Soalan Contoh:
Anda akan mewakili sekolah dalam
pertandingan syarahan anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan
Awam Malaysia (PUSPANITA) di daerah anda. Tajuk syarahan itu ialah “Punca-punca Rakyat Tempatan Tidak Berminat
untuk Bekerja Sebagai Pembantu Rumah.” Sediakan teks syarahan itu selengkapnya.
Karangan ini
ditulis oleh Mohd Azrin bin Salleh, 6 A3 SMK. BBST.
Yang
dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Arif panel hakim, para pelajar, dan
hadirin sekalian, assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terlebih dahulu, saya
ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur pertandingan ini. Pada
pagi ini saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Punca Rakyat Tempatan
Tidak Berminat untuk Bekerja Sebagai Pembantu Rumah.”
Hadirin
sekalian,
Kini, masyarakat tempatan memang tidak
berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
Kesan daripada permasalahan ini menyebabkan pekerjaan sebagai pembantu
rumah banyak dikuasai oleh warga asing. Sebagai contohnya, pembantu rumah itu kebanyakannya berasal dari Indonesia, Kampuchea, dan Filipina. Fenomena ini menyebabkan
berlakunya pergantungan terhadap pembantu rumah warga asing. Sebenarnya
terdapat pelbagai punca yang menyebabkan rakyat tempatan tidak berminat untuk
bekerja sebagai pembantu rumah.
Satu daripada puncanya disebabkan
oleh faktor gaji yang rendah. Gaji sebagai pembantu rumah lebih rendah jika dibandingkan
dengan pekerjaan yang lain. Selain itu, gaji yang diterima oleh pembantu rumah
tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh mereka. Oleh hal yang demikian,
masyarakat tempatan tidak tertarik untuk berkecimpung dalam bidang ini. Akibat daripada permasalahan ini, majikan terpaksa menggunakan khidmat warga asing
yang sanggup menerima gaji yang rendah. Perkara ini membuktikan bahawa gaji
yang rendah menyebabkan masyarakat tempatan tidak mahu bekerja sebagai pembantu
rumah.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Tahap pendidikan warga tempatan yang
tinggi tidak menggalakkan mereka untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Hal
ini demikian kerana tahap pendidikan masyarakat tempatan yang tinggi
membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik. Di negara ini, tahap
pendidikan masyarakat sekurang-kurangnya hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM). Oleh hal yang demikian, masyarakat tempatan boleh memilih pekerjaan yang
setaraf dengan tahap pendidikan mereka daripada menjadi pembantu rumah. Mereka
lebih suka untuk bekerja sebagai kerani atau pembantu tadbir di sektor awam
atau swasta daripada bekerja sebagai pembantu rumah.
Bertititik tolak daripada itu,
persepsi negatif masyarakat turut menyebabkan masyarakat tempatan tidak mahu
menceburkan diri dalam bidang ini. Perkara ini disebabkan oleh masyarakat
menganggap bahawa pekerjaan sebagai pembantu rumah dianggap hina dan rendah
statusnya. Selain itu, mentaliti masyarakat negara kita hanya memandang ke arah
pekerjaan yang bergaji tinggi. Oleh itu, masyarakat tempatan berasa segan atau
malu untuk bekerja sebagai pembantu rumah kerana takut dipandang rendah oleh
orang lain. Jelaslah bahawa persepsi negatif masyarakat merupakan salah satu
punca masyarakat tempatan tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.
Di samping itu, pekerjaan sebagai
pembantu rumah ini tidak menjamin masa depan yang cerah. Hal ini demikian
kerana pekerjaan ini kebiasaannya tidak dilaksanakan mengikut saluran
undang-undang buruh atau pekerja. Perkara ini menyebabkan orang gaji boleh diberhentikan pada
bila-bila masa oleh majikan. Selain itu, mereka juga tidak diberikan
perlindungan insurans, caruman KWSP, dan SOCSO. Hal ini tentunya akan
menyebabkan masyarakat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu
rumah.
Punca lain yang menyebabkan masalah
ini berlaku ialah pekerjaan ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Hal ini
dikatakan demikian kerana pembantu rumah harus melayan kerenah majikan dan
anak-anak majikan itu sendiri. Selain itu, pembantu rumah perlu melakukan kerja
yang banyak seperti mengemas rumah, membasuh pakaian, memasak, dan sebagainya.
Perkara ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa rehat yang cukup atau tiada
masa untuk berehat langsung. Oleh itu, jelaslah bahawa perkara ini menyebabkan
warga tempatan tidak tertarik untuk menjadi pembantu rumah.
Hadirin yang budiman,
Secara keseluruhannya, terdapat
pelbagai punca rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu
rumah. Oleh hal yang demikian, pihak yang bertanggungjawab haruslah bertindak
untuk menarik minat masyarakat tempatan untuk menceburi bidang ini. Pekerjaan
sebagai pembantu rumah ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang hina seperti
anggapan masyarakat sebelum ini. Pekerjaan ini juga halal di sisi agama jika
semuanya dilakukan dengan betul dan mengikut saluran undang-undang. Jadi, kita
berharap agar masalah kekurangan pembantu rumah ini dapat diselesaikan dengan
segera untuk mengelakkan majikan yang memerlukannya menghadapi masalah yang
lebih serius. Selain itu, alternatif lain juga perlu difikirkan untuk mengelakkan
kebergantungan terhadap pembantu rumah.
Sekian sahaja syarahan saya kali
ini. Terima kasih.