Pengikut laman ini

Thursday, November 15, 2012

Soalan Latihan Rumusan STPM - Sistem Terminal

Soalan Rumusan - Peperiksaan Percubaan STPM Negeri Perak 2012 

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat dengan menggunakan tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 180 hingga 190 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.                                              
                                                             [20 markah]

Berdasarkan permintaan yang tinggi terhadap hasil produk tumbuhan herba pada peringkat domestik dan global, industri herba dan aromatik di Malaysia dilihat mempunyai potensi untuk merangsang ekonomi negara. Pada tahun 2009, data menunjukkan bahawa nilai pasaran hasil produk tumbuhan herba tempatan mencatatkan jumlah RM9 bilion setahun. Sementara itu, pasaran produk berasaskan herba tidak perlu dikhuatiri kerana wujudnya arah aliran dalam kalangan masyarakat berpendidikan tinggi yang sudah mula mengutamakan produk berasaskan alam semula jadi berbanding dengan produk yang mengandungi bahan kimia.
Tumbuhan herba yang tumbuh subur di hutan Khatulistiwa di Malaysia sememangnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan negara. Sekali gus sektor ini mampu memberikan pulangan yang lumayan sehingga berbilion-bilion ringgit setahun sekiranya usaha dan kaedah tanaman secara komersial dilakukan dengan betul.
Sehubungan dengan hal itu, industri herba dan aromatik juga berpotensi untuk menjadi sumber komoditi baharu negara selain kelapa sawit, bijih timah, koko, getah, dan minyak mentah. Hutan di negara ini menyimpan segala jenis herba, iaitu tumbuh-tumbuhan yang kini khasiatnya dikaji untuk manfaat manusia sebagai makanan dan ubat-ubatan. Usaha untuk menjadikan tumbuhan herba sebagai dimensi baharu komoditi negara bukanlah suatu hal yang mustahil untuk dicapai, memandangkan Malaysia merupakan antara negara terkaya di dunia dengan memiliki hutan yang mengandungi lebih daripada 20 ribu spesies tumbuhan. Lebih membanggakan kita daripada jumlah tersebut, kira-kira 2000 spesies telah didokumentasikan sebagai tumbuhan ubat-ubatan, sekali gus berfungsi sebagai stor simpanan yang mengandungi bahan herba bernilai untuk diproses menjadi produk penjagaan kesihatan.
Selari dengan perubahan gaya hidup masyarakat dunia dan keperluan industri makanan, perusahaan tumbuhan herba berupaya untuk menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada peladang dan petani. Sektor ini menjanjikan pendapatan yang lebih tinggi berbanding dengan penghasilan sesetengah tanaman tradisi lain yang banyak diusahakan oleh petani atau pekebun kecil di luar bandar.
Pasaran bagi produk herba yang meningkat berkali-kali ganda, sudah tentu memberikan jaminan yang lebih kukuh kepada peserta dalam industri ini untuk lebih berdaya saing bagi memenuhi permintaan pengguna. Malaysia juga tidak terkecuali daripada dilanda arus perkembangan perubatan tradisional dunia. Nilai import produk herba dan aromatik serta pasaran makanan kesihatan turut menunjukkan peningkatan. Peningkatan permintaan tersebut sangat berkait rapat dengan faktor tumbuhan herba yang digunakan secara meluas dalam produk, seperti perubatan tradisional, penghasilan bahan kimia tulen dalam ubat-ubatan, dan ekstrak yang mengandungi bahan aktif. Selain itu, hasil tumbuhan herba juga digunakan dalam industri makanan, minuman, perisa, kosmetik, bahan pencuci, kemasan diri, penambahan diet serta wangi-wangian.
Di Malaysia, kepelbagaian biologi flora dan fauna mampu menjadi pemangkin ke arah kemajuan industri herba tempatan dan seterusnya merealisasikan kewujudannya sebagai komoditi baharu untuk memacu ekonomi negara agar lebih mapan. Perkembangan maklumat mengenai kepelbagaian khasiat tumbuhan herba menjadi faktor penarik dalam kalangan saintis Barat untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang berkaitan dengan tumbuhan itu, seterusnya mengusahakannya secara komersial. Oleh hal yang demikian, 80 peratus daripada pasaran domestik produk tumbuhan herba dan aromatik itu datangnya dari luar kerana peserta asing dalam industri ini mempunyai bahan mentah yang lebih berkualiti melalui P&P yang dijalankan.
Saintis Barat yang lebih pantas mengorak langkah untuk mengaut keuntungan daripada sektor ini menyedari bahawa penggunaan tumbuhan herba sebagai ubat-ubatan kurang memberikan kesan sampingan berbanding dengan penggunaan ubat moden. Oleh sebab itu, pengguna yang semakin peka dengan aspek kesihatan dan kecantikan, lebih cenderung untuk memilih produk yang berasaskan herba dan aromatik kerana faktor risiko yang rendah, di samping aspek keberkesanannya yang lebih terjamin.
(Dipetik dan diubah suai daripada Dewan Ekonomi, September 2011)

Sunday, November 4, 2012

Eei STPM Modular 2012 – Isu Kemudahan Awam


Esei ini ditulis oleh saudari Immazaitul Nor Aim binti Naim, Kelas 6 Rendah 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi.

