Pengikut laman ini

Wednesday, August 29, 2012

Pembacaan Kritis dan Analitis STPM

Praktis 2  Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.  [30 markah]


Makanan segera sebenarnya bukan sekadar makanan yang dijual di rangkaian restoran makanan segera.  Hal ini berdasarkan penjelasan seorang pakar pemakanan ketika diminta untuk mendefinisikan makanan segera yang sudah menjadi bualan hangat masyarakat kebelakangan ini. Selain itu, perkara  ini juga timbul apabila Menteri Kesihatan telah mengemukakan cadangan supaya iklan makanan segera diharamkan kerana makanan segera tidak berkhasiat dan menjadi punca kepada penyakit kronik. Kebanyakan makanan segera yang digemari oleh anggota masyarakat kita pada hari ini akan memberikan impak yang tidak baik malahan memudaratkan kesihatan.

            Sebenarnya, memang ada makanan segera yang berkhasiat kepada tubuh dan ada pula yang memudaratkan kita, tetapi perkara ini bergantung pada jenis makanan dan cara penyediaannya. sebagai contohnya, ayam goreng yang dijual di restoran makanan segera kurang berkhasiat dan memudaratkan kita. Hal ini demikian kerana ayam yang digunakan mengandungi antibiotik atau hormon yang tidak diingini.

          Kemungkinannya juga, bagi ayam goreng yang disediakan di pasar malam, restoran atau di rumah mungkin lebih rendah kualitinya sekiranya minyak tersebut digunakan berulang kali. Dalam hal yang sama, minyak yang digunakan di restoran makanan segera yang dikawal kualitinya dan sering ditukar mengikut jadual, mungkin lebih baik tahap kualitinya. Oleh itu, jika dilihat daripada perspektif ini, tidak bermakna makanan segera di restoran makanan segera kurang berkhasiat berbanding dengan yang terdapat di tempat lain.

            Walau bagaimanapun, pengambilan makanan bergoreng yang berlebihan tidak digalakkan. Perkara ini akan meningkatkan pengambilan lemak yang menyebabkan peningkatan risiko obesiti. Selain itu, orang yang kerap mengambil makanan segera akan menghadapi komplikasi kesihatan akibat penyakit yang berkaitan dengan jantung dan darah.

Pengambilan secara berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak tepu yang tinggi, lemak tidak tepu, kandungan gula dan garam yang tinggi akan meningkatkan risiko terhadap penyakit yang berkaitan dengan jantung, ketuaan dan kencing manis. Kandungan kalori yang berlebihan dan disimpan tanpa sebarang tindak balas seperti melakukan riadah boleh menyebabkan masalah obesiti dan kesihatan akan terjejas. Oleh itu, kawallah pemakanan agar makanan yang dimakan itu seimbang.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada  ‘Baik Buruk Makanan Segera’, 
 oleh Sadatul Mahiran Rosli, Mingguan Malaysia 4 Mac 2007)
1.  Jelaskan maksud frasa       

 (a)   ... tidak berkhasiat dan menjadi punca kepada penyakit kronik [2]
 (b) ... meningkatkan pengambilan lemak yang menyebabkan peningkatan risiko obesiti [2]

2.  Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas? [6]

3. Walau bagaimanapun, pengambilan makanan bergoreng yang berlebihan tidak digalakkan.

      Berikan ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan. [20]

Saturday, August 18, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua pengunjung blog ini. Ucapan yang sama juga ditujukan kepada semua rakan blogger terutamanya blogger Bahasa Melayu, guru-guru, sahabat lama dan baharu, dan seterusnya para pelajar yang menghadapi peperiksaan STPM dan SPM tidak lama lagi. Teruskan usaha anda untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan masing-masing.