Pengikut laman ini

Friday, July 27, 2012

Karangan Pelajar STPM - Kemalangan Jalan raya


Karangan di bawah ini ditulis oleh Faiqah binti Ahmad (6A1) SMK.BBST semasa menjawab soalan PKS 2. Oleh itu, mungkin terdapat kekurangan atau kelemahan yang boleh dibaiki oleh pelajar-pelajar lain. 

Soalan Contoh
Saban tahun, kemalangan maut dilaporkan semakin meningkat ketika menjelangnya musim perayaan di negara kita.  Huraikan punca-punca kemalangan tersebut berlaku dan kemukakan cadangan untuk mengatasinya.

Karangan Contoh
Apabila musim perayaan menjelang tiba, anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, terutamanya golongan perantau yang mencari rezeki di kota raya. Perasaan mereka bagai digamit rindu untuk pulang ke kampung dan bertemu dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak ditemui. Namun demikian, selain perasaan yang begitu teruja itu, anggota masyarakat pasti akan mendengar berita tentang kemalangan maut yang sangat menyayat hati kita. Kemalangan maut yang sering berlaku pada musim perayaan ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Dengan kata lain, terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan ini dan cadangan untuk mengatasinya.
            Faktor pertama kemalangan jalan raya berlaku kebiasaannya disebabkan oleh kelalaian manusia sebelum memulakan perjalanan. Mereka sering alpa untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak menghantar kenderaan tersebut untuk diselenggara di pusat servis. Akibatnya, keadaan kenderaan mereka itu akan menjejaskan perjalanan mereka untuk pulang ke kampung. Keadaan kereta yang tidak diservis dan tayar yang “botak” ini akan mengakibatkan kereta itu mudah hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan maut. Oleh itu, kesan daripada manusia yang alpa dan tidak mengambil berat keadaan kenderaan mereka itu menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.
            Faktor kedua kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap manusia yang gagal merancang perjalanan dan bersikap terburu-buru semasa berada di jalan raya. Anggota masyarakat tidak merancang perjalanan mereka dengan teliti iaitu dengan menentukan waktu yang sesuai untuk bertolak ke kampung supaya mereka  tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang merupakan suatu penyiksaan kepada pengguna jalan raya. Perkara ini seterusnya akan menyebabkan sesetengah pengguna jalan raya yang tidak sabar dan mengikut nafsu itu melakukan kesalahan seperti memotong kenderaan di garisan berkembar atau di bahagian bahu jalan. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini seterusnya akan menyebabkan kemalangan berlaku.  
            Faktor seterusnya yang menyebabkan kemalangan berlaku disebabkan oleh keadaan jalan raya yang kurang memuaskan hati penggunanya. Walaupun masyarakat sudah merancang perjalanan dan menyelenggara kenderaan mereka, kemalangan tetap juga berlaku. Hal ini berlaku demikian kerana keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan tidak rata akan menyebabkan tayar kereta tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Kesan seterusnya, apabila pengguna jalan raya melalui kawasan tersebut, kenderaan mereka mungkin akan terbabas dan sukar untuk dikawal. Kenderaan mereka mungkin akan berlanggar dengan kenderaan lain atau melanggar pembahagi jalan dan perkara ini akan menyebabkan kemalangan berlaku. Oleh itu, keadaan atau faktor jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik turut menyebabkan kemalangan maut berlaku.
            Kemalangan maut ini dapat diatasi dengan pelbagai kaedah, antaranya melalui kempen-kempen di media massa dan papan iklan di tepi jalan atau lebuh raya. Radio dan televisyen boleh memaparkan iklan kepada audien supaya mereka tidak lupa akan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh mereka sebelum memulakan perjalanan. Sebagai contohnya, mereka boleh memaparkan iklan tentang pemandu yang letih dan mengantuk ketika memandu kenderaan dan mereka perlu berhenti di kawasan rehat. Kempen dan iklan seperti itu dirasakan berkesan kerana para pengguna jalan raya dapat melihat iklan tersebut dengan mudah. Jelaslah di sini bahawa melalui kempen, perkara itu akan mengingatkan mereka tentang bahaya kemalangan jalan raya.
            Langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan iaitu melalui Jabatan Kerja Raya adalah dengan memastikan jalan-jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Perkara ini perlu dilakukan bagi memudahkan pengguna menggunakannya tanpa perasaan bimbang atau takut. Semua jalan raya yang berlubang perlu diturap dengan sempurna supaya dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata haruslah diratakan supaya pengguna berasa selesa ketika memandu kenderaan serta melancarkan perjalanan anggota masyarakat yang hendak pulang ke kampung halaman mereka. Jadi, keadaan jalan raya yang baik dapat mengurangkan kemalangan maut yang berlaku di negara kita.
            Konklusinya, pengguna jalan raya haruslah lebih berwaspada dan berhati-hati ketika hendak memulakan perjalanan dan pandulah kenderaan dengan cermat kerana pandu cermat jiwa selamat. Sekiranya masyarakat tidak mematuhi etika pemanduan yang betul maka kemalangan maut ini boleh berlaku tanpa mengira masa. Mereka perlu ingat akan orang yang tersayang yang sedang menanti kepulangan mereka di rumah atau di kampung. Oleh itu, semua anggota masyarakat dan kerajaan haruslah berganding bahu untuk memastikan kadar peningkatan kemalangan maut dapat diatasi dengan memainkan peranan masing-masing secara berkesan. Dengan cara itu kita berharap agar masyarakat di Malaysia dapat hidup sejahtera tanpa dibelenggu oleh masalah yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Tuesday, July 3, 2012