Soalan Contoh

Kita sering mendapati bahawa banyak kemudahan awam yang disediakan oleh pelbagai pihak telah dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pada pandangan anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku?

Kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta adalah untuk kegunaan orang ramai. Akan tetapi, ada kemudahan yang disediakan itu telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contohnya, mereka merosakkan kemudahan awam seperti memutuskan gagang telefon awam, menconteng dinding tandas awam, merosakkan alat permainan di taman permainan kanak-kanak, dan sebagainya. Perkara itu menyebabkan orang lain pula yang akan menerima kesannya kerana tidak dapat menggunakannya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemudahan awam ini dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Seperti yang kita sedia maklum, antara faktor yang menjadi puncanya disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral di rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli keluarga itu sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik serta tidak menitikberatkan soal agama dan moral. Oleh itu, mereka merosakkan kemudahan awam tanpa memikirkan akibat dan kesukaran yang akan dihadapi oleh orang lain. Jadi, tanpa didikan agama dan moral daripada keluarga, perkara ini akan menyebabkan remaja tidak dapat membezakan perkara yang baik atau buruk. Hal ini menunjukkan bahawa didikan agama dan moral yang kurang dititikberatkan oleh ibu bapa menjadi faktor kemudahan awam dirosakkan.
Faktor lain kemudahan awam dirosakkan ialah remaja terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka. Perkara ini berlaku kerana mereka kebiasaannya akan melakukan atau mencontohi tindakan rakan-rakan yang lain. Kebiasaannya, remaja akan mengikut contoh atau melakukan tindakan yang dilakukan oleh rakan yang merosakkan kemudahan awam, seperti merosakkan pam atau sinki tandas. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesulitan kepada orang lain yang hendak menggunakannya. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh rakan merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Kita juga sedar bahawa perkara itu disebabkan oleh sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin akan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan anggota masyarakat lebih mementingkan urusan mereka sendiri. Tindakan itu boleh diibaratkan seperti “katak di bawah tempurung” kerana mereka tidak menghiraukan perkara yang sedang berlaku. Hasilnya, gejala ini tentunya menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam selepas menggunakannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin akan orang lain merupakan salah satu daripada faktor yang menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Selain itu, kemudahan awam yang disediakan oleh pihak tertentu itu dirosakkan oleh orang yang hendak meluahkan perasaan marah mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak ada tempat lain untuk meluahkan perasaan selain merosakkan kemudahan awam yang disediakan. Perkara ini jelas terbukti seperti kata-kata kesat dan lucah yang terdapat di dinding-dinding tandas awam dan di pondok telefon awam. Orang yang tidak bertanggungjawab itu mungkin akan berasa lega dan berpuas hati dengan tindakannya itu. Sesungguhnya, perkara ini menunjukkan bahawa faktor orang yang hendak melepaskan perasan marah atau geramnya menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Seterusnya, faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau tidak tegas. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa tidak bertindak dengan tegas atau mengenakan denda yang berat terhadap pihak yang merosakkan kemudahan awam. Perkara ini menyebabkan orang yang tidak bertanggungjawab semakin berani untuk merosakkan kemudahan awam. Namun demikian, orang yang memerlukan kemudahan awam tersebut pula yang terpaksa menanggung akibat buruknya. Oleh itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadi faktor penyumbang terhadap masalah ini.
Selain itu, kemudahan awam juga sering dirosakkan kerana kurang pemantauan dan penyelenggaraan daripada pihak yang bertanggungjawab. Masalah ini akan menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam tersebut apabila mereka tidak dapat menggunakannya. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kekurangan kakitangan daripada pihak berkuasa yang hendak membuat pemantauan ataupun perbelanjaan untuk menyelenggarakan kemudahan awam itu sudah habis digunakan. Akibatnya, kemudahan awam yang dirosakkan itu akan terus terbiar dan perkara itu akan menjejaskan kebersihan atau keselesaan. Jadi, sememangnya faktor ini membuktikan bahawa masalah kurang pemantauan atau penyelenggaraan menyebabkan  perkara tersebut berlaku.
Sebagai kesimpulannya, kita dapat melihat bahawa kemudahan awam yang dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini berpunca daripada beberapa perkara. Oleh itu, semua pihak  haruslah berganding bahu untuk menangani masalah ini agar tidak menjadi lebih serius. Sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, masalah ini akan menyebabkan imej negara tercemar akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab ini. Jadi, kita haruslah bekerjasama untuk mengatasi masalah ini sebelum menjadi amalan tersebut menjadi tabiat atau budaya masyarakat kita. Akhirnya, kita berharap agar kemudahan awam dapat digunakan dan dinikmati oleh orang ramai tanpa sebarang masalah.