajukan adalah dengan menggunakan gasifikasi dan peleburan abu yang dapat mengurangkan pengeluaran dioksin pada tahap yang memenuhi piawaian antarabangsa. Asap dan gas yang berbahaya kepada manusia tidak dilepaskan ke udara tetapi diserap dan dikumpulkan oleh alat tersebut. Oleh itu, teknologi insenarator tidak akan menjejaskan kesihatan manusia dan tidak mengganggu keselesaan penduduk yang tinggal  berhampiran dengan pusat pelupusan sampah tersebut.

            Selain dapat menyelesaikan masalah pelupusan sampah, teknologi insenarator juga mampu menjana tenaga yang dapat memenuhi keperluan untuk menggerakkan loji berkenaan. Di samping itu, teknologi tersebut berupaya untuk menjual tenaga yang dihasilkan kepada syarikat utiliti yang membekalkan tenaga kepada masyarakat. Selain insenarator yang kekal terdapat juga insenarator bergerak yang menggunakan roda dan berupaya mengendalikan dua tan sisa termasuklah pepejal. Insenarator seumpama itu dicipta khusus dan berkonsepkan mesra alam serta tidak mencemarkan alam.

            Oleh hal yang demikian, kita berharap pembinaan insenarator tersebut akan menjadi kenyataan pada masa yang telah dijangkakan. Hakikat yang perlu kita terima ialah kaedah pelupusan yang digunakan sekarang tidak lagi mampu menampung sampah yang kita buang setiap hari. Walaupun kos insenarator ini agak tinggi, namun dalam jangka masa panjang, teknologi ini menguntungkan manusia dan tidak merosakkan alam sekitar yang sudah sedia tercemar.
(Disesuaikan daripada ‘Penggunaan Insenarator
Tidak Dapat Dielakkan’, Berita Harian, 10 Mac 2007)

1.  Apakah kelebihan teknologi insenarator dalam usaha untuk melupuskan sampah dengan lebih efisien?  [4]

Skema jawapan cadangan  
- dapat mengurangkan pengeluaran dioksin
- tidak menjejaskan kesihatan manusia
- tidak mengganggu keselesaan penduduk
- mampu menjana tenaga
- mesra alam atau tidak mencemarkan alam
                                                                                                                                                                                                                                                                
2. Jelaskan tiga harapan yang dinyatakan oleh penulis dalam petikan di atas.     [6]

Skema jawapan cadangan
-   rakyat bersedia untuk berkongsi kos pelupusan sampah dengan kerajaan – sistem ini lebih berkesan
-   negara kita dapat gunakan insenarator – cara sekarang kurang efisien
-   pembinaan insenarator  akan jadi kenyataan – cara sekarang tidak dapat menampung sampah yang dibuang setiap hari.

3.  Pada pendapat anda, apakah peranan anggota masyarakat di negara ini untuk membantu kerajaan dalam usaha menangani masalah sampah? Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.  [20]

Skema jawapan cadangan
- buang sampah di tempat yang disediakan
- berikan pendidikan kepada anak-anak tentang amalan membuang sampah
- jalankan aktiviti kutipan sampah dan membersihkan kawasan
- libatkan diri dalam kempen membersihkan kawasan
- nasihati orang lain dan jadi contoh amalan membuang sampah di tempat yang sesuai. 

Friday, October 11, 2013

Penulisan Esei Tidak Berformat - Isu Dasar Satu Murid Satu Sukan

Soalan Contoh
Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran banyak memberikan manfaat kepada murid. 
Huraikan manfaat program tersebut kepada murid-murid sekolah.

Pendahuluan
- Dasar 1Murid 1Sukan - pembangunan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar   penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.

Isi
i. Aktiviti sukan dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah - mengelakkan gejala negatif.
ii.  Mencungkil bakat murid – menyuburkan bakat tersebut
iii. Mewujudkan budaya mementingkan kesihatan -  badan mereka menjadi sihat
iv. Menggalakkan penyertaan murid dalam sukan - setiap murid berpeluang
v. Memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum

Penutup
- Program ini banyak manfaatnya - perlu disokong oleh semua pihak 

Karangan Contoh

Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.
Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Aktiviti yang dilakukan itu memang memberikan manfaat yang banyak kepada mereka. Jadi, dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan berkesan dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti yang kurang sihat.
Dasar ini membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Selain itu, program ini dapat mewujudkan budaya atau amalan yang mementingkan kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab soalan dalam pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal ini demikian kerana setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam aktiviti sukan atau permainan dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk mewakili sekolah. Oleh itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tegasnya, dasar tersebut dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di negara ini.
Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan perkara ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.