Pembacaan Kritis dan Analitis STPM

Mulai tahun 2012, calon-calon STPM Penggal 1 perlu bersedia untuk menjawab soalan yang berkaitan dengan Pembacaan Kritiis dan Analitis. Bahagian ini sebenarnya menggantikan soalan Rumusan Karangan berdasarkan Sukatan Pelajaran STPM sebelum ini. Terdapat 3 soalan yang perlu dijawab dalam bahagian ini iaitu:
·       Soalan 1 - Menjelaskan 2 maksud frasa. [4 markah] - Setiap satu maksud frasa, 2 markah.
·        Soalan 2 -  Menyatakan mesej yang hendak disampaikan oleh penulis berdasarkan petikan. [6 markah]
·     Soalan 3 - Memberikan ulasan tentang pendapat atau idea daripada petikan dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan tidak lebih daripada 150 patah perkataan. [20 markah]

Calon-calon STPM Penggal 1 2012 SMKBBST, sila buat latihan pembacaan kritis dan analitis di bawah dan jawapannya akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam kelas tutorial.

Petikan dan Soalan Contoh Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjangkakan kira-kira 255 jenis barangan terutamanya keperluan harian akan meningkat ekoran daripada kenaikan harga petrol baru-baru ini. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengesahkan bahawa sudah berlaku peningkatan ketara harga barang-barang bukan kawalan di pasaran pada masa ini. Kenaikan tersebut sudah pasti akan membebankan pengguna terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Jadi, sudah sampai masanya para pengguna menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk menangani kenaikan harga barangan ini.

            Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang. Mereka tidak boleh lagi menerima sebarang kenaikan harga barangan begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu tindakan. Langkah berjimat-cermat dan membeli barang jika perlu sahaja patut menjadi amalan seharian. Pengguna harus berbelanja berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut perasaan. Pengguna perlu melakukan pemantauan sendiri harga barangan dan hanya memilih premis yang menjual barangan dengan harga yang berpatutan.

            Para peniaga yang suka menangguk di air keruh ini memang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka terlupa akan tanggungjawab mereka untuk menyediakan barang dan perkhidmatan yang berkualiti dan setimpal dengan harga barang atau perkhidmatan tersebut. Sebenarnya keuntungan yang diperoleh secara menipu memang tidak baik dan tidak diberkati oleh Tuhan. Namun demikian, para peniaga tersebut kebanyakannya tidak menghiraukan kesusahan yang dialami oleh pengguna. Jadi para pengguna perlu menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk bersatu dan mengambil tindakan yang berkesan terhadap peniaga yang tidak jujur.
        
         Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ini iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu melakukan pemantauan ke serata tempat di negara ini. Hal ini membolehkan harga barang-barang dipantau dan dikawal daripada terus meningkat. Jika harga barang tidak dikawal oleh pihak berkuasa, sudah tentu perkara ini akan menyebabkan masalah inflasi yang tidak terkawal berlaku di negara kita. Setakat ini, kadar inflasi di negara kita masih dapat dikawal dan berada pada paras kurang daripada tiga peratus. Oleh sebab peniaga bergantung pada pengguna untuk membeli barangan mereka, maka penggunalah sebenarnya mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan harga di pasaran.
                                             (Disesuaikan daripada Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005)

1.  Jelaskan maksud frasa             
    (a)   ... mengesahkan sudah berlaku peningkatan ketara (baris 4 dan 5)            [2]
(b) ... suka menangguk di air keruh (baris 18)                                                     [2]

2. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas? [6]

3. Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang.” (baris 8)
Berikan ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.           [20]

Jawapan Cadangan

1.  Maksud frasa             
a)     ... mengakui bahawa telah meningkat dengan banyak
b)     ... gemar mengambil kesempatan  

2. Mesej yang hendak disampaikan oleh penulis ialah pengguna hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang. Para pengguna haruslah bertindak dengan membeli barangan yang perlu sahaja. Para peniaga pula tidak boleh mengambil kesempatan dan hendak mengaut keuntungan yang banyak semata-mata.

3.   Pengguna mempunyai hak yang perlu digunakan semasa hendak membeli barang. Hak itu terdapat dalam undang-undang atau akta yang berkaitan dengan pengguna. Oleh itu, pengguna harus menggunakan hak itu untuk kebaikan mereka.
      Hak pengguna yang pertama menjamin pengguna untuk memilih dan mendapatkan barangan yang kualitinya setara dengan harga barangan tersebut. Hak ini perlu dipertahankan dan sekiranya pengguna tidak mendapat barang yang tidak setara dengan harganya, perkara ini menunjukkan bahawa hak pengguna sudah dilanggar.
      Hak seterusnya ialah pengguna berhak mendapat ganti rugi terhadap barangan yang rosak. Sekiranya pengguna mendapati barang yang dibelinya itu rosak, maka dia berhak untuk mendapatkan barang gantinya.
       Pengguna juga mempunyai hak untuk membuat aduan kepada pihak yang berkuasa. Oleh itu, sekiranya pengguna berasa tertipu atau diperdayakan selepas membeli sesuatu barang, pengguna berhak untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa.
    Kesimpulannya, hak pengguna ini sebenarnya melindungi pengguna daripada sebarang penipuan. Oleh itu, hak pengguna ini perlu digunakan dengan sebaik-baik yang mungkin